Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pemimpin adalah khadam rakyat – Mursyidul Am Pas

    Pemimpin adalah khadam rakyat – Mursyidul Am Pas

    PAS mengingatkan pemimpin parti itu yang dilantik sebagai anggota Kabinet adalah khadam untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

    Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menegaskan, prinsip itu mesti dipegang bersungguh-sungguh bagi melaksanakan tugas dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab supaya dapat memberikan khidmat yang cemerlang kepada masyarakat.

    Beliau berkata, walaupun bilangan menteri dan timbalan menteri dari parti itu tidak seberapa serta tidak memiliki kuasa yang banyak, namun diyakini mampu melaksakan tugas seperti yang dituntut oleh agama.

    “Dalam Islam, pemimpin adalah khadam kepada rakyat. Jadi, untuk melaksanakan tanggungjawab kita kepada rakyat yang dipimpin, kita perlu kepada kuasa dan saya yakin barisan Kabinet yang terdiri daripada pemimpin dan ahli PAS mampu untuk seberapa boleh, semampu yang ada, untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam rakaman amanatnya kepada Jemaah Menteri dari PAS yang dikongsikan oleh laman Facebook rasmi PAS hari ini.

    Kuota PAS kekal dengan tiga menteri dan lima timbalan menteri, namun, portfolio milik PAS telah bertukar dari KPPK kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) apabila Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad dilantik menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang digugurkan daripada senarai Kabinet kali ini.

    Ketua Dewan Ulama Pas, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.

    Antara menteri dan timbalan menteri PAS yang masih kekal ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan Timbalan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Amzad Mohamed @ Hashim.

  • 53,908 isi rumah di Johor miskin mutlak, tak mampu tampung hidup

    53,908 isi rumah di Johor miskin mutlak, tak mampu tampung hidup

    RAHIMI MOHAMAD

    STATISTIK terkini menunjukkan kira-kira 53,908 isi rumah di Johor berada dalam kategori miskin mutlak iaitu pendapatan mereka adalah lebih rendah daripada nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

    Perkara tersebut didedahkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang berkata, keadaan itu membuatkan golongan berkenaan sukar menampung kos keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat berteduh.

    “Berikut merupakan hakikat yang amat pahit untuk kita terima. Hasil daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersilih ganti, ramai antara isi rumah di Johor sebenarnya telah terjerumus ke dalam kemiskinan.

    “Oleh itu, cukuplah saya menyatakan bahawa cabaran utama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) adalah untuk mengagihkan kekayaan bagi merapatkan jurang kesenjangan ekonomi dalam kalangan masyarakat bandar yang memerlukan pendekatan lebih spesifik dan inklusif daripada sebelumnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelantikan dan angkat sumpah Datuk Bandar Johor Bahru ke-13, Datuk Noorazam Osman di Menara MBJB, di sini hari ini.

    Sehubungan itu, Hasni berkata, Belanjawan Johor 2022 akan menekankan elemen pengupayaan golongan memerlukan dalam kesemua 12 Agenda Kebajikan, Pemberdayaan dan Keberhasilan.

    “Diharapkan agar pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama MBJB berupaya menawar dan melaksana dasar dan inisiatif mengikut kesesuaian kawasan pentadbiran masing-masing.

    “Suka untuk saya ingatkan bahawa ukuran kepada prestasi sesebuah PBT tidak harus disandarkan kepada jumlah kutipan cukai dan simpanan kekayaan semata-mata,

    “Tetapi dalam konteks semasa, prestasi sesebuah PBT juga harus diukur dengan mengambil kira program pembasmian kemiskinan dan pemberdayaan masyarakat yang dilakukan mengikut kesesuian di kawasan masing-masing,” ujarnya.

  • Wanita maut dirogol, diliwat

    Wanita maut dirogol, diliwat

    SEORANG wanita berusia 40 tahun ditemui maut selepas dipercayai dirogol dan diliwat dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.

