Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tok Guru Pak Teh Mad meninggal dunia akibat Covid-19

    Tok Guru Pak Teh Mad meninggal dunia akibat Covid-19

    SELEPAS hampir seminggu bertarung dengan jangkitan Covid-19, ulama Kedah, Datuk Ahmad Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang hari ini.

    Allahyarham, 96, yang merupakan pengasas Maktab Mahmud Padang Terap dan Pondok Ahmadiah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 12.57 tengah malam tadi.

    Anaknya, Wan Mohd Assamudin Ahmad, 58, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham yang dirawat di Hospital Kuala Nerang sejak Jumaat lalu.

    Menurutnya, beliau juga akan menunaikan hasrat bapanya khasnya membantu menguruskan selain membantu mengajar di Pondok Ahmadiah

    “Allahyarham adalah seorang yang sangat tegas dalam mendidik kami anak-anaknya dan mahu ilmu agama terus disebarkan kepada orang ramai menerusi sistem pengajian pondok,” katanya.

    Wan Mohd Assamudin yang juga bekas pensyarah pengajian Bahasa Arab di Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) yang kini dikenali Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) ditemui di luar perkarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang, Padang Terap, hari ini.

    Jenazah Tok Guru Pak Teh Mad selamat dikebumikan kira-kira pukul 11.15 pagi tadi oleh kakitangan hospital mengikut prosedur operasi standard (SOP).

    Mengulas lanjut, Wan Mohd Assamudin memberitahu, tujuh adik beradiknya yang lain tidak dapat mengiringi jenazah ke tanah perkuburan kerana sedang menjalani kuarantin rumah.

    Ujar beliau, ibunya Datin Wan Salehah Wan Ibrahim, 83, turut menjalani kuarantin di hospital terbabit dan berada dalam keadaan baik.

    Allahyarham Tok Guru Pak Teh Mad dilahirkan pada 16 November 1925 di Kampung Tanjung, Mukim Padang Terap.

    Arwah mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Padang Terap; Madrasah Sa’adatun Daroian, Merbok; Pondok Pulau Rotan, Nako Nambua; Madrasah Al-Islamiah, Gajah Mati dan Madrasah Soulatiyyah, Makkah.

    Antara gurunya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (Pondok Merbok), Tok Mogoi (Pondok Mogoi), Tuan Guru Pak Chu Him iaitu ayah mertuanya (Pondok Gajah Mati) dan Pak Da Eil Makkah.

    Kemudiannya, Pak Teh Mad kembali ke tanah air dan mengasaskan sekolah pondok miliknya pada 1961.

    Kehilangan Allahyarham disifatkan kehilangan besar dalam institusi keagamaan negara apabila Ahmad menabur bakti sehingga hujung nyawanya di madrasah berkenaan.

  • Buka sekolah berperingkat petunjuk masuk fasa endemik

    Buka sekolah berperingkat petunjuk masuk fasa endemik

    PEMBUKAAN sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri memberi gambaran bahawa negara kini sedang bergerak ke peringkat endemik.

    Memetik laporan Bernama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pendekatan secara berfasa atau berperingkat itu juga menunjukkan bahawa negara akan kembali kepada keadaan sediakala.

    “Dalam konteks fasa PPN ini, kita sedang bawa negara kembali kepada keadaan sedia kala dengan memastikan tatacara dan peraturan yang kita bawa itu dapat dipatuhi dan sekolah dapat dibuka dengan selamat,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengenai mesyuarat bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), beliau berkata, ia bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pembukaan sekolah dapat dilaksanakan dengan baik, lancar dan teratur.

    Katanya, perancangan itu penting sebagai tekad semua pihak untuk memastikan keselamatan semua pihak terutama murid apabila sekolah dibuka kelak.

    Ahad lalu, Radzi mengumumkan sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan bilangan dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

    Pengoperasian sekolah secara bersemuka bermula di Fasa 2 PPN dengan pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober.

    Ditanya mengenai tindakan terhadap guru yang memilih untuk tidak divaksin beliau berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan akan diumumkan kemudian.

  • Tajuddin dilantik Pengerusi BBC, Khairuddin jadi timbalan

    Tajuddin dilantik Pengerusi BBC, Khairuddin jadi timbalan

    AHLI Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). 

