DATUK Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan beliau telah menandatangani akuan bersumpah menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Memetik laporan BH Online, pengakuan Ahli Parlimen Padang Rengas itu sekali gus mengesahkan terdapat usaha sedemikian.
Walau bagaimanapun, Mohamed Nazri tidak mendedahkan nama-nama Ahli Parlimen lain yang mungkin menandatangani akuan bersumpah tersebut.
“Ya, saya sudah menandatangani akuan bersumpah menyokong (Datuk Seri) Ismail Sabri, Ahli Parlimen lain saya tidak tahu, kena tanya mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai usaha dibuat oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Difahamkan, Muhyiddin dalam mesyuarat dengan Ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pagi tadi menyuarakan hasrat mahu meletak jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan perkara tersebut.
MESYUARAT Khas Parlimen baru-baru ini mencatatkan lima lagi kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan adalah 102 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu membabitkan lima sekeluarga iaitu pesakit pertama bergejala merupakan individu yang menghadiri sidang Parlimen tersebut.
Menurutnya, tiga kes mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR antara 16.98 sehingga 22.76 (kebolehjangkitan yang tinggi), manakala dua lagi adalah di antara 28.98 sehingga 33.98.
“Kesemua mereka telah lengkap mendapat dua dos vaksin. Individu terbabit hanya bergejala ringan dan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing,” katanya hari ini.
Sebanyak 30 individu yang dikesan positif membabitkan persidangan Parlimen itu setakat ini adalah dua Ahli Parlimen, masing-masing sembilan pengiring dan pegawai agensi kerajaan, dan tujuh kes lain-lain iaitu ahli keluarga, kontraktor serta kakitangan Parlimen.
Selain itu, 64 kes dikesan semasa saringan pra-Dewan Rakyat dan lapan kes semasa saringan pra-Dewan Negara.
Dr Noor Hisham berkata, KKM bersama pihak Parlimen dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah berbincang mengenai beberapa penambahbaikan yang diperlukan sebagai persediaan pembukaan semula Parlimen bagi mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan sebelum dan semasa persidangan.
Kesiapsiagaan itu ujarnya adalah tindakan memastikan individu-individu pelbagai kategori dan dari pelbagai negeri yang hadir ke Parlimen supaya mereka sihat dan tidak dijangkiti Covid-19 pada masa tersebut.
“Kedua, keadaan persekitaran serta bahagian dalaman Parlimen dikaji dan ditambahbaik supaya selamat, kurang risiko dan tidak menjadi tempat penularan Covid-19,” tambah Dr Noor Hisham.
SEORANG jururawat di Kelantan yang sedang hamil tidak sempat menatap wajah bayi ditunggu selama 10 tahun selepas meninggal dunia akibat Covid-19, di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, semalam.
Wanita itu, Norfaizah Mohamed, 34, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.02 pagi ketika kandungannya berusia 26 minggu.
Bayi tidak cukup bulan itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan, berikutan keadaan jururawat itu yang semakin tenat.
Allahyarham dipercayai berada dalam kategori lima jangkitan Covid-19 selepas dilapor mendapat penyakit berkenaan daripada pesakitnya.
Anak sulung jururawat itu ketika ini ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Zaini Hussin mengesahkan jururawat itu meninggal dunia akibat Covid-19, semalam.
Menurutnya, Allahyarham adalah jururawat di Hospital Gua Musang dan seorang petugas berdedikasi.
Tambahnya, jenazah wanita itu dikebumikan di Kampung Lembaga, dekat Gua Musang.
SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dipandunya merempuh tembok plaza tol dalam kejadian di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) arah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan maut itu pukul 1 petang.
Kenderaan MPV dipandu mangsa merempuh tembok plaza tol dalam kejadian di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) arah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati sebuah Toyota Avanza remuk teruk dengan pemandunya tersepit selepas melanggar tembok tol.
“Mangsa lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu didapati tersepit dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti serta Perai menggunakan peralatan khas pukul 2.43 petang sebelum operasi ditamatkan pada pukul 2.51 petang.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku apabila MPV berkenaan yang dipercayai dipandu laju hilang kawalan sebelum melanggar tembok batu plaza tol terbabit.
