JUMLAH kes baharu Covid-19 di China melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan hari ini, setelah satu kluster di sebuah tapak ujian mengakibatkan jangkitan baharu melonjak akibat varian Delta.

Media rasmi China menyifatkan penularan terbaharu itu yang mengakibatkan perintah berkurung tempatan serta ujian beramai-ramai dan sekatan perjalanan dilaksanakan, yang paling teruk sejak Covid-19 mula dikesan di tengah bandar Wuhan.

Pihak berkuasa telah berjaya mengawal jangkitan tempatan kepada hampir sifar sebelum ini membolehkan pemulihan kegiatan ekonomi walaupun di bawah sekatan sempadan diperketat.

Namun kini lapor agensi berita AFP, jumlah kes sedang meningkat.

Hari ini, pihak berkuasa kesihatan China melaporkan 143 jangkitan baru koronavirus, 108 daripadanya adalah jangkitan tempatan.

Puluhan kes dikesan di sebuah tapak ujian Covid-19 di timur bandar Yangzhou.

Meskipun penularan yang agak kecil, beberapa pegawai telah diberikan amaran kerana tidak mengendalikan dengan betul ujian beramai-ramai, yang menurut pihak berkuasa bandar adalah penyebab virus tersebut boleh menular.

Pihak berkuasa bandar Yanzhou berkata, sejumlah kecil anggota masih tidak melaksanakan tugas mereka dengan baik.

Lonjakan kes terbaharu itu bermula selepas jangkitan dalam kalangan pekerja pembersihan lapangan terbang di bandar berhampiran Nanjing menyebabkan banyak kes di seluruh negara.

Jumlah kes hari ini adalah yang tertinggi sejak Januari, apabila China mencatat 144 kes baharu dan 126 jangkitan tempatan, kebanyakannya di wilayah utara.

Pihak berkuasa kini sedang berusaha untuk meningkatkan keyakinan bahawa penularan terbaharu itu dapat dikawal.

“Kami berjaya mengekang epidemik di Guangzhou, dan epidemik di Nanjing kini sedang dikendalikan secara beransur-ansur,” kata pakar penyakit berjangkit Zhang Wenhong seperti dilaporkan agensi berita rasmi Xinhua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here