Author: Wartawan WartaRakyat

  • MAHB bergolak, ada usaha singkirkan Mohd Shukrie?

    MAHB bergolak, ada usaha singkirkan Mohd Shukrie?

    Walaupun berjaya menerajui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui salah satu tempoh paling mencabar dalam sejarah penerbangan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (GCEO), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, kini mungkin kehilangan jawatannya.

    Portal Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, terdapat pergolakan di MAHB mengenai rancangan untuk mengganti atau mengekang kewibawaan tokoh korporat berkenaan dalam syarikat itu.

    Intipati isu ini adalah perselisihan antara pemegang taruh utama mengenai Mohd Shukrie.

    “Ada antara mereka yang berpengaruh mahu beliau digantikan. Tak jelas kenapa kerana selama 20 bulan beliau memegang jawatan (sebagai GCEO), prestasinya cemerlang dan ini diakui lembaga pengarah.

    “Itulah sebabnya apabila dosir prestasinya dibentangkan kepada mereka pada 2 Julai, mereka bersetuju dengan saranan kontraknya dilanjutkan selama tiga tahun,” kata sumber kepada portal tersebut.

    Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh

    Setakat ini menurut sumber berkenaan, lembaga pengarah menentang desakan daripada pemegang taruh utama yang mahu Mohd Shukrie disingkirkan “dalam tempoh beberapa bulan akan datang”.

    Ini membawa kepada “rancangan alternatif” dengan mewujudkan jawatan pengarah urusan (MD). Jawatan MD lebih tinggi daripada GCEO dan ini dapat mengekang kewibawaannya, menurut sumber.

    “Lembaga pengarah menegaskan Mohd Shukrie tidak boleh diganti dan beliau mesti sekurang-kurangnya diberi pelanjutan kontrak satu tahun. Bagaimanapun mereka bersetuju dengan pelantikan MD oleh pemegang taruh utama,” katanya.

    Namun menurut sumber itu, pemegang taruh utama tetap bertegas mahu Mohd Shukrie disingkirkan.

    “Saya tidak tahu bagaimana mereka akan cari alasan untuk menyingkirkan Mohd Shukrie kerana lembaga pengarah telah memberi ulasan cemerlang mengenai prestasi dan kepemimpinannya.”

    Ini termasuk melindungi MAHB daripada usul pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang diteliti pelbagai pihak, kata sumber.

    “Menyingkirkannya tanpa alasan yang munasabah hanya akan menimbulkan persoalan dan menghantar mesej yang salah mengenai pemegang taruh MAHB dan kerajaan.”

  • PRN Melaka : PN muktamadkan pembahagian kerusi dalam masa terdekat

    PRN Melaka : PN muktamadkan pembahagian kerusi dalam masa terdekat

    PEMBAHAGIAN kerusi antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, PN sudah bersedia dengan melakukan persiapan sewajarnya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan baru-baru ini.

    Katanya, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi PN Negeri telah mengatur strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti-parti komponennya.

    “Susulan taklimat yang diberikan oleh Mohd Rafiq, Bersatu dan parti komponen PN akan terus meningkatkan pelaksanaan program-program outreach sedia ada di kerusi DUN Melaka bagi menyantuni rakyat, antaranya inisiatif Gerai Prihatin Rakyat yang mendapat sambutan baik daripada rakyat Melaka.

    “Manakala rundingan kerusi di antara semua parti komponen PN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

    DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

    Empat bekas ADUN berkenaan ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Melaka pada Isnin depan.

    Ini termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRN tersebut.

  • Pasport dipulangkan sementara, Rosmah boleh ke Singapura

    Pasport dipulangkan sementara, Rosmah boleh ke Singapura

    PERMOHONAN Datin Seri Rosmah Mansor agar pasport miliknya dikembalikan buat sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

    Memetik laporan BH, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dengan menetapkan syarat bahawa pasport perlu dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember 2021.

    Menurut beliau, pemohon (Rosmah) hanya boleh keluar Singapura dari 22 Oktober dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.

    “Mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Rosmah) dan pasport dipulangkan pada 15 Oktober (hari ini),” katanya.

    Sebelum itu, peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah, anak perempuan pemohon, Nooryana Najwa sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura

    Beliau menjelaskan, Nooryana Najwa mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi ketika bersalin dan pemohon amatlah diperlukan berada di sisi anaknya bagi tempoh sebelum, sewaktu dan selepas bersalin.

    “Perjalanan itu adalah penting bagi memastikan kesihatan anak pemohon dan kandungannya terjaga dan aman,” ujarnya.

