Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sultan Johor terima menghadap Perdana Menteri

    Sultan Johor terima menghadap Perdana Menteri

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

    Titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office, baginda menjemput Perdana Menteri untuk santapan tengah hari.

    ‘’Beliau turut mempersembahkan kepada saya mengenai perkembangan negara pada masa sekarang,” titah baginda.

    Terdahulu, pada sebelah pagi Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir menghadiri persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

    Pembukaan Penggal Persidangan Ke 4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 pada hari ini dirasmikan oleh baginda.

  • Apa matlamat akhir UMNO selepas tolak Muhyiddin?

    Apa matlamat akhir UMNO selepas tolak Muhyiddin?

    APA sebenarnya matlamat akhir atau ‘endgame’ yang cuba diperoleh UMNO dengan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada waktu krisis pandemik sedang memuncak ini?

    Itu yang dipersoalkan Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid, yang melihat berdasarkan kajian bahawa ketika ini tiada parti yang boleh mendapat majoriti dominan untuk membentuk kerajaan yang dikatakan stabil.

    “Kenapa tidak boleh tunggu sehingga September nanti (apabila sidang Dewan Rakyat disambung semula)? Kenapa tekanan harus diberikan (kepada kerajaan)?

    “Apakah yang ingin dicapai? Kerana, jelas bahawa UMNO tidak boleh berdiri dengan sendiri, UMNO hanya boleh berdiri dengan melakukan kerjasama dengan yang lain,” soal beliau dalam program bual bicara Agenda AWANI malam tadi.

    Pada 9 Ogos lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengandungi 14 nama Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

    Kata Hamidin, angka itu agak besar dan berupaya menyebabkan kerajaan hari ini menjadi rapuh dan runtuh.

    Namun, tegas beliau, ini sepatutnya waktu untuk semua pihak menjalin kerjasama erat antara satu sama lain dan mendahulukan kemaslahatan rakyat yang sedang menderita dibadai Covid-19.

    Dalam konteks ini, katanya, kematangan politik itu harus dibina dengan lebih kuat untuk membentuk satu gabungan yang lebih jelas bagi memastikan kerajaan ketika ini sekurang-kurangnya stabil untuk dua, tiga tahun, selagi peperangan dengan Covid-19 ini belum berakhir.

    Dari sisi lain, beliau melihat kerajaan Perikatan Nasional ketika ini berdepan dengan cabaran dan tekanan yang besar disebabkan legitimasi mereka yang dipersoalkan.

    “Apabila legitimasi mereka sentiasa dipersoalkan, maka inilah yang membawa kepada persoalan tentang keabsahan mereka, dan dasar-dasar mereka tidak menjadi sesuatu yang inklusif sifatnya.

    “Jadi, ini yang saya kira, sedikit sebanyak mengganggu-gugat tindak balas kita terhadap COVID-19,” ujarnya.

  • Masjid Kampung Semop di Sarawak musnah dalam kebakaran

    Masjid Kampung Semop di Sarawak musnah dalam kebakaran

    MASJID Al-Amin di Kampung Semop, di Pulau Bruit, Daro dekat Sarawak musnah dalam satu kebakaran, petang ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 petang.

    Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.

    Namun katanya, pihaknya terpaksa menempuh perjalanan jauh termasuk menaiki feri kerana lokasi kejadian itu terletak di Pulau Bruit.

    “Sejurus sampai di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran telah memusnahkan keseluruhan masjid berstruktur separuh kekal itu,” katanya, hari ini.

    Kata jurucakap itu lagi, kebakaran terbabit dipadam oleh penduduk kampung dengan bantuan lori tangki air dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daro.

    Tambahnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat kejadian bagi mengenalpasti punca kejadian.

  • PM ada pertemuan dua jam dengan pemimpin PN

    PM ada pertemuan dua jam dengan pemimpin PN

    PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Perdana Putra di sini.

    Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Berdasarkan mesej yang tular, satu perjumpaan khas ketua-ketua parti dalam PN bersama Muhyiddin dijadualkan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada jam 5 petang ini.

    Kenderaan yang membawa Abang Johari memasuki Perdana Putra pada jam 4.36 petang, manakala Wee pada jam 4.53 petang.

    Kenderaan yang membawa Muhyiddin yang juga Pengerusi PN meninggalkan Perdana Putra pada jam 7.22 malam, disusuli Abang Johari.

    Kenderaan yang membawa Wee pula dilihat keluar pada jam 7.05 malam dan diikuti kenderaan yang membawa Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Usaha pihak media yang menanti untuk mendapatkan ulasan berhubung pertemuan tersebut tidak berhasil.

    Walaupun tiada butiran agenda mengenai pertemuan tersebut, namun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan situasi politik semasa negara. 

