Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ketua UMNO Alor Setar sokong Kerajaan PN tadbir negara sehingga PRU-15

    Ketua UMNO Alor Setar sokong Kerajaan PN tadbir negara sehingga PRU-15

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail hari ini menzahirkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus mentadbir negara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, keputusan itu dibuat tanpa sedikit pun berpaling daripada taat setia kepada perjuangan UMNO.

    Menurutnya, sokongan tersebut dibuat setelah mengambil kira beberapa perkara termasuk sesudah meneliti kenyataan dikeluarkan pemimpin UMNO dari seluruh tanah air.

    “Sekiranya kerajaan PN ini jatuh, maka negara akan sekali lagi terjerumus dalam krisis politik yang akan memberi kesan kepada usaha pemulihan akibat Covid-19.

    “Langkah ini juga sebagai sokongan kepada program vaksinasi yang berjalan kini, bagi mencapai imuniti kelompok supaya rakyat dapat kembali membina kehidupan yang amat terkesan buat masa sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini.

    Tambahnya, sokongan itu juga dibuat selepas mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan PN diteruskan hingga keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen, September depan.

    “Baginda juga pernah bertitah sebelum ini meminta semua pihak mengenepikan fahaman politik dan bersama dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

  • GPS terus sokong PM, PN gesa henti politiking sementara

    GPS terus sokong PM, PN gesa henti politiking sementara

    GABUNGAN  Parti Sarawak (GPS) yang menyatakan pendirian terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak menghentikan sementara politiking.

    Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, GPS menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat serta negara yang sedang berdepan ancaman pandemik covid-19, hanya akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

    ‘’Semua Ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing- masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan. Keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata dalam perjumpaan khas dengan Pengerus GPS, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, bersama Ahli-Ahli Parlimen GPS di Kuching, gabungan itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan .

    ‘’GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap beliau  pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani dan bijak, serta pendekatan terbaik berlandaskan Perlembagaan,’’ katanya.

  • RoS nafi pilih kasih, dakwa Pas tangguh pemilihan sebelum tempoh Mesyuarat Agung tamat

    RoS nafi pilih kasih, dakwa Pas tangguh pemilihan sebelum tempoh Mesyuarat Agung tamat

    JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pihaknya mengamalkan pilih kasih dalam menentukan penangguhan pemilihan parti antara UMNO dan Pas.

    Ketua Pengarahnya, Jasri Kassim berkata, tidak timbul RoS mengamalkan pilih kasih apabila tidak menghalang Pas dari menangguhkan pemilihan jawatan kepimpinan parti terbabit.

    “Pas memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti pada kita tempoh kepimpinannya belum tamat tempoh.

    “Pas kemukakan penangguhan sebelum tempoh Mesyuarat Agung tamat,” katanya sebagaimana lapor portal MalaysiaNow.

    Semalam, Najib mempersoalkan keputusan RoS yang mengatakan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan sebagai tidak sah.

    Hujah yang diberikan adalah tempoh pemegang jawatan parti itu bagi penggal 2018-2021 tamat pada 30 Jun 2021.

    Najib berkata langkah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti turut dilakukan Pas namun tidak mendapat apa-apa tindakan dari RoS.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 7 Mac lalu memaklumkan partinya menangguhkan pemiihan parti sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-15.

  • 10 laporan polis diterima berkaitan kenyataan Muhyiddin

    10 laporan polis diterima berkaitan kenyataan Muhyiddin

    Polis menerima sebanyak 10 laporan polis berkaitan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa pihak mencetus kemelut politik ketika ini, tidak senang dengan beliau kerana enggan mencampuri urusan mahkamah.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, sehubungan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat laporan tersebut.

    Beliau berkata, siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut.

    “Buat masa ini, kita belum memanggil dan merakam keterangan mana-mana individu lagi bagi membantu siasatan kes.

    “Kes disiasat mengikut seksyen apa akan dimaklumkan kemudian,” katanya hari ini.

    Rabu lalu, Perdana Menteri berkata, ada kumpulan tidak selesa dengan ketegasannya yang enggan melayan desakan mereka supaya membebaskan individu tertentu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

    Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, pihak terbabit cuba menangguk di air yang keruh dengan mencetuskan kemelut politik, walaupun negara sedang berdepan krisis pandemik yang kian memuncak.

    Ini mendorong beberapa bahagian Pemuda Umno seperti Pasir Puteh, Tambun, Kampar, Langkawi dan Alor Setar membuat laporan polis berhubung isu itu.

    Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, laporan itu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan wujud desakan kepada Perdana Menteri untuk campur tangan dalam kes mahkamah yang sedang berlangsung.

  • Kenyataan palsu: UMNO Johor nafi putus hubungan dengan Bersatu, Pas

    Kenyataan palsu: UMNO Johor nafi putus hubungan dengan Bersatu, Pas

    DAKWAAN UMNO Johor telah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Johor (Bersatu) dan Perdana Menteri serta akan bentuk kerajaan negeri baharu seperti yang tular dalam media sosial ketika ini adalah tidak benar.