    Sehubungan itu, Jagjit memohonsupaya pasport anak guamnya dilepaskan sementara dan akan dipulangkan pada 24 November ini.

    Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

    Namun, pendakwaan berkata, pemohon tidak boleh mengganggu tarikh perbicaraan dan memohon garis masa yang ditetapkan.

    Mendengar perkara itu, mahkamah memerintahkan pasport dipulangkan pada 21 November memandangkan pemohon perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum menyambung perbicaraan pada 8 November ini.

    Pada 5 Oktober lalu, Rosmah memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding perbicaraan peringkat bela diri kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

    Perbicaraan di hadapan Mohamed Zaini bersambung 21 Oktober ini dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah.

    Rosmah, 69, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor

    Wang sejumlah itu didakwa sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

    Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur dan di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

  • Radzi hargai usaha guru beri keselesaan kepada murid

    Radzi hargai usaha guru beri keselesaan kepada murid

    MENTERI Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin melahirkan penghargaan kepada semua warga pendidik khususnya guru-guru yang sentiasa kreatif untuk memberi keselesaan kepada murid semasa berada di sekolah.

    Beliau menzahirkan perkara itu selepas menerima perkongsian video melalui hantara di Facebook dan Tik Tok mengenai beberapa orang guru yang bersungguh-sungguh sedang mempersiapkan bilik darjah untuk kehadiran murid secara bersemuka.

    ‘’Antaranya, mereka mengambil inisiatif ‘meredupkan’ bilik darjah dengan cara menggelapkan atau ‘tinted’ tingkap. Usaha ini akan dapat memberi lebih keselesaan kepada murid.

    ‘’Pasti ramai juga guru atau pihak sekolah juga turut mengambil inisiatif yang serupa dalam membuat persiapan bagi pembukaan sekolah,’’ katanya melalui Facebook beliau.

    Radzi berkata, beliau ingin berkongsi kesungguhan dan semangat kerjasama yang dikongsikan oleh Cikgu Azzie Fazirah, Cikgu Muna dan Ustaz Irfan.

    ‘’Terima kasih cikgu atas kesungguhan dan semangat yang dikongsikan bersama,’’ katanya.

  • ‘’Kalau tiga penjuru semua akan rugi’’ – Tuan Ibrahim

    ‘’Kalau tiga penjuru semua akan rugi’’ – Tuan Ibrahim

    PAS tidak akan meletakkan calon di kerusi akan ditandingi UMNO dan Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Tuan Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam usaha Pas mengelak pertandingan tiga penjuru, sekali gus mengukuhkan kerjasama dan muafakat ummah antara ketiga-tiga parti.

    Katanya, meskipun parti itu berdepan kemungkinan jumlah kerusi ditandingi mereka jauh lebih kecil berbanding pilihan raya umum ke-14 (PRU14), isu itu tidak berbangkit.

    Beliau berkata, jumlah kerusi diperoleh parti itu bergantung kepada rundingan ketiga-kita parti kerana Pas lebih mementingkan kemenangan di kerusi yang bakal ditandingi parti kerajaan.

    Bagaimanapun, gerak kerja Pas diteruskan di 12 kerusi DUN, walaupun jumlah sebenar kerusi bakal ditandingi masih dalam rundingan.

    “Kita (Pas) tidak akan ambil kerusi Umno, kerusi Bersatu. Kita ambil kerusi yang belum dimenangi, kerusi ini Pas nak. Misalnya daripada 12 kerusi (ditandingi Pas di Melaka pada PRU14), mungkin timbang-timbang dapat tujuh atau enam, mungkin enam ini ‘confirm’ bukan UMNO dan Bersatu punya.

    “Kita nak elak pertembungan. Apa yang penting calon PH (Pakatan Harapan) tidak menang,” katanya lapor Berita Harian

    Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, turut menegaskan Pas akan menyokong mana-mana calon, sama ada UMNO mahupun Bersatu berdasarkan penyandang di kerusi berkenaan jika pemuafakatan gagal dicapai dalam kalangan dua parti sekutu itu.

    Namun, katanya, Pas belum memutuskan dasar yang akan diambil jika UMNO dan Bersatu berhasrat meletakkan calon di kerusi dimenangi PH pada PRU14.

    “Kalau kerusi itu kerusi (tradisi) UMNO, seluruh pengundi Pas akan sokong calon UMNO, undi akan diberi kepada UMNO, bererti kalau Bersatu masuk, pengundi Pas tidak akan memberi undi kepada Bersatu.

