ISU penjualan ubat Ivermectin yang tidak terkawal di negara ini perlu dibendung,” ujar Timbalan Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mazlan Lazim.

Sehubungan itu ujar Mazlan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung isu tersebut.

Malah menurut Mazlan, pihaknya sentiasa bersedia untuk melakukan siasatan sekiranya menerima laporan berhubung isu tersebut daripada KKM.

“Isu (penjualan) pil (ubat) Ivermectin adalah urusan di bawah KKM mengikut undang-undang di bawah Akta Racun 1952, jadi ia adalah perkara yang perlu dilihat oleh KKM.

“Namun, kita akan bantu jika ada laporan daripada KKM tentang adanya produk palsu atau sindiket , maka kita akan jalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini, lapor Sinar Harian.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pernah memaklumkan bahawa KKM memberi kelulusan khas penggunaan ubat berkenaan secara ‘off label’ untuk kajian klinikal sahaja.

Mengenai keadaan semasa negara berikutan polemik politik yang melanda ketika ini, Mazlan memberitahu, PDRM sentiasa melaksanakan strategi kawalan melibatkan skop di darat, laut dan udara.

Menurut beliau, buat masa ini keadaan ketenteraman awam dan keselamatan negara masih lagi aman, tenang dan terkawal.

Justeru katanya, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi, hasutan atau menularkan perkara tidak benar kerana ia boleh mengancam keamanan negara.

“PDRM sentiasa memantau media sosial bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini. Tugas dan tanggungjawab polis bukan sahaja melibatkan Bukit Aman, tetapi juga membabitkan semua kontinjen,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here