Author: Wartawan WartaRakyat

  • PM arah menteri batalkan cuti, pulang segera bantu mangsa banjir

    PM arah menteri batalkan cuti, pulang segera bantu mangsa banjir

    MENTERI Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan percutian masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana menteri yang sedang berada di luar negara, juga diarah membuat penerbangan balik ke tanah air dengan segera.

    “Saya dapat banyak soalan mengenai Menteri-Menteri Kabinet yang ada bercuti, jadi mereka yang masih belum bercuti batalkan percutian masing-masing. Mana ada di luar negara balik segera,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu di Bentong, hari ini.

    Menurut Ismail Sabri beliau juga terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand yang sepatutnya diadakan pada 28 hingga 30 Dis bagi memberi tumpuan kepada isu banjir yang melanda rakyat ketika ini.

    Beliau berkata perbincangan urusan dua hala antara Malaysia dan Thailand itu akan dibawa ke tarikh lain yang akan diumumkan kelak.

    Ismail Sabri turut mengumumkan kerajaan akan menyumbang RM10,000 kepada waris mangsa korban banjir.

    Katanya, beliau akan mendapatkan senarai nama mangsa korban daripada pusat bencana daerah bagi memastikan sumbangan itu disampaikan segera.

    “Kita amat simpati dan sedih dengan apa yang berlaku dan kita akan beri sumbangan…kita akan salurkan melalui pejabat daerah dan mereka akan salurkan kepada waris mangsa.

    “Difahamkan, kerajaan Pahang juga akan menyalurkan RM5,000 kepada waris mangsa terkorban,” katanya.

  • 188 ketulan ganja mampat berat 142 kg dirampas

    188 ketulan ganja mampat berat 142 kg dirampas

    POLIS Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang bergiat aktif sejak Jun lalu selepas menyerbu sebuah rumah kedai dan beberapa buah rumah di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT).

    Serbuan selama enam hari sehingga kelmarin itu berjaya menahan enam lelaki tempatan bersama 198 ketulan mampat ganja seberat 142.3 kilogram (kg) yang bernilai kira-kira RM355,785.

    Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 52 tahun itu terdiri daripada penganggur, peniaga dan pekerja kilang.

    Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Seberang Jaya pada Jumaat lalu yang mana seorang lelaki berjaya ditahan manakala enam ketulan mampat ganja seberat 5.2 kg turut dirampas.

    “Penahanan lelaki itu kemudiannya membawa kepada lima lagi serbuan iaitu di Bukit Mertajam, Permatang Pauh dan Seberang Jaya yang mana polis berjaya menahan empat lagi individu selain merampas 192 ketulan mampat ganja,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bandar Perda, Bukit Mertajam hari ini.

    Menurut Shafee, selain rampasan dadah, pihaknya turut menyita empat buah kenderaan dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM133,600 daripada sindiket berkenaan.

    Jelasnya, siasatan polis mendapati sindiket berkenaan mula bergiat aktif mengedarkan ganja kira-kira enam bulan lalu iaitu sekitar Jun untuk pasaran tempatan.

    “Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati tiga daripada suspek positif ganja dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Penternak ikan Pahang rugi lebih RM1.4 juta akibat banjir

    Penternak ikan Pahang rugi lebih RM1.4 juta akibat banjir

    SITUASI banjir di Pahang sejak Jumaat minggu lalu mengakibatkan seramai 73 penternak ikan air tawar di lima daerah mengalami kerugian lebih RM1.4 juta.

    Memetik laporan BH, nilai kerugian dijangka terus meningkat apabila banyak sangkar dan kolam di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan, musnah.

    Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, kerugian penternak akuakultur di negeri ini dijangka terus meningkat, berikutan keadaan banjir yang masih berlaku di beberapa daerah.

    Beliau berkata,estet ikan, tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Temerloh juga telah ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik berkenaan.

    “Jabatan menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila bencana banjir surut sepenuhnya nanti.

    “Banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus deras air selain ditimpa pokok tumbang.

    “Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini,” katanya hari ini.

    Abdullah menambah, pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).

    Abdullah berkata, pihaknya bersimpati dengan apa yang dialami penternak dan pengusaha akuakultur di negeri ini dan berharapkan mereka tabah serta bersabar menghadapi ujian yang tidak dijangka ini.