SEHINGGA semalam, seramai 93 individu didapati positif Covid-19 kesan daripada Kluster Telaga 2 yang didapati menular di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di Alor Setar, Kedah.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, kluster yang mula dikenal pasti sejak 4 Ogos lalu turut menyebabkan 10 kematian setakat ini.
Katanya, Kluster Telaga 2 dipercayai bermula apabila seorang pesakit buah pinggang di Wad Nefrologi HSB, disahkan positif Covid-19 setelah melalui ujian saringan sebelum menjalani satu prosedur kesihatan.
Berikutan itu katanya, siasatan dan saringan kontak rapat dilakukan terhadap pesakit lain, peneman, petugas kesihatan serta petugas sokongan hospital yang bertugas di wad berkenaan.
“Hasil saringan mendapati 72 individu didapati positif Covid-19 terdiri daripada 31 pesakit di wad tersebut, 23 petugas kesihatan, empat pekerja sokongan hospital dan 14 waris pesakit.
“Siasatan dan saringan terhadap kontak selanjutnya telah mengesan 21 kes positif lagi di Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Sik dan Yan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kes melibatkan 32 individu di wad nefrologi tersebut katanya, 11 kes didapati berada dalam kategori satu iaitu tidak bergejala manakala dua kes lagi berada dalam kategori dua di mana individu terlibat hanya mengalami gejala ringan.
“Selebihnya terdapat satu kes berada dalam kategori tiga, 15 kes dalam kategori empat dan tiga kes dalam kategori lima.
“Dukacita dimaklumkan bahawa 10 kes telah meninggal dunia dengan 22 lagi masih berada di wad. Siasatan lanjut berkenaan kematian itu sedang dijalankan,” katanya.
Bagi membendung jangkitan Covid-19 di HSB, beliau memaklumkan beberapa tindakan segera telah diambil termasuk menutup wad nefrologi sebaik kes pertama disahkan positif.
“Semua pesakit dipindahkan ke wad Covid-19 secara berperingkat dengan wad nefrologi akan dibuka semula selepas disanitasi.
“Perkhidmatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dipindahkan ke Pusat Sumber Diabetes manakala pesakit nefrologi baharu yang tidak menghidapi Covid-19, dimasukkan ke wad bukan Covid-19 yang lain,” katanya.
Beliau menjelaskan, sehingga kini tiada wad atau perkhidmatan lain ditutup berkaitan kluster ini.
WALAUPUN Tan Sri Muhyiddin Yassin dikhabarkan akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri esok namun sokongan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetap utuh dan dikatakan bertambah kepada 110 kerusi Parlimen.
Biarpun setakat ini ia kurang satu kerusi untuk mendapat majoriti namun sumber memberitahu, jumlah tersebut akan bertambah dalam ‘waktu terdekat’.
Lapor UtusanTV , dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) hari ini antara cadangan yang dikemukakan ialah mencalonkan Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri disandang calon daripada Bersatu.
‘’Walaupun setakat ini ia di peringkat cadangan belum ‘final’ tetapi ia dilihat cadangan terbaik bagi membolehkan PN terus menjadi kerajaan,’’ kata sumber ketika dihubungi.
Mengenai tambahan 10 ahli Parlimen itu, sumber tersebut mendakwa, ia terdiri daripada kalangan ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini ‘membuat keputusan menolak Muhyiddin tetapi menyokong PN’.
‘’Sebelum ini mereka memang menyokong PN tetapi tidak mahu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri tetapi sekarang Muhyiddin akan berundur maka mereka bersedia kembali menyokong PN,’’ kata sumber berkenaan.
Sumber itu tersebut juga tidak menolak kemungkinan bahawa jumlah itu akan bertambah berikutan usaha sedang dilakukan bagi menarik lima lagi ahli Parlimen UMNO menyertai kesepakatan tersebut.
‘’Langkah ini bertujuan mengelakkan Pakatan Harapan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kerajaan,’’ kata sumber tersebut.
