Author: Wartawan WartaRakyat

  • Facebook padam ratusan akaun kempen antivaksin Covid-19

    Facebook padam ratusan akaun kempen antivaksin Covid-19

    FACEBOOK memadam ratusan akaun yang didakwa terlibat dalam kempen antivaksin yang dikendalikan oleh Rusia.

    BBC melaporkan, syarikat itu berkata, rangkaian akaun itu menyasarkan India, Amerika Latin serta Amerika Syarikat (AS).

    Katanya, penggerak kempen itu berusaha untuk merekrut individu berpengaruh atau ‘influencer’ bagi menyebarkan berita palsu dalam usaha menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap vaksin Covid-19.

    Dalam laporan terbaharunya, Facebook mendapati terdapat hubungan antara rangkaian dan kempen itu dengan agensi pemasaran influencer, Fazze.

    Agensi itu dilaporkan sebahagian daripada syarikat yang berpangkalan di Rusia bernama Adnow.

    Bulan lalu, siasatan BBC pada Mei tahun ini melaporkan, influencer ditawarkan sejumlah wang oleh Fazze untuk menyebarkan dakwaan palsu mengenai risiko yang berkaitan dengan vaksin Pfizer.

    Menurut Facebook, ia adalah gelombang kedua percubaan untuk memburukkan vaksin dari Barat.

    Siasatan BBC pada November 2020, rangkaian yang sama berusaha untuk memburukkan vaksin AstraZeneca dengan mendakwa ia berbahaya kerana menggunakan adenovirus daripada sampel chimpanzee.

  • Vaksinasi Covid-19:Hampir 50 peratus populasi negara terima dos pertama vaksin

    Vaksinasi Covid-19:Hampir 50 peratus populasi negara terima dos pertama vaksin

    SEBANYAK 25,366,211 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 16,119,916 orang merupakan penerima suntikan vaksin dos pertama manakala 6,514,070 lagi adalah penerima dos kedua.

    Infografik vaksinasi di seluruh negara setakat semalam.

    “Sebanyak 49.4 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama ketika 28.3 peratus lagi telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 mereka.

    “Selain itu, sebanyak 68.9 peratus populasi dewasa telah mendapat dos pertama vaksin manakala 39.5 peratus populasi dewasa lengkap divaksin,” katanya menerusi perkongsian infografik di Twitternya, hari ini.

    Dalam pada itu, Dr Adham berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 357,981 dos diberikan semalam.

    Tambahnya, sebanyak 160,320 dos pertama diberikan manakala 197,661 lagi melibatkan dos kedua.

  • Varian Delta ‘mengganas’ di China, kes jangkitan harian tertinggi sejak Januari

    Varian Delta ‘mengganas’ di China, kes jangkitan harian tertinggi sejak Januari

    JUMLAH kes baharu Covid-19 di China melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan hari ini, setelah satu kluster di sebuah tapak ujian mengakibatkan jangkitan baharu melonjak akibat varian Delta.

    Media rasmi China menyifatkan penularan terbaharu itu yang mengakibatkan perintah berkurung tempatan serta ujian beramai-ramai dan sekatan perjalanan dilaksanakan, yang paling teruk sejak Covid-19 mula dikesan di tengah bandar Wuhan.

    Pihak berkuasa telah berjaya mengawal jangkitan tempatan kepada hampir sifar sebelum ini membolehkan pemulihan kegiatan ekonomi walaupun di bawah sekatan sempadan diperketat.

    Namun kini lapor agensi berita AFP, jumlah kes sedang meningkat.

    Hari ini, pihak berkuasa kesihatan China melaporkan 143 jangkitan baru koronavirus, 108 daripadanya adalah jangkitan tempatan.

    Puluhan kes dikesan di sebuah tapak ujian Covid-19 di timur bandar Yangzhou.

    Meskipun penularan yang agak kecil, beberapa pegawai telah diberikan amaran kerana tidak mengendalikan dengan betul ujian beramai-ramai, yang menurut pihak berkuasa bandar adalah penyebab virus tersebut boleh menular.