    Lebih tragis, mayat wanita itu ditemui disorok di bawah katil di salah sebuah bilik di tingkat bawah rumah berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, kejadian menimpa mangsa itu disedari rakannya yang mencarinya di rumah selepas mangsa tidak datang berjumpanya walaupun berjanji bertemu pukul 3 petang semalam.

    Ujarnya, ketika tiba di rumah mangsa, rakannya itu melihat seorang lelaki meninggalkan rumah berkenaan menaiki sebuah motosikal sebelum bertindak menghubungi kakak mangsa yang kemudiannya melaporkan kepada polis.

    “Pemeriksaan polis mendapati keadaan rumah mangsa berselerak dan mayatnya ditemui terbaring di bawah katil di dalam bilik tingkat bawah.

    “Selain itu, seorang jiran mangsa turut mendakwa nampak pergerakan keluar seorang lelaki dengan motosikal jenis SYM dari rumah itu kira-kira pukul 4.30 petang semalam,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Chong Chern berkata, berdasarkan maklumat itu polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun ketika dipercayai bersembunyi di Changkat Sungai Jawi, Nibong Tebal.

    Jelas beliau, siasatan ke atas suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu mendapati sehari sebelum kejadian dia pergi menghisap syabu di rumah rakannya di Kampung Wellesley, Sungai Bakap kira-kira pukul 6 petang.

    “Suspek kemudian meminjam motosikal rakannya untuk bersiar-siar di kawasan taman perumahan itu kira-kira pukul 2 pagi sebelum masuk rumah mangsa melalui tingkap di bahagian belakang.

    “Suspek mendakwa telah masuk ke dalam bilik tidur dan nampak mangsa sedang tidur di atas katil sebelum merogol dan meliwatnya,” katanya.

    Beliau berkata, suspek turut bertindak menyumbat seluar dalam mangsa ke dalam mulut dan menutup mulutnya dengan tangan selepas suspek cuba melawan.

    “Suspek kemudiannya mendapati mangsa tidak bergerak dan disyaki meninggal dunia sebelum menarik mayatnya dan disembunyikan di bawah katil,” katanya.

    Tambah beliau, suspek turut mengaku mengambil sebuah telefon bimbit, wang tunai dan loket milik mangsa sebelum keluar dari rumah itu namun telah membuangnya ke dalam sungai.

  • Gajah liar 2 beranak musnahkan kebun pisang

    Gajah liar 2 beranak musnahkan kebun pisang

    PENDUDUK Kampung Lembaga di Gua Musang Kelantan terus berada dalam keresahan apabila tanaman pisang yang mereka usahakan sentiasa diancam gajah liar dua beranak.

    Malah, ada dalam kalangan penduduk mendakwa mengalami kerugian apabila sebanyak 500 pokok pisang yang diusahakan dimusnahkan haiwan tersebut.

    “Sampai bila kami terpaksa berhadapan kerugian apabila berulang kali gajah liar memusnahkan pokok pisang tanpa sebarang tindakan,” ujar Mohd Rosdi Ayub, 54, di Kampung Lembaga, Gua Musang hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd Rosdi mendakwa, sehingga ini sebanyak 500 pokok pisangnya yang diusahakan di Jalan Subong dimusnahkan gajah liar tersebut.

    Menurutnya, kejadian itu berlaku secara berulang kali sejak empat bulan lalu dan terbaharu pula berlaku pagi semalam.

    Katanya, gajah liar dua beranak itu dipercayai masih berada dalam kawasan berkenaan dan kemungkinan lebih banyak lagi pokok pisang bakal dimusnahkan.

    “Pokok pisang yang dimusnah itu sudah mengeluarkan hasil dan saya agak terkejut sebaik melihat keadaan pokok pisang bergelimpangan.

    “Saya telah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tetapi masih belum ada tindakan, dibuat” katanya.

    Seorang lagi penduduk, Mokhtar Osman, 36, memberitahu, bukan sahaja pendapatan terjejas disebabkan pokok pisang dimusnahkan gajah liar, tetapi dia juga berasa takut untuk keluar menoreh getah.

    Katanya, dia pernah terserempak dengan gajah liar dua beranak itu berada dalam kebun pisangnya, tetapi dia sempat lari menyelamatkan diri.

