Author: Wartawan WartaRakyat

  • Guan Eng fikir orang Sabah ini siapa? Soal Naib Presiden Star

    Guan Eng fikir orang Sabah ini siapa? Soal Naib Presiden Star

    DAP diingatkan supaya tidak menabur politik kebencian dan mengapi-apikan sentimen antikerajaan dalam kalangan rakyat Sabah.

    Peringatan itu disuarakan oleh Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Air (Star), Kenny Chua.

    “Lim Guan Eng datang sini dan memberitahu bagaimana kami tidak dilayan secara adil oleh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

    “Dia fikir orang Sabah ini siapa? Adakah kami ini hanya oksigen yang diperlukan bagi membolehkan DAP bernafas dan kekal relevan dalam landskap politik di negara ini,” katanya seperti dilaporkan Daily Express.

    Beliau mengulas tentang dakwaan Setiausaha Agung DAP itu kononnya Sabah diberi layanan lebih buruk di bawah PN dan PN memandangkan negeri itu hanya menerima sebanyak 6.9 peratus daripada peruntukan pembangunan dalam Bajet 2022, berbanding 9.3 peratus di bawah Pakatan Harapan (PH).

    Kenny menambah, rakyat di negeri itu takkan lupa bahawa Guan Eng ketika menjadi Menteri Kewangan dalam rejim PH dua tahun lalu menyampaikan berita buruk.

    Menurut beliau, Guan Eng menyatakan bahawa janji PH untuk menaikkan royalti minyak kepada 20 peratus berbanding lima peratus yang sebelum itu dinikmati oleh Sabah dan Sarawak tidak dapat ditunaikan.

    Janji tersebut ditabur PH kepada rakyat Sabah dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Rejim PH turut berjanji untuk menyalurkan semula separuh daripada nilai cukai yang dikutip.

    “Sejak sekian lama, rakyat Sabah dan Sarawak dinafikan hak untuk menikmati hasil sumber asli di negeri sendiri. Tetapi untuk melihat janji dimungkiri begitu sahaja menyebabkan kami rasa kami telah ditipu dua kali.

    “Jadi, bagaimana Guan Eng boleh bercakap tentang ketidakadilan sedangkan dia dan PH juga memberi layanan yang sama kepada rakyat Sabah dan Sarawak? soalnya.

    Kenny memberitahu, rakyat Sabah juga tidak akan lupa bahawa Guan Eng telah melaksanakan cukai baharu ke atas rakyat seperti Cukai Berlepas, Cukai Digital serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

  • Kerajaan lulus peruntukan lebih RM80 juta elaun JKKK Sarawak

    Kerajaan lulus peruntukan lebih RM80 juta elaun JKKK Sarawak

    KERAJAAN meluluskan peruntukan lebih RM80 juta setahun bagi pembayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wilayah Sarawak.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Jemaah Kabinet pada 19 November lalu memutuskan elaun Setiausaha JKKK, elaun pengendalian mesyuarat dan elaun kehadiran mesyuarat JKKK di Wilayah Sarawak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.

    “Elaun bagi Pengerusi JKKK Sarawak sudah dibayar dan atas persetujuan kerajaan Sarawak juga, elaun bagi Setiausaha JKKK Sarawak dan elaun mesyuarat JKKK akan dibayar tidak lama lagi.

    “Saya juga ingin memaklumkan bahawa jumlah peruntukan elaun tahunan itu adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Majlis Pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Marudi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. Abang Johari Tun Abang Openg di Miri hari ini.

    Mahdzir berkata, pembayaran bagi ketiga-tiga elaun tersebut yang sebelum ini menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak, dilihat dapat memantapkan lagi jentera pentadbiran JKKK diperingkat akar umbi.

    “Selain akan dapat mengurangkan beban kewangan Kerajaan Sarawak khususnya dalam pelaksanaan program pembangunan luar bandar yang melibatkan peranan institusi JKKK.

    “Ini adalah sebagai tambahan kepada elaun Pengerusi JKKK Wilayah Sarawak yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini sebanyak RM35.8 juta setahun,” katanya.

    Kerajaan Persekutuan kata beliau, menyediakan peruntukan lebih RM213 juta bagi pembayaran elaun untuk 15,434 JKKK dan JPKKP di seluruh negara setiap tahun.

    “Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula kata beliau, melihat peranan JKKK dan JPKKP adalah amat penting terutamanya dalam situasi negara berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya

    Justeru kata Mahdzir, JKKK dan JPKKP bukan sahaja berperanan sebagai ejen penyampai maklumat terkini daripada pihak kerajaan kepada komunitih setempat malah turut terlibat sebagai pelaksana pelbagai program pemerkasaan komuniti yang dianjurkan oleh kerajaan.