    Pihak berkuasa bandar Yanzhou berkata, sejumlah kecil anggota masih tidak melaksanakan tugas mereka dengan baik.

    Lonjakan kes terbaharu itu bermula selepas jangkitan dalam kalangan pekerja pembersihan lapangan terbang di bandar berhampiran Nanjing menyebabkan banyak kes di seluruh negara.

    Jumlah kes hari ini adalah yang tertinggi sejak Januari, apabila China mencatat 144 kes baharu dan 126 jangkitan tempatan, kebanyakannya di wilayah utara.

    Pihak berkuasa kini sedang berusaha untuk meningkatkan keyakinan bahawa penularan terbaharu itu dapat dikawal.

    “Kami berjaya mengekang epidemik di Guangzhou, dan epidemik di Nanjing kini sedang dikendalikan secara beransur-ansur,” kata pakar penyakit berjangkit Zhang Wenhong seperti dilaporkan agensi berita rasmi Xinhua.

  • Imigresen Pahang tahan ‘bapa ayam’ lindungi 11 wanita Thailand

    Imigresen Pahang tahan ‘bapa ayam’ lindungi 11 wanita Thailand

    KEGIATAN seorang penjawat awam yang bertindak melindungo 11 wanita warga asing terbongkar apabila dia ditahan Jabatan Imigresen Pahang, semalam.

    Lelaki yang disyaki sebagai bapa ayam kepada wanita warga Thailand itu ditahan dalam Ops Patuh yang dilakukan di Lorong Galing, Taman Imbi , Kuantan.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Imiggresen Pahang,hasil pemeriksaan dilakukan di dua rumah sewa di taman perumahan tersebut mendapati seorang lelaki berusia 40-an tinggal bersama dan disyaki bertindak melindungi wanita warga Thailand tersebut.

    Menurut kenyataan itu, wanita warga asing terbabit didapati melakukan beberapa kesalahan termasuk datang ke negara ini tanpa pas perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa.

    Berdasarkan siasatan mendapati dua rumah sewa berkenaan dijadikan tempat tinggal wanita terbabit yang dipercayai turut menjalankan aktiviti tidak bermoral.

    “Ops Patuh ini disertai 21 pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Pahang diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Jeffri Nasir.

    Tambah kenyataan itu, dalam pemeriksaan bermula pukul 5 petang hingga 7.30 malam itu turut menemui minuman keras di ruang tamu rumah berkenaan.

    Semua wanita warga Thailand yang ditahan itu dibawa ke Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155)dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

    Manakala penjawat awam yang ditahan itu pula disiasat di bawah Seksyen 56(1) (d) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) kerana sengaja memberi perlindungan kepada orang yang diketahui melanggar peruntukan Akta Imigresen.

    Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Pahang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) seterusnya diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihaknya jika terdapat aktiviti menyalahi undang-undang khususnya membabitkan kesalahan di bawah akta Imigresen.

  • Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah

    Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kecewa baginda apabila berlaku perebutan kuasa tatkala rakyat negara ini dalam keadaan susah dan gelisah akibat penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    Baginda bertitah, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah.

    Titah baginda, bukannya kepentingan diri sendiri perlu diutamakan sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanahair.

    “Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang menggangu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    “Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin Bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT dan Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” titah Sultan Ibrahim.

    Sultan Ibrahim bertitah, sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat yang susah dan gelisah akibat pandemik Covid-19.

    Titah baginda, ini bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan.

    “Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah Sultan Ibrahim lagi.

  • Ahmad Zahid tawar diri jadi PM?

    Ahmad Zahid tawar diri jadi PM?

    PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disebut-sebut akan menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal memperoleh sokongan majoriti di Parlimen atau membuat keputusan meletak jawatan.

    Walaupun UMNO tidak akan memiliki jumlah sokongan yang mencukupi, Ahmad Zahid dijangka memujuk ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pas dan Bersatu untuk menyokong beliau.

