Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tengku Zafrul seru ketepi perbalahan politik, utamakan nyawa rakyat

    Tengku Zafrul seru ketepi perbalahan politik, utamakan nyawa rakyat

    SEMUA semua pihak perlu mengenepikan perbezaan dan bersatu dalam usaha melawan pandemik Covid-19 ketika penularan varian wabak itu lebih ganas ketika ini.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan, nyawa rakyat harus diutamakan berbanding perbalahan politik yang tiada kesudahan.

    Menurut beliau, rakyat Maaysia umpama berada dalam sebuah pesawat udara dan tiba-tiba berlaku kebakaran dalam penerbangan.

    “Pada saat kritikal di mana semua anak kapal sepatutnya berikhtiar memadamkan api ini, sebaliknya mereka sibuk bergaduh untuk menukar juruterbang.

    “Andainya kita adalah penumpang dalam pesawat tersebut, bagaimanakah perasaannya melihat keadaan ini?,” tanya beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, Zafrul berkata jangkitan Covid-19 kini semakin parah bukan sahaja di Malaysia malah di negara yang sebelum ini berjaya mengawal pandemik ini.

    “Banyak negara, termasuk Malaysia, yang tahun lalu telah berjaya mengekang penularan wabak Covid-19, hari ini sedang menyaksikan kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19 akibat munculnya varian agresif seperti Delta dan Lambda,” katanya.

    Sehubungan itu beliau memberi penekanan agar mementingkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan secepat mungkin dengan penyertaan pihak pembangkang dan pakar.

    “Atas semangat kesepakatan inilah saya telah mengundang ahli-ahli politik parti pembangkang untuk menyertai mesyuarat penyelarasan PPN, baik wakil dari Pakatan Harapan dan Warisan, termasuklah parti Pejuang. Malangnya, parti Pejuang sudahpun menolak undangan tersebut secara rasmi.

    “Kenapakah kita mensia-siakan peluang berharga untuk berkongsi pandangan, ilmu dan sumber secara berhemah melalui PPN? Sememangnya, PPN adalah harapan terbaik kita, satu penyelesaian yang merangkumi kepelbagaian suara, untuk membawa kita keluar dari krisis pandemik ini dengan teratur dan selamat,” ujarnya.

    Sementara itu, Zafrul berkata usaha mengenepikan perbezaan masing-masing bukan bermakna semua dasar dikemukakan kerajaan harus dipersetujui sebaliknya setiap pihak harus tahu garis pemisah untuk hentikan percanggahan.

    “Saya mendoakan agar kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik, dan supaya kita semua aman daripada pertelingkahan yang tanpa batasan,” katanya.

    PPN merangkumi enam prinsip utama, termasuk membuka semula ekonomi; membuat keputusan berpandukan sains dan data; mengambil pendekatan ‘seluruh negara’ (whole-of-nation); mewujudkan pelan yang dinamik dan memiliki keanjalan untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.

  • Kenapa Zahid tidak jumpa ahli Parlimen UMNO – Nazri

    Kenapa Zahid tidak jumpa ahli Parlimen UMNO – Nazri

    DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi semalam dengan bangga menunjukkan surat akuan beberapa ahli Parlimen yang menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Malah  Presiden UMNO juga ‘gah’ berkata, ramai lagi yang akan menyusul selain daripada lapan ahli Parlimen yang sudah menyerahkan surat akuan mereka.

    Difahamkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslah telah menghantar mesej kepada semua ahli Parlimen untuk bertemu Ahmad Zahid secara maya bagi mesyuarat membincangkan isu politik terkini negara pada pukul 8.30 malam (semalam) dan boleh test online aplikasi Webex pada pukul 8 malam.

    Bagaimanapun hari ini di sebalik ‘keyakinan tinggi’ yang ditunjukkan oleh Ahmad Zahid pada sidang media bahawa ramai lagi ahli Parlimen UMNO akan menyokong keputusan Majlis Tertinggi, kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengejut banyak pihak.