  • PRN Sarawak: PH bertanding semua 82 kerusi

    PRN Sarawak: PH bertanding semua 82 kerusi

    prn sarawak

    PAKATAN Harapan (PH) akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang ke-12.

    Memetik laporan Bernama, Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata pemilihan calon ditentukan oleh parti komponen dan akan diumumkan kemudian.

    “Terpulang kepada parti komponen untuk menentukan calon masing-masing. Kita akan bertanding di semua 82 kerusi DUN,” katanya dalam sidang media di Kuching hari ini.

    Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Dis sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12.

    SPR turut mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis.

    Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini, Chieng Jen berkata, kepimpinan PH Sarawak memutuskan untuk tidak menggunakan logo sama untuk PRN Sarawak.

    “Kita akan bertanding guna bendera masing-masing.

    “Amanah akan guna bendera Amanah, DAP guna roket dan PKR (bendera) mata biru,” katanya.

    PH sebelum ini memutuskan bahawa logo bersama tidak akan dikuatkuasakan secara ketat di Sarawak.

  • Semak semula dasar kerajaan mengenai arak, judi

    Semak semula dasar kerajaan mengenai arak, judi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DASAR sedia ada berkaitan arak dan judi perlu disemak semula bagi membolehkan kedua-dua gejala negatif itu dapat ditolak secara beransur-ansur di semua peringkat, dalam negara ini.

    Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bagi menjayakan agenda itu, semua masyarakat tanpa mengira agama dan kaum perlu menolak arak serta judi demi menjaga kelangsungan hidup negara agar lebih makmur dan sejahtera.

    Dalam masa sama katanya, kerajaan juga digesa agar menilai semula dasarnya yang masih melihat arak dan judi sebagai industri yang boleh mendatangkan pendapatan kepada kerajaan melalui cukai.

    “Kami tegaskan bahawa arak dan judi bukan satu industri yang menguntungkan bersandarkan kepada ‘kerugian’ yang terpaksa ditanggung akibat kesan negatif kedua-dua perkara itu.

    “Kami berpendirian industri arak dan judi membawa kesan mudarat lebih besar berbanding keuntungan kepada negara dan langkah mereka yang mempertahankan kedua-dua industri tersebut atas dasar hak peribadi serta hak bukan Islam, sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelancaran Kempen Selamatkan Keluarga Malaysia Dari Arak dan Judi (Saji) di Anjung Salimah, Sungai Petani, Kedah, hari ini.

    Mohd Azmi yang juga Pengerusi Saji kebangsaan turut mengharapkan agar satu pelan nasional untuk mendidik rakyat menghindari ketagihan arak dan judi.

    “Kami bertegas bahawa jualan arak yang masih berleluasa di kedai runcit sepatutnya diharamkan. Dengan lemahnya undang-undang dan penguatkuasaan, gejala menjual arak dalam kalangan anak muda dan golongan miskin masih terus berlaku.

    “Kami juga akan mengadakan sesi rundingan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan kerajaan pusat agar dasar dan undang-undang dalam menangani kesan negatif arak serta judi dapat digubal,” katanya.

  • PRN Melaka: Sokongan penjawat awam beri PN motivasi – Hamzah

    PRN Melaka: Sokongan penjawat awam beri PN motivasi – Hamzah

    KEPUTUSAN  Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Noember lalu  memberikan Perikatan Nasional (PN) lebih motivasi susulan sokongan padu yang diterima gabungan itu daripada penjawat awam.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, walaupun hanya memenangi dua kerusi namun  “post mortem” awal dengan parti komponennya memberikan mereka beberapa alasan untuk meraikannya.

    ‘’“Kami mendapati terdapat peningkatan dari segi sokongan kepada PN dan itu memberikan kami lebih motivasi,” katanya lapor portal Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemegang taruh industri keselamatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) bergambar bersama ahli-ahli PIKM ketika hadir ke Majlis Perjumpaan dan Amanat YB Menteri Dalam Negeri bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Hamzah berkata, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, adalah penting mencari jalan untuk mengelakkan lebih banyak pertembungan yang boleh menyebabkan perpecahan lebih besar dalam negara.

    “Itu bagi saya lebih penting daripada perkara lain,” katanya.

    Beliau berkata, PN telah melibatkan beberapa organisasi untuk menghasilkan analisis mendalam mengenai prestasi gabungan itu di Melaka yang akan didedahkan kemudian.