Bagaimanapun difahamkan selain Ismail Sabri, turut disebut-sebut menjadi calon Perdana Menteri ialah Menteri Kanan Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Hishammuddin turut dilihat ada karisma selain prestasi yang beliau tunjukkan sebagai Menteri Luar serta mempunyai banyak pengalaman dalam kerajaan manakala Ku Li pula berpengalaman terutama dalam ekonomi tetapi faktor usia mungkin menjadi sedikit halangan, tetapi setakat ini nama Ismail Sabri diutamakan’’ kata satu sumber.
Ditanya mengenai kedudukan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sumber berkata, kedua-dua mereka berhadapan dengan kes mahkamah yang perlu diselesaikan.
‘’Tapi saya percaya mereka khususnya Najib berjiwa besar untuk menyokong rancangan ini daripada membiarkan PH kembali berkuasa,’’ katanya.
Mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri, sumber itu mendakwa, Bersatu mencalonkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin .
‘’Tetapi ada juga yang berpendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed boleh dipertimbangkan kerana beliau boleh membantu Perdana Menteri dari segi pemulihan ekonomi.
‘’Selain mempunyai pengalaman, dari segi politik Mustapa dilihat boleh mendamaikan keadaan jika berlaku pertembungan antara Hamzah dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau dianggap neutral dan tidak ada musuh dengan mana-mana parti,’’ katanya .
Bagaimanapun sumber itu menegaskan, apa yang penting ketika ini kesemua pemimpin-pemimpin perlu mencapai kesepakatan bagi memastikan PN kekal menjadi kerajaan.
‘’Ini bukan soal kepentingan politik mana-mana individu atau parti tetapi ini bagi memastikan segala program yang dilaksanakan oleh Muhyiddin dapat diteruskan khususnya dalam memerangi penularan Covid-19. Usaha-usaha yang dibuat oleh beliau telah menampakkan hasil dan paling ketara dari segi program imunisasi.
‘’Oleh itu usaha beliau harus diteruskan, janganlah kita mahu berbalah sehingga akhirnya membuka ruang kepada pembangkang mengambil kesempatan,’’ kata sumber berkenaan.
Sementara itu Agendaily melaporkan, UMNO kini sedang berunding dengan Bersatu dan Pas untuk menerima calon Perdana Menteri daripada parti tersebut untuk menerajui tampuk kuasa di Putrajaya.
Menurut sumber, rundingan yang diketuai dua pemimpin dalam kem UMNO yang berbeza tersebut bagi memastikan Anwar Idan DAP tidak kembali menerajui kerajaan pusat.
‘’Rundingan tersebut ada mencadangkan nama calon PM dari UMNO, namun sekiranya mengikut hierarki parti nama Ahmad Zahid yang sepatutnya ditabalkan sebagai PM baharu tetapi ia mungkin mengundang kritikan kerana terpalit dengan kes mahkamahnya.
‘’Nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak difahamkan turut antara yang dicadangkan sebagai calon PM baharu, ia memandangkan kononnya populariti dan penerimaan rakyat dalam media sosial yang seakan menyokong beliau,’’ lapor itu.
Selain itu, nama Ismail Sabri dan Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dikatakan ditawarkan sebagai pengganti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya berlaku peletakan jawatan esok.
JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 menunjukkan sedikit penurunan berbanding semalam apabila 20,546 kes direkodkan hari ini berbanding 20,670 kes semalam.
Kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,404,899 kes.
Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 7,307 jangkitan.
Namun kedudukan Kuala Lumpur yang saban minggu mendominasi tangga kedua dirampas Sabah apabila mencatatkan 1,665 kes.
Negeri ketiga dan keempat mencatatkan kes harian tertinggi pula ialah Kedah (1,596 kes) diikuti Johor (1,508 kes).
Kuala Lumpur pula di tempat kelima dengan 1,442 kes jangkitan diikuti Pulau Pinang (1,111 kes); Perak (1,069) dan Kelantan (1,025 kes).
Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 3 kes diikuti Perlis (21 kes) dan Putrajaya (47 kes).
PAS akan meneliti terlebih dahulu hasil Mesyuarat Khas Kabinet yang dijadualkan berlangsung esok, sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
Memetik laporan BH Online, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pendirian parti itu pada masa ini masih bersama untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, Ahli Parlimen dari parti itu dan Majlis Syura Ulama PAS, semalam.