    “Tahun lalu jumlah penternak akuakultur yang berdaftar di negeri ini seramai kira-kira 1,700 orang manakala nelayan darat seramai 380 orang.

    “Pengeluaran akuakultur dan perikanan sungai di Pahang adalah yang tertinggi di Pantai Timur dengan kira-kira 15,000 tan bernilai lebih RM246 juta bagi akuakultur serta kira-kira 787 tan bernilai kira-kira RM11.5 juta bagi perikanan sungai,” jelasnya.

  • Banjir : MARA beri kelonggaran penjadualan semula bayaran peminjam, penyewa premis perniagaan

    Banjir : MARA beri kelonggaran penjadualan semula bayaran peminjam, penyewa premis perniagaan

    MAJLIS   Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran untuk penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran kepada mereka yang terlibat dalam bencana banjir.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peminjam perniagaan turut diberi kelonggaran itu selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

    “Bagi mereka yang menjadi mangsa banjir dan terkesan dengan bencana itu, mereka boleh memohon kelonggaran tersebut dengan menghubungi Pejabat MARA Negeri atau Daerah berhampiran.

    ‘’Insentif ini merupakan tanda keprihatinan MARA terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung oleh penerima kemudahan yang terjejas akibat bencana tersebut,” katanya  dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau juga memaklumkan, buat masa ini MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana tersebut.

    Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, kata Mahdzir pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.

    “Saya berharap insentif ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban peminjam terutamanya usahawan dalam memulihkan kembali operasi dan aliran tunai syarikat.

    Kita juga amat bersimpati dengan musibah bencana banjir yang melanda kali ini dan berharap agar semua mangsa yang terkesan dapat bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi ini,” katanya.

    Mereka yang berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan insentif bencana banjir ini, boleh layari laman sesawang https://www.mara.gov.my.

  • Lelaki ‘tunda’ kereta mangsa banjir ditahan polis

    Lelaki ‘tunda’ kereta mangsa banjir ditahan polis

    DALAM situasi mangsa banjir yang serba kesulitan ketika ini, masih ada individu tidak bertanggungjawab yang tergamak mengambil kesempatan mencuri harta milik mereka.

    Di Shah Alam, seorang lelaki ditahan polis bagi bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan mencuri sebuah kereta jenis Honda City, milik seorang mangsa banjir di Jalan Persiaran Perusahaan, Seksyen 23.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, siasatan mendapati pemilik kenderaan terbabit meletakkan kenderaannya di tepi jalan dalam keadaan baik dan berkunci kira-kira pukul 6 petang, 18 Disember lalu.

    Beliau berkata, pemilik meletakkan kenderaan berkenaan di jalan itu disebabkan kawasan tempat tinggalnya mengalami banjir

    “Walau bagaimanapun, kira-kira jam 8.45 malam 20 Disember (Isnin) lalu, mangsa (pemilik) mendapati kereta berada di atas lori tunda dengan nombor pendaftaran WCX3048 atas nama Syarikat Sparks Motors Rescue Empire.

    “Lori itu dipandu seorang lelaki tempatan tidak dikenali, malah suspek mendakwa ada individu menyuruhnya menunda kereta milik isteri mangsa itu ke bengkel,” katanya seperti dilaporkan BH.

    Arjunaidi menambah, mangsa sempat membuat pemeriksaan ke atas kenderaannya dan mendapati bateri kereta hilang selain nombor pendaftaran kenderaan bahagian depan serta belakang dipatahkan selain pelekat cukai jalan turut hilang.

    Beliau memberitahu, mangsa tampil membuat laporan selepas dihubungi oleh polis susulan hantarannya yang tular di media sosial, Rabu lalu.

    “Tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, yang juga pemandu lori tunda terbabit.

    “Suspek direman dua hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

    Pada 19 Disember lalu, tular dalam media sosial pemilik akaun Instagram @wangi_by_cinta mendakwa suspek mencabut nombor pendaftaran kereta miliknya dan mengangkut kenderaan terbabit ke atas lori tunda sebelum disedari oleh penduduk setempat.

  • Shahidan menghadap Lembaga Disiplin UMNO

    Shahidan menghadap Lembaga Disiplin UMNO

    KETUA UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan yang tiba di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur petang tadi meninggalkan Ibu Pejabat UMNO kira-kira sejam kemudian.

    Namun, tidak dinyatakan mengapa beliau dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO.

