Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bila nak bantu rakyat, PH kata tak ada duit – Marzuki

    Bila nak bantu rakyat, PH kata tak ada duit – Marzuki

    KEBAJIKAN rakyat sentiasa menjadi keutamaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau mengetuai pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Beliau sememangnya tidak pernah berkira-kira membuat keputusan memberi bantuan kepada orang ramai dalam berdepan cabaran krisis kesihatan.

    Memetik laporan Agenda Daily, bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad yang berkhidmat dengan Muhyiddin sebelum ini mendedahkan keadaan tersebut berbeza ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, apabila bantuan ingin diberikan rakyat jawapan yang akan diberi adalah tidak ada duit.

    “Kalau saya ingat zaman PH dahulu, kerana saya pun dalam PH pada masa itu, bila disebut bantuan untuk rakyat jawapannya kita tiada duit.

    “Tetapi rupanya ada duit. Kita duduk di situ rupanya ada duit yang kita boleh cari di mana-mana untuk tujuan membantu rakyat,” katanya dipetik dalam wawancara eksklusif sebuah portal.

    Untuk rekod, sepanjang negara berdepan krisis kesihatan sebanyak RM530 bilion diluluskan pentadbiran Muhyiddin sebelum ini dengan pelbagai pakej bantuan diperkenalkan kepada rakyat.

    Hampir setiap golongan masyarakat menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan dalam tempoh 17 bulan pandemik Covid-19 melanda negara.

    Tambah Marzuki, kerajaan mempunyai kemampuan untuk membayar hutang tersebut apabila keadaan kembali menjadi normal dan pendapatan negara semakin pulih selepas aktiviti ekonomi dapat berjalan semula.

    “Memanglah tahap hutang meningkat sedikit tetapi hutang ini kita boleh bayar apabila kita ada pendapatan.

    “Bila ekonomi telah dibuka dan sumber pendapatan negara bertambah, hutang itu kita boleh bayar. Tetapi yang penting ialah nyawa dan kehidupan rakyat yang terlibat,” jelasnya.

    Sepanjang tempoh 17 bulan Muhyiddin mengendalikan krisis kesihatan, beliau memberitahu. kerajaan yang dipimpin Muhyiddin sentiasa mencari pendekatan yang terbaik dalam memastikan nyawa rakyat selamat dan pada masa kehidupan mereka dibela.

    “Kita lihat dalam tempoh 17 bulan itu perkara utama yang dilaksanakan ialah bagaimana hendak memastikan nyawa rakyat selamat dan pada masa yang sama kehidupan mereka juga boleh dibela, terutama sekali dari segi pendapatan,” katanya.

    Marzuki memberitahu, ramai pihak terlepas pandang dengan pelaksanaan dan pakej bantuan yang diberikan oleh kerajaan walhal ia berjaya menyelamatkan sektor ekonomi negara disamping mengelakkan lebih ramai kehilangan pekerjaan.

    “Jumlah subsidi upah yang diberikan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu pengusaha hotel dan sebagainya untuk mengekalkan pekerja walaupun tidaklah menampung keseluruhan tetapi meringankan beban.

    “Saya lihat ada yang tidak dapat terus terlibat dalam sektor pelancongan semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan dan mereka terpaksa menjadi nelayan untuk cari sumber pendapatan,” katanya yang sempat mengadakan lawatan bersama Muhyiddin meninjau program gelembung pelancongan pertama yang dibuka baru-baru ini.

    Ujarnya lagi, di Langkawi sahaja kerajaan membelanjakan lebih RM140 juta dalam bentuk subsidi upah kerana sesetengah hotel ini tidak boleh ditutup memandangkan terdapat ramai pekerja tempatan disitu.

    “Kalau ditutup dan tiada maintenance (penyelenggaraan) hotel-hotel ini akan rosak. Jadi mereka terpaksa upah pekerja-pekerja walaupun tiada pendapatan perniagaan,” katanya.

    Sepanjang Muhyiddin mentadbir negara, kehidupan rakyat yang terjejas sentiasa menjadi pertimbangan utama kerana dasar kerajaan adalah prihatin kepada rakyat, jelas Marzuki lagi.