“Kita menegaskan dasar parti iaitu mempertahankan PN dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN). PAS kekal menjadi jambatan antara dua parti besar Melayu… PAS dan UMNO serta menjadi jambatan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Demi kebaikan negara dan politik bagi jangka panjang, parti besar Melayu mesti bersama sebab ia tunggak kepada kerajaan, disusuli parti lain yang mempunyai kepelbagaian kaum.
“Bagaimana kaedah memperkukuh MN itu adalah kerja dalaman PAS yang tak boleh didedahkan kepada umum, walaupun UMNO dan Bersatu dilihat tidak mencapai kesepakatan,” katanya dalam sidang media di Serdang hari ini.
Situasi politik negara semakin panas berikutan timbul desas-desus akan berlaku perubahan tampuk kepimpinan kerajaan dalam masa terdekat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan.
PENDUDUK Pulau Pinang tidak perlu bimbang dengan penutupan empat buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam hari ini berikutan gangguan bekalan vaksin Pfizer untuk negeri itu bermula Khamis lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penutupan itu hanya bersifat sementara iaitu hari ini sahaja dengan bekalan baharu vaksin dijangka diterima dalam tempoh kurang seminggu lagi.
Menurut beliau, ketika ini Pulau Pinang kekurangan kira-kira 20,000 dos vaksin Covid-19 yang melibatkan hanya beberapa ribu penerima.
“Kerajaan negeri yakin perkara ini tidak akan menjejaskan pelaksanaan program vaksinasi di negeri ini secara keseluruhannya kerana hanya empat PPV awam ini sahaja yang terlibat manakala PPV lain masih beroperasi seperti biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang memaklumkan empat PPV awam di negeri ini akan ditutup hari ini berikutan terdapat gangguan pembekalan vaksin Pfizer ke Pulau Pinang.
PPV awam terlibat adalah Kompleks Sukan Balik Pulau di daerah Barat Daya; Dewan Balai Rakyat Bayan Baru (Barat Daya); Tapak Pesta di Sungai Dua (Timur Laut) dan Dewan Millenium (Seberang Perai Utara).
Bagaimanapun JKNPP memaklumkan, kesemua PPV awam itu bagaimanapun akan beroperasi semula esok.
“Susulan itu, penerima dos dua vaksin Pfizer yang telah dijadualkan pada 15 Ogos hingga 19 Ogos akan dipinda ke 22 hingga 26 Ogos ini.
“Orang awam dinasihatkan sentiasa menyemak tarikh penjadualan dos dua pada aplikasi MySejahtera masing-masing,” demikian menurut kenyataan tersebut.
DUA penuntut universiti di Kepala Batas, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM27,545 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan menerusi platform e-dagang popular.
Mangsa lelaki berusia 21 tahun dan perempuan berusia 23 tahun itu mula terjerat dalam penipuan sindiket tersebut selepas melihat iklan yang ditawarkan menerusi Facebook baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mereka telah menekan satu pautan di Facebook sebelum nombor telefon mereka dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi sosial WhatsApp.
Beliau berkata, menerusi kumpulan WhatsApp itu mangsa telah diberi penerangan tentang pekerjaan yang perlu dilakukan sebagai ejen pembelian online.
Jelasnya, mereka diminta melakukan tugas membeli barang yang ditetapkan oleh pengendali kumpulan itu yang mana pembayarannya akan dibuat terus ke akaun bank sindiket.
“Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap nilai pembayaran dan keuntungan akan dibuat setelah mereka selesai melakukan tugasan tersebut.
“Pada peringkat awal, mangsa menerima wang keuntungan seperti dijanjikan sehingga mendorong mereka membuat lebih banyak pembayaran secara berperingkat sehingga masing-masing berjumlah RM6,095 dan RM21,450,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Noorzainy, kedua-dua mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas mereka tidak lagi menerima wang keuntungan yang dijanjikan.
Jelasnya, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran kerana ia merupakan modus operandi sindiket,” katanya.
Menurut Noorzainy, sepanjang tahun ini sebanyak lima kes penipuan dengan modus operandi sama direkodkan di SPU dengan jumlah keseluruhan kerugian RM59,328.