Author: Wartawan WartaRakyat

  • Interpol diminta kesan Nadir, Caprice

    Interpol diminta kesan Nadir, Caprice

    SETELAH usaha mendapatkan respons melalui teks gagal, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya memilih untuk memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan penyanyi rap, Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

    Permohonan itu berikutan laporan polis yang dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah menghantar teks kepada kedua-dua individu tersebut namun tidak dibalas.

    “Oleh itu kita telah minta bantuan Interpol untuk kesan dan berhubung dengan mereka khasnya dalam menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk diambil keterangan secara dalam talian,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Ashari berkata, kedua-dua individu itu diminta bekerjasama dan berhubung dengan polis untuk dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan.

    “Semua proses kita sudah buat cuma rakaman percakapan kedua-dua individu ini masih belum dapat dijalankan.

    “Justeru kita minta kedua-duanya dapat beri maklum balas secepat mungkin,” tambahnya.

    Ebit Lew membuat laporan polis pada 21 Julai lalu, mendakwa dirinya difitnah dipercayai ada kaitan dengan isu misi kemanusiaan kelolannya di Genting Gaza.

  • REKOD!!!23,564 kes baharu, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    REKOD!!!23,564 kes baharu, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    BUAT tiga hari berturut-turut, jumlah jangkitan baharu Covid-19 di negara ini mencatatkan lebih 20,000 kes apabila sebanyak 23,564 kes direkodkan hari ini.

    Kes baharu itu sekali gus menjadikan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,513,024 kes.

    Malah buat pertama kali, kes harian melepasi angka 23,000, tertinggi sejak penularan Covid melanda negara disumbang oleh sembilan negeri yang mencatatkan lebih 1,000 kes.

    Menurut hantaran terbaharu Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 6,974 jangkitan baharu.

    Sarawak mencatatkan peningkatan ketara apabila apabila buat pertama kali merekodkan sebanyak 2,548 kes di belakang Sabah yang konsisten di tempat kedua dengan 2,738 kes.

    Negeri dengan lebih seribu kes harian pula ialah Kedah (1,932 kes) diikuti Kuala Lumpur (1,652 kes) Pulau Pinang (1,523 kes); Johor (1,323 kes); Kelantan (1,281 kes) dan Perak (1,248 kes).

    Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu satu jangkitan diikuti Putrajaya (24 kes) dan Perlis (64 kes).

  • KPDNHEP tahan lelaki jual gula RM5 sekilogram

    KPDNHEP tahan lelaki jual gula RM5 sekilogram

    TINDAKAN seorang lelaki mengaut keuntungan secara keterlaluan apabila menjual gula pada harga RM5 sekilogram mengundang padah apabila dia ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

    Selain itu, lelaki berusia 25 tahun itu juga didapati beroperasi tanpa lesen yang sah di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat KPDNHEP Tuaran, Saripudin Moleng, operasi kira-kira pukul 3.30 petang itu dibuat hasil aduan orang awam dan risikan pihaknya.

    “KPDNHEP menemukan sebanyak 96 kilogram gula pasir yang diletakkan di dalam kenderaan lelaki berkenaan sebelum bertindak menahannya selepas disyaki menjual gula tanpa lesen sah.

    “Suspek juga didapati menjual gula sehingga RM5 sekilogram mengikut lokasi pembeli dan harga terbabit melebihi harga siling yang ditetapkan kementerian iaitu RM2.85 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Saripuddin menjelaskan, hasil siasatan kemudiannya mendapati suspek menjual gula itu secara tempahan di sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud.

    Ujar beliau, keseluruhan barang yang disita bernilai lebih RM12,000 termasuk 96 kilogram gula yang berjumlah RM273.60.

    Beliau menambah, kes terbabit disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

  • Muhyiddin minta rakyat proaktif pastikan keselamatan,kesihatan

    Muhyiddin minta rakyat proaktif pastikan keselamatan,kesihatan

    TAN SRI Muhyiddin Yassin hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur bersama jemaah lain di bawah pematuhan SOP ketat.

    Melalui catatan dalam Facebook, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila berada di khalayak ramai termasuk di masjid dan di kawasan awam lain.

    ”Berdoalah agar kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT daripada virus Covid-19 dan diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran dan rintangan daripada pandemik ini. Mudah-mudahan keadaan akan beransur pulih dan negara Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya, insya-Allah,” katanya.

    Oleh itu beliau berkata, usah berhenti berdoa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT. Itulah sifat hamba-Nya yang tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan atas kurniaan yang Maha Esa.