    “Kalau kerusi itu Bersatu punya, UMNO masuk, orang Pas takkan undi UMNO. Dengan cara ini, dua-dua pihak kena duduk bersama. Jika kerusi PH, kita akan runding, kita akan adakan perbincangan siapa nak bertanding.

    “Kalau tak ada penyelesaian siapa nak bertanding, dua-dua (UMNO dan Bersatu) masuk, kerusi macam ini kita tak letak dasar buat masa ini. Bagi kita selesai runding dulu, kalau tak boleh jalan keluar, pada masa itu kita akan buat keputusan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata Pas tidak boleh mencampuri urusan dalaman parti sekutu, termasuk UMNO yang mahu bersendirian pada PRN Melaka.

    “Kalau UMNO tidak mahu bersama, hendak jalan sendiri, kita tiada pilihan, itu bab parti masing-masing. Cuma kita bagitau kalau berlaku pertandingan tiga penjuru (UMNO, PAS, Bersatu), semua akan rugi, jadi semua kena elakkan tanding tiga penjuru,” katanya.

  • ‘’Kena kaji betul-betul, kalau tak berjaya nanti jangan menyesal’’ – Pesan Dr.Mahfodz kepada Zahid

    ‘’Kena kaji betul-betul, kalau tak berjaya nanti jangan menyesal’’ – Pesan Dr.Mahfodz kepada Zahid

    SIDANG Assabiqun (veteran) Pas Pusat menafikan parti itu mengkhianati kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) apabila dalam masa sama turut menyertai Perikatan Nasional (PN).

    Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata, piagam MN sebenarnya tidak terbatas kepada UMNO dan Pas sahaja, sebaliknya turut mencakupi permuafakatan dengan orang Melayu Islam lain, yang berkongsi aspirasi sama seperti Bersatu.

    Beliau yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, mengakui kerjasama melalui MN adalah lebih kukuh kerana terdapat piagam yang dimeterai secara bersama walaupun dari segi teknikal, ia tidak didaftarkan sebagaimana PN.

    “Saya pun tak nampak di mana Pas mengkhianati, walaupun tak sebut nama (Pas) tetapi kita faham. Seolah-olah kita khianati MN, sedangkan kita nak menyelamatkan umat Melayu Islam, sebab itu kita bersama-sama PN.

    “Peliknya, yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri pun membabitkan UMNO. Tak akan naik Presiden Bersatu itu tanpa sokongan UMNO,” katanya kepada Berita Harian.

    Berkenaan pendirian Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bahawa UMNO dan BN tidak akan bekerjasama dengan parti lain pada PRN Melaka, Mahfodz berkata, beliau menghormati pandangan itu walaupun beranggapan ia tidak popular.

    Mahfodz berharap Presiden UMNO itu mengkaji secara mendalam sebelum membuat keputusan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

    “Kena kaji betul-betul, kalau tak berjaya nanti jangan menyesal, semuanya melopong nanti kalau nak lawan tiga penjuru.

    “Kalau masing-masing dengan ego masing-masing, maka akan merugikan umat Melayu Islam kerana kita bergabung itu bukan sahaja atas nama MN tapi atas nama perpaduan ummah,” tegasnya.

    Sementara itu, Mahfodz optimis hubungan kedua-dua parti menerusi MN boleh diselamatkan melalui rundingan malah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama beberapa kepemimpinan parti baru bertemu Isnin lalu walaupun tidak secara rasmi.

    Beliau melihat pertemuan ‘minum teh’ itu sebagai positif kerana penubuhan MN berlaku sewaktu Mohamad memangku jawatan Presiden UMNO apabila Ahmad Zahid bercuti sementara.

    “Pertemuan itu ada membincangkan soal MN, tetapi mereka semua tertakluk kepada keputusan Presiden masing-masing.

    “Jadi, tidak tahulah adakah ia (kenyataan Ahmad Zahid) sekadar taktikal atau betul-betul (dimaksudkan),” katanya.

    Mahfodz menjelaskan, pendirian Pas adalah konsisten iaitu ‘memperkukuhkan MN, mempertahankan PN’ dan cogan kata itu turut diberi penekanan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang disertainya baru-baru ini.

    “Kita yakin hanya dengan penglibatan ketiga-tiga parti ini, kita boleh mengekalkan kuasa orang Melayu Islam.

    “Kita tahulah dulu UMNO kuat, tetapi secara realiti semasa tidak boleh rasa begitu lagi kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tidak ada satu parti pun yang boleh monopoli, menang bersendirian,” tegasnya.

