Author: Wartawan WartaRakyat

  • [TIDAK RASMI] Calon PN, Alwiyah Talib mendahului di Endau

    [TIDAK RASMI] Calon PN, Alwiyah Talib mendahului di Endau

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib mendahului dari segi kiraan undi.

    Setakat ini, beliau beroleh 6,347 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Youzaimi Yusof (3,972 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Mohammad Fakrulradzi Mahmud (968 undi), Mohd Noorhisyam Ibrahim dari Pejuang (88 undi) dan calon Bebas, Ismail Don (51 undi).

    Pengiraan undi telah selesai di 46 daripada 60 saluran.

  • Poster tular kononnya Tosrin calon MB Johor adalah palsu

    Poster tular kononnya Tosrin calon MB Johor adalah palsu

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan bahawa calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi akan dilantik sebagai calon Menteri Besar jika gabungan politik itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “SAYA tak umum sesiapa (jadi calon Menteri Besar Johor),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama komuniti agromakanan Johor di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang poster tular kononnya Tosrin dipilih sebagai calon Menteri Besar Johor.

    Muhyiddin turut menyifatkan penularan berita itu sebagai taktik jahat pihak tidak bertanggungjawab bagi mempengaruhi pengundi dalam PRN Johor.

    “Saya pun difitnah bahawa akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri, apa cerita tu? Sebab itu kita nafikan.

    “Dalam tempoh mutakhir ini, banyak pihak tertekan sampai sanggup buat cerita bohong, ini semua fitnah untuk mempengaruhi pengundi.

    “Saya fikir berjaga-jagalah, jangan mudah terpengaruh dengan orang berniat jahat ini. Pengundi Johor tidak akan termakan dengan taktik busuk ini,” katanya.

    Sejak semalam tular poster mendakwa Tosrin merupakan calon Menteri Besar PN sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan dalam PRN Johor.

    PN turut menghadapi satu lagi dakwaan palsu kononnya Muhyiddin menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menerusi penularan sepucuk surat.

    Bagaimanapun, PN menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan surat bertarikh 22 Februari 2022 itu mengatakan surat tersebut sebagai palsu dan berniat jahat.

    Sementara itu, ketika ditanya laporan analisis bahawa BN bakal menang besar, Muhyiddin berpandangan, ada juga ramalan yang memihak kepada PN.

    “Wallahualam. Itu ramalan, banyak ramalan pun PN menang,” jawabnya ringkas.

  • Utusan Melayu enggan bayar pampasan, nasib bekas pekerja tidak dibela

    Utusan Melayu enggan bayar pampasan, nasib bekas pekerja tidak dibela

    Seramai 201 orang bekas ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang telah ditamatkan perkhidmatan selepas penggulungan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd pada 7 Oktober 2019 telah dinafikan hak mereka untuk menikmati pampasan penamatan mengikut Perjanjian Kolektif (CA).

    Bekas Pengerusi NUJ Semenanjung Malaysia Peringkat Cawangan Utusan Melayu, Mohd Taufek Razak berkata, perkara itu turut disahkan melalui Borang Penolakan Bukti Hutang yang diterima pada 4 Mac 2022.

    “Kami tidak akan berdiam diri dan berharap rintihan ini, akan didengar oleh segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin tanah air,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Untuk rekod, NUJ telah memeterai satu perjanjian kolektif bersama dengan Utusan Melayu pada 3 November 2011 dan antara lain manfaat-manfaat yang boleh dinikmati oleh ahli kesatuan adalah sebagaimana yang terkandung di dalam Perjanjian kolektif tersebut termasuklah manfaat penamatan.

    Beliau menambah, walaupun CA yang telah dimeterai tersebut telah diiktiraf oleh Mahkamah Perusahaan pada 2 November 2018 namun ia kini seolah-olah sekadar satu perjanjian lusuh yang tidak memberi makna kepada pekerja pekerja Utusan Melayu.

    Mohd Taufek memberitahu, rata-rata perkembangan itu amat mengecewakan bekas pekerja dan ahli-ahli kesatuan yang telah mencurahkan bakti dan khidmat selama puluhan tahun demi melihat wadah yang telah menjadi penyampai maklumat kepada segenap lapisan masyarakat semenjak sebelum merdeka lagi terus kekal unggul.

    “Namun kini, tiada kelihatan mana-mana pihak yang benar-benar ingin membela nasib bekas pekerja Utusan Melayu.

    “Bekas ahli NUJ ini akan meneruskan perjuangannya bagi mendapatkan hak sebagai pekerja yang telah berbakti sejak sekian lama dan perjuangan ini tentunya memberi kesan kepada ahli keluarga masing-masing demi kelangsungan hidup tambahan di saat-saat kecelaruan ekonomi yang semakin mencabar,” jelasnya.