    ”Jika kita sentiasa berpandu kepada jalan Allah, al-Quran dan sunnah, saya yakin dan percaya hidup kita akan lebih tenang dan bermakna. Do not do what you feel is right. Do what Allah say is right. Do what is right. Kepada Allah SWT jualah kita berserah,” katanya.

  • Duluan bahaya jika minta Agong tubuh kerajaan perpaduan, kata pakar perlembagaan

    Duluan bahaya jika minta Agong tubuh kerajaan perpaduan, kata pakar perlembagaan

    GESAAN kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan daripada melantik perdana menteri berdasarkan sokongan majoriti akan menetapkan duluan yang bahaya kepada proses demokrasi, kata pakar perlembagaan.

    Mereka berkata bagi menyelesaikan krisis politik semasa, Malaysia perlu mencari penyelesaian undang-undang dan bukan penyelesaian mudah untuk kesenangan jangka pendek.

    Sementara pakar yang lain mengatakan bahawa mengulangi kesalahan melantik kerajaan dengan majoriti tipis adalah ancaman yang lebih besar terhadap kestabilan negara.

    Pengarah Malaysia Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) Fahri Azzat berkata rakyat Malaysia tidak mencari penyelesaian jangka panjang dengan menggesa Agong membuat keputusan demikian.

    “Saya berpendapat kita dalam kedudukan bahaya kerana kita semua bergantung kepada Agong untuk cuba dan menyelesaikan perkara ini. Apa yang mereka minta Agong lakukan, ada harga yang harus dibayar di masa hadapan yang tidak dibincangkan.

    “Sebagaimana yang kita lihat sebagai penyelesaian sekarang, saya berpendapat kita tidak melihat lebih jauh lagi, dalam erti kata menyeru pihak Istana untuk menyelesaikan apa yang sebenarnya merupakan masalah demokratik.

    “Masalahnya di sini tidak ramai yang melihatnya dari sudut undang-undang dan di Malaysia setiap masalah dilihat melalui spektrum politik dan bukan masalah undang-undang dan itulah sebabnya kita berada dalam kekacauan ini,” kata Fahri kepada The Malaysian Insight.

    Peguam itu berkata tindakan terbaik yang boleh diambil ialah mengadakan pilihan raya umum, namun itu pasti mustahil kerana pandemik Covid-19.

    Katanya ketika rakyat Malaysia mahu perkara ini diselesaikan segera, membuat kompromi seperti itu akan mempengaruhi bagaimana keputusan dibuat pada masa hadapan.

    “Kita terus menanggung masalah teknikal kerana mahukan kompromi dan penyelesaian yang mudah. Adakah ia menyelesaikan masalah? Tidak. Ini makin merumitkan keadaan.

    “Kami tidak melihatnya secara sistematik dan sah mengenai cara menyelesaikan masalah ini.”

    Ahli sains politik Wing Chin Huat juga membidas cadangan untuk Agong menubuhkan kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata peranan Agong ialah untuk memilih calon dengan sokongan majoriti dan bukan yang baginda rasakan pemimpin terbaik.

    “Jangan gunakan alasan lapuk kerana keadaan luar biasa memerlukan langkah yang luar biasa.

    “Apabila anda dapat melanggar peraturan kali ini kerana keadaan ini cukup luar biasa, lain kali juga orang lain dapat melanggar peraturan untuk keadaan lain yang mereka anggap luar biasa juga.

    “Integriti tidak mematuhi peraturan hanya jika sesuai dengan kita,” katanya dalam satu kenyataan

  • ‘’Johor tak terlibat keputusan jejas Perlembagaan’’ – TMJ

    ‘’Johor tak terlibat keputusan jejas Perlembagaan’’ – TMJ

    TENGKU Mahkota Johor melalui Instastory secara terbuka menegaskan, apa-apa pun keputusan yang akan menjejaskan Perlembagaan, Kedaulatan Institusi Diraja dan Kesejahteraan rakyat, Johor tidak akan terlibat.

    ‘’Keutamaan adalah kestabilan negara dan kehidupan rakyat dan bukan kepentingan peribadi,’’ titah baginda.

    Walaupun tiada apa-apa penjelasan diberikan namun ramai mengaitkan kemelut politik yang berlaku kini.

    Tambahan pula  hantaran itu dibuat beberapa jam sebelum Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas berhubung pencalonan Perdana Menteri baharu.

    Sementara itu,   Sultan Johor, Sultan Ismail Sultan Iskandar melalui akaun Facebook memetik sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abi Hurairah RA bermaksud;

    ‘’Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berdusta dan apabila dia berjanji dia diberi amanah dia telah mengkhianati.’’