  • Biar rakyat tentukan siapa kerajaan selepas krisis selesai

    Biar rakyat tentukan siapa kerajaan selepas krisis selesai

    Oleh CHANDRA MUZAFFAR

    Malaysia sedang bergelut dalam satu krisis politik yang tidak perlu. Ia adalah krisis yang dapat diselesaikan dengan segera jika semua ahli politik di dalam dan di luar Parlimen mematuhi moratorium perebutan dan menjatuhkan untuk mendapatkan kuasa politik.

    Sebaliknya, mereka semua harus menumpukan perhatian terhadap krisis utama negara iaitu kesihatan dan ekonomi.

    Politik yang bertujuan untuk menjatuhkan sebuah parti atau seorang pemimpin atau untuk menggantikan kerajaan hari ini melalui manipulasi dan gerakan tertentu harus dihentikan segera.

    Memandangkan keadaan buruk yang sedang kita hadapi, kita harus membiarkan rakyat dan hanya rakyat menukar kerajaan. Lagipun itulah yang berlaku dalam demokrasi yang sebenar.

    Biarkan rakyat memutuskan siapa yang harus membentuk kerajaan setelah kita dapat mengawal krisis utama kita. Apabila krisis tidak lagi mengancam kesejahteraan kita sebagai sebuah negara, marilah kita mulai mempersiapkan diri untuk Pilihan Raya Umum.

    Terdapat sebab-sebab kuat mengapa rakyat secara keseluruhan harus memutuskan persoalan penting ini mengenai siapa yang harus membentuk kerajaan berikutnya.

    Pertama, yang menjadi punca krisis politik yang berlaku adalah kesan rasuah terhadap UMNO dan masyarakat. Sejumlah pemimpin UMNO berdepan pendakwaan, bimbang mereka akan disabitkan dengan kesalahan rasuah dan perlu menjalani hukuman penjara dalam tempoh yang lama.

    Oleh itu, mereka berharap bahawa golongan elit yang berkuasa dapat membuka jalan untuk pembebasan mereka, sebab itulah mereka sangat berminat dengan perubahan rejim (kerajaan). Mereka lupa bahawa mengganggu proses kehakiman akan merosakkan moral masyarakat kita.

    Dua, yang berkaitan dengan rasuah elit tentu saja skandal 1MDB yang tidak hanya melibatkan golongan elit UMNO tetapi juga elit nasional lain dan rakan-rakan asing mereka yang kepentingan peribadi mereka, mungkin bertekad untuk melindunginya. Sekali lagi, ini mungkin memerlukan perubahan dalam kepemimpinan politik yang dapat dicapai oleh permainan kerusi di Parlimen.

    Ketiga, ada kemungkinan tangan asing yang terlibat dalam permainan ini boleh jadi sebahagian daripada plot geopolitik yang jauh lebih besar dan lebih kompleks yang dikaitkan dengan pelakon global yang kuat yang cenderung untuk mengekalkan dominasi global mereka.

    Sekiranya para pelakon ini telah lama berkecimpung dalam politik kita melalui proksi mereka seperti yang mereka akui secara terbuka selepas Pilihan Raya Umum 2018, adakah kita akan terkejut jika mereka secara aktif meneruskan agenda mereka melalui cara mencipta kemelut politik buatan yang sedang kita saksikan hari ini?

    Oleh kerana taruhannya sangat tinggi, rakyat Malaysia tidak boleh membiarkan sebuah kumpulan kecil yang mempunyai kepentingan tersendiri untuk membentuk masa depan kita. Inilah sebabnya mengapa dalam krisis politik yang berlaku, bukan hanya nasib seorang individu yang menjadi isu. Inilah nasib seluruh bangsa yang kita hadapi.

    *Dr Chandra Muzaffar adalah aktivis sosial dan bekas ahli akademik.Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Warta Rakyat.

  • Lapan lokaliti di Sabah kena PKPD, 17 lagi dilanjutkan

    Lapan lokaliti di Sabah kena PKPD, 17 lagi dilanjutkan

    LAPAN lagi lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa Jumaat ini hingga 26 Ogos ini.

    Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, di Tawau, tiga lokaliti dikenakan PKPD membabitkan Kampung Kongsi 8, Kampung Bergosong di Pulau Sebatik dan PPR Taman Sri Apas Batu 8.

    Menurutnya, dua perumahan ladang di Beluran, Sabah turut dikenakan PKPD iaitu Perumahan Ladang Reka Halus dan Perumahan Ladang Boustead Trunkline.

    Selain itu katanya, PKPD dilaksanakan di Kampung Kayu Madang, Telipok di Kota Kinabalu; Kampung Batition di Kota Marudu dan Kampung Sunsuron di Tambunan.

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, PKPD di sebanyak 17 lokaliti di Kelantan dan Sabah yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan selama dua minggu sehingga 26 Ogos ini.