    UMNO Johor menerusi laman Facebook rasmi mereka menegaskan, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad tidak pernah langsung mengeluarkan kenyataan sedemikian.

    “UMNO Johor menafikan sekeras-kerasnya dan kenyataan yang tersebar dalam media sosial itu adalah palsu,” kata kenyataan itu malam tadi.

    Kenyataan dengan kepala surat UMNO Johor itu tersebar sejak semalam dengan menyatakan pihaknya memutuskan untuk setia dan menghormati keputusan Presiden UMNO yang memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

    Kenyataan itu berkata, UMNO Johor mengisytiharkan tiada hubungan dengan Bersatu dan Pas.

    Katanya lagi, bagi memastikan UMNO Johor terus menjadi kerajaan diketuai parti berkenaan, UMNO Johor kini sedang berunding dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    Selain itu, Exco kerajaan negeri, ahli majlis dan sesiapa yang memegang jawatan daripada Bersatu dan Pas wajib meletak jawatan segera susulan keputusan tersebut.

  • Tapir jantan jatuh lubang diselamatkan

    Tapir jantan jatuh lubang diselamatkan

    SEEKOR tapir jantan yang terperangkap dalam sebuah lubang di Kesedar Baru Chenulang dekat Kuala Krai berjaya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, semalam.

    Haiwan dengan berat kira-kira 200 kilogram (kg) itu ditemukan terperangkap dalam lubang di sebuah kebun getah.

    Menurut Ketua Perhilitan Daerah Kuala Krai Azhan Ab Razak, sebanyak 13 kakitangan Perhilitan Kelantan termasuk Pengarah Perhilitan Kelantan Ady Armanty Haniff Mohamed Hanif terlibat dalam operasi menyelamatkan tapir itu.

    Katanya, hasil pemantauan mendapati tapir jantan itu tidak cedera dan dalam keadaan baik serta diberi makan dan minum sebelum operasi mengeluarkannya dari lubang berkenaan.

    “Operasi menyelamat tapir itu selesai pada pukul 8.30 malam dan haiwan berkenaan dibawa ke Taman Negara Pahang (Sungai Relau) untuk dilepaskan ke habitatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azhan dalam pada itu berkata, orang ramai dinasihatkan agar menghubungi PERHILITAN negeri atau daerah yang terdekat sekiranya terdapat hidupan liar yang perlu diselamatkan.

    Beliau menambah, sebarang aduan boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline, 1-800-88-5151, 019-3885046 (Pengurusan Konflik Hidupan Liar Negeri Kelantan), e-aduan di laman web, www.wildlife.gov.my atau [email protected].

  • Amang seksual: Ustaz Budak direman enam hari

    Amang seksual: Ustaz Budak direman enam hari

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG Mudir pondok dikenali juga sebagai ‘Ustaz Budak’ ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan berhubung kes amang seksual terhadap seorang remaja lelaki, Selasa lalu.

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faezah Abdullah.

    Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lelaki berkenaan ditahan pada pukul 1 pagi tadi di sebuah rumah di Machang.

    Menurut beliau, penahanan itu dilakukan susulan laporan yang dibuat oleh mangsa iaitu remaja lelaki berusia 13 tahun yang mendakwa suspek melakukan amang seksual terhadapnya di sebuah rumah di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, 8 pagi, Selasa lalu.

    “Mangsa diminta mengurut badan lelaki itu di ruang tamu sebelum mengajak mangsa masuk ke dalam bilik kerana takut dilihat orang.

    “Ketika di dalam bilik, suspek dipercayai melakukan amang seksual terhadap mangsa sebelum remaja itu minta diri untuk ke bilik air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, lapor Harian Metro

    Beliau berkata, susulan kejadian itu mangsa membuat laporan polis pada pukul 10.44 malam semalam sebelum suspek ditahan.

  • Pasukan Khas teliti pengebumian jenazah pesakit Covid-19 ditubuh

    Pasukan Khas teliti pengebumian jenazah pesakit Covid-19 ditubuh

    KERAJAAN menubuhkan Pasukan khas bagi meneliti serta menangani urusan berkaitan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 khususnya di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia adalah sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ekoran berlaku peningkatan kes kematian akibat virus tersebut.

    Selain itu katanya, kerajaan juga merangka beberapa mengatur beberapa perkara bagi mengatasi masalah tersebut termasuk mempercepatkan pengurusan jenazah.

    Menurut beliau, kalau boleh pihaknya mahukan urusan pengenumian diselesaikan kurang daripada 24 jam, tetapi apa yang berlaku di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini, pengurusan jenazah mengambi masa antara lima atau enam jam.