    Sementara itu

  • Kompaun RM1,500 gagal buktikan lengkap divaksin

    Kompaun RM1,500 gagal buktikan lengkap divaksin

    GARA-gara gagal menunjukkan sijil digital vaksinasi lengkap semasa pemeriksaan pihak berkuasa, Polis Perak mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 terhadap beberapa individu di negeri ini.

    Ketua Polisnya, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun itu selepas individu terbabit gagal membuktikan mereka sudah lengkap dua dos vaksin untuk membolehkannya merentas daerah.

    “Individu terbabit turut tidak membawa telefon bersama bagi menunjukkan bukti lengkap dua dos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, dalam satu kejadian berasingan, kompaun RM1,500 juga dikeluarkan kepada seorang individu yang makan di kedai makan tanpa lengkap dua dos vaksin.

    Menurutnya, sebanyak 14 kompaun berjumlah RM21,000 dikeluarkan bagi mereka yang merentas daerah tanpa kebenaran bermula 10 Ogos lepas.

    Ujarnya, selain itu sebanyak 78,703 permit daripada 80,473 permohonan diluluskan Polis Perak sejak 5 Julai sehingga 19 Ogos lalu.

    “Sebanyak 1,995 jumlah kompaun dikeluarkan mulai 5 Julai hingga 19 Ogos lalu,” tambahnya.

  • PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    POLIS Diraja Malaysia mengesahkan membuat pemeriksaan di kediaman pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew, pada petang semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya hanya melakukan pemeriksaan bagi tujuan siasatan selepas polis merakam keterangan dari pendakwah berkenaan di Bukit Aman, di sini semalam.

    “Ia adalah proses pemeriksaan biasa bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

    Semalam, Ebit telah dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Sementara itu, Ebit semasa bercakap kepada media semalam memaafkan semua pihak yang memfitnahnya.

    Beliau berkata, kemaafan itu diberikan susulan beliau dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Saya percaya hidup ini Allah sayang, saya maafkan apa yang terjadi, saya maafkan sesiapa sahaja pun dengan apa yang terjadi.

    “Perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat dan saya akan terus membuat kebaikan sampai saya mati,” katanya.

  • Hampir 30 juta dos vaksin Covid-19 diberikan

    Hampir 30 juta dos vaksin Covid-19 diberikan

    SEBANYAK 29,886,548 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam.

    Mengikut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata, sebanyak, 12,079,978 atau 37 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos kedua vaksin Covid-19 dalam tempoh itu.

    Infografik pemberian vaksin di seluruh negara setakat semalam. Foto Warta Rakyat

    Menurutnya, sebanyak 17,806,570 orang atau 54.5 peratus daripada populasi negara pula telah menerima dos pertama vaksin.

    “Mengikut peratusan bagi populasi dewasa pula, sebanyak 76.1 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 51.6 peratus penerima, lengkap divaksin,” katanya hari ini.

    Sementara itu, JKJAV berkata, untuk vaksinasi harian, sebanyak 517,692 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 180,810 dos pertama diberikan manakala 336,882 lagi melibatkan dos kedua.

  • Isu penjualan ubat Ivermectin, polis sedia bantu KKM

    Isu penjualan ubat Ivermectin, polis sedia bantu KKM

    ISU penjualan ubat Ivermectin yang tidak terkawal di negara ini perlu dibendung,” ujar Timbalan Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mazlan Lazim.

    Sehubungan itu ujar Mazlan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung isu tersebut.

    Malah menurut Mazlan, pihaknya sentiasa bersedia untuk melakukan siasatan sekiranya menerima laporan berhubung isu tersebut daripada KKM.

    “Isu (penjualan) pil (ubat) Ivermectin adalah urusan di bawah KKM mengikut undang-undang di bawah Akta Racun 1952, jadi ia adalah perkara yang perlu dilihat oleh KKM.

    “Namun, kita akan bantu jika ada laporan daripada KKM tentang adanya produk palsu atau sindiket , maka kita akan jalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

    Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pernah memaklumkan bahawa KKM memberi kelulusan khas penggunaan ubat berkenaan secara ‘off label’ untuk kajian klinikal sahaja.

    Mengenai keadaan semasa negara berikutan polemik politik yang melanda ketika ini, Mazlan memberitahu, PDRM sentiasa melaksanakan strategi kawalan melibatkan skop di darat, laut dan udara.

    Menurut beliau, buat masa ini keadaan ketenteraman awam dan keselamatan negara masih lagi aman, tenang dan terkawal.

    Justeru katanya, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi, hasutan atau menularkan perkara tidak benar kerana ia boleh mengancam keamanan negara.

    “PDRM sentiasa memantau media sosial bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini. Tugas dan tanggungjawab polis bukan sahaja melibatkan Bukit Aman, tetapi juga membabitkan semua kontinjen,” jelas beliau.