    Ia berikutan Ahli Parlimen Parlimen Padang Rengas itu mendesak Ahmad Zahid bertemu semua ahli Parlimen UMNO sebelum membuat sebarang keputusan menarik sokongan terhadap PN.

    Nazri menegaskan, Zahid sepatutnya bertemu semua ahli Parlimen UMNO kerana keputusan menyertai PN adalah keputusan ahli Parlimen UMNO.

    Namun katanya, sehingga saat ini Zahid enggan mengadakan pertemuan tersebut.

    “Masa nak tubuhkan kerajaan PN dulu, Zahid cakap ini keputusan ahli-ahli Parlimen UMNO, dia tak buat mesyuarat MT pun. Sekarang bila nak tarik sokongan bincang dalam MT tapi tak bincang dengan semua ahli Parlimen UMNO.

    “Sampai sekarang dia tak jumpa ahli Parlimen UMNO. Sepatutnya semalam (Selasa) jumpa tapi selepas mesyuarat MT dia cancel,” katanya Astro AWANI.

    Nazri juga menegaskan tindakan kumpulan ahli Parlimen yang menyokong keputusan menarik sokongan terhadap PN jelas melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO.

    Nazri menegaskan, kumpulan pro Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak melanggar keputusan PAU 2020 yang memutuskan kekal kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hingga Parlimen dibubarkan dan “No Anwar, No DAP”.

    “Kalau tarik sokongan, mereka nak UMNO jadi apa? Pembangkang? Keputusan PAU yang mahu kerjasama dengan Bersatu putus bila Parlimen bubar bermakna ahli-ahli UMNO mahu parti kekal jadi kerajaan. Ini jelas langgar keputusan PAU.

    “Kalau tarik sokongan dan nak jadi kerajaan, nak bentuk kerajaan dengan siapa? Dengan PKR dan DAP? Ini pun langgar keputusan PAU yang kata “No Anwar dan No DAP”, kenapa nak langgar?” katanya.

  • Lelaki Nigeria dihukum gantung sampai mati bunuh ketua jururawat

    Lelaki Nigeria dihukum gantung sampai mati bunuh ketua jururawat

    Seorang lelaki Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang mayatnya ditemukan dalam unit kondominium dekat Cyberjaya pada Mei 2019.

    Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 38, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan keterangan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata.

    Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata kenyataan tertuduh bahawa dia telah meninggalkan kediaman mangsa pada 8 Mei 2019 adalah bertentangan dengan bukti rakaman kamera litar tertutup di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, yang merakam kelibat tertuduh pada keesokan hari.

    “Maka kenyataan tertuduh bahawa beliau tidak lagi bersama mangsa pada 8 Mei 2019 dan telah meninggalkan kediaman itu hanyalah semata-mata penafian,” katanya.

    Gilbert yang memakai pakaian penjara warna putih kelihatan menangis sebaik keputusan hukuman dijatuhkan.

    Dalam pada itu, Ab Karim berkata, pihak pembelaan juga tidak mempertikaikan baju yang dipakai tertuduh pada hari kejadian yang mempunyai kesan darah dan asid deoksiribonukleik (DNA) milik mangsa.

    Bagaimanapun ujar beliau, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu sehingga selesai keputusan rayuan pihak pembelaan di Mahkamah Rayuan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shafinah Taib.

    Gilbert dituduh membunuh Siti Kharina di sebuah unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya antara pukul 12.41 pagi, 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang, 15 Mei 2019.
    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pada 16 Mei 2019, media melaporkan penemuan mayat Siti Kharina selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar daripada unit kondominium berkenaan.

    Mayat ketua jururawat itu ditemui terbaring dalam keadaan tidak berpakaian lengkap selain terdapat kesan kelar pada dada, leher serta kepala mangsa dan polis percaya Siti Kharina telah dibunuh dalam tempoh empat hingga lima hari berdasarkan keadaan mayatnya.