    Mengulas siasatan polis terhadap ucapan dibuat di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman mengenai kebimbangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan desakan pemisahan Sabah, Hamzah berkata, Ahli Parlimen Warisan itu tidak sepatutnya menyentuh isu yang tidak menyumbang kepada pembinaan negara bangsa.

    “Orang ramai tidak boleh bercakap tentang isu sebegini hanya untuk suka-suka. Jika mereka bercakap sesuatu, ia sepatutnya membantu atau menyelesaikan masalah atau cadangan bagaimana rakyat boleh hidup aman dan harmoni,” katanya.

    “Tetapi jika mereka mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan rakyat, sudah tentu kita akan mengambil tindakan.”

  • Tolak Muafakat Nasional, jika hanya libat UMNO, Pas – Hadi

    Tolak Muafakat Nasional, jika hanya libat UMNO, Pas – Hadi

    TAN Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas menolak Muafakat Nasional yang terbelenggu dengan hanya melibatkan parti itu dan UMNO sahaja.

    Selain itu Presiden Pas tersebut turut menegaskan, parti juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan lebih besar iaitu Perikatan Nasional.

    ‘’Tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang boleh mencacatkan struktur negara, sememangnya memerlukan suatu perubahan kepada proses islah yang dibentuk terkini kerana Barisan Nasional (BN) yang sudah berpenyakit.

    ‘’Oleh itu, langkah persembahannya bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional yang tidak lengkap, maka perlu dilengkapkan dengan penubuhan Perikatan Nasional .

    ‘’Oleh yang demikian, secara tegasnya Pas tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain. Pas hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Pas boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja.

    Bahkan, tegas beliau, Pas bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

    ‘’Pas hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata.

    ‘’Pas hanya menerima Muafakat Nasional yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik Perikatan Nasional,’’ katanya.

    Abdul Hadi berkata, demi agenda perpaduan umat yang sebenarnya, maka Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional adalah laksana dua dalam sepasang yang tidak harus dipisahkan, sekiranya benar-benar berkonsepkan perpaduan umat dalam negara masyarakat majmuk yang ikhlas.

    ‘’Kedua-dua gagasan ini laksana dua tangan dalam satu jasad, kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat. Bahkan, ia juga laksana sepasang kasut yang tidak waras jika dipakai sebelah kasut sahaja.

    ‘’Bukanlah tujuan gagasan ini demi menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu, sama ada untuk mengangkat ataupun menjatuhkannya. Kita semua laksana ramainya penumpang yang berada dalam satu bahtera atau mengikut slogan Keluarga Malaysia yang besar sebagaimana diuar-uarkan,’’ katanya.

    Beliau menegaskan,  berdasarkan semangat yang telah ditegaskan dalam Piagam Muafakat Nasional yang disertai oleh kalangan Melayu Islam dan bumiputera (penduduk asal), maka mereka wajib disatukan setelah berpecah belah dan berporak-peranda selama ini.

    ‘’Muafakat Nasional bukan sahaja disertai oleh Pas dan UMNO, bahkan melibatkan semua pihak jika benar-benar gagasan itu berkonsepkan acuan al-Quran yang pernah mendidik masyarakat Arab sebelum Islam yang berpecah belah,’’ katanya.

    Dalam pada itu, kata Abdul Hadi, semua pihak mesti diterima hakikat bahawa Perikatan Nasional yang menjadi gagasan politik lebih besar, perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk ini.

    ‘’Khususnya, bagi menegakkan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang telah wujud dan tidak perlu dirungkai lagi, tetapi kandungan perlembagaan mestilah ditafsirkan dengan jiwa yang merdeka daripada sebarang pengaruh penjajahan pemikiran yang perlu dibuang segala kesan-kesan dan pengaruhnya yang masih ada.  Di samping itu, perlu disingkirkan puak pendukung penjajah yang menjadi makhluk perosak dalam keluarga Malaysia,’’ katanya.

    Beliau berkata, Pas hanyalah berpegang kepada konsep perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.

  • Bapa Pengerusi DAP Sarawak pun pernah lompat parti

    Bapa Pengerusi DAP Sarawak pun pernah lompat parti

    PENGERUSI DAP Sarawak, Chong Chieng Jen diberi ‘peringatan mesra’ bahawa bapanya, Chong Siew Chang pernah melompat parti satu ketika dahulu.

    Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh berkata, Siew Chang meninggalkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk menubuhkan DAP Sarawak pada tahun 1978.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan Chieng Jen agar tidak bersikap terlalu kritikal dengan mereka yang melompat parti.