    “Kita lihat kehidupan rakyat memang terjejas. Kerajaan dengan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada ketika itu melihat perkara ini sebagai satu yang penting bagi kita.

    “Dasar kita ialah prihatin kepada rakyat. Tidaklah kita kata kita laksanakan PKP dan kita tidak lihat dari segi aspek yang lain. Kerana itu, kerajaan telah beberapa kali melaksanakan pakej rangsangan ekonomi. Selepas satu, satu dilaksanakan – PRIHATIN, PEMULIH, PEMERKASA dan lain-lain,” katanya.

  • SPRM teliti dokumen pindah wang MBI Kedah RM13 juta

    SPRM teliti dokumen pindah wang MBI Kedah RM13 juta

    BEBERAPA dokumen berkaitan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang dikatakan dipindahkan ke akaun di luar negara sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Memetik laporan BH, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, dokumen itu diperoleh selepas pegawainya menemui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di pejabatnya semalam.

    “Sebelum ini kita hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media sosial dan sumber luar sebelum SPRM berkunjung ke Pejabat Menteri Besar pagi semalam. Beliau memberi kerjasama yang baik.

    “Kita sudah dapatkan beberapa dokumen penting berkaitan untuk penelitian awal, namun belum ada siasatan rasmi dibuat.

    “SPRM juga belum terima sebarang laporan rasmi (berhubung pemindahan wang) daripada mana-mana pihak,” katanya, hari ini.

    Pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin, Muhammad Sanusi mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih memegang jawatan Menteri Besar Kedah.

    Muhammad Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.

    Walau bagaimanapun, Mukhriz dalam sidang media semalam, meminta Muhammad Sanusi membuat laporan polis dan kepada SPRM berhubung dakwaan itu.

    Mukhriz berkata, beliau memandang serius dakwaan terbabit kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menerajui Kedah.

  • PRU-15: UMNO ambil risiko besar calon semula Najib

    PRU-15: UMNO ambil risiko besar calon semula Najib

    UMNO mungkin terpaksa berdepan pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Pekan sekiranya parti itu mencalonkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beberapa penganalisis politik membuat andaian tersebut berdasarkan kemungkinan Najib gagal dalam rayuannya di mahkamah selepas PRU-15 diadakan.

    Memetik laporan Malaysia Now, pensyarah sains politik, Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pencalonan Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan itu harus dilihat dari sudut undang-undang.

    Menurut beliau, Najib telah disabitkan bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.

    “Sekiranya Najib tidak dapat mengubah keputusan dan tidak mendapat pengampunan diraja, maka ada kebarangkalian plihan raya kecil perlu diadakan semula sekiranya Najib berjaya mempertahankan kerusi Pekan pada PRU-15.

    “Walaupun UMNO yakin boleh menang kerusi Pekan, dalam konteks hendak menjadi kerajaan, Umno harus mendapat jumlah kerusi yang jitu untuk membentuk kerajaan. Pengundian semula (kerusi Pekan) tidak akan membantu UMNO,” katanya.

    Pada Julai tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Dalam satu temu bual bersama Reuters baru-baru ini, Najib menyatakan hasrat untuk dicalonkan semula pada PRU-15.

    Pada PRU-14, beberapa ahli politik dibatalkan pencalonan atau tidak mencalonkan diri berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapi.

    Antaranya bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang ketika itu berhadapan perbicaraan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), dan bekas ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang hilang kelayakan bertanding apabila pegawai pengurus pilhan raya membatalkan kertas pencalonannya ekoran satu kes mahkamah.

    Mujibu menambah, selain sudut memenangi kerusi, aspek reputasi negara juga perlu diambil kira oleh UMNO. Saya tidak fikir pencalonan Najib ini bagus dari sudut integriti.

    “Sekiranya Umno mengekalkan golongan yang digelar kleptokrat, ia menghantar isyarat yang tidak baik tentang hala tuju negara,” jelasnya.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, dua faktor utama yang akan menentukan pencalonan Najib ialah Presiden UMNO yang akan menandatangani watikah calon demgan melihat keboleh menangan Najib, dan faktor perundangan.