    Sumber dalaman UMNO mendakwa, Ahmad Zahid perlu mendapatkan sokongan dengan cara mana sekali pun bagi memastikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

    ”Ahmad Zahid tidak akan menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kerana bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 ‘No Anwar No DAP.’,’ kata sumber berkenaan kepada UtusanTV.

    Semalam dalam satu wawancara, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau menjadi saksi bahawa Ahmad Zahid melafazkan sumpah di hadapan beberapa ahli Parlimen bahawa tidak akan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

    ”Presiden UMNO telah bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa beliau tidak akan menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dan tidak akan bersama dengan PH dan DAP di hadapan beberapa ahli Parlimen,” kata Ahmad Maslan kepada NRCChannel TV.

    Sumber itu seterusnya mendakwa, Ahmad Zahid juga dilihat sukar untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP kerana tindakan itu akan menyebabkan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu marah.

    ”Beliau sebaliknya akan menggunakan naratif kerajaan baharu ini perlu diterajui oleh UMNO selaku parti Melayu dan Islam terbesar di negara ini.

    ”Sebaliknya Zahid tahu, hanya dengan dilantik menjadi Perdana Menteri beliau berkuasa ‘melakukan sesuatu’ bagi kesnya,” dakwa sumber itu lagi.

    Menurut sumber itu lagi, kumpulan Zahid sedang giat memujuk ahli-ahli Parlimen PN untuk menyokong beliau sebagai PM menjelang Parlimen dibuka pada September ini.

    Sebelum ini pemimpin-pemimpin UMNO memainkan retorik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal dan menderhaka kepada raja sebagai senjata untuk mendesak Muhyiddin meletak jawatan bagi membuka ruang kepada Ahmad Zahid menawarkan diri menjadi Perdana Menteri.

    Banyak pihak mengaitkan gerakan menjatuhkan Kerajaan PN dengan perbicaraan Ahmad Zahid pada 24 Ogos nanti.

    Pada masa ini UMNO hanya mempunyai 38 kerusi Parlimen dan memerlukan sokongan daripada parti-parti lain dalam PN untuk mendapat majoriti 111 kerusi bagi menubuhkan kerajaan.

    Warta Rakyat telah menghubungi Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan bagi mendapatkan reaksi beliau berhubung laporan ini.

  • Lagi 12 lokaliti di Sabah, Pahang dikenakan PKPD

    Lagi 12 lokaliti di Sabah, Pahang dikenakan PKPD

    SEBANYAK 12 lokaliti di Sabah dan Pahang akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini hingga 25 Ogos ini.

    PKPD itu membabitkan 11 lokaliti di Sabah manakala satu lagi di Pahang.

    Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan hari ini berkata, PKPD dilaksanakan berikutan peningkatan kes jangkitan di kawasan terlibat.

    Beliau berkata, di Sabah, PKPD dilaksanakan di daerah Kota Kinabalu membabitkan Kuarters Kilang J&L, Jalan Kokol; Kampung Gudon, Manggatal dan Kampung Lobou.

    Ia turut dilaksanakan di Kota Belud (Kampung Menunggui); Papar (Kampung Tengah, Kinarut); Putatan (Kampung Petagas); Penampang (Kampung Pogunon); Ranau (Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru); Sipitang (Kampung Batu 1); Tawau (Kampung Bukit Kukusan) dan Tenom di Kampung Batu-Batu.

    Kata beliau, pelaksanaan PKPD di Pahang melibatkan kawasan FELDA Jengka 25, Temerloh, Pahang.

    “Pelaksanaan PKPD di kesemua 12 lokaliti itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu dari 12 Ogos sehingga 25 Ogos depan,” katanya.

  • Solat jenazah ghaib untuk Siti Sarah di Masjidilharam

    Solat jenazah ghaib untuk Siti Sarah di Masjidilharam

    SIAPA sangka berita sedih pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin semalam, telah tersebar hingga ke tanah suci Mekah.

