SEJAK penubuhannya lebih 22 tahun lalu, PKR tidak dapat lepas daripada belenggu politik dinasti keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Belum pernah ada mana-mana parti politik di negara ini yang menyaksikan tiga ahli keluarga yang sama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dalam penggal yang sama.

Anwar di Port Dickson, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pandan manakala anak perempuan mereka, Nurul Izzah di Permatang Pauh.

Selain ikatan darah, satu lagi persamaan adalah nama ketiga-tiga kerusi Parlimen yang diwakili oleh keluarga Anwar bermula dengan huruf P.

Anwar dan isterinya pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Wan Azizah juga sebelum ini menyandang jawatan Presiden PKR semasa suaminya meringkuk di dalam penjara.

Nurul Izzah pula pernah menjadi Naib Presiden PKR namun beliau membuat keputusan meletak semua jawatan dalam parti pada 17 Disember 2018.

Kisah politik tiga beranak itu seolah-olah dongeng yang menjadi nyata pula.

Sekiranya perkara yang sama berlaku dalam parti-parti lawan, sudah tentu menjadi bahan kecaman penyokong-penyokong totok PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Memandangkan politik dinasti PKR melibatkan keluarga pemimpin ulung mereka, penyokong-penyokong PKR buat-buat tak nampak sahaja.

Sehingga mereka terlepas pandang bahawa PKR sebenarnya mempunyai lebih ramai tokoh-tokoh muda yang boleh ditonjolkan sebagai pemimpin nombor satu parti dan Ahli Parlimen.

Contohnya, Rafizi Ramli yang terpaksa memberi laluan kepada Dr Wan Azizah untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Walhal, beliau adalah lebih berkarisma berbanding isteri Anwar untuk diketengahkan sebagai menteri Kabinet semasa rejim PH berkuasa dahulu.

Malangnya, Rafizi tidak menerima peluang itu kerana keutamaan PKR adalah Anwar dan ahli-ahli keluarganya.

Lebih malang lagi, peluang itu tidak akan datang lagi selepas ini kerana rakyat yang menyedari mereka telah ditipu pasti tidak memberi mandat sekali lagi kepada PH.

Selain Rafizi, ramai lagi seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Yusmadi Yusoff dan Wong Chen yang boleh diberi kepercayaan untuk menggantikan Anwar sebagai pemimpin nombor satu PKR.

Pemerhati melihat mereka lebih komited membawa isu-isu rakyat di Parlimen jika dibandingkan dengan Anwar yang terlalu taksub dengan angan-angannya menjadi Perdana Menteri.

Masa depan PKR sebagai sebuah parti yang relevan di negara ini amat bergantung kepada kepada keberanian pemimpin-pemimpin mudanya untuk melakukan reformasi dalaman.

Sekiranya mereka kecut dan terlalu ingin menjaga hati Anwar dan keluarganya, tidak mustahil PKR akan dikuburkan dalam PRU seterusnya.

Ambil iktibar daripada bekas-bekas pengasas PKR yang meninggalkan parti itu setelah menyedari tembelang sebenar Anwar yang busuk lagi membusukkan.

Bau tembelang yang memualkan bukan terpalit kepada Anwar sahaja malah turut terkena mereka yang rapat dengannya.

Tiada jalan lagi untuk memulihkan krisis keyakinan dan kepimpinan yang dihadapi PKR selain daripada menggantikan Anwar dengan muka baharu yang lebih segar dan yang paling penting, tokoh itu bukan ahli keluarganya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here