Author: Wartawan WartaRakyat

  • Syukur rakyat sambut Aidilfitri kembali seperti normal – Muhyiddin

    Syukur rakyat sambut Aidilfitri kembali seperti normal – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur kerana rakyat Malaysia dapat menyambut kembali Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan normal seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda dahulu.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

    Bismillahirrahmannirrahim.

    Assalamualaikum warathmathullah hi wabarakatuh dan salam sejahtera.

    Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.

    Apa khabar semua? Saya harap saudara- saudari sekalian sihat walafiat.

    1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahi Wa Taala kerana dengan rahmat dan inayah-Nya kita berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan pada Ramadan kali ini.
    2. Esok 1 Syawal kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sesungguhnya Aidilfitri merupakan hari kemenangan kepada kita setelah sebulan mengharungi ibadah berpuasa.
    3. Tahun ini sambutan Aidilfitri amat dinanti-nantikan oleh kita semua. Maklumlah sudah dua kali hari raya kita tidak dapat meraikannya dalam suasana ‘raya yang sebenarnya’, gara- gara pandemik COVID-19 yang melanda negara kita dan seluruh dunia.
    4. Pada dua Adilfitri sebelum ini, kita hanya boleh merayakan dalam normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana kita masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak tersebut.
    5. Ketika itu sambutan hari raya diadakan dalam skala kecil dan sederhana serta terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.
    6. Tidak ada aktiviti kunjung-mengunjung, ziarah- menziarahi atau majlis rumah terbuka malah solat sunat hari raya Aidilfitri juga jemaahnya terhad kepada bilangan yang dibenarkan oleh Majlis-majlis Agama Islam Negeri masing-masing.
    7. Alhamdulillah tahun ini, insya-Allah suasana berhari raya kita kembali normal seperti tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19, walaupun masih mengikut SOP yang ditetapkan.

    Saudara-saudari yang dihormati,

    1. Semua ini adalah hasil daripada langkah, tindakan dan pendekatan drastik kerajaan sejak dari awal pandemik ini bermula dan komitmen serta disiplin rakyat seluruhnya