Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sindiket tawar kerja menerusi aplikasi beli-belah kaut untung RM1.2 juta

    Sindiket tawar kerja menerusi aplikasi beli-belah kaut untung RM1.2 juta

    POLIS Pulau Pinang mengesan modus operandi baharu oleh sindiket untuk menipu orang ramai iaitu dengan menawarkan peluang pekerjaan menerusi aplikasi beli-belah dalam talian.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komissioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim berkata, sejak Januari hingga kelmarin, pihaknya menerima sebanyak 149 laporan polis berhubung penipuan oleh sindiket itu membabitkan kerugian sehingga RM1.2 juta.

    Jelas beliau, sindiket itu mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, Instagram dan Facebook menggunakan logo platform beli-belah terkemuka dengan individu yang berminat akan menekan pautan diberikan.

    Katanya, sindiket itu kemudian mengarahkan mangsa membeli barangan di platform e-dagang dan dijanjikan komisyen antara lapan dan 15 peratus bergantung kepada jumlah belian.

    Tambahnya, pembayaran yang dibuat mangsa akan dipindahkan ke akaun wang yang dikawal oleh sindiket terbabit dengan jaminan wang mereka berserta komisyen akan dipulangkan dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat.

    “Pada mulanya, mangsa menerima wang dan komsiyen seperti dijanjikan, namun selepas mereka membeli dalam jumlah yang banyak, sindiket itu akan bertindak menyekat panggilan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Rosni, pihaknya sehingga kini telah membuka 107 kertas siasatan berhubung kes itu melibatkan mangsa masing-masing 66 wanita dan 41 lelaki.

    Kesemua mangsa katanya,  berusia antara 24 hingga 54 tahun dengan 35 daripada mereka merupakan penuntut universiti dan pelajar sekolah menengah.

    Ujarnya, polis kini sedang mengesan rangkaian sindiket penipuan itu selain turut menahan beberapa individu yang bertindak sebagai keldai akaun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Kebakaran hutan Baitulmuqaddis: 3,100 penduduk dipindahkan, 1,699 hektar kawasan musnah

    Kebakaran hutan Baitulmuqaddis: 3,100 penduduk dipindahkan, 1,699 hektar kawasan musnah

    SEKURANG-KURANGNYA 3,100 penduduk Israel di Baitulmuqaddis meninggalkan kediaman masing-masing semalam apabila kebakaran hutan besar melanda wilayah itu semalam.

    The Jerusalem Post melaporkan, kebakaran besar di lima titik panas berasingan itu setakat ini memusnahkan kawasan seluas 1,699 hektar.

    Bagaimanapun menurut jurucakap bomba, kebakaran itu sudah tidak mengancam kediaman penduduk dan mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini.

    Kebakaran besar di lima titik panas berasingan di Baitulmuqaddis setakat ini memusnahkan kawasan seluas 1,699 hektar.

    Namun bomba setakat pagi ini masih bergelut memadam kebakaran itu yang mengelilingi Baitulmuqaddis.

    “Kebakaran memusnahkan kawasan seluas 1,699 hektar hampir empat kali ganda dari keluasan yang musnah dalam kebakaran sebelum ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

    Katanya, sebanyak 70 pasukan bomba dari sekitar Baitulmuqaddis cuba memadam kebakaran namun masih gagal mengawalnya di beberapa lokasi.

    “Kesemuanya menjadi hitam tiada lagi kawasan hijau,” kata seorang penduduk di Shoeva.

    Kebakaran itu sampai ke pinggir Puat Perubatan Eitanim di Jerusalem Hills memaksa kesemua pesakit dipindahkan.

    Sebanyak dua penduduk dilaporkan hilang akibat kebakaran itu.

    Lebih 2,000 penduduk di Beit Meir, Kesalon, Ramat Raziel and Givat Ye’arim dipindahkan akibat kebakaran itu dan setakat tengah malam tadi mereka masih tidak dibenarkan pulang ke rumah.

    Sementara itu, jurucakap bomba berkata, kebakaran itu berpunca daripada manusia namun masih tidak jelas sama ada ia disengajakan atau sebaliknya.