    Tajuddin dilantik mengisi jawatan itu menggantikan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kabinet kerajaan Persekutuan.

    Beliau yang mengesahkan perkara itu ketika ditanya Bernama, turut memaklumkan Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebagai Timbalan Pengerusi.

    Tajuddin berkata Kelab Penyokong Kerajaan itu kini akan dikenali sebagai Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia (BBC Kerajaan Malaysia).

    Sebelum ini, ketika diterajui Shahidan ia dikenali sebagai Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC).

    Shahidan dilantik sebagai Pengerusi PNBBC pada Mei 2020 manakala Timbalan Pengerusi ketika itu disandang Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

  • MOU rentas parti mampu neutralkan ‘kluster mahkamah’ – pemerhati

    MOU rentas parti mampu neutralkan ‘kluster mahkamah’ – pemerhati

    MEMORANDUM persefahaman (MoU) bersejarah yang ditandatangani julung kalinya antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin akan meneutralkan “kluster mahkamah” dalam UMNO, sekaligus menafikan sebarang usaha untuk mengganggu kestabilan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata pemerhati politik.

    Ahmad Marthada Mohamed dari UUM berkata, menerusi MoU itu, pembangkang akan memberikan komitmen dan secara tidak langsung sokongan yang kukuh kepada kerajaan hari ini meskipun tanpa sokongan kluster mahkamah.

    “Dahulu, kluster mahkamah yang menggagalkan usaha kerajaan (membawa transformasi), pada masa yang sama pembangkang tidak menyokong kerajaan kerana tiada insentif untuk berbuat demikian,” kata dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa itu kepada MalaysiaNow.

    “Dengan adanya MoU ini, usaha daripada kluster mahkamah untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan tidak akan berkesan. Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) dan PH menandatangani MoU pada Isnin lepas yang disifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai “demokrasi bermusyawarah”.

    Memorandum ditandatangani oleh Ismail Sabri dan pemimpin utama PH, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng serta Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

    Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan ahli Parlimen Umno yang diketuai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berhadapan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

    Mereka didakwa bertanggungjawab menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos lalu dengan menarik sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu, sekali gus menyebabkannya kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

    Walaupun Muhyiddin membuat beberapa penawaran pembaharuan terhadap institusi negara yang kini diguna semula dalam MoU pada Isnin, PH mengambil keputusan untuk menolaknya kerana dikatakan sebagai satu tawaran rasuah secara terbuka.

    Antara intipati utama MoU antara kerajaan dan PH termasuklah pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran kerajaan, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

    Menurut Marthada, meskipun idea-idea yang dibawa Muhyiddin itu bersifat “forward-looking”, ia menemui kegagalan disebabkan golongan kleptokrat yang mensabotaj pentabdiran Perdana Menteri Kelapan itu.

    “Ada situasi menang-menang dengan tawaran kerjasama ini. Dari segi keabsahan kerajaan juga penting. MoU ini menunjukkan kerajaan hari ini turut disokong oleh pembangkang secara tidak langsung. Saya fikir pembentangan Belanjawan 2022 akan lulus, undi percaya juga tidak akan berfikir pembentangan Belanjawan 2022 akan lulus, undi percaya juga tidak akan berlaku,” katanya.

    Namun katanya, kejayaan Mou ini bergantung kepada kedua-dua pihak yang menandatangani persefahaman.

    Sementara itu, pemerhati politik dari Sarawak, Jeniri Amir ketika mengulas MoU itu terhadap masa depan Sabah dan Sarawak berkata, usaha mengembalikan hak di bawah MA63 akan berjalan dengan lebih cepat dengan sokongan kedua-dua pihak.

    “MoU akan memperkukuhkan usaha kerajaan terdahulu. Semasa pentadbiran PH, parti-parti yang tiada dalam PH tidak bersetuju dengan langkah PH ketika itu. Dengan adanya persefahaman ini, segala rintangan dapat diketepikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Katanya, walaupun Pejuang dan Warisan tidak menandatangani MoU pada Isnin, mereka perlu menyokong usaha mengembalikan hak Sarawak dan Sabah.