    “Kami ingin secara mesra mengingatkan Chieng Jen agar tidak terlalu meletakkan dirinya atau DAP di kedudukan tinggi dengan menolak ‘katak’ dan mengaggap dia mempunyai moral yang tinggi, atau bersikap menghukum terhadap sesiapa yang menukar parti politik.

    “Pada masa sama, kami juga tidak menafikan ada beberapa contoh yang boleh memburukan imej semua yang berbuat demikian. Mengapa Chieng Jen begitu bersungguh untuk menyamakan setiap pemimpin atau ahli politik?

    “Mungkin dia juga perlu mengkritik bapanya sendiri yang lompat daripada SUPP, sebuah parti Sarawak, untuk menyertai DAP iaitu parti dari semenanjung dan dituduh SUPP melakukan sabotaj terhadap Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Rahman Yakub,” kata Wong seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Soon Koh berkata, beliau tidak mahu ‘membuka luka lama’ dan menghormati Siew Chang kerana meninggalkan SUPP kerana prinsip.

    “Ia memang soal prinsip dan PSB turut berpegang kepada perjuangan sama dengan senior Chong, menerusi platform politik berbeza tanpa berkompromi dengan prinsip kami,” katanya lagi.

    Terdahulu, Chieng Jen ketika mengulas berkenaan kemungkinan kerjasama dengan PSB, membayangkan DAP Sarawak tidak akan bekerjasama dengan ‘katak politik’.

    Terdapat dua penyandang kerusi DUN daripada PSB yang sebelum ini keluar daripada PH, iaitu See Chee How (Batu Lintang) dan Baru Bian (Ba’kelalan).

    “Bagi DAP, di kawasan kami, ada seorang ‘katak’ yang merupakan penyandang dan kami bertegas yang dia tidak patut dicalonkan semula. Inilah cara kami berpegang kepada prinsip dan keputusan parti,” katanya.

    PSB adalah parti serpihan SUPP yang ditubuhkan pada 2014. Parti itu memiliki enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum DUN Sarawak dibubarkan pada 3 November lalu.

    Parti itu dijangka mencalonkan ramai ahli politik veteran dalam PRN yang akan dilaksanakan Disember ini.

    Kata Soon Koh, Chieng Jen patut menghargai Baru dan Chee How yang berpegang dengan prinsip yang sama seperti bapanya berkaitan hak orang Sarawak, dan membayangkan mereka meninggalkan PKR untuk membebaskan diri daripada kawalan bekas ketua mereka di Kuala Lumpur.

  • Persatuan Skuasy Israel ‘mengamuk’ Malaysia tolak beri visa

    Persatuan Skuasy Israel ‘mengamuk’ Malaysia tolak beri visa

     

    MALAYSIA  menolak untuk memberikan visa kepada pemain Israel yang mahu menyertai kejohanan skuasy utama bulan depan, kata badan pengurusan sukan negara, mencetuskan kecaman ramai di negara Yahudi tersebut.

    Tindakan tersebut adalah satu lagi keputusan tegas negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel bagi menghalang atlet dari negara itu masuk ke Malaysia.

    Portal MalaysiaNow melaporkan, kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia bagi lelaki itu dijangka berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 12 Disember dengan, dengan 26 regu bakal mengambil bahagian.

    Bagaimanapun, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) berkata ia “telah dimaklumkan, pihak berkuasa Malaysia masih belum memberikan visa bagi pasukan skuasy Israel”.

    “WSF komited dengan prinsip kejohanan dunia yang terbuka dan inklusif di mana semua negara anggota yang ingin mengambil bahagian dialu-alukan untuk berbuat demikian,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan kepada AFP.

    WSF menambah ia sedang berhubung dengan badan skuasy Malaysia dan berharap “penyelesaian yang adil dan praktikal dapat dicapai”.

    Persatuan Skuasy Israel berkata, ia merancang untuk membuat aduan berhubung perkara tersebut kepada Mahkamah Sukan di Switzerland jika WSF tidak dapat menyelesaikan isu tersebut.

    “Sungguh memalukan, mereka campur urusan sukan dengan politik,” kata pengerusi persatuan skuasy negara itu, Aviv Bushinsky kepada AFP.

    “Mereka yang menutup mata – semua negara yang mengambil bahagian dan biarkan sesuatu seperti itu berlaku – telah membenarkan perkauman dan diskriminasi berlaku dalam sukan.”

    Ketika dihubungi, Persatuan Skuasy Malaysia (PSM) enggan mengulas perkara itu.

