Author: Wartawan WartaRakyat

  • Otai Reformis kecewa dengan Anwar, MB Selangor

    Otai Reformis kecewa dengan Anwar, MB Selangor

    KUMPULAN penyokong Anwar Ibrahim, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN) terkejut dan kecewa dengan keputusan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang telah bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) untuk tujuan pembangunan

    Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata, kelulusan itu seolah-olah kerajaan negeri Selangor tidak mengambil serius bantahan lebih 50,000 rakyat termasuk masyarakat tempatan, Orang Asli dan NGO alam sekitar.

    Mereka juga kesal apabila keputusan yang dibuat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor November tahun lalu untuk mempertahankan hutan simpan itu dilanggar.

    “Otai Reformis kesal kerana pada sidang DUN November tahun lepas, dewan telah meluluskan usul untuk pertahankan hutan simpan tersebut secara sebulat suara tanpa sebarang bantahan.

    “Keputusan kerajaan negeri Selangor ini telah menafikan suara dan inspirasi rakyat Selangor yang prihatin dengan penjagaan hutan dan alam sekitar,” katanya kepada FMT.

    Mereka turut meluahkan rasa kecewa dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal menasihatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari parti sendiri untuk menghalang nyahwarta hutan tersebut.

    “Otai Reformis dan COEN telah menulis ‘surat rayuan’ untuk mendapatkan campur tangan Anwar pada April untuk menghalang nyahwarta tersebut tapi nampaknya Anwar ‘gagal untuk menasihati’ menteri besar dari partinya untuk lebih prihatin dengan desakan pelbagai pihak untuk menghalang nyahwarta hutan tersebut.

    “Otai beranggapan menteri besar sedang bermain dengan api kemarahan rakyat Selangor dan kegagalan serta kelemahan Anwar untuk ‘bertindak tegas’ terhadap MB Selangor dari partinya sendiri memperjelaskan mengapa PH gagal mendapat ‘command majority’ dalam beberapa usaha menawan semula Putrajaya,” katanya.

    Exco Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian semalam berkata, kerajaan negeri Selangor bersetuju menyahwartakan 536.7ha Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) untuk dibangunkan.

    Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

    Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang diwartakan pada 13 Mei 1927, terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.

    Usaha untuk membangunkan tanah kawasan tersebut dibantah hebat NGO alam sekitar dan masyarakat Orang Asli.

  • Jalan di bandar Gaza dinamakan Lebuh Malaysia

    Jalan di bandar Gaza dinamakan Lebuh Malaysia

    SEBUAH jalan dinamakan di Gaza dinamakan sebagai Lebuh Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-64 hari ini.

    Gambar dan maklumat berhubung inisiatif tersebut dikongsi oleh Pengerusi Persatuan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM), Muslim Imran dalam Twittter beliau.

    Menurut beliau, papan tanda Lebuh Malaysia itu dipasang di bulatan Ansar, barat bandar Gaza.

    “Selamat Hari Merdeka Malaysia, ikhlas dari Gaza, Palestin.

    “Majlis Perbandaran Gaza menamakan sebuah jalan di kawasan barat bandar Gaza sebagai Lebuh Malaysia bagi memperingati Hari Kemerdekaan Malaysia, hari ini,” jelasnya dalam ciapan tersebut.

    Sumber: Twitter Muslim Imran

    Papan tanda nama jalan tersebut ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

    Penerangan ringkas berhubung Malaysia dan peranan negara ini dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel turut dipaparkan pada papan tanda itu.

    Ia berbunyi:

    Malaysia:

    Ia merupakan salah sebuah negara di Asia Tenggara yang mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada 31 Ogos 1957 dan ibu negaranya adalah Kuala Lumpur.

    Malaysia mempunyai peranan penting dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

    Negara itu sentiasa mendesak agar pendudukan Israel ditamatkan dan hak-hak rakyat Palestin dikembalikan.

    Negara itu juga menolak normalisasi hubungan dengan Israel.

  • Bidang kuasa berbeza, SOP ziarah kubur tak seragam

    Bidang kuasa berbeza, SOP ziarah kubur tak seragam

    PERBEZAAN bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan negeri dikatakan menjadi punca ketidakseragaman prosedur operasi standard (SOP), termasuk kebenaran ziarah kubur.

    Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, keputusan di peringkat Persekutuan membenarkan masyarakat untuk menziarahi kubur ketika di luar musim perayaan.

    Menurut beliau, pertimbangan sedemikian dibuat berikutan orang ramai lazimnya berpusu-pusu ke pusara ahli keluarga apabila tiba musim perayaan seperti Aidilfitri.

    “Apa yang saya nyatakan ialah pendirian kerajaan Pusat atau MKN. Ini satu kes terpencil yang berpunca daripada ketidakseragaman SOP,” katanya seperti dilapokan BH, hari ini.

    Beliau mengulas keluhan yang disuarakan cef selebriti, Chef Zam menerusi media sosial kerana dihalang daripada menziarahi pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam, dekat Seksyen 9 Kota Damansara, Selangor.

    Difahamkan, Chef Zam atau nama sebenarnya, Zamzani Abdul Wahab dilarang berbuat demikian atas arahan Majlis Agama Islam Selangor, memandangkan kawasan berkenaan masih dikategorikan dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Walaupun kerajaan Persekutuan bertanggungjawab memuktamadkan SOP berhubung kawalan pergerakan, Rodzi berkata, ada negeri yang bertindak mewujudkan peraturan tambahan.

    Beliau memberitahu, hal itu kerana perkara berkaitan Islam adalah tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa agama negeri.

    “Memang MKN putuskan boleh ziarah kubur di luar waktu perayaan, namun ada negeri yang bertindak mewujudkan peraturan tambahan kerana perkara keagamaan (Islam) adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri,” jelasnya.

  • Tarikh sidang Parlimen pinda ke 13 September

    Tarikh sidang Parlimen pinda ke 13 September

    TARIKH mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 dipinda ke 13 September hingga 12 Oktober depan.

    Sebelum ini, ia dijadualkan berlangsung mulai 6 September hingga 30 September ini.

    Memetik laporan BH Online, perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat bertarikh semalam yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin kepada semua Ahli Dewan Rakyat.

    “Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadualkan pada Isnin, 6 September hingga Khamis, 30 September sudah dipinda ke Isnin, 13 September hingga Khamis 12 Oktober 2021,” katanya.

    Jurucakap Parlimen yang dihubungi hari ini juga mengesahkan berkenaan kandungan notis kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat berkenaan, di samping ciapan di Twitter oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengenai makluman notis pindaan itu yang diterima mereka malam tadi.

    Dalam notis sama juga, turut dilampirkan takwim baharu mesyuarat yang akan berlangsung selama 17 hari bermula 13 September hingga 12 Oktober.

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada hari pertama, serta menyampaikan Titah Diraja.

    Berdasarkan urusan majlis sidang itu juga, sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja akan bermula pada hari kedua berlangsung hingga 21 September, sebelum kemudian diteruskan dengan jawapan menteri-menteri pada tarikh 22 dan 23 September.

    Sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 27 September, disusuli sesi perbahasan yang bermula 28 September hingga 4 Oktober.

    Mesyuarat pertama bagi tahun ini juga dijadual berakhir pada minggu kelima dengan urusan majlis berkaitan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain pada 11 dan 12 Oktober depan.

  • Keluarga Malaysia bulat tekad pulih negara

    Keluarga Malaysia bulat tekad pulih negara

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat sebagai sebuah Keluarga Malaysia untuk bersama-sama membulatkan tekad bagi memulihkan negara sempena Hari Kebangsaan ke-64 yang disambut esok.

    Menurut beliau, situasi pandemik COVID-19 yang dihadapi negara hari ini adalah cabaran yang belum pernah ditempuhi mana-mana kepemimpinan dan kerajaan terdahulu.

    Ismail Sabri berkata, beberapa cabaran serentak, iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi, menyebabkan kestabilan politik negara dan di seluruh dunia tergugat.

    “Sempena Hari Kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik COVID-19 sebagai musuh yang paling utama.

    “Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

    “Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, manakala keyakinan pelabur harus dikembalikan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Hari Kebangsaan Negara ke-64, malam ini.

    Sambutan Hari Kebangsaan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya bermula pukul 8 sehingga 8.50 pagi esok akan disiarkan secara langsung menerusi semua stesen penyiar tempatan.