    Lebih 800 kakitangan Utusan Melayu apabila pengurusan syarikat penerbitan akhbar tertua di Malaysia di bawah bekas Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir itu membuat keputusan mengejut menutup operasi syarikat.

    Mereka diberi notis yang sangat singkat dan diminta mengosongkan pejabat pada hari yang sama.

    Selain itu, kira-kira 800 lagi bekas kakitangan yang memilih skim pemisahan sukarela (VSS) juga hidup menderita apabila pampasan yang sepatutnya dibayar secara ansuran dalam tempoh setahun tidak dilunaskan sepenuhnya apabila Utusan Melayu gulung tikar.

  • PN nafi surat palsu tentang ‘Perikatan Harapan’

    PN nafi surat palsu tentang ‘Perikatan Harapan’

    PERIKATAN Nasional (PN) menafikan kewujudan surat palsu bertarikh 23 Februari 2022 yang mengunakan nama Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepala surat parti sebagaimana yang tersebar sejak malam tadi.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat tersebut adalah palsu dan berniat jahat untuk mengelirukan rakyat yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

    “PN percaya bahawa rakyat Johor tidak akan terpedaya dengan amalan kempen kotor sesetengah parti politik yang terdesak dan tidak dapat menerima gelombang sokongan rakyat terhadap calon dan ikrar PN.

    “Seluruh jentera parti diseru untuk kekal fokus mendekati rakyat dan membawa aspirasi serta keprihatinan PN demi bangsa Johor dalam tempoh-tempoh akhir berkempen PRN Johor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Surat palsu tersebut mendakwa kononnya berlaku pakatan yang dinamakan ‘Perikatan Harapan’ antara parti-parti yang menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

  • Hijrah tinggalkan UMNO, pilih PN yang lebih berintegriti

    Hijrah tinggalkan UMNO, pilih PN yang lebih berintegriti

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor, esok merupakan waktu paling tepat bagi pengundi dan rakyat Johor berhijrah meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pentadbiran kerajaan yang lebih berintegriti.

    Bagi merealisasikan hasrat itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua bangsa Johor memilih calon PN yang telah terbukti bersungguh-sungguh menolak penyelewengan kuasa dan rasuah.

    Presiden Bersatu itu turut mengingatkan pengundi bahawa beliau telah pun berhijrah ke PN yang menawarkan pentadbiran lebih baik.

    “Orang tengok muka saya, memang dah tua tapi mereka ingat saya ini ‘totok’ UMNO dan BN. Tolong beritahu semua pengundi bahawa saya sudah berhijrah ke parti yang lebih baik iaitu PN.

    “Sudah sampai masanya orang Johor hijrah meninggalkan UMNO dan BN sebaliknya menyokong PN. Itu konsep hijrah, tinggal yang buruk dan pergi kepada lebih baik.

    “Kita kena ingatkan semua bahawa saya tak lagi bersama BN, saya membentuk Bersatu dan menubuhkan gabungan PN. Jangan membazir undi dan tersilap pangkah,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah umum PN di DUN Tangkak, hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyeru semua pengundi yang berada di luar Johor untuk pulang beramai-ramai menunaikan tanggungjawab bagi memastikan jumlah peratusan meningkat.

    Kata beliau, perkara itu penting bagi memastikan UMNO dan BN dapat disekat daripada memperoleh kemenangan dalam PRN Johor.

    “Kita nak pengundi keluar beramai-ramai supaya boleh berikan isyarat kuat jika mahu PN membentuk kerajaan.

    “Ini penting kerana kalau kita lihat semasa PRN Melaka, banyak kerusi yang kita kalah hanya dengan majoriti tipis, kekalahan itu kerana peratusan hanya 61 peratus sedangkan ramai mahukan perubahan.

    “Kita nak minta baliklah, jom balik (mengundi). Lepas mengundi dan rehat sekejap selepas itu boleh pulang semula,” jelas beliau.

  • Azhar letak jawatan Pengerusi  MRT Corp

    Azhar letak jawatan Pengerusi  MRT Corp

    MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini mengumumkan peletakan jawatan, Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi dan Pengarah syarikat berkuat kuasa daripada 7 Mac 2022.

    “MRT Corp mengambil peluang ini untuk menzahirkan penghargaan di atas komitmen dan sumbangan tidak ternilai dibuat oleh Azhar sepanjang tempoh perkhidmatannya serta mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan lapor Berita Harian.

    Peletakan jawatan Azhar itu diumumkan hanya beberapa bulan selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi MRT Corp pada 11 Mei tahun lalu.

