PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor, esok merupakan waktu paling tepat bagi pengundi dan rakyat Johor berhijrah meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pentadbiran kerajaan yang lebih berintegriti.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru semua bangsa Johor memilih calon PN yang telah terbukti bersungguh-sungguh menolak penyelewengan kuasa dan rasuah.

Presiden Bersatu itu turut mengingatkan pengundi bahawa beliau telah pun berhijrah ke PN yang menawarkan pentadbiran lebih baik.

“Orang tengok muka saya, memang dah tua tapi mereka ingat saya ini ‘totok’ UMNO dan BN. Tolong beritahu semua pengundi bahawa saya sudah berhijrah ke parti yang lebih baik iaitu PN.

“Sudah sampai masanya orang Johor hijrah meninggalkan UMNO dan BN sebaliknya menyokong PN. Itu konsep hijrah, tinggal yang buruk dan pergi kepada lebih baik.

“Kita kena ingatkan semua bahawa saya tak lagi bersama BN, saya membentuk Bersatu dan menubuhkan gabungan PN. Jangan membazir undi dan tersilap pangkah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah umum PN di DUN Tangkak, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyeru semua pengundi yang berada di luar Johor untuk pulang beramai-ramai menunaikan tanggungjawab bagi memastikan jumlah peratusan meningkat.

Kata beliau, perkara itu penting bagi memastikan UMNO dan BN dapat disekat daripada memperoleh kemenangan dalam PRN Johor.

“Kita nak pengundi keluar beramai-ramai supaya boleh berikan isyarat kuat jika mahu PN membentuk kerajaan.

“Ini penting kerana kalau kita lihat semasa PRN Melaka, banyak kerusi yang kita kalah hanya dengan majoriti tipis, kekalahan itu kerana peratusan hanya 61 peratus sedangkan ramai mahukan perubahan.

“Kita nak minta baliklah, jom balik (mengundi). Lepas mengundi dan rehat sekejap selepas itu boleh pulang semula,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here