SIAPA sangka berita sedih pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin semalam, telah tersebar hingga ke tanah suci Mekah.

Perkara itu didedahkan suaminya yang juga pelawak, Shuib Sepahtu menerusi perkongsian video berdurasi satu minit dan 20 saat yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Klip itu menunjukkan seorang imam sedang melakukan solat jenazah ghaib secara berjemaah di Masjidilharam, Mekah.

Adalah difahamkan solat jenazah ghaib yang diadakan dalam waktu Zohor itu adalah untuk Allahyarham Siti Sarah.

“Allahuakbar, Allah Maha Besar dapat kiriman video solat jenazah ghaib dalam Masjidil Haram. Allah terlalu sayang awak ibu… Bergembiralah disyurga bidadariku Siti Sarah,” tulisnya ringkas.

Lepas tujuh jam video itu dikongsikan, ia telah mendapat hampir 2 juta tontonan dan hampir 17,000 komen netizen,

Kebanyakan komen ditulis warganet pula menunjukkan rasa kagum mereka terhadap amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukan Allahyarham Siti Sarah ketika hayatnya.

Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew turut meninggalkan komen beliau:”Allah sayang @shuibsepahtu dan @sitisarahraissuddin, janji Allah itu benar buat orang yang baik dermawan dan taat pada suami dan fikir umat yang ada padanya”.

Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM pukul 5.13 pagi dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Allahyarham bersama Shuib dan tiga anak mereka termasuk pembantu rumah sebelum ini disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu dan menjalani kuarantin diri di rumah.

Namun, Siti Sarah yang sarat hamil tujuh bulan mengalami masalah pernafasan dan dikejarkan ke HCTM pada 4 Ogos lalu sebelum menjalani pembedahan mengeluarkan bayi pada 6 Ogos.

Allahyarhamh selamat melahirkan anak lelaki diberi nama Ayyash Affan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here