    Pelantikannya pada masa itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana Azhar sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama MRT Corp dari 2011 hingga 2014.

    Sebelum pelantikan itu, Azhar adalah Pengerusi FGV Holdings Bhd dari 2017 hingga April 2021.

    Selepas meninggalkan MRT Corp pada 2014 hingga 2017, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sdn Bhd, Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation dan Pengarah Prusan Presiden/Kumpulan dan Pengerusi Tradewinds Corporation Bhd.

  • Sambutan menggalakkan komuniti Cina Endau terhadap kunjungan Muhyiddin

    Sambutan menggalakkan komuniti Cina Endau terhadap kunjungan Muhyiddin

    KUNJUNGAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Endau hari ini menerima sambutan menggalakkan daripada kaum Cina di kawasan itu.

    Beliau berkongsi tentang kunjungan tersebut dalam laman Facebook hari ini:

    Hari ini saya bersama-sama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menghadiri Program Dialog Orang Muda bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Kampung Air Tawar, Endau, Mersing.

    Dalam majlis dialog ini saya berpeluang menjelaskan peranan yang dimainkan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat terutama kumpulan B40, M40, golongan muda, wanita dan orang kurang upaya (OKU).

    Saya memberi contoh bagaimana Johor menjadi negeri yang menerima kesan besar akibat pandemik COVID-19.

    Sekatan perjalanan rentas sempadan yang dilaksanakan menyebabkan banyak aktiviti ekonomi tergendala dan ramai penduduk Johor tidak dapat kembali bekerja di Singapura, begitulah sebaliknya.

    Alhamdulillah setelah banyak kali syor dan gesaan dibuat oleh MPN, kerajaan memutuskan untuk membuka balik sempadan negara pada 1 April ini yang sudah tentunya dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dan Singapura.

    Langkah ini pasti akan merancakkan kembali aktiviti ekonomi sekali gus dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu khususnya untuk anak-anak muda.

    Mengenai isu perumahan rakyat termasuk untuk golongan muda yang berlarutan sehingga sekarang, saya menegaskan kerajaan Perikatan Nasional akan memastikan isu rumah mampu milik diselesaikan sebagaimana terkandung dalam Ikrar Perikatan Nasional jika diberi peluang mentadbir negeri ini.

    Pada sebelah petang pula, saya meluangkan masa menikmati makanan laut bersama komuniti Cina kawasan ini di Medan Ikan Bakar Endau.

    Sambutan yang diberikan oleh masyarakat Cina di sini amat menggalakan dan rata-rata mengharapkan agar perniagaan yang di jalankan akan menjadi semakin rancak.

  • Tun Mahathir minta Bangsa Johor tolak parti dipimpin perasuah, penyamun

    Tun Mahathir minta Bangsa Johor tolak parti dipimpin perasuah, penyamun

    DALAM surat kelima kepada Bangsa Johor yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan mereka agar menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.

    Berikut adalah petikan kandungan surat tersebut seperti yang disiarkan dalam laman Facebook beliau hari ini:

    Pilihan saudara dan saudari bukan sekadar menentu siapa yang akan memerintah Johor tetapi akan menjadi kayu pengukur hala tuju politik Negara di dalam pilihanraya mum yang akan datang.

    Perkara utama yang saya tekan ialah menentang rasuah dan menolak parti yang dipimpin oleh perasuah, penyamun dan yang tidak amanah.

    Ada yang memandang remeh isu rasuah dan menganggap ia tidak sepenting isu untuk meneruskan kehidupan seharian.

    Saya setuju meneruskan kehidupan yang stabil amat penting tetapi jika dipilih Kerajaan perasuah, penyalahguna kuasa dan penyangak, kestabilan negara tidak akan tercapai.

    Empayar-empayar Islam dan bukan Islam yang maha hebat dahulu telah jatuh kerana pemimpin pemimpinnya perasuah atau tidak menyekat amalan rasuah di kalangan pentadbir dan pegawainya.

    Rasuah ini seperti api di dalam sekam yang tidak kelihatan sangat kerosakan pada permulaan, tetapi apabila ianya menjadi nyata, ia sudah terlambat untuk diselamat.

    Perjuangan melawan perasuah-perasuah, penyamun-penyamun dan penyangak-penyangak bukan untuk yang muda sahaja.

    Selagi ada hayat perjuangan in mesti diteruskan.

  • Kalau Bangsa Johor benar-benar jantan, tumbangkan UMNO

    Kalau Bangsa Johor benar-benar jantan, tumbangkan UMNO

    KEJANTANAN Bangsa Johor hanya terbukti apabila mereka berjaya menumbangkan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Memetik laporan Utusan TV, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah berkata, perancangan UMNO yang menpunyai agenda tersembunyi dalam PRN ini dan menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini perlu dihentikan.