    “Sebahagian besar itu transformasi diperkenal juga adalah tuntutan yang terkandung dalam manifesto pemabngkang PH semasa PRU-14. Jadi mereka perlu beri dukungan tanpa memberi helah atau alasan.”

    Katanya, isu yang lebih besar ialah mewujudkan padang permainan politik yang lebih sama rata, apabila kerajaan tidak lagi menggunakan instrumen hegemoni untuk menekan pembangkang atau suara yang menentang.

    “Kita tidak mahu ada diskriminasi terhadap pembangkang dan penyokong pembangkang sehingga wujud ketempangan dari segi pembangunan fizikal dan ekonomi di kawasan-kawasan pembangkang. Ini selari dengan demokrasi matang dan progresif. Semua rakyat yang mengundi harus dilayan dengan saksama,” katanya.

  • Disyaki beri kontrak RM46,000 kepada keluarga, pensyarah ditahan

    Disyaki beri kontrak RM46,000 kepada keluarga, pensyarah ditahan

    SEORANG pensyarah kanan bergelar Doktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selepas dia dipercayai menyalah guna kuasa dalam pemberian kontrak bernilai kira-kira RM46,000 kepada kakak dan abang iparnya.

    Suspek dalam lingkungan 40-an itu berkhidmat di sebuah universiti awam (UA) dan ditahan di Pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Pemberian kontrak itu difahamkan melibatkan projek pembekalan barang pejabat dan pembelian serta penyelenggaraan mesin jahit di sebuah jabatan di universiti berkenaan pada 2015 sehingga 2017.

    Wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai diambil keterangan pada hari sama.

    Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Anuar Ismail sementara itu mengesahkan tangkapan tersebut dan enggan mengulas lanjut.

  • KDN sedia bantu pelajar asing perbaharui visa

    KDN sedia bantu pelajar asing perbaharui visa

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) bersedia membantu pelajar asing memperbaharui visa masing-masing bagi meneruskan pengajian di negara ini.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, mereka boleh terus berhubung dengan Jabatan Imigresen bagi urusan memperbaharui visa berkenaan.

    Menurut beliau, KDN sentiasa bersikap terbuka dan akan memberikan khidmat nasihat berkaitan urusan berkenaan.

    “Kita tidak akan bertindak kejam dan keterlaluan tapi kita akan berikan khidmat nasihat yang sewajarnya bagi membolehkan kerjasama antara negara dan negara luar, yang mahu menjadikan Malaysia antara hab pendidikan yang terkenal,” katanya dalam sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat, hari ini.

    Ismail menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (BEBAS-Simpang Renggam) yang bertanya mengenai kedudukan pelajar asing yang sudah tamat visa kerana beliau menerima banyak aduan pelajar berkenaan diarah untuk keluar dari negara dan kembali semula bagi memperbaharui visa mereka.

    Maszlee berkata peraturan sedemikian boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

  • Sapiah catat sejarah, wanita pertama Orang Asli dilantik Ketua Pengarah Jakoa

    Sapiah catat sejarah, wanita pertama Orang Asli dilantik Ketua Pengarah Jakoa

    BUAT pertama kali dalam sejarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bakal diketuai oleh seorang wanita Orang Asli, sekali gus Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam, berkuat kuasa esok.

    Pelantikan Sapiah Mohd. Nor sebagai Ketua Pengarah Jakoa ke-18 diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mahdzir berkata, pelantikan Sapiah telah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Menurutnya, surat pelantikan beliau telah diserahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen.

    “Pelantikan Sapiah Mohd Nor telah mencipta sejarah negara tersendiri apabila beliau menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam.

    “Pelantikan ini juga merupakan sejarah kepada JAKOA apabila dipimpin oleh golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Sapiah, 56, adalah Orang Asli keturunan Suku Semai berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti yang sama pada tahun 2001.

    Ujar beliau, memulakan tugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir pada tahun 1991, wanita itu berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun selain pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan.

    “Antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Utama dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sebelum di lantik menjadi Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada tahun 2003 sehingga kini.

    “Saya bagi pihak Kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada beliau atas pelantikan ini,” tambahnya.