    Sementara itu, adik mangsa, Siti Khairani Mohd Kamarudin, 38, berkata, selama ini mereka mendoakan keadilan dalam kes kakaknya.

    “Tidak kira siapa yang menang sama ada dia atau kakak saya namun kita mahu keadilan.

    “Saya harap keputusan ini yang terakhir dan tidak perkara berkait lagi selepas ini,” katanya.

    Terdahulu Siti Khairani turut menangis kegembiraan sebaik hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh.

  • ‘Saya dah lama tiada kaitan dengan si dia’

    ‘Saya dah lama tiada kaitan dengan si dia’

    LELAKI yang dikaitkan sebagai pasangan kekasih kepada penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri hari ini tampil menafikan spekulasi berhubung perkara itu.

    Azhar Apandi, 22, yang merupakan pemain bola sepak Perak FC menerusi laman story Instagram miliknya menjelaskan, Dhabitah memang kekasihnya namun mereka sudah lama berpisah.

    Pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City) yang dipinjamkan selama semusim kepada skuad The Bos Gaurus itu pada awal musim ini turut memohon agar semua pihak tidak mengaitkan namanya lagi bersama atlet negara itu.

    “Awak-awak (peminat) semua saya dah lame tak ade kena mengena dengan si dia (Dhabitah), ‘so pless’ laa hormat saya dengan si dia okay.

    “Harap korang semua faham okay. Love u guys,” katanya mengakhiri status itu dengan tanda pagar #janganupbaranglame, #sembilu, #442 dan #cucuklagihasan.

    Tular di laman sosial sebelum ini temuramah Dhabitah dengan stesen radio tempatan yang menyaksikan penerjun berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur itu mengakui sudah berpunya.

    Peminat penerjun negara kemudiannya mengaitkan kekasih Dhabitah dengan seorang pemain bola sepak profesional dan spekulasi itu dikuatkan pula dengan gambar sambutan hari jadi bersama kekasihnya iaitu Azhar.

    Baru-baru ini, hasrat Dhabitah untuk membawa pulang pingat pada temasya Olimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila menduduki tangga keempat pada pertandingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita.

  • ASP mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah

    ASP mengaku tidak bersalah minta, terima rasuah

    Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada 2018.

    Tertuduh, Ameyrudin Ahmad Zuki, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abd. Hamid.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai seorang ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa Polis didakwa secara rasuah menyetujui untuk menerima suapan RM20,000 daripada Muhamad Hisham Aziz.

    Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdaganan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 terhadap Muhamad Hisham.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam biliknya di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 12 tengah hari pada 5 Ogos 2018.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, Ameyrudin didakwa secara rasuah menerima suapan RM15,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang tersebut.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta jenis Perodua Axia di hadapan premis Hometown The Houseware Outlet di daerah Seberang Perai Tengah di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 7 Ogos 2018.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi bagi kedua-dua kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Shahrullah Khan.

    Mahkamah turut membenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin manakala 14 September ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula.

    Sementara itu, kira-kira 15 individu yang mengenakan pakaian hampir sama dengan Ameyrudin iaitu berbaju hitam yang mengenakan topi turut hadir ke mahkamah bagi mengiringi tertuduh.

    Mereka tiba dengan menaiki beberapa kenderaan termasuk dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

    Usaha jurugambar merakam foto tertuduh juga tidak berjaya apabila beberapa individu itu dipercayai berpura-pura mengiringi tertuduh sambil menutup kepala dengan sehelai jaket.

    Dalam masa sama,  Ameyrudin dipercayai keluar melalui pintu belakang sejurus membayar jaminan.

  • PM dedah didesak campuri kes mahkamah pihak tertentu

    PM dedah didesak campuri kes mahkamah pihak tertentu

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemelut politik sengaja dicetuskan kerana ada pihak kurang senang dengan ketegasan beliau untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

    Perdana Menteri berkata ini termasuk desakan supaya beliau mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

    Selain itu kata Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini, beliau juga dituduh menderhaka kepada Raja .