  • 4 sekawan didenda RM4,000 tawar pinjaman tidak wujud

    4 sekawan didenda RM4,000 tawar pinjaman tidak wujud

    EMPAT sekawan masing-masing seorang lelaki dan tiga wanita didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah menawarkan pinjaman tidak wujud minggu lalu.

    Hukuman itu dijatuhi Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan terhadap tertuduh Lee Soon Ching, 21; Liew Hui Juan, 28; Connie Nam, 25, dan Ho Wei Lun, 33, di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda manakala barang kes turut diperintah dilupuskan.

    Mengikut pertuduhan mereka didakwa secara bersama-sama menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud yang mana kesalahan itu dilakukan di B-11-03, Goodfield Resident, Jalan Bukit Minyak Permai 2, Bukit Mertajam kira-kira pukul 4.05 petang pada 7 Oktober lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-dua sekali.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal.manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ima Syakira.

    Mengikut fakta kes, sebanyak 44 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung satu sindiket pinjaman wang tidak wujud sejak Januari lalu dengan anggaran kerugian RM401,815.32.

  • Rogol anak kandung, zalimi isteri ketika hubungan intim

    Rogol anak kandung, zalimi isteri ketika hubungan intim

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang penganggur ditahan di Sungai Petani, Kedah kerana disyaki merogol anak kandung dan menzalimi isterinya ketika melakukan hubungan intim.

    Perbuatan kejam lelaki terbabit terhadap anaknya yang berusia belasan tahun itu berlaku enam kali sejak hujung tahun lalu sehingga pertengahan bulan tahun ini.

    Manakala, isterinya yang berusia 30-an pula menjadi mangsa kezaliman lelaki terbabit sejak tiga tahun lalu selepas melahirkan anak bongsu mereka.

    Menurut sumber, perbuatan lelaki terbabit terbongkar apabila dua beranak yang menjadi mangsa kerakusannya membuat laporan polis, semalam.

    “Susulan daripada laporan itu, suspek yang juga penganggur berusia 40 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan.

    “Siasatan lanjut mendapati suspek merogol anaknya ketika isteri keluar bekerja atau sedang tidur,” katanya.

    Menurutnya, suspek juga menzalimi isteri dengan menggunakan objek tertentu ketika mereka melakukan hubungan intim.

    “Sebelum ini, ibu dan anak enggan menceritakan kejadian menimpa mereka kepada sesiapa kerana bimbang dengan sikap panas baran lelaki terbabit.

    “Bagaimanapun, ia terbongkar selepas wanita terbabit nekad keluar daripada rumah kerana tidak tahan dengan sikap suami dan ketika itulah anaknya membuka cerita.

    Sumber berkata, dua beranak berkenaan dihantar menjalani pemeriksaan di hospital dan turut akan diberikan khidmat kaunseling.

    Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga tangkapan terhadap suspek namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

  • Kes Covid-19 rendah, tak perlu saringan masuk Langkawi

    Kes Covid-19 rendah, tak perlu saringan masuk Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak lagi melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 kepada pelancong ke Langkawi dibuat berikutan jumlah mereka yang didapati positif adalah rendah dan terkawal.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman, sepanjang ujian pengesanan itu dilaksanakan sejak sektor pelancongan kembali dibuka pada 16 September lalu, hanya 0.4 peratus daripada 54,351 pelancong yang hendak memulakan perjalanan ke situ didapati positif Covid-19.

    Begitu pun katanya, kalangan pelancong diingatkan supaya tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin agar penularan Covid-19 dapat dicegah ketika mereka berkunjung ke destinasi pelancongan popular itu.

    “Setakat ini penularan Covid-19 di Langkawi hanya melibatkan penduduk di pulau itu saja dan tidak melibatkan pelancong. Tiada pelancong yang menjadi pencetus kepada mana-mana kluster atau kes di pulau itu.

    “Pelaksanaan ujian itu juga perlu ditampung pelancong sebelum ini dan mungkin dengan langkah terbaru kerajaan ini, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan pengunjung sekali gus menarik kedatangan pelancong ke Langkawi,” katanya kepada Warta Rakyat di Alor Setar, hari ini.

    Kementerian Kesihatan sebelum ini membuat keputusan untuk menghentikan serta-merta keperluan ujian pengesanan Covid-19 buat pelancong ke Langkawi bermula kelmarin.

    Begitu pun menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kalangan pelancong digalakkan unntuk menjalani ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau berkenaan.

    Dalam pada itu Mohd. Hayati memaklumkan, satu daripada tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini iaitu di Dewan Al-Farabi Alor Setar, ditutup mulai hari ini.