    “Jika merujuk kepada budi bicara pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya pada hari penamaan calon, keadaan ini masih berisiko dan terdedah kepada bantahan calon lain yang mungkin tidak berpuas hati dengan pencalonan beliau,” jelasnya.

    Beliau berpandangan, pencalonan semula Najib dilihat sebagai strategi menarik semula segmen undi protes yang memberi undi kepada pembangkang pada PRU14 lepas.

    Namun katanya, imej Najib bakal memberi kesan kepada pengundi di kawasan campuran yang undi bukan Melayu menjadi penentu.

    Selain itu, Hisommudin berkata, UMNO perlu memberikan justifikasi sekiranya Najib dan kumpulan kluster mahkamah benar-benar dicalonkan semula.

    “Sebarang keputusan dan riskio perlu dinilai oleh strategis UMNO bagi memberikan formula kemenangan kepada parti Melayu itu,” katanya.

  • Kajian tekanan psikologi mahasiswa cakup banyak faktor

    Kajian tekanan psikologi mahasiswa cakup banyak faktor

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) menjelaskan bahawa kajian kesan tekanan psikologi dalam kalangan mahasiswa berikutan pandemik COVID-19 tidak hanya bersandarkan faktor pembelajaran secara maya.

    Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, kajian yang dikendalikan oleh dua agensi itu turut mengambil kira beberapa faktor masalah lain dalam situasi masing-masing.

    Beliau menambah, kajian membabitkan lebih 24,000 penuntut institusi pengajian tinggi berkenaan belum tamat dan akan terus dijalankan bagi memantau perkembangan semasa.

    “Kajian mengenai tekanan dalam kalangan mahasiswa ini belum tamat dan ia bukan hanya mengambil kira faktor pembelajaran secara dalam talian.

    “Sebaliknya, ia turut terkait dengan masalah lain dalam situasi konteks masing-masing. Kita akan mengeluarkan satu dapatan yang lebih menyeluruh bila (kajian ini) selesai sepenuhnya kelak, dengan mengambil kira kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Hari ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mempertikaikan kajian yang dilakukan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menggesa laporan soal kajian melibatkan 24,562 pelajar universiti itu dikeluarkan untuk penelitian awam.

    Menurut KMUM, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 20 September di Dewan Rakyat yang mengatakan majoriti pelajar tidak tertekan menjalani pengajian dalam talian itu menimbulkan beberapa persoalan.

    “Beberapa soalan kritikal yang masih belum dijawab seperti metodologi apakah yang digunapakai bagi kajian tersebut? Siapakah respondennya? Adakah mereka mahasiswa yang menjalani pengajian di rumah ataupun di kampus?”

    “Adakah mereka datang daripada golongan B40 atau yang lebih berkemampuan? Adakah kajian yang melibatkan seramai 24,562 orang mahasiswa ini sudah memadai untuk mewakili seluruh mahasiswa di Malaysia?

    “Persoalan ini tidak akan terjawab melainkan sebuah laporan soal selidik yang lengkap dikeluarkan untuk penelitian awam,” katanya KMUM dalam satu kenyataan.

    Menurut KMUM, jika kajian tersebut menunjukkan 78.4 peratus mahasiswa tidak berasa tertekan, justeru bagaimana pula situasi baki peratusan itu yang tidak boleh diketepikan.

    Jelas KMUM, walaupun hanya seorang pelajar universiti mengalami tekanan, ia sudah mencukupi bagi pihak berkaitan untuk memberikan perhatian kepada kesihatan emosi dan mental dalam kalangan mahasiswa.

    Berhubung sesi akademik baharu yang akan bermula tidak lama lagi, KMUM menggesa agar pelan kontigensi dan polisi berkaitan disegerakan pelaksanaannya.

    “Adanya kes bunuh diri yang tidak diingini dalam kalangan mahasiswa baru-baru ini menjadi indikator bahawa isu ini adalah isu yang menekan dan penting.

    “Pengalaman mahasiswa menjalani mod pengajian dalam talian amat bergantung kepada pelbagai faktor seperti fasiliti, ketercapaian sambungan internet, dan suasana sekitar,” kata kenyataan itu.