    Di Kelantan ujarnya, lanjutan PKPD itu melibatkan kampung Orang Asli Pos Brooke, Gua Musang iaitu Kampung Jedip WCT; Kampung Sendrop dan Kampung Seng Sang.

    Menurutnya, di Sabah, lanjutan PKPD membabitkan Kampung Lahat-lahat, Tawau dan dua lokaliti di Kinabatangan iaitu Ladang Bukit Mas dan Ladang Linbar 1.

    “Baki 11 lokaliti terletak dalam daerah Tuaran iaitu Kampung Betutai; Kampung Bolong Baru; Kampung Bontoi; Kampung Kindu dan Kampung Lapasan.

    “Selain itu, ia turut melibatkan Kampung Serusop; Kampung Sungai Damit; Kampung Timbok; Kampung Simpangan; Taman Sri Rugading dan Taman Telipok Ria,” tambahnya.

  • Dua kali tertangguh, bicara kes rasuah Ahmad Zahid disambung 25 Ogos

    Dua kali tertangguh, bicara kes rasuah Ahmad Zahid disambung 25 Ogos

    SELEPAS dua kali ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan bersambung pada 25 Ogos ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini berkata perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan berlangsung selama tiga hari iaitu pada 25 Ogos, 1 dan 2 Sept di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa.

    “Pihak pendakwaan akan memanggil dua atau tiga saksi untuk memberi keterangan pada 25 Ogos itu,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 serta dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • 20,780 kes baharu Covid-19: Lembah Klang tertinggi, 6 negeri catat lebih 1,000 kes

    20,780 kes baharu Covid-19: Lembah Klang tertinggi, 6 negeri catat lebih 1,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 kembali menunjukkan peningkatan berbanding semalam apabila 20,780 kes direkodkan hari ini berbanding 19,991, semalam.

    Mengikut infografik terkini Kementerian Kesihatan Malaysia, kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,320,547.

    Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan penularan jangkitan Covid-19 tertinggi masing-masing dengan 6,921 kes dan 2,065 kes.

    Peningkatan kes harian turut disumbang enam negeri yang mencatatkan lebih seribu jangkitan.

    Negeri itu ialah Johor (1,693 kes); Kedah (1,534 kes); Sabah (1,514 kes); Pulau Pinang (1,385 kes); Kelantan (1,284 kes) dan Negeri Sembilan 1,015 kes.

    Labuan, Perlis dan Putrajaya mengekalkan rekod jangkitan pada dua digit dengan masing-masing mencatatkan 3, 29 dan 41 kes.

  • Speaker Dewan Rakyat nafi keluar surat maklum kerajaan hilang  majoriti

    Speaker Dewan Rakyat nafi keluar surat maklum kerajaan hilang majoriti

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menafikan beliau ada mengeluarkan surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan pimpinannya telah hilang majoriti.

    Azhar Azizan berkata dakwaan berkenaan sepertimana dilapor sebuah portal adalah palsu.

    “Saya menafikan laporan berita itu dan ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah keluarkan apa-apa surat kepada YAB Perdana Menteri seperti yang dilaporkan. Berita itu adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, laporan berita portal Suara.TV bertarikh 11 Ogos, bertajuk “Perdana Menteri Terima Surat Speaker Maklum Tiada Majoriti, Mahu Bubar Parlimen” mendakwa Azhar Azizan selaku Speaker Dewan Rakyat telah memaklumkan perdana menteri mengenai perkara itu.

    Pautan laporan yang tular di media sosial bagaimanapun kini tidak lagi boleh dibuka melalui portal berkenaan.

  • Zahid terus berteka-teki, sifatkan ‘what’s next’ mahu wujud keraguan

    Zahid terus berteka-teki, sifatkan ‘what’s next’ mahu wujud keraguan

    DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi terus berteka teki berhubung langkah UMNO seterusnya setelah  menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sebaliknya dalam kenyataannya hari ini Presiden UMNO kesal dengan tindakan yang disifatkan menimbulkan syak wasangka terhadap ketetapan parti tersebut.

    ‘’Persoalan “what’s next” jelas cuma bertujuan menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap perjuangan UMNO untuk menyelamatkan rakyat dan negara. Keputusan Mesyuarat MKT UMNO pada 7 Julai lalu secara jelas menyatakan “what’s next” jika dibaca dan dihayati dengan hati yang jujur,’’ katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, keputusan MKT sudah menegaskan bahawa  UMNO mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

    ‘’Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15,’’ katanya.

    Ahmad Zahid berkata,  pilihan raya itu penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong.

    ‘Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat,’’ katanya.

    Dalam kenyataan itu juga, beliau sekali menegaskan,  UMNO mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).