    Siaran langsung itu memaparkan penggunaan elemen teknologi terkini berkonsepkan ‘mix reality’, iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) dan juga XR (Extended Reality) berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

    Dalam perutusan itu juga, Ismail Sabri mengajak seluruh Keluarga Malaysia agar segera mendapatkan vaksin sebagai satu ikhtiar dalam menyokong pemulihan negara.

    Beliau memberitahu, vaksin sudah terbukti memberi impak positif, terutama dalam usaha memerangi wabak berkenaan.

    “Berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan,” tegasnya.

    Ismail Sabri juga amat berharap, hasil kerjasama seluruh lapisan masyarakat, sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini menjadi yang terakhir disambut dalam suasana peperangan melawan pandemik COVID-19.

    “Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri dengan penuh keinsafan dan kesyukuran mengajak semua pihak menyusuri sejarah perjuangan bangsa mempertahankan kemerdekaan dan merebut kembali tanah air selepas dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

    Beliau berkata, walaupun ia sering diperkatakan, namun sesuatu yang penting perlu diulang-ulang supaya sentiasa terpahat dalam fikiran terutama dalam kalangan generasi muda.

    “Dalam mempertahan dan memperjuangkan kemerdekaan negara ini, ia telah menumpahkan air mata, keringat dan darah para pejuang yang bukan sedikit. Bermula dengan runtuhnya Kerajaan Melaka di tangan kekuasaan Portugis pada tahun 1511.

    “Sejak itu, peta pemerintahan dan kekuasaan kita mula dirobekkan oleh penjajah Barat. Ratusan perjuangan yang ditandai peperangan, perundingan, dan pengorbanan telah memakan masa selama 446 tahun.

    “Ia terpaksa dihadapi demi mengembalikan semula kemerdekaan tanah air ini,” katanya.

    Beliau berkata, bukan sedikit pahlawan negara yang gugur dan terkorban dalam mencapai dan mempertahankan kemerdekaan dan sumbangan mereka terutama anggota keselamatan, tentera dan polis sejak dahulu sehingga kini amat dihargai.

    “Saya perlu menyebut beberapa fakta sejarah tadi kerana setiap negara yang mahu bangkit daripada sebarang kemelut perlu mengenali sejarah. Individu yang mengenali sejarah akan memiliki jati diri yang kukuh dan saling menghormati.

    “Yang paling utama ialah, mereka akan memiliki fikiran yang fokus dalam mengatasi apa pun cabaran sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia,” jelasnya.

  • Ajal ditangan ayam sabung sendiri

    Ajal ditangan ayam sabung sendiri

    SENJATA makan tuan. Barangkali itu peribahasa yang tepat untuk menggambarkan nasib seorang lelaki di Bintulu Sarawak apabila dia maut terkena taji ayam laga miliknya ketika terbabit dalam aktiviti sabung ayam, semalam.

    Dalam kejadian di kawasan ladang sawit persendirian di Batu 21, Jalan Bintulu-Miri, Bintulu itu, mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Bintulu setelah mengalami pendarahan yang banyak.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, mangsa ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu sedang mengikat taji pada bahagian kaki ayam sabungnya.

    Menurutnya, ayam itu secara tiba-tiba meluru ke arah mangsa dan mencederakan bahagian pehanya sehingga mengalami pendarahan yang banyak.

    “Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia semasa berada di Hospital Bintulu,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Aidi berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes mati mengejut (SDR).

    Selain itu katanya, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu kemudian telah membuat tangkapan terhadap enam suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti sabung ayam.

    “Kes disiasat bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952 / Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

    “Kes turut disiasat di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Didalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” tambahnya.

  • Anak pelakon tolak vaksin

    Anak pelakon tolak vaksin

    BIMBANG perkara buruk menimpa mereka selepas divaksin, dua remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan di Selangor membuat laporan polis bagi menyatakan hak mereka menolak suntikan vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar.

    Seorang pelajar, Azrell Omar Azri Iskandar, 17, berkata, dia berhak menolak daripada menjadi bahan eksperimen dengan dicucuk vaksin selepas dimaklumkan tiada pihak yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin.

    “Apa yang berlaku terhadap saya selepas menerima vaksin, semuanya atas tanggungan saya sendiri.

    “Saya pelajar yang sihat tubuh badan dan tidak sanggup mengambil sebarang risiko yang boleh mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan saya melalui suntikan vaksin ini yang masih lagi di tahap ujian klinikal.