    “Mereka (UMNO) mempunyai agenda tersembunyi. Mereka ada kepentingan dan mengadakan pilihan raya kerana mahu bertanding dan menjadi wakil rakyat.

    “Bangsa Johor mesti membuktikan kejantanannya untuk menjatuhkan UMNO,’’ katanya dalam ceramah di Bilik Gerakan DUN Benut, Parit Seraya, Johor malam tadi.

    Menurt beliau, Bangsa Johor mesti keluar beramai-ramai pada 12 Mac ini dan menyatakan pendirian mereka menolak UMNO yang telah mengkhianati Bangsa Johor sendiri sebagai Perdana Menteri.

    Naib Presiden PAS itu juga berkata, UMNO yang lahir di Johor dan membesar di negeri ini wajar diberi pengajaran oleh rakyat Johor.

    “Hanya Bangsa Johor sahaja yang boleh `mematikan’ UMNO atau menjatuhkan UMNO di Johor ini. Saya minta Bangsa Johor ini membuktikan kebolehan dan kemampuan mereka untuk membuat perubahan,’’ katanya.

    Tambah Nik Mohd Amar, sebab itulah mereka (UMNO) mahu mengadakan pilihan raya walaupun dari segi politiknya tidak perlu.

    “Tidak ada lagi sejarah Bangsa johor ini menjadi Perdana Menteri. Yang ada adalah Timbalan Perdana Menteri, tetapi pemimpin UMNO, ada agenda politik mereka sendiri, menyusun gerakan dan akhirnya menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Di mana maruah Bangsa Johor, inilah peluang terbaik Bangsa Johor menjadi Perdana Menteri, tetapi UMNO yang disokong oleh Bangsa Johor dan berkembang di Johor inilah yang telah mengkhianati kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin kerana mereka ada agenda politk yang tersembunyi,’’ jelasnya.

    Pada PRN Johor ini, kawasan DUN Benut ini ditandingi calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Ab Hamid, yang akan berhadapan Datuk Hasni Mohammad (BN), Haniff@Ghazali Hosman (PKR) dan Iskandar Noor Ibrahim (Pejuang). Hasni yang juga Menter Besar dan Pengerusi BN Negeri, merupakan penyandang kerusi DUN Benut dengan majoriti 4,447 undi pada pilihan raya umum lalu. Jumlah pengundi di DUN Benut adalah 28,165 pengundi.

  • Shazani amat benci rasuah, pencuri dan perompak wang rakyat

    Shazani amat benci rasuah, pencuri dan perompak wang rakyat

    SEPERTI kebanyakan anak muda lain di Johor, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Shazani A Hamid amat membenci rasuah.

    Sikap itu menjadikan PN yang sentiasa memberi keutamaan terhadap prinsip integriti dan bersih serasi dengan diri beliau.

    “Saya menentang hebat rasuah, mencuri dan merompak ini. Rakyat nampak dan rakyat marah tindakan sebegitu.

    “Dari atas sehingga ke akar umbi ada rasuah ini. Maka, saya sebagai orang baharu berharap sangat untuk PN menentang hebat dan berpegang kepada kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah serta prihatin kepada rakyat.

    “Kami sebagai calon dari PN telah pun membuat akujanji untuk bebas dari rasuah dan menentang kleptokrasi,” katanya seperti dipetik daripada wawancara Utusan TV.

    Calon muda berusia 31 tahun yang fasih berbahasa Mandarin itu menyifatkan pengalamannya berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sangat mencabar.

    Beliau dapat melihat rakyat marah dengan situasi yang dihadapi, isu-isu yang masih tergantung dan tiada penyelesaian.

    “Memang kena marah malah kena halau. Walaupun bukan kita yang buat tetapi mereka marah dan benci mendengar tentang politik ini disebabkan dengan apa yang mereka lalui.

    “Di samping itu, dalam kempen ini boleh berjumpa dengan masyarakat berbilang bangsa dan kaum. Malah, dapat melihat penerimaan mereka yang berbeza-beza. Ada yang positif dan negatif.

    “Alhamdulillah, kebanyakannya positif termasuk dari bangsa-bangsa lain. Mungkin kerana saya pandai berbahasa Mandarin,” jelasnya.

    Shazani yang lebih mesra dengan panggilan Cik Nani yakin pengundi pelbagai kaum pasti dapat menerimanya.

    “Jadi penerimaan dari bangsa Cina, mereka sangat mengalu-alukan calon yang muda dan baharu. Tidak kurang juga yang berbangsa Melayu,” ujarnya.