    ‘’Sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

    ‘’Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,’’ katanya.

    Sehubungan itu beliau menyeru semua penjawat awam, khususnya barisan hadapan agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab  tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.

    ‘’Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19. Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

    ‘’Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan,’’ katanya.

  • Rumah terbakar, warga emas maut

    Rumah terbakar, warga emas maut

    SIK – Seorang wanita warga emas maut apabila rumah yang didiaminya di Jalan Charok Kit, Kampung Kemuning dekat sini, terbakar awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, mangsa Maryam Minhat, 90-an, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Katanya, dua lagi individu yang tinggal di situ iaitu anak dan menantunya, berjaya menyelamatkan diri dengan seorang daripada mereka melecur di kaki.

    “Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.23 pagi dan tiba ke lokasi lima minit kemudian. Sebaik tiba, didapati api sedang marak di rumah dua tingkat tersebut.

    “Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 10 minit kemudian dan mayat mangsa ditemukan dalam sebuah bilik sebelum diserahkan kepada pihak hospital,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Dalam kejadian itu anak Maryam, Shuid Awang, 63, dilaporkan selamat dan sekadar mengalami kecederaan ringan manakala isterinya, Zalina Mohamad, 55, melecur di kaki.

    Mohamadul Ehsan menambah, kebakaran itu turut mengakibatkan kemusnahan terhadap tiga motosikal milik keluarga tersebut.

    “Punca kejadian masih disiasat,” katanya.

  • HTAR nafi dakwaan pesakit duduk atas lantai beralas kadbod

    HTAR nafi dakwaan pesakit duduk atas lantai beralas kadbod

    SELEPAS timbul laporan mengatakan pesakit terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang hari ini tampil menafikan dakwaan demikian.

    Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, hasil semakan dan siasatan mendapati pihaknya mendapati tiada pesakit duduk di atas lantai atau kadbod di mana-mana kawasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

    “Untuk makluman, sekiranya tiada katil yang mencukupi untuk menampung jumlah mereka, pesakit akan diletakkan di kerusi atau kerusi roda buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook HTAR, hari ini.

    Beliau mengulas tangkap layar laporan sebuah portal berita dalam talian yang dikongsi seorang ahli politik tempatan di akaun Facebooknya yang mendakwa bekalan dan peralatan perubatan tidak mencukupi di HTAR.

    Dr Zulkarnain dalam pada itu menjelaskan, pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma ke wad sementara bertempat di Kompleks Rawatan Harian (ACC) pula berada dalam keadaan selesa kerana dilengkapi penyaman udara.

    Ujarnya, Jabatan berkenaan kini sedang menunggu pembukaan hospital lapangan di HTAR yang dijangka beroperasi dalam beberapa hari lagi bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang agak ramai.

    “Pihak hospital sentiasa mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada orang awam untuk penambahbaikan bagi memastikan akses kesihatan dan rawatan yang saksama kepada semua pesakit yang menerima rawatan di hospital ini,” katanya.

    Hujung bulan lalu, HTAR turut menafikan hospital berkenaan berhadapan dengan isu kekurangan tong oksigen dan katil untuk pesakit seperti yang tular dalam media sosial.

    Bekalan oksigen serta katil di HTAR bagi kegunaan merawat pesakit adalah mencukupi.

  • 9 lelaki bersenjata rampas MV Asphalt Princess, arah berlayar ke Iran

    9 lelaki bersenjata rampas MV Asphalt Princess, arah berlayar ke Iran

    MV Asphalt Princess dirampas di Teluk Oman, diarah berlayar ke Iran

    SEBUAH kapal yang berdaftar di Panama telah dirampas oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Teluk Oman, semalam dan diarahkan agar berlayar ke Iran, kata Lloyds List Maritime Intelligence.

    BBC melaporkan, kapal tangki bitumen MV Asphalt Princess itu sedang menghala ke laluan sesak di Selat Hormuz.

    Namun masih tidak jelas siapa yang merampas kapal itu tetapi penganalisis mendakwa ia didalangi tentera Iran.

    Pengawal Revolusi Iran pada masa sama menolak laporan tersebut sebagai dalih untuk “tindakan bermusuhan” terhadap Teheran.

    Kejadian itu berlaku kurang dari seminggu setelah sebuah kapal tangki minyak yang dikendalikan oleh sebuah syarikat milik Israel diserang sebuah dron di perairan Oman, membunuh dua pengawal keselamatan, seorang rakyat Britain dan seorang rakyat Romania.

    Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Israel menyalahkan Iran berhubung serangan itu, dakwaan yang dinafikan Teheran.

    Koresponden Keselamatan BBC, Frank Gardner berkata, MV Asphalt Princess dimiliki syarikat yang berpangkalan di Dubai yang mana satu kapalnya dirampas dua tahun lalu oleh pengawal revolusi Iran.

    Katanya, mengikut laporan, kira-kira sembilan lelaki bersenjata menaiki MV Asphalt Princess ketika ia menghampiri pintu masuk ke Selat Hormuz, yang merupakan satu daripada laluan maritim penting bekalan minyak dunia.

    Terdahulu, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) menasihatkan kapal dekat Fujairah di Teluk Oman untuk berhati-hati.

    Sementara itu, Jurucakap Pejabat Luar Negara UK berkata, pihaknya sedang menyiasat laporan kejadian membabitkan sebuah kapal di perairan UAE.

    White House selain itu menyifatkan laporan itu “sangat mengganggu”.

    UKMTO pada mulanya telah memberi amaran kepada kapal mengenai kejadian sebelum menyatakan “kemungkinan rampasan” beberapa jam kemudian.

    Terdahulu pada pagi semalam, empat kapal tangki minyak melaporkan bahawa mereka “tidak berada di bawah arahan”, yang bermaksud sebuah kapal telah kehilangan kuasa dan tidak dapat mengemudi. Salah satu kapal kemudian mula bergerak, lapor agensi berita AP.

    Sebuah pesawat peronda laut Tentera Udara Oman dilihat terbang di atas laut pada masa yang sama, menurut data dari FlightRadar24.com.

    Kementerian Luar Iran menyatakan laporan yang melibatkan beberapa kapal pada hari Selasa “mencurigakan” dan memberi amaran terhadap sebarang usaha untuk “mewujudkan suasana palsu” terhadap Teheran.

  • Vaksin Covid-19: Lebih 22 juta dos diberikan setakat semalam

    Vaksin Covid-19: Lebih 22 juta dos diberikan setakat semalam

    LEBIH 22 juta dos vaksin telah pun diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula penghujung Februari lalu.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, setakat semalam, sebanyak 22,152,367 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi program itu.

    Menerusi perkongsian infografik di Twitternya beliau memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 14,711,532 orang menerima suntikan dos pertama manakala 7,440,835 orang menerima dos kedua.

    “Dari segi peratusan, 45 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, manakala 22.8 peratus sudah melengkapkan vaksin Covid-19 mereka,” katanya hari ini.

    Adham dalam pada itu berkata, bagi dua dos vaksin, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 2.545 juta atau 30.2 peratus populasi.

    Ujar beliau, ia diikuti Sarawak (1.389 juta 49.4 peratus populasi); Perak (497,513 atau 19.8 peratus populasi); Johor (483,866 12.8 peratus populasi); dan Sabah (sebanyak 417,174 10.7 peratus populasi) di Sabah.

    Beliau menambah, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 6.028 juta.

    Sementara itu, vaksinasi harian pula mencatatkan sebanyak 483,368 dos diberikan semalam dengan 240,394 adalah pemberian dos pertama manakala 242,974 lagi adalah dos kedua.