    “Ketika kejadian itu, saya sedang memunggut getah sekerap dalam mangkuk untuk diisi ke dalam tong.

    “Kejadian itu berlaku pada pukul 7 pagi hingga terpaksa tinggalkan getah sekerap begitu sahaja dan sampai hari ini masih takut untuk menoreh getah,” ceritanya.

  • [VIDEO] Pemancing rakam ular sawa raksasa

    [VIDEO] Pemancing rakam ular sawa raksasa

    VIDEO seekor ular sawa raksasa sedang menyusur di sebuah kebun penduduk kampung sebelum menuju ke hutan tular di media sosial.

    Lapor Tribunnews, kejadian itu dirakam di Desa Mekarsari dekat mukim Kintap, didaerah Tanahlaut Kalimantan Selatan, baru-baru ini.

    Ular sawa sepanjang antara tujuh hingga lapan meter itu dikenalpasti melalui warna kulit ular bercorak kuning keputihan dan hitam.

    Ketua Kampung Desa Mekarsari, Wintono mengesahkan penemuan reptilia itu di kawasan kampungnya.

    “Lokasinya itu di sekitar lombong. Jarak dengan rumah penduduk kira-kira satu kilometer. Ular berkenaan panjang sekitar lapan meter,” katanya.

    Wintono berkata, video berkenaan diambil oleh seorang pemancing dari Sungaidanau, daerah Tanahbumbu dua minggu lalu.

    Wintono berkata, pemancing itu hanya sempat mengambil video berkenaan selama beberapa saat kerana bimbangkan keselamatan.

    Ujarnya, ini bukan kali pertama penduduk kampung menemui ular raksasa, malah mereka pernah melihatnya ketika musim banjir.

    “Sebelum ini ketika banjir di kebun, penduduk pernah melihat ular sawa yang besar.

    “Mungkin kerana banjir sedalam satu meter, ular itu mencari tempat lain yang lebih selesa,” katanya.

    Wintono berkata, setakat ini tiada kejadian kehilangan haiwan ternakan disebabkan kehadiran pemangsa itu di kawasan berkenaan.

    “Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik saja,” katanya.

  • Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    HELAH seorang lelaki berusia 46 tahun menumpang sementara di rumah seorang ibu tunggal yang dakwanya akan dinikahinya gagal apabila dia ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), semalam.

    Lelaki berstatus duda itu ditahan bersama pasangannya, wanita 38 tahun yang mempunyai tiga anak di sebuah rumah kedai di Pekan Air Hitam, Kedah kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pasangan itu dicekup sepasukan anggota JAIK selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai aktiviti maksiat.

    Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak wanita itu berada dalam rumah kedai berkenaan.

    “Pasangan itu gagal menunjukkan mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan maksiat.

    “Lelaki itu memberi alasan seperti itu bagi mengelak ditahan namun gagal kerana tidak munasabah dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

    Wanita berkenaan dipercayai menjalankan perniagaan di rumah kedai tersebut manakala lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu kedai wanita itu.

    Radzi berkata, mereka kemudian ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

    Beliau menambah, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

  • Negeri Sembilan hampiri status imuniti kelompok

    Negeri Sembilan hampiri status imuniti kelompok

    NEGERI Sembilan menghampiri status imuniti kelompok apabila 76.4 peratus daripada penduduk negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas sudah lengkap dua dos vaksin.

    Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, jumlah kes baharu harian di negeri itu juga menunjukkan kadar jangkitan kes terendah di Malaysia.

    Beliau berkata, setakat 27 Ogos, seramai 76.40 peratus atau 622,081 individu berumur 18 tahun ke atas di negeri ini sudah lengkap divaksinasi sekali gus menghampiri imuniti kelompok.

    “Selain itu, keberkesanan program vaksinasi ini dapat dilihat melalui jumlah harian kes baru positif Covid-19 yang dimuat naik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Contohnya semalam hanya 345 kes dikesan, antara kadar terendah di Malaysia,” katanya, hari ini.