    “Saya tak sanggup mempertaruhkan nyawa saya untuk ujian klinikal ini kerana ada pelbagai kaedah mencegah Covid-19 iaitu melalui cara perubatan homeopati holistik, makanan sunnah yang keluarga saya amalkan bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya hari ini.

    Terdahulu Azrell Omar membuat laporan polis bersama adik perempuannya, Nur Azreen Omar Iskandar Azri Iskandar, 12, dan rakannya Muhammad Hanif Haikal Jeffery, 17, di Balai Polis Taman Melawati.

    Selain itu, Azrell Omar serta adiknya ditemani ibu mereka yang juga pelakon, Ellie Suriaty Omar.

    Kata pelajar itu, dia ada menerima borang daripada gurunya untuk mendapatkan vaksin dua minggu lalu.

    “Dalam borang berkenaan, kami (pelajar) diberitahu bahawa tiada siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin.

    “Setakat ini, mereka tidak memaklumkan ada tindakan lanjut akan dikenakan sekiranya tidak mengambil vaksin,” katanya yang memaklumkan semua ahli keluarganya belum mengambil vaksin sehingga kini.

    Mengulas lanjut Azrell Omar berkata, tiada mana-mana individu memaksanya membuat laporan itu yang dibuat atas kewarasan sendiri selepas menilai maklumat diperolehinya.

    Ujarnya, dia mengambil semua maklumat berkaitan vaksin dan Covid-19 daripada Internet termasuk membaca berita dari luar negara selain maklumat daripada ibunya, ahli keluarga serta kenalan.

    “Dari situ saya menilai sendiri maklumat diperoleh dan membuat keputusan untuk menolak disuntik vaksin,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat individu berkenaan.

  • Tipu pembelian produk kecantikan, tiga wanita dicekup

    Tipu pembelian produk kecantikan, tiga wanita dicekup

    RIZQI ZABIDI

    Kelicikan tiga wanita melakukan penipuan berhubung pembelian produk kecantikan, pelawaan menjadi rakan kongsi perniagaan dan bilik pameran produk kecantikan sejak tiga tahun lalu, berakhir apabila kesemua mereka diberkas polis baru-baru ini.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Supritendan Elias Omar, ketiga-tiga individu berkenaan yang berumur 51, 31 dan 28 tahun diberkas di Alor Setar serta Pendang pada 17, 18 dan 22 Ogos lalu.

    “Dengan penahanan mereka, kita percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak 14 kes menggunakan modus operandi sama.

    “Nilai kerugian bagi kes di Kedah saja dianggarkan berjumlah RM25,000. Kes-kes itu dipercayai berlaku antara 2018 hingga tahun ini,” katanya.

    Difahamkan ketiga-tiga wanita itu mempunyai hubungan persaudaraan dan aktif menggunakan media sosial instagram sebagai medium menjalankan kegiatan haram tersebut.

    Elias berkata, mangsa yang pernah ditipu oleh ketiga-tiga suspek itu diminta tampil membuat laporan polis dengan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Masyarakat diingatkan agar tidak terperdaya dengan tawaran jualan barangan secara dalam talian terutamanya yang menawarkan harga rendah.

    “Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar membuat semakan sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

  • Wanita maut selepas diberikan vaksin Pfizer

    Wanita maut selepas diberikan vaksin Pfizer

    NEW Zealand hari ini melaporkan apa yang dipercayainya sebagai kematian pertama berkaitan dengan vaksin Pfizer Covid-19.

    BBC melaporkan, sebuah badan pemantau keselamatan vaksin bebas berkata, kematian wanita itu mungkin disebabkan oleh miokarditis atau keradangan otot jantung.

    Ia juga menyatakan bahawa terdapat masalah perubatan lain yang mungkin mempengaruhi insiden itu setelah vaksinasi.

    Pengawal selia Eropah berkata, miokarditis adalah kesan sampingan ‘sangat jarang’ berlaku namun manfaat vaksin melebihi risiko yang diketahui.

    Bagaimanapun, punca kematian rasmi belum dapat dipastikan.

    Menurut Lembaga Pemantau Keselamatan Bebas Vaksin Covid-19 berkata, miokarditis kebarangkalian besar disebabkan oleh vaksinasi.

    “Ini adalah kes pertama di New Zealand di mana kematian selepas vaksinasi yang dikaitkan dengan vaksin Pfizer Covid-19.