  • Tak berbangkit soal PAS mahu terima kerjasama PH

    Tak berbangkit soal PAS mahu terima kerjasama PH

    PERSOALAN tentang kesediaan PAS menerima parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) sekiranya PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya dibangkitkan lagi.

    Pendirian itu ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

    Memetik laporan BH Online, tiada keperluan bagi PAS mempertimbangkan perkara tersebut kerana PH telah menyatakan pendirian menolak PN.

    “Unsur DAP, PKR dan AMANAH tidak berbangkit, malah PH sudah menolak untuk menyokong PN,” katanya.

    Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Majlis Presiden PH telah membenarkan semua pemimpin bebas untuk berbincang dan bercakap dengan pihak lawan mengenai keadaan politik.

    Walau bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan yang masih terpalit dengan kes rasuah di mahkamah itu menambah, kebenaran itu tidak terpakai terhadap tiga pemimpin teratas dalam PH yang perlu saling berunding sesama mereka sebelum berbuat sedemikian.

    Ahli Parlimen Bagan itu turut mengesahkan bahawa selain daripada pemimpin teratas DAP, PKR dan PAN ramai Ahli Parlimen dan pemimpin daripada ketiga-tiga parti dalam PH secara sendiri telah mengadakan banyak perbincangan dengan seteru politik.

    Dalam perkembangan sama, Nasrudin memberitahu, PAS akan terus mempertahankan kerajaan PN dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

    Menurut beliau, parti itu yakin PN akan terus kekal melalui sokongan yang diberikan parti-parti komponennya.

    “Insya-Allah, PN akan terus bertahan dengan sokongan parti komponen PN dan MN,” jelasnya.

    Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah di Istana Negara, dipercayai berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

  • Bubar Parlimen langkah terbaik, tiada parti dapat majoriti kukuh

    Bubar Parlimen langkah terbaik, tiada parti dapat majoriti kukuh

    PEMBUBARAN Parlimen dianggap langkah terbaik bagi mengelakkan negara terus terjerumus dalam kemelut politik yang berpanjangan.

    Keadaan itu disebabkan parti-parti politik sama ada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahupun blok pembangkang dikatakan tidak mendapat sokongan majoriti kuat daripada ahli-ahli Parlimen bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

    ‘’Gabungan PN tidak berpecah, semua parti-parti terlibat kekal menyokong kerajaan PN tetapi jumlah kerusi yang diperolehi setakat hari ini tidak kukuh walaupun mungkin ada majoriti. Kita tidak mahu politik negara terus bergelut soal keabsahan,’’ kata satu sumber ketika dihubungi.

    Blok pembangkang khususnya Pakatan Harapan pula kata sumber tersebut, terus tidak mendapat sokongan kerana memandangkan parti-parti pembangkang lain tidak bersetuju Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

    ‘’Tetapi pada masa sama parti-parti itu juga tidak mahu bergabung atau menyokong kerajaan PN,’’ kata sumber berkenaan.

    Berdasarkan senario itu, sumber tersebut berkata, pembubaran Parlimen dilihat langkah terbaik bagi memastikan negara tidak terus terjerumus dalam konflik politik.

    ‘’Kita tidak mahu nanti bila sidang Parlimen soal keabsahan akan ditimbulkan lagi dan ahli-ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya undi percaya dilakukan. Keadaan ini akan menyebabkan ketegangan politik berlaku,’’ katanya.

    Mengenai sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri, sumber itu berkata, dalam perbincangan antara gabungan PN, 31 ahli Parlimen Bersatu menyatakan mereka menyokong Naib Presiden UMNO itu selagi tidak ada mana-mana pemimpin UMNO daripada ‘kluster mahkamah’ dilantik ke dalam Kabinet.

    Sebelum ini pelbagai pihak termasuk penganalisis politik berpendapat, pembubaran Parlimen merupakan langkah terbaik bagi menamatkan kemelut yang berlaku.

    Menurut mereka, ia bagi membolehkan mandat dikembalikan  kepada rakyat selepas pelbagai krisis politik terjadi sejak setahun lalu.

    Sementara itu, dalam media-media sosial, majoriti rakyat mula melahirkan kebimbangan mereka berhubung apa yang akan berlaku selepas peletakkan jawatan oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

    Mereka berharap kemelut politik tidak berlanjutan kerana rakyat sudah muak dengan apa yang berlaku dan turut berpendapat pembubaran Parlimen merupakan jalan terbaik.