    Kata KMUM, pelajar universiti yang tidak mempunyai peranti digital dan internet stabil masih bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan norma baru ketika ini selain masalah penginapan terus menjadi isu kerana wujud ketidaktentuan yang memberi kesan kepada keputusan mereka sama ada untuk menyewa rumah di sekitar kampus ataupun tidak.

    “Permasalahan ini semua menyumbang secara tidak langsung kepada kesihatan mental mahasiswa yang sekali lagi kami tegaskan, perlu diberi perhatian secukupnya,” kata KMUM.

  • KPM sediakan manual operasi penggiliran PdP

    KPM sediakan manual operasi penggiliran PdP

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menyediakan manual pengoperasian pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara penggiliran sebagai panduan kepada guru besar, guru, pelajar, ibu bapa serta penjaga.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, manual berkenaan adalah bagi memastikan PdP secara penggiliran dapat dilaksanakan dengan baik sebaik sekolah dibuka mulai 3 Oktober ini.

    “Sebelum sekolah dibuka untuk PdP bersemuka, guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran hadir ke sekolah.

    “Kemudian, guru akan memaklumkan kepada setiap kumpulan murid mengenai persediaan yang perlu dilaksanakan ketika menjalani PdP di Rumah (PdPR) secara sendiri atau sebelum hadir ke sekolah untuk PdP bersemuka,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Sementara itu, dalam sesi soa jawab lisan, beliau memberitahu, sebanyak 10,214 sekolah di seluruh negara dilengkapi capaian jalur lebar internet dengan kelajuan 30 hingga 100 megabit sesaat (Mbps).

    Radzi menambah, jumlah itu termasuk 141 sekolah pedalaman yang dibekalkan dengan talian Very Small Aperture Terminal (VSAT) berkelajuan 30 Mbps mulai Mac lalu.

    “Dalam usaha memastikan capaian Internet di sekolah terus dipertingkatkan, KPM bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mengenal pasti pendekatan terbaik.

    “Ini termasuk penyediaan rangkaian bersepadu KPM yang berlandaskan tiga prinsip utama iaitu bersesuaian dengan tujuan, kekal relevan pada masa hadapan dan penyelesaian yang holistik,” jelasnya.

  • Saringan Covid-19 sebelum akad nikah di P Pinang

    Saringan Covid-19 sebelum akad nikah di P Pinang

    PASANGAN yang bakal menjalankan akad nikah di pejabat agama daerah (PAD) di Pulau Pinang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri 30 minit sebelum majlis berlangsung berkuat kuasa hari ini dan hanya pasangan yang didapati negatif dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah.

    Perkara itu antara garis panduan terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di negeri berkenaan.

    Selain pengantin lelaki dan perempuan, wali dan saksi nikah juga diwajibkan untuk menjalani saringan Covid-19 sekurang-kurangnya menggunakan kit ujian kendiri.

    Pengarah JHEAIPP, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, pasangan pengantin yang diterima bagi tujuan akad nikah pula tidak boleh melebihi 10 orang setiap hari bagi setiap PAD.

    Jelasnya, pasangan pengantin yang tidak mendapat kebenaran untuk merentas daerah atau negeri pula boleh melantik dan mewakilkan kepada seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.

    “Selain itu kesemua pihak perlu mematuhi tarikh dan masa yang ditetapkah oleh PAD antaranya tempoh masa pelaksanaan akad nikah tidak melebihi 30 minit.

    “Majlis boleh dibatalkan sekiranya ada pihak yang gagal hadir pada masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu kata beliau, kehadiran bagi majlis akad nikah dihadkan kepada tujuh orang sahaja  termasuk pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi, ayah atau ibu pengantin lelaki dan jurugambar.

    Tambahnya, semua permohonan perkahwinan luar negeri diterima dan hanya permohonan yang lengkap akan diproses.

  • 9,015 kes keganasan rumah tangga sepanjang PKP

    9,015 kes keganasan rumah tangga sepanjang PKP

    SEBANYAK 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020 hingga Ogos lalu.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, PKP yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan jangkitan didapati memberi kesan mendalam terhadap ekonomi dan sosial lebih 32 juta rakyat.