    Shahidan juga enggan mengulas perkara itu ketika dihubungi FMT.

    Difahamkan, selepas perjumpaan itu, Shahidan bergegas ke Jelebu sempena lawatan pascabanjir di Pusat Penempatan Sementara Dewan Besar D’Sury, Kuala Klawang.

    Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa supaya Shahidan dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.

    Syed Atif mendakwa, pelanggaran disiplin berlaku ketika Shahidan hadir pada Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Kangar, Perlis pada 17 OKtober lalu.

    Antara kesalahan tersebut adalah mengibarkan bendera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama-sama bendera UMNO sebagai hiasan di ruang majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian Arau.

    Selain itu, Shahidan turut didakwa mengedarkan draf usul yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua sayap cawangan, malah membuat ucapan yang bertentangan dengan keputusan parti kepada ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua sayap cawangan.

  • Bersatu Johor pastikan Hasni terus pimpin kerajaan negeri

    Bersatu Johor pastikan Hasni terus pimpin kerajaan negeri

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KESEMUA 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan memastikan Datuk Hasni Mohammad kekal memimpin kerajaan negeri setelah kedudukan di negeri itu genting susulan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian.

    Malah, mereka berpendapat tumpuan ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha untuk membantu rakyat di negeri itu yang diramal berdepan risiko banjir ekoran Monsun Timur Laut.

    ADUN Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, wakil rakyat Bersatu Johor akan terus menyokong kepimpinan Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Kita akan terus sokong Hasni menerajui negeri ini kerana beliau merupakan Menteri Besar Johor yang baik dan dekat di hati rakyat, senang bekerjasama walaupun beliau dari UMNO. Kita tidak ada masalah dan berpuas hati dengan khidmatnya.

    “Sokongan ini juga bagi menjaga kestabilan politik di Johor agar tidak terkesan dan kerajaan negeri boleh menumpukan perhatian untuk membantu rakyat dalam keadaan Covid-19 dan persediaan menghadapi banjir,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat semalam turut menjelaskan tiada keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kempas diadakan berikutan kematian Osman.

    Ia kerana kekosongan kerusi DUN berkenaan berlaku selepas tiga tahun Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu diadakan iaitu pada 2018 selaras dengan fasal 23(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

    Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) juga menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka di DUN Kempas dengan mengadakan PRK melainkan sekiranya Speaker DUN Johor memberitahu secara bertulis untuk diadakan.

    Pemergian Osman malam kelmarin menjadikan kerajaan Johor ketika ini mempunyai 28 kerusi DUN diikuti gabungan pembangkan daripada Pakatan Harapan (PH) dengan 27 kerusi.

    Sekiranya seorang sahaja ADUN menyokong kerajaan menarik sokongan sekali gus menyebabkan DUN Johor tergantung dengan masing-masing 27 kerusi yang berkemungkinan ia perlu dibubarkan.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu antara ADUN yang berada dalam kerajaan Johor ketika ini bagi kerusi DUN Gambir selain bekas Menteri Besar Johor ke-17, Datuk Dr. Sahruddin Jamal di DUN Bukit Kepong.

    Sementara itu, Che Zakaria berkata, pemergian Osman adalah satu kehilangan besar kerana Bersatu Johor seakan hilang seorang pemimpin yang berwibawa dan vokal.

    “Beliau merupakan sahabat yang baik. Osman adalah antara pengasas Bersatu semasa ditubuhkan di Johor Bahru dan saya bersama-sama bekas Menteri Besar Johor itu berjuang untuk Bersatu semasa di peringkat awal penubuhan parti sehingga kini,” katanya.

    Mengulas majoriti usul dalam persidangan UMNO bahagian baru-baru ini yang mahu parti itu bertanding secara solo pada PRU-15, Che Zakaria berkata, itu adalah hak UMNO yang mungkin merasakan sudah kembali berpengaruh serta kuat tanpa perlu sokongan parti lain.

    “Tidak mengapalah itu keputusan mereka, hak mereka. Bagi saya, apa yang Bersatu Johor perlu buat ketika ini ialah kuatkan parti sendiri dan betul-betul bersatu untuk menghadapi PRU-15,” katanya.

  • ASB umum pengagihan pendapatan 5 sen seunit

    ASB umum pengagihan pendapatan 5 sen seunit

    AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan 5.0 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

    Memetik laporan BH, ia membabitkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM8.9 bilion yang akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB.