    Perkara itu didedahkan suaminya yang juga pelawak, Shuib Sepahtu menerusi perkongsian video berdurasi satu minit dan 20 saat yang dimuat naik di Instagram miliknya.

    Klip itu menunjukkan seorang imam sedang melakukan solat jenazah ghaib secara berjemaah di Masjidilharam, Mekah.

    Adalah difahamkan solat jenazah ghaib yang diadakan dalam waktu Zohor itu adalah untuk Allahyarham Siti Sarah.

    “Allahuakbar, Allah Maha Besar dapat kiriman video solat jenazah ghaib dalam Masjidil Haram. Allah terlalu sayang awak ibu… Bergembiralah disyurga bidadariku Siti Sarah,” tulisnya ringkas.

    Lepas tujuh jam video itu dikongsikan, ia telah mendapat hampir 2 juta tontonan dan hampir 17,000 komen netizen,

    Kebanyakan komen ditulis warganet pula menunjukkan rasa kagum mereka terhadap amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukan Allahyarham Siti Sarah ketika hayatnya.

    Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew turut meninggalkan komen beliau:”Allah sayang @shuibsepahtu dan @sitisarahraissuddin, janji Allah itu benar buat orang yang baik dermawan dan taat pada suami dan fikir umat yang ada padanya”.

    Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM pukul 5.13 pagi dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

    Allahyarham bersama Shuib dan tiga anak mereka termasuk pembantu rumah sebelum ini disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu dan menjalani kuarantin diri di rumah.

    Namun, Siti Sarah yang sarat hamil tujuh bulan mengalami masalah pernafasan dan dikejarkan ke HCTM pada 4 Ogos lalu sebelum menjalani pembedahan mengeluarkan bayi pada 6 Ogos.

    Allahyarhamh selamat melahirkan anak lelaki diberi nama Ayyash Affan.

  • Kes baharu 19,991 kes, Selangor 7,338

    Kes baharu 19,991 kes, Selangor 7,338

    KES baharu positif Covid-19 negara meningkat semula hari ini apabila mencatat 19,991 kes, setelah tiga hari berturut-turut mencatatkan penurunan.

    Semalam Malaysia merekodkan 17,236 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitter memaklumkan, bilangan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara kini 1,299,767.

    Selangor kekal penyumbang tertinggi dengan 7,338 kes dilaporkan, diikuti Kuala Lumpur (2,374); Kedah (1,830); Sabah (1,383); Johor (1,344); dan Kelantan (1,030).

    Perak pula merekodkan 953 kes; Sarawak (836); Pulau Pinang (743); Melaka (578); Negeri Sembilan (564); Pahang (539); Terengganu (378); Putrajaya (76); Perlis (24); dan Labuan (satu).

  • Pegawai kanan majlis perbandaran, kontraktor direman kes rasuah RM200,000

    Pegawai kanan majlis perbandaran, kontraktor direman kes rasuah RM200,000

    SEORANG pegawai kanan Jabatan Kejuruteraan di sebuah majlis perbandaran di Kedah dan seorang kontraktor direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan jumlah RM200,000 dua tahun lalu. 

    Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fardrina Zulkhairi membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bermula hari ini sehingga 14 Ogos ini. 

    Kedua-dua suspek, lelaki masing-masing berusia 41 dan 48 itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam. 

    Menurut sumber SPRM, pegawai kanan berusia 41 tahun itu dipercayai menyalahgunakan kuasanya bagi mencadangkan syarikat milik bapanya memperoleh projek yang dikeluarkan kerajaan pada 2019. 

    Katanya, suspek dikatakan membuat cadangan itu kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah membabitkan projek kerja menurap dan menyelenggara jalan di sebuah daerah di negeri ini. 

    Jelasnya, kontraktor lelaki berusia 48 tahun itu pula dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes tersebut. 

    Kedua-dua tertuduh yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi ini dengan memakai baju SPRM diwakili peguam Parmjit Singh. 

    Difahamkan SPRM akan memanggil beberapa orang saksi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.