  • MB Kedah tak percaya P. Pinang tak mampu bayar air mentah

    MB Kedah tak percaya P. Pinang tak mampu bayar air mentah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Kesempatan bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara semalam, digunakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk bercakap secara berterus terang mengenai tuntutan bayaran air mentah Kedah kepada negeri jiran tersebut.

    Menurut Muhammad Sanusi, Kedah menuntut hak yang wajar dan munasabah daripada pengorbanan negeri itu menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar.

    Dari situ katanya, mengalir sungai-sungai yang membekalkan air mentah untuk minuman dan kawasan pertanian makanan bagi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

    “Ketua Menteri bagaimanapun memberi jawapan bahawa Pulau Pinang tidak mampu membayarnya kerana hasil mereka tidak banyak.

    “Sukar sekali menghadam jawapan beliau kerana semua orang tahu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik menerusi air mentah yang berpunca dari Kedah,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi status dimuat naik di laman Facebook rasminya yang turut disertakan dengan gambar pertemuan tersebut.

    Membalas kenyataan Muhammad Sanusi, Kon Yeow menerusi laman Facebooknya pula terus bertegas bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tetap tidak akan memenuhi tuntutan tersebut.

    “Saya dengan ini menegaskan bahawa pendirian Pulau Pinang sudah banyak kali dinyatakan secara rasmi.

    “Kita tidak akan bayar kerana isu bayaran adalah tidak berbangkit. Ini kerana kita ambil air dari sempadan negeri dan Kedah nampaknya masih tidak mahu faham,” katanya.

  • Daftar GRS secara rasmi elak bertembung pilihan raya

    Daftar GRS secara rasmi elak bertembung pilihan raya

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) yang menghimpunkan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu perlu didaftar secara rasmi bagi mengelakkan pertembungan pada pilihan raya.

    Cadangan itu dilontarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan dari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau dalam hantaran Facebook hari ini:

    Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menunjukkan keperluan para pemimpin politik GRS untuk bertindak memperkasakan hala tuju GRS.

    Sebagai ringkasan, pada 12 September 2020 kita tahu GRS diwujudkan sebagai gabungan parti tempatan Sabah yang melibatkan BN, PN dan PBS untuk mengharungi PRN Sabah sebagai gabungan pemerintahan negeri baharu.

    Syukur, rakyat memberikan mandat kepada GRS untuk membentuk kerajaan negeri Sabah baharu. Gabungan GRS berkesan kerana ianya melibatkan kerjasama parti nasional dan parti tempatan, di mana ada struktur jelas dan semuanya mempunyai peranan penting.

    Ternyata, rakyat Sabah mengutamakan kestabilan politik demi pembangunan masa depan dan kemakmuran yang lebih teratur. PRN Melaka jelas menunjukkan kesinambungan mesej ini.

    Soalnya sekarang, bagaimanakah kita mengelak pertembungan antara ahli GRS seperti PN dan BN di masa depan seperti yang berlaku di PRN Melaka? Situasi politik Sabah berbeza dari Semenanjung dan kita tidak boleh lalai dalam perkara ini.

    Sehubungan dengan itu, para pemimpin GRS wajar duduk semeja dan bincang tindakan untuk memperkasakan GRS. Ia penting untuk memperkuatkan kuasa ahli GRS untuk tentukan hala tuju GRS itu sendiri.

    Oleh itu, kita utamakan pendaftaran GRS sebagai gabungan politik yang rasmi. Para pemimpin GRS perlu bincang segera untuk merealisasikan objektif ini. GRS boleh pertimbangkan membuka keahlian secara langsung kepada para parti lain menjadi ahli parti gabungan GRS dan juga individu yang mahu menjadi ahli GRS biasa.

    Biar orang awam tidak lagi keliru mengenai GRS. GRS kekal fokus dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat Sabah. Kita perlu membangunkan ekonomi negeri, menciptakan peluang pekerjaan dan mempersiapkan generasi anak muda sebagai pemimpin masa depan Sabah.

    Secara peribadi, saya telah memberikan pandangan saya mengenai perkara ini kepada kepimpinan tertinggi GRS. Sudah tentu akan ada perbezaan pendapat, tetapi demi masa depan Sabah saya percaya ia penting untuk membincangkan perkara ini sekarang secara terbuka, membina dan bertimbang rasa.

    Negeri Sabah mempunyai berkat kekayaan alam semulajadi dan rakyat berbilang kaum yang terkenal dengan sikap toleransi. Sabah sudah wujud sebagai entiti selama 140 tahun, sejak 1 November 1881. Pokoknya, untuk memastikan Sabah terus melangkah GRS perlu ketepikan politik polemik dan kekalkan tumpuan kita untuk #TerusBekerja.