    Jumlah berkenaan menjadikan angka pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB berjumlah RM168.5 bilion sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1990.

    Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, ASB berjaya mengekalkan pengagihan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan yang mencatatkan kadar pulangan sebanyak 1.85 peratus.

    “Prestasi menggalakkan ini didorong oleh strategi kepelbagaian berterusan dana yang telah menjana prestasi kukuh hasil daripada pelaburan ekuiti global dengan pasaran ekuiti domestik yang lebih lemah.

    “Unit dalam Edaran ASB meningkat kepada 181.2 bilion tahun ini manakala bilangan pemegang unit bertambah sebanyak 200,000 menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 10.4 juta, mencerminkan kepercayaan berterusan rakyat Malaysia terhadap dana ASB,” katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan ASB secara maya hari ini.

    Yang turut serta, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

    Arifin berkata, ASB mencatatkan prestasi positif di sebalik keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, serta kemunculan varian baharu COVID-19 dan peningkatan kes baharu sepanjang tahun yang memperlahankan pemulihan ekonomi global.

    “Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merekodkan prestasi -7.80 peratus setakat 22 Disember 2021. Indeks utama global pula menunjukkan prestasi lebih baik yang mana S&P 500 dan FTSE 100 masing-masing mencatat pulangan sebanyak 26.3 peratus dan 11.2 peratus.

    “Kami bersyukur usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio kami telah membuahkan hasil positif.

    “Prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar. Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan yang mampan,” katanya.

    Peruntukan pelaburan antarabangsa ASB meningkat daripada 5.9 peratus pada 2020 kepada 8.2 peratus tahun ini.

    Ekuiti awam antarabangsa menyumbang sebanyak 30.7 peratus kepada pendapatan kasar pada 2021 berbanding 24.2 peratus tahun lalu.

    “Alhamdulillah, pengagihan pendapatan ASB pada tahun ini kekal kompetitif hasil usaha dan dedikasi pasukan pelaburan kami. Kadar pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12-bulan yang kadar semasanya ialah 1.85 peratus,” tambah Arifin.

    Jumlah akaun ASB bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.4 bilion atau 4.3 peratus kepada 181.2 bilion unit.

    Dalam sidang media selepas pengumuman pengagihan pendapatan, Ahmad Zulqarnain berkata, walaupun dalam persekitaran yang mencabar, PNB berbesar hati mendapati bilangan rakyat Malaysia yang melabur dan jumlah pelaburan turut terus meningkat.

    “Kami amat menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pemegang unit kami dan akan berusaha memenuhi mandat PNB untuk terus menjana pulangan yang mampan,” katanya.

    Beliau menjelaskan, PNB telah menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan tahun 2021, mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan.

    “Untuk 11 bulan pertama tahun kewangan semasa, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB telah meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM338.4 bilion, mencerminkan kepercayaan berterusan oleh pemegang unitnya,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad Zulqarnain berkata, dalam usaha memperkukuh strategi Focus 4 pada tahun ini, PNB telah mencapai kemajuan yang ketara dalam tiga bidang tumpuan iaitu mencipta nilai dalam prestasi portfolio domestiknya.

    “PNB telah meneruskan usaha kepelbagaian ke dalam pasaran global menerusi kelas aset yang berbeza dan mempercepatkan peningkatan perkhidmatan melalui pendigitalan,” katanya.

  • 1,256 sukarelawan KEMAS terlibat misi bantuan pasca banjir

    1,256 sukarelawan KEMAS terlibat misi bantuan pasca banjir

    JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke negeri-negeri terjejas membabitkan 1,256 sukarelawan kakitangannya.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, misi bantuan di bawah program KEMAS Prihatin itu dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini.

    “Kita menggerakkan inisiatif bantuan ini bukan hanya untuk kerja-kerja pembersihan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS yang terjejas dilanda bencana banjir, tetapi juga rumah-rumah penduduk yang berhampiran.

    “Kita berharap dengan bantuan yang digerakkan ini akan membolehkan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS dapat bersedia menerima kemasukan anak-anak kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula.” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Ringkas Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir KEMAS Prihatin di Institut Kemajuan Desa, INFRA, di Bangi hari ini.

    Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

    Mahdzir Khalid bersama sukarelawan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan pasca banjir.