  • Kerajaan teliti perkemas SOP, daripada 181 kepada 10 – Hishammuddin

    Kerajaan teliti perkemas SOP, daripada 181 kepada 10 – Hishammuddin

    KERAJAAN sedang berusaha memperkemas prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 sedia ada supaya lebih difahami rakyat, golongan industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kerajaan bermatlamat mengurangkannya kepada 10 SOP sahaja.

    “Langkah memperkemas SOP yang telah diguna pakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa namun kerajaan komited untuk menyelesaikannya sebelum peralihan ke fasa endemik,” katanya dalam sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19, lapor Bernama.

    Turut serta dalam sidang media di bangunan Parlimen itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Hishammuddin berkata bagi menentukan bagaimana SOP sedia ada dapat diperkemaskan, kerajaan bukan hanya mengambil kira data sains khususnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM), tetapi juga maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri.

    “Perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari masa ke masa, kita mungkin akan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk menyelesaikannya,” katanya.

    Hishammuddin berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik telah bersetuju untuk membenarkan beberapa kelonggaran baharu yang dinilai berada pada tahap risiko rendah.

    Beliau berkata dalam menetapkan kelonggaran tersebut, kerajaan mengambil kira tekanan, kepenatan dan kelesuan rakyat selepas lebih setahun berada dalam situasi pandemik yang membataskan aktiviti dan pergerakan.

    “Situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana berisiko membawa kepada kesan yang lebih serius terutama menjejaskan kesihatan mental.

    “Perdana Menteri akan mengumumkan beberapa kelonggaran tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi dalam masa terdekat nanti,”katanya.

  • 15,669 kes Covid-19, Selangor tertinggi, kumulatif lebih 2 juta kes

    15,669 kes Covid-19, Selangor tertinggi, kumulatif lebih 2 juta kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia turun kepada sebanyak 15,669 kes hari ini berbanding 16,073 jangkitan semalam.

    Penurunan 404 kes itu, juga yang terendah dalam tempoh beberapa bulan sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 setakat ini ialah sebanyak 2,011,440 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kembali menerajui ‘takhta’ kes harian Covid-19 selepas Sarawak mempertahankan kedudukan itu selama sembilan hari berturut-turut.

    Kes harian di Selangor naik 685 kes kepada 2,632 berbanding 1,947 kes semalam.

    Sarawak akhirnya berjaya menurunkan kes hariannya kepada 1,983 jangkitan selepas ‘terikat’ pada paras 3,000 kes untuk lebih seminggu untuk berada di tempat kedua.

    Selain itu, lima buah negeri turut mencatatkan lebih 1,000 jangkitan harian Covid-19 iaitu Johor (1,974 kes), Sabah (1,784 kes), Pulau Pinang (1,651 kes), Kelantan (1,406 kes) dan Kedah (1,207 kes).

    Perak kembali menyertai negeri yang mencatatkan tiga digit kes sahaja iaitu Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tiga jangkitan, Putrajaya 14 kes dan Perlis 30 kes.

  • Hanya perlu surat kebenaran kembali ke kampus

    Hanya perlu surat kebenaran kembali ke kampus

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan pelajar-pelajar di semenanjung yang akan kembali ke kampus masing-masing mulai 15 Oktober ini hanya memerlukan surat kebenaran kembali kampus daripada intitusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

    Menterinya,Datuk Seri Dr.Noraini Ahmad berkata, bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan,  ia  tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri masing-masing.

    ‘’Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada Polis Diraja Malaysia dan menjalani Ujian Swab RT-PCR. Ujian ini akan diberikan secara percuma di klinik-klinik kesihatan kerajaan,’’ katanya pada sidang media hari ini.

    Mengenai kemasukan pelajar antarabangsa, beliau memaklumkan kebenaran masuk ke Malaysia bagi tiga kategori.

    ‘’Pertama, pelajar warganegara United Kingdom (UK) yang sebelum ini kemasukannya disekat, kedua, pelajar antarabangsa yang mengikuti program-program Mobiliti dan Edutourism; dan ketiga, tanggungan yang sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini.

    Beliau berkata, bagi pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin, mereka perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

    ‘’Ujian Swab RT-PCR COVID-19 perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia. Setibanya di Malaysia, pelajar akan menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di lokasi yang ditetapkan,’’ katanya.