    Aminuddin pada masa sama juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa berusaha mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

    “Harapan saya, semoga kita sentiasa mematuhi SOP supaya kes tidak kembali menular dan seterusnya menyukarkan Negeri Sembilan untuk beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

    Menerusi data yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, seramai 762,161 individu sudah mengambil dos pertama, manakala seramai 622,081 sudah lengkap proses vaksinasi.

    Negeri Sembilan beralih daripada Fasa Satu ke Fasa Dua PPN mulai 26 Ogos sekali gus membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi.

    Aktiviti rentas daerah bagi individu yang sudah lengkap menerima vaksin juga dibenarkan dengan mengemukakan kad atau sijil digital vaksinasi Covid-19 dan Mykad sebagai bukti apabila diminta untuk berbuat demikian.

  • PH terima CSA jika PM kemuka tawaran seperti Muhyiddin

    PH terima CSA jika PM kemuka tawaran seperti Muhyiddin

    PAKATAN Harapan (PH) bersedia menerima perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan syarat beliau membuat tawaran serupa seperti yang dilakukan pendahulunya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bercakap pada forum dalam talian malam tadi, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mengesahkan rundingan sedang berlangsung antara blok pembangkang dengan Ismail Sabri, yang dilantik sebagai Perdana Menteri minggu lalu.

    “Sekiranya beliau  (Ismail Sabri) dapat melakukan itu, dan ini sedang dirundingkan sekarang, jika dia dapat menawarkan apa sahaja yang telah ditawarkan Muhyiddin (janji menggubal) undang-undang antilompat parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, dan reformasi parlimen, maka kami bersedia menawarkan gencatan politik untuk memberikan kestabilan bagi kerajaan.

    “(Gencatan politik) untuk melakukan reformasi ini sebelum pilihan raya umum berikutnya. Inilah sesuatu yang sedang kami usahakan dan kami cukup optimis untuk mencapai keputusan positif daripada perbincangan ini,” kata Pua laporan Malaysiakini.

    Ahli Parlimen DAP itu bercakap dalam forum yang dianjurkan oleh Oxford and Cambridge Society Malaysia, yang disiarkan secara langsung di Youtube.

    Pua merujuk tawaran yang dibuat Muhyiddin pada 13 Ogos lalu, yang antara lain berjanji akan melaksanakan pembaharuan yang dituntut oleh pembangkang, bagi memastikan undi percaya terhadapnya diluluskan.

    Ia dilihat sebagai usaha terakhir Muhyiddin untuk menyelamatkan kedudukannya setelah 14 Ahli Parlimen UMNO menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menarik balik sokongan terhadapnya.

    Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu setelah mendapat sokongan majoriti tipis daripada 114 Ahli Parlime. 

    Bagaimanapun dia akan berdepan undi percaya ketika Parlimen bersidang semula pada 6 September ini.

    Pada Rabu lalu, Ismail Sabri dilapor mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mengeluarkan kenyataan bersama yang mengatakan mereka bersetuju untuk memperkasakan institusi parlimen.

    Anwar juga memberitahu wartawan bahawa gabungan pembangkang tidak akan “mempersulit” undi percaya terhadap Ismail Sabri jika dia bertindak demi kepentingan rakyat.

    Menjawab pertanyaan daripada moderator, Pua mengaitkan peluang untuk berdialog dengan Ismail Sabri akibat kemelut dalam UMNO.

    Menurutnya, ini kerana Ismail Sabri berdepan ancaman dari dalam yang menyebabkan beliau bersedia berunding dengan pembangkang.

    “Anda betul, Ismail hanya salah seorang Naib Presiden dalam UMNO. Oleh itu, beliau lemah. Justeru kerana beliau lemah, ada ruang untuk kita merundingkan syarat-syarat yang akan mencapai faedah bagi masyarakat di luar sana. Ini sebenarnya akan mewujudkan demokrasi yang lebih baik untuk Malaysia.

    “Sekiranya beliau kuat dan menguasai UMNO sepenuhnya, menguasai sepenuhnya rakyat dan gabungannya, beliau tidak akan memerlukan sokongan kita,” katanya.