    Menurut beliau, ia susulan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden keganasan rumah tangga bagi 2020 ialah 5,260 kes berbanding 4,905 kes dalam tempoh hanya lapan bulan tahun ini.

    “Jika dihitung insiden keganasan rumah tangga sepanjang PKP dilaksanakan, sebanyak 9,015 kes direkodkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

  • Lebih setengah juta remaja terima dos pertama vaksin Covid-19

    Lebih setengah juta remaja terima dos pertama vaksin Covid-19

    LEBIH setengah juta remaja di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin Covid-19 mereka setakat semalam.

    Menerusi ciapannya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun menerima suntikan itu melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula Isnin lalu.

    Menurutnya, Sabah mendahului jumlah penerima apabila merekodkan lebih separuh daripada remaja didaftarkan menerima suntikan dos pertama.

    “Setakat semalam, lebih setengah sejuta remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama mereka di bawah PICK Remaja.

    “Sabah mendahului dengan 56 peratus daripada remaja yang didaftarkan di sekolah menerima sekurang-kurangnya dos pertama mereka,” katanya hari ini.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi ciapannya yang diciap semula Khairy memberitahu, sebanyak 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh negara bagi menjalankan program vaksinasi remaja secara ‘walk in’ bermula hari ini.

    Ujarnya, terdapat tiga kaedah digunakan untuk vaksinasi remaja iaitu janji temu mellaui MySejahtera, vaksinasi berjadual dan dan jumpa terus di 156 PPV yang dibuka.

    Sebelum ini, Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, pelaksanaan kaedah ‘walk-in’ berjadual itu akan dilakukan mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV dikenal pasti.

    Katanya, pelaksanaannya mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

  • Tiada kesan sampingan serius dialami remaja terima vaksin COVID-19

    Tiada kesan sampingan serius dialami remaja terima vaksin COVID-19

    SERAMAI 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sehingga semalam, dan setakat ini tidak ada sebarang laporan mengenai kesan sampingan serius dialami golongan remaja yang menerima suntikan itu.

    Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata Sabah merekodkan jumlah tertinggi remaja menerima suntikan itu dengan 140,890 orang; diikuti Sarawak (85,291); Kedah (31,294); Kelantan (17,413); Johor (27,936) dan Labuan (2,515).

    “Tiada remaja yang menerima suntikan vaksin COVID-19 mengalami kesan sampingan yang serius. Kesan sampingan yang dilaporkan hanya demam, sakit otot, lenguh di tempat suntikan serta sakit kepala dan ia sememangnya sering berlaku.

    “Kesan sampingan ini akan hilang selepas makan ubat,” katanya dalam sidang media bersama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon di Putrajaya, hari ini.

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi pada 20 Sept (Isnin) dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 tahun (mengikut tarikh lahir) hingga 17 tahun.

    Langkah itu sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekaligus mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.

    Dr Noor Azmi seterusnya meminta ibu bapa atau penjaga untuk mendaftarkan remaja yang akan mengambil suntikan vaksin COVID-19 sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka.

    “Apabila daftar sebagai tanggungan, sijil digital vaksinasi remaja akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera ibu bapa.  Selain itu, KKM juga akan berikan kad vaksinasi sebagai tanda remaja terbabit telah menerima suntikan vaksin,” katanya. – BERNAMA

  • Polis siasat kes tiga pegawai SPRM – Hamzah

    Polis siasat kes tiga pegawai SPRM – Hamzah

    POLIS telah membuka kertas siasatan berhubung isu penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya turut meminta kepada polis supaya siasatan ini dipercepatkan selain bersetuju ia diklasifikasikan sebagai kes curi.

    “Isu ini timbul dalam masa terdekat sebab itu saya jawab kertas siasatan sudah kita buat dan dibuka. Polis akan lihat kembali kertas laporan dan saya bersetuju kalau kes curi, akan dimasukkan dalam kes curi.

    “Kita mahu pastikan kes ini dipercepatkan. Kerajaan ini adalah kerajaan yang mengekalkan sikap benar-benar berintegriti,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Deo (PH) berhubung tindakan SPRM yang menyiasat sendiri kes melibatkan tiga pegawainya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.