    “Selain itu, Pusat Pemantauan Reaksi Adverse telah menerima laporan kematian lain pada seseorang yang baru-baru ini divaksinasi, namun tidak ada yang dianggap berkaitan untuk vaksinasi, “katanya dalam satu kenyataan.

    Kematian wanita itu kini disiasat lebih lanjut dan seorang koroner akan memutuskan kes ini.

    Pihak berkuasa belum mengeluarkan maklumat lebih lanjut, termasuk usia wanita itu.

    Gejala miokarditis boleh merangkumi sakit dada yang baru, sesak nafas dan degupan jantung yang tidak normal.

    Menurut Universiti Johns Hopkins, New Zealand mencatatkan 3,465 kes Covid dan 26 kematian setakat ini.

    Lebih daripada tiga juta dos vaksin telah diberikan dengan 23 peratus penduduknya lengkap divaksin.

    Kenaikan kes Covid sejak kebelakangan ini dikaitkan dengan varian Delta, sehingga menyebabkan sebahagian besar negara itu menjalani perintah berkurung.

  • Menteri, timbalan menteri angkat sumpah depan Agong

    Menteri, timbalan menteri angkat sumpah depan Agong

    SERAMAI 30 menteri dan 37 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

    Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Mereka diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lepas yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri.

    Dua daripada mereka tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan hari ini.

    Mereka ialah Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang disahkan positif Covid-19.

    Perdana Menteri, yang dijadual hadir, turut tidak dapat berbuat demikian kerana menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

    Berlangsung di Balairung Seri mulai 2.30 petang, istiadat itu bermula dengan lagu kebangsaan ’Negaraku’ dimainkan.

    Ia kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Istiadat berkenaan diadakan secara berkumpulan dengan barisan menteri dibahagikan kepada lima kumpulan manakala timbalan menteri enam kumpulan.

    Kumpulan pertama menteri seramai tujuh orang terdiri daripada empat Menteri Kanan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Gombak), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein – Menteri Pertahanan (Sembrong), Datuk Seri Fadillah Yusof – Menteri Kerja Raya (Petra Jaya) dan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Jidin – Menteri Pendidikan.

    Tiga lagi dalam kumpulan itu ialah Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan (Tapah).

    Kumpulan kedua:

    Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak) (Ahli Parlimen Kota Marudu)

    Datuk Seri Dr Ronald Kiandee – Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Beluran)

    Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man – Menteri Alam Sekitar dan Air (Kubang Kerian)

    Datuk Seri Hamzah Zainudin – Menteri Dalam Negeri (Larut)

    Datuk Seri Alexander Nanta Linggi – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Kapit)

    Datuk Seri Takiyuddin Hassan – Menteri Tenaga dan Sumber Asli (Kota Bharu)

    Datuk Seri Dr Noraini Ahmad – Menteri Pengajian Tinggi (Parit Sulong)

    Kumpulan ketiga

    Datuk Seri Rina Mohd Harun – Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Titiwangsa)

    Tan Sri Annuar Musa – Menteri Komunikasi dan Multimedia (Ketereh)

    Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kepala Batas)

    Khairy Jamaluddin – Menteri Kesihatan (Rembau)

    Datuk Halimah Mohamed Sadique – Menteri Perpaduan Negara (Kota Tinggi)

    Datuk Seri Dr Adham Baba – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Tenggara)

    Datuk Seri Mustapa Mohamed – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) (Jeli)

    Kumpulan keempat

    Datuk Saifuddin Abdullah – Menteri Luar (Indera Mahkota)

    Datuk Dr Zuraida Kamaruddin – Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (Ampang)

    Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) (Mersing)

    Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) (Santubong)

    Datuk Seri Nancy Shukri – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Batang Sadong)

    Kumpulan kelima

    Datuk Seri Mahdzir Khalid – Menteri Pembangunan Luar Bandar (Padang Terap)

    Datuk Seri Shahidan Kassim – Menteri Wilayah Persekutuan (Arau)

    Datuk Seri Faizal Azumu – Menteri Belia dan Sukan (Tambun)

    Senator Idris Ahmad – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

    Istiadat kemudian menyaksikan giliran 37 timbalan menteri pula mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebelum diakhiri dengan sesi bergambar barisan menteri dan timbalan menteri dengan Seri Paduka berdua. – Bernama