MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun meminta semua pihak agar tidak menjadikan penampilan beliau memakai kasut bertumit tinggi semasa melawat mangsa banjir Ahad lalu sebagai isu.

Sebelum ini, beliau dikecam kerana berpenampilan dengan kasut bertumit tinggi ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswathy, Jalan Klang Lama.

Pada hari kejadian, katanya, beliau sedang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, dan bergegas keluar dari situ sejurus tamat ucapan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semasa dalam perhimpunan, saya terima banyak mesej mengenai kawasan-kawasan terlibat banjir dan saya kira perlu saya turun untuk lihat keadaan. Masa itu saya hanya sempat tukar baju kurung kepada seluar dan baju, saya tidak sempat tukar kasut dalam keadaan kelam-kabut.

“Apa yang penting keberadaan saya di tempat tersebut untuk melihat kebajikan mereka terjaga dan apa lagi keperluan mereka yang boleh saya bantu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sementara itu, beliau menyifatkan kempen seperti Do Not Donate Here, yang mengajak orang ramai supaya tidak menderma kepada tabung bencana di bawah kerajaan, adalah tidak wajar dalam keadaan negara dilanda bencana sekarang.

Rina berkata, keutamaan sekarang adalah mangsa bencana serta beliau memberi jaminan sumbangan yang diterima tabung bencana kerajaan akan disalurkan kepada kumpulan sasar.

“Apa yang kita laksanakan (tabung bencana), donation (sumbangan) yang kita dapat kita sumbang balik kepada rakyat,” katanya kepada media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan Kota Warisan di Sepang hari ini.

“Dalam keadaan sekarang tidak perlu ada ‘hashtag’ (tanda pagar) sebegitu. Tak kira sesiapa pun, sesiapa boleh membantu asalkan matlamat tercapai dan penerima bantuan dapat manfaat, itu yang penting,” kata Rina.

Beliau menambah, semua mangsa banjir tidak kira sama ada yang tinggal di PPS atau selainnya, boleh datang mengambil bantuan yang ditempatkan di PPS.

Beliau berkata, tidak timbul isu hanya mereka yang tinggal di PPS layak menerima bantuan yang disediakan kerajaan dan disumbangkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ada antara mereka (mangsa banjir) ni tidak tinggal di PPS tetapi terjejas dengan banjir dan memerlukan bantuan.

“Saya dah arahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) (membantu) walaupun kita tahu bantuan-bantuan yang diberikan khusus untuk mereka yang duduk di PPS, namun masih ada yang tidak berpindah ke PPS tetapi memerlukan bantuan,” katanya.

Rina berkata, mangsa banjir yang tidak tinggal di PPS hanya perlu datang dan mendaftar di PPS untuk rekod mendapatkan bantuan yang diperlukan dan bantuan yang ada akan diagih bersama.

Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook, Cikgu Fadli Salleh berkongsi video yang menunjukkan lambakan barang sumbangan orang ramai yang tidak dibenarkan diambil orang luar dan hanya dikhususkan untuk mangsa banjir di PPS sahaja.

Sementara itu, Rina berkata NGO dan individu yang berhasrat menghulurkan tenaga membantu mangsa banjir dinasihatkan untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada koordinator di PPS bagi memudahkan penyelarasan tugas dan bantuan.

Mengulas keluhan NGO yang mendakwa dihalang oleh pihak tertentu ketika mereka masuk ke kawasan banjir untuk memberi bantuan, beliau berkata PPS mempunyai koordinator dan apa yang perlu dilakukan ialah mendapatkan koordinator untuk memaklumkan bahawa NGO tertentu akan memberi bantuan.

Pada masa sama, beliau berharap tidak ada pihak yang menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan mempolitikkan isu berkenaan yang kadang-kadang tidak dapat dipastikan siapa yang menghalang tetapi akhirnya tempelak dibalikkan kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Rina berkata, JKM turut menempatkan kaunselor bertauliah untuk membantu dari segi psikososial mangsa banjir di setiap PPS dan pihaknya akan mengeluarkan senarai kaunselor yang boleh dihubungi mangsa banjir untuk mendapatkan bantuan kaunseling.

“Ini kerana, mereka bukan sahaja kehilangan harta benda tetapi dari segi masalah psikologi yang memerlukan bantuan psikososial.

“Dalam keadaan sekarang kami faham emosi mangsa terganggu jadi perlu untuk mereka ini dibantu,” katanya sambil menambah kira-kira 1,200 kaunselor sudah digerakkan di PPS Kuala Lumpur dan Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here