    Pua berkata, Kabinet baharu yang diumumkan Ismail Sabri semalam menunjukkan sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada kerajaan PN, tercicir daripada senarai.

    Beliau mendakwa hal ini menunjukkan Ismail Sabri mengambil sikap menentang kumpulan itu dalam partinya, dan PH berharap ia menjadi sebab bagi Ismail Sabri bersetuju dengan agenda reformasi.

  • Pertukaran portfolio bukan ‘downgrade’ – Takiyuddin

    Pertukaran portfolio bukan ‘downgrade’ – Takiyuddin

    AHLI Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata beliau tidak menganggap pertukaran portfolionya daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli sebagai ‘downgrade’.

    Sebaliknya, beliau berkata perubahan dalam portfolio Kabinet itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan perancangan dan sasaran pelaksanaan kerja yang menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

    “Itu terpulang kepada penilaian masing-masing kerana ada (juga) orang kata saya ‘promoted’ (dinaikkan pangkat) kerana (jawatan sebelum ini) kementerian pun tak ada, kita diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

    “Bagi saya semua portfolio ada kementerian atau tidak sama sahaja, yang penting individu atau menteri itu sendiri buktikan dia boleh laksanakan kerja dengan baik, itu yang penting, saya bertekad untuk bekerja sebaik mungkin dalam kementerian baharu ini untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara,” katanya lapor Bernama.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut mengenai pelantikannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin berkata beliau yakin mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan bantuan Timbalan Menteri Datuk Ali Biju serta pegawai-pegawai kementerian.

    “Saya bukan orang teknikal tetapi portfolio baharu ini setakat kajian saya turut merangkumi banyak aspek perundangan sebagai contoh aspek tanah, sumber asli dan tenaga,” katanya.

    Mengenai perancangan mengemudi kementerian baharu itu kelak, Takiyuddin berkata beliau akan meneruskan dasar serta inisiatif yang telah dilaksanakan menteri sebelum ini, selain akan menambah baik sistem sedia ada berdasarkan keperluan.

    “Dasar-dasar yang baik kita teruskan dan kita akan tambah baik juga,” katanya yang akan memastikan bekalan elektrik disalurkan kepada kawasan yang masih belum mendapat keperluan asas itu.

  • Nazri mahu bersara, tak kan bertanding PRU-15

    Nazri mahu bersara, tak kan bertanding PRU-15

    DATUK Seri Nazri Aziz memutuskan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Bercakap kepada portal Malaysiakini, Ahli Parlimen Padang Rengas juga akan mengundurkan diri daripada politik setelah enam penggal menjadi wakil rakyat sejak terpilih pada tahun 1995.

    Nazri berkata, ada ramai pemimpin lebih muda seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 60, dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, 60, justeru beliau mahu menyerahkan tugas itu kepada generasi baru.

    “Saya rasa ini adalah isyarat untuk orang-orang daripada generasi saya bahawa sudah tiba masanya kami pergi dan sokong pemimpin baharu,” katanya.

    Nazri, 67, pernah dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) dan Menteri Pembangunan Usahawan.

    Beliau pertama kali terpilih sebagai Ahli Parlimen Cenderoh pada tahun 1995 dan mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya 1999, sebelum memenangi kerusi parlimen Padang Rengas dalam empat PRU berturut-turut.

    Sebelum itu, dbeliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada tahun 1990.

    “Saya rasa, ketika kami (Barisan Nasional) kalah dalam PRU 2018, ada hikmahnya kerana selepas itu, kami tidak dapat jadi kerajaan dan tidak lagi memiliki kuasa membentuk Jemaah Menteri. Jadi, jauh lebih mudah (untuk berundur).

    “Zaman kegemilangan (saya) akan berakhir, tapi tidak apa. Saya puas nikmati masa saya dalam politik. Saya berusia hampir 70 tahun sekarang, jadi berundur dengan cara baik sangat penting,” kata Nazri.

    Beliau berkata, ada ramai ahli politik baharu bersedia untuk menggantikan tempatnya, namun berkata hal itu akan ditentukan oleh parti.