    Menurut Mahdzir, sejumlah 207 premis Tabika, Taska dan Pusat Kegiatan KEMAS diseluruh negara dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir kali ini.

    Paling teruk terjejas, premis Tabika KEMAS di Selangor dengan jumlah 111 buah dan di Pahang 58 buah.

    Manakala sejumlah 357 kakitangan KEMAS sendiri turut menjadi mangsa bencana banjir di seluruh negara.

    Tambah Mahdzir, sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan itu pula, dikumpul dari seluruh negara.

    Antara kawasan tumpuan misi bantuan pasca banjir itu termasuk ke Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang dan Pahang.

    “Saya mengucapkan tahniah atas kesediaan semua sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan ini dan ini juga merupakan satu ibadah kepada kita dalam membantu melapangkan kesusahan orang lain,” kata Mahdzir.

  • Institut Masa, PPMI santuni pendidikan kanak-kanak Palauh

    Institut Masa, PPMI santuni pendidikan kanak-kanak Palauh

    PENDIDIKAN adalah hak semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang etnik, sosial, ekonomi, agama dan budaya serta keupayaan dan kesihatan diri.

    Setiap mereka berhak mendapat pendidikan berkualiti yang sama rata dan saksama sebagaimana yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

    Bagaimanapun tidak semua kanak-kanak berpeluang mendapat akses kepada pendidikan sedemikian. Kumpulan etnik minoriti, pelarian, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan merupakan antara kumpulan yang tergolong dalam kategori ini.

    Mereka bukan sahaja ketinggalan tetapi tercicir daripada menikmati peluang pendidikan formal disebabkan status mereka yang kebanyakannya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

    Menyedari perkara ini, Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa), sebuah badan pemikir bebas berganding bahu dengan Pusat Pembangunan Minda Insan, Sabah bagi menyantuni pendidikan kanak-kanak Bajau Laut (Palauh), kumpulan etnik minoriti Sabah baru-baru ini.

    Program selama dua hari itu termasuk lawatan ke tiga buah PPMI iaitu di Kampung Kabog, Kunak 3 dan Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum disertai oleh 14 kakitangan dan penyelidik Institut Masa serta guru-guru PPMI.

    Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa, Azril Mohd Amin berkata, program tersebut memberi peluang kepada para penyelidik untuk melihat dengan lebih dekat masalah yang dihadapi oleh komuniti minoriti itu lebih-lebih lagi yang melibatkan aspek pendidikan.


    Azril Mohd. Amin (kiri) menyampaikan sumbangan berupa peralatan pembelajaran dan pengajaran kepada Mudir
    Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Kampung Kabog, Kunak, Lajunaidi Lajahidi.

    Menurut beliau, kumpulan kanak-kanak ini menimba ilmu dalam keadaan penuh cabaran, serba kekurangan dan tercicir daripada arus perdana.

    “Bagaimanapun di sebalik kekurangan ini mereka menunjukkan minat dan semangat yang tinggi untuk belajar terutama ilmu asas, membaca, menulis dan mengira serta pendidikan agama Islam,’’ katanya.

    Menurut Azril hubungan baik Institut Masa dengan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan Sabah seperti Haluan memudahkan perancangan rangka kerja jangka panjang bagi membantu komuniti ini antaranya menyediakan latihan kemahiran dan vokasional kepada para pelajar selain program motivasi untuk tenaga pengajar PPMI.

    Institut Masa juga kata beliau, akan meningkatkan kerja-kerja penyelidikan berkaitan hak-hak pendidikan bagi kumpulan minoriti Palauh, kumpulan yang tercicir dan terpinggir selain bercadang menjadikan beberapa PPMI dan Kelas Bimbingan Insan (KBI) di negeri ini sebagai `sekolah angkat.’

    Menurut Azril program ini juga adalah sebahagian daripada usaha membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan memberi fokus kepada hak pendidikan untuk semua murid.

    Sementara itu Ketua Penyelaras PPMI Sabah, Lajulliadi Lajahidi berkata, pusat pendidikan tersebut bermula sebagai pusat aktiviti komuniti pada tahun 2011 dengan memberi fokus kepada pendidikan anak-anak etnik minoriti dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pembangunan arus perdana negara.

    Dalam lawatan yang sama Institut Masa turut menyumbang barang-barang keperluan pembelajaran dan pengajaran kepada tiga PPMI tersebut.