    Katanya, antara faktor PKRC itu ditutup adalah disebabkan pengurangan kes Covid-19 di Kedah kebelakangan ini.

    Katanya berikutan penutupan itu, mana-mana kes bagi kategori tiga dan empat selepas ini akan dihantar ke PKRC Dewan Wawasan di Jitra bagi mendapatkan rawatan.

    “Semua itu boleh dianggap sebagai satu kejayaan bagi negeri ini. Malah ketika ramai penduduk Kedah sudah mendapatkan vaksin, rata-rata mereka yang dijangkiti Covid-19 juga tidak mengalami gejala teruk.

    “Jadi mereka hanya menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO),” katanya.

  • Karier Zahid bakal berakhir jika UMNO gagal di PRN Melaka?

    Karier Zahid bakal berakhir jika UMNO gagal di PRN Melaka?

    KEDUDUKAN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan tergugat dalam UMNO dan berkemungkinan akan digulingkan sebagai presiden sekiranya parti Melayu itu gagal memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata penganalisis.

    Mereka berkata pertembungan “dua kem” UMNO di Melaka sehingga menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan baru-baru ini memperlihatkan kelemahan Ahmad Zahid sebagai Presiden parti.

    Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata PRN Melaka juga akan memberikan impak langsung kepada kepimpinan Ahmad Zahid dan pemilihan UMNO akan didesak untuk disegerakan.

    “Sekiranya UMNO gagal memenangi PRN Melaka kali ini, ternyata ianya memberikan tekanan kepada beliau untuk kekal sebagai Presiden UMNO bila mana diadakan pemilihan kelak,” katanya kepada MalaysiaNow.

    DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

    Empat ADUN tersebut ialah ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron, Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

    Peristiwa itu menyaksikan tampuk kepimpinan negeri bertukar kali kedua dalam tempoh sepenggal selepas kerajaan Melaka pimpinan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020.

    Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Ahmad Marthada Mohamed berkata, pendirian Ahmad Zahid yang berubah-ubah berhubung krisis tersebut mencalarkan reputasi beliau.

    “Beliau yang menyatakan perlunya ada PRN, beliau juga yang nyatakan darurat perlu dilaksanakan untuk elakkan PRN,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Kedua, konflik dalaman UMNO tercetus kerana kelemahan kepimpinan terutama kepimpinan tertinggi.”

    Marthada berkata, PH berkemungkinan untuk memenangi semula Melaka sekiranya UMNO dan Perikatan Nasional (PN) bertanding secara berasingan.

    “Di Melaka, ada kawasan-kawasan yang dikatakan hampir pasti dimenangi oleh DAP dan ada kawasan yang mana jika tiada kerjasama antara PN dan U, mungkin sukar untuk calon daripada kedua-dua blok ini memenangi kerusi tersebut.

    “Pertembungan tiga penjuru akan beri kelebihan kepada PH. Ini senario pada PRU14 dan kita akan lihat senario sama jika tidak ada perundingan antara UMNO dan PN,” tambah beliau.

    Menurut Marthada, tuduhan yang dilemparkan berhubung penyelewengan projek pasir di Melaka memberikan kesan terhadap UMNO di Melaka memandangkan Idris masih mempunyai pengaruh sebagai bekas ketua menteri.

    “Bayangkan jika Melaka tidak dimenangi oleh UMNO-Barisan Nasional dan tiba-tiba diambil alih oleh PH. Ini akan melemahkan kredibiliti Presiden.

    “Saya percaya sedikit demi sedikit tekanan dapat mula dirasai bermula dengan krisis Umno di Melaka dan kenyataan-kenyataan (pimpinan parti) yang kita lihat tidak sehaluan,” katanya.

    Menurut Marthada, ketakutan kepada pandemik seperti mana yang berlaku ketika PRN Sabah akan memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi di Melaka.

    “Rakyat juga melihat bahawa PRU akan diadakan juga tidak lama lagi. Tiada sentimen untuk membuatkan rakyat bersungguh-sungguh turun mengundi.

    “Di Melaka, jumlah pengundi tak ramai. Jika yang turun mengundi pun tidak ramai, ditambah pula dengan undi berpecah, ini pasti akan berikan kesan,” katanya.

    Hisommudin berkata dalam keadaan peratusan keluar mengundi rendah, tidak mudah untuk PH merampas kembali Melaka.

    “Kemenangan PH bersyarat, yang memerlukan peratusan keluar mengundi di aras melepasi 85% dengan tiga segmen yang menyumbang kemenangan mereka pada PRU14 lalu kekak iaitu pengundi Cina, pengundi luar dan pengundi muda,” katanya.