    Sementara itu di Istana Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong  bagi menyembah maklum mengenai perkembangan kemelut politik negara.

  • Dua pemimpin Amanah bergaduh mengaku tidak bersalah

    Dua pemimpin Amanah bergaduh mengaku tidak bersalah

    SEORANG ahli Jawatankuasa Amanah Perak, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Naib Ketua Wanita Amanah Kawasan Teluk Intan pada 14 Oktober tahun lalu.

    Tertuduh, Safarizal Saleh, 43,membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mengakibatkan kecederaan kepada Zulaiha Mohd Azam di Hotel Rivertel, Jalan Changkat Jong di sini, pada pukul 9.30 malam.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan, manakala tertuduh diwakili peguam, Akhiruddin Mohamad Taib.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 20 Oktober ini.

    Sementara itu, di mahkamah sama, Zulaiha, 32, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Safarizal.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

    Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Tejal Harash kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Oktober ini.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa ditumbuk, manakala kakaknya dikasari ketika menghadiri satu mesyuarat sebuah parti politik.

    Mereka mendakwa menerima jemputan menghadiri mesyuarat itu tetapi dihalang masuk ketika tiba di lokasi kejadian sebelum berlaku sedikit kekecohan.

  • Covid-19: Anak sulung Allahyarham Harussani meninggal dunia

    Covid-19: Anak sulung Allahyarham Harussani meninggal dunia

    SELEPAS tiga bulan pemergian bekas Mufti Perak Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria akibat Covid-19, anak sulung Allahyarham, A Abdul Hakim Mazhar meninggal dunia awal pagi hari ini kerana penyakit serupa.

    Perkara itu disahkan adik bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi, 44, hari ini.

    Menurutnya, Allahyarham A Abdul Hakim meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi.

    Katanya, jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat, Ipoh iaitu lokasi sama pengebumian Allahyarham bapanya.

    “Allahyarham meninggalkan empat orang anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 19 hingga 28 tahun,” katanya.

    Harussani, 82, meninggal dunia pada 30 Mei lalu semasa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kerana Covid-19.

    Pada ketika itu, penyakit berkenaan turut menjangkiti isteri Allahyarham, Puan Seri Ainon Abdul Ghani.

  • Vaksinasi Covid-19: 45.9 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin

    Vaksinasi Covid-19: 45.9 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin

    Infografik pemberian vaksin di seluruh negara setakat semalam.

    SEBANYAK 10,734,415 orang atau 32.9 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos kedua vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi dos pertama, sebanyak 17,076,440 atau 52.3 peratus daripada populasi negara telah menerima vaksin berkenaan.

    Menurutnya, mengikut peratusan bagi populasi dewasa pula, sebanyak 72.9 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 45.9 peratus penerima lengkap dua dos vaksin.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 27,810,855 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya
    menerusi perkongsian infografik di Twitternya, hari ini.

    Dalam pada itu, Dr Adham berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 415,875 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 143,671 dos pertama diberikan manakala 272,204 lagi melibatkan dos kedua.

  • 3 rentung kereta Toyota Vios terbakar

    3 rentung kereta Toyota Vios terbakar

    TIGA rentung selepas terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Jelutong, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Kejadian itu berlaku selepas kenderaan tersebut dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian.

    TIGA rentung selepas terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Jelutong, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Menurut jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.55 pagi.

    Katanya, ketika tiba dilokasi kejadian didapati tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang hadir ke lokasi.

    “Anggota bomba yang lengkap dengan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman api dan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamat (rescue tools).

    “Identiti ketiga-tiga mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana rentung dan kenderaan dinaiki termasuk nombor pendaftaran turut hangus sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurutnya, kerja-kerja menyelamat itu dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan tamat sepenuhnya pukul 3.05 pagi.

  • Lengkapkan vaksinasi pelajar sebelum buka sekolah

    Lengkapkan vaksinasi pelajar sebelum buka sekolah

    PARA pelajar kelas peperiksaan yang dibenarkan ke sekolah mulai 3 Oktober nanti seharusnya diberi suntikan dua dos vaksin terlebih dahulu.

    Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, langkah itu bertujuan memastikan tahap keselamatan yang tinggi dan mengelakkan penularan COVID-19.

    “Begitu juga mesti dipastikan bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang dewasa di rumah juga telah lengkap mendapat dua dos vaksin sebelum anak-anak mereka boleh ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara yang sepatutnya bermula 1 September ini kepada 3 Oktober.

    Beliau membuat pengumuman tersebut melalui rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook, hari ini.

    Radzi memberitahu, pembukaan sesi persekolahan itu dilewatkan sedikit selepas meneliti situasi perkembangan semasa membabitkan penularan COVID-19 di seluruh negara.

    Menurut beliau, pembukaan sekolah akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.

    Anuar turut mengalu-alukan pengumuman tersebut dan menyifatkannya sebagai keputusan yang tepat dan sesuai dengan keadaan semasa di mana jangkitan COVID-19 yang sangat membimbangkan khususnya dalam kalangan ibu bapa dan para guru.

    Menurut beliau, sejak sebulan lalu para aktivis dan NGO pendidikan bersama sebahagian besar ibu bapa di seluruh negara telah menyuarakan kerisauan mereka dan mendesak supaya pembukaan sekolah pada 1 September ini ditangguhkan.

    “Dengan pengumuman penangguhan oleh Kementerian Pendidikan petang ini, ibu bapa tentunya dapat menarik nafas lega,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, Anuar memberitahu, berdasarkan takwim persekolahan 2021, sekolah akan mula bercuti akhir tahun mulai 11 Disember ini.

    “Ini bermakna bermula 3 Oktober 2021, murid-murid hanya akan bersekolah sekitar 46 hari sahaja lagi sehingga tarikh cuti sekolah akhir tahun.

    “Oleh itu tidak banyak pembelajaran yang dapat dilakukan dalam tempoh masa tersebut. Ini juga dengan andaian sekolah tidak ditutup jika berlaku kes jangkitan di sekolah.

    “Jika berlaku kes jangkitan di sekolah, minggu persekolahan akan berkurangan dan pastinya akan mengganggu pembelajaran murid-murid,” katanya.

    Beliau menambah, sesuai dengan baki hari persekolahan yang masih tinggal dan untuk meminimumkan risiko dan mengurangkan beban kewangan ibu bapa, sebaik-baiknya hanya pelajar kelas peperiksaan sahaja yang dibenarkan bersekolah pada 3 Oktober nanti sehingga hujung tahun bagi negeri Fasa 2 dan 3.

    “Manakala murid-murid lain kekal belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti sekolah hujung tahun,” katanya.

  • Kementerian Pendidikan tangguh buka sekolah 3 Okt

    Kementerian Pendidikan tangguh buka sekolah 3 Okt

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara yang sepatutnya bermula 1 September ini kepada 3 Oktober.

    Beliau membuat pengumuman tersebut melalui rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook, hari ini.

    Radzi memberitahu, pembukaan sesi persekolahan itu dilewatkan sedikit selepas meneliti situasi perkembangan semasa membabitkan penularan COVID-19 di seluruh negara.

    Menurut beliau, pembukaan sekolah akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.

    “Perincian pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan diperincikan dan dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

    “Namun, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak ada sekolah yang akan dibuka untuk negeri Fasa 1 PPN.

    “Saya amat berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa tentang pembukaan semula sekolah,” katanya.

    Radzi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan anak-anak dan kebimbangan ibu bapa.

    “Bagi negeri-negeri Fasa 2 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan sahaja.

    “Negeri Fasa 3 pula, sekolah dibenarkan buka bagi murid kelas peperiksaan dan murid-murid lain,” jelasnya.

    Bagaimanapun, Radzi berkata, bagi negeri Fasa 2 dan 3 pula, pembukaan sekolah dibenarkan selepas penilaian risiko penularan wabak di negeri berkenaan.

    Sebelum ini, orang ramai khususnya ibu bapa menyuarakan kebimbangan tentang perancangan Kementerian Pendidikan membuka semula sekolah secara berperingkat mulai 1 September ekoran situasi COVID-19 yang masih belum reda.