    “Jadi, saya mohon kalau boleh tempoh pengurusan jenazah diselesaikan antara tiga hingga empat jam kecuali apabila terdapat waris tidak mahu kebumi di sesuatu lokasi dan seumpamanya.

    “Kita juga bersiap sedia dengan beberapa tanah perkuburan sebagai alternatif antaranya di Bukit Jalil dan beberapa lokasi lain,” katanya selepas menyampaikan sumbangan di Maahad Darul Quran Rusila, Marang, semalam.

    Sebelum ini,Zulkifli berkata, keperluan untuk membuka tanah perkuburan Islam yang dikhususkan bagi pengebumian jenazah pesakit Covid-19 akan diteliti.

    Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan serta saranan mengenai keperluan tersebut.

  • PM pengerusikan mesyuarat kedua MPN

    PM pengerusikan mesyuarat kedua MPN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang membincang dan mempertimbangkan pelbagai aspek di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Perdana Menteri melalui Facebook beliau berkata, mesyuarat MPN membincangkan secara terperinci dan mengambil kira pelbagai data dan pandangan pakar-pakar kesihatan dan ekonomi berhubung kadar vaksinasi; status vaksinasi individu; kapasiti ICU dan keperluan untuk sektor perniagaan, terutamanya PKS, dibuka semula dengan SOP yang ketat.

    ‘’Diharapkan agar apa yang dibincang dan disyorkan dalam MPN akan dapat membantu kerajaan dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan r,’’ katanya

    Mesyuarat kedua MPN turut dihadiri oleh ahli ahli MPN yang terdiri daripada pakar pakar sektor kesihatan, ekonomi dan sosial iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop;  Profesor Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman; Tan Sri Azman Mokhtar; Datuk Michael Kang; Datuk Dr Habibah Abdul Rahim;  Datuk Seri Wong Chun Wai;  Tan Sri Anthony Francis Fernandes;  Dato’ Dr. Hartini Zainudin; dan Prof. Madya Dr. T. Sivakumar Thurairajasingam

  • Agong tertakluk nasihat Kabinet, kata Mahkamah Persekutuan tolak saman Anwar

    Agong tertakluk nasihat Kabinet, kata Mahkamah Persekutuan tolak saman Anwar

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada nasihat Kabinet ketika mengumumkan penghakiman sekali gus menolak saman yang dikemukakan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menuntut pengisytiharan Akta Majlis Keselamatan Negara sebagai tidak mengikut Perlembagaan.

    Anwar menuntut pengisytiharan tersebut dengan alasan Akta MKN menjadi undang-undang berdasarkan “pindaan tidak berperlembagaan”, dan berikutan itu enakmen-enakmen di bawahnya melanggar Artikel 149 Perlembagaan serta Artikel 9 (2) mengenai kebebasan untuk bergerak.

    Anwar merujuk pindaan Artikel 66 pada tahun 1994 ketika negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) di mana beliau menjadi timbalan perdana menteri ketika itu.

    Pindaan tersebut menyatakan rang undang-undang yang diluluskan di Parlimen akan secara serta-merta menjadi undang-undang dalam masa 30 hari setelah ia dikemukakan kepada Agong, walaupun ketika ia tidak mendapat persetujuan raja.

    Portal Malaysia Now melaporkan, dalam penghakiman tersebut, lima hakim berkata Agong masih tertakluk kepada had-had Perlembagaan.

    “Yang di-Pertuan Agong tidak diragukan merupakan Ketua Tertinggi Persekutuan berdasarkan Artikel 32 Perlembagaan Persekutuan .

    “Namun, Artikel 39 dan 40 Perlembagaan menetapkan bahawa Agong akan bertindak sesuai dengan nasihat Kabinet atau menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet melainkan dalam hal-hal di bawah budi bicara Agong sebagaimana yang termaktub dalam Klausa (2) Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan,” kata penghakiman yang ditulis oleh Zaleha Yusof, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang.

    Mahkamah selanjutnya berkata persetujuan raja tidak pernah menjadi sebahagian daripada tindakan eksekutif Agong.

    “Ini adalah langkah terakhir proses perundangan sebelum rang undang-undang menjadi undang-undang,” tambahnya.

    Keputusan hari ini tampil selepas perbahasan hangat mengenai kuasa Agong selepas gesaan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Jun supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, selain beberapa tindakan kerajaan baru-baru ini dalam usaha membatalkan ordinan-ordinan darurat.

    Ini kemudian disusuli tuduhan “derhaka” terhadap Agong oleh ahli parlimen pembangkang terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

    Akta MKN dibentangkan semasa pentadbiran Najib Razak pada tahun 2015, yang antara lain memperuntukkan penubuhan sebuah Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

    RUU tersebut tidak mendapat persetujuan segera pihak istana, namun ia kemudian menjadi undang-undang selari dengan tempoh waktu 30 hari selepas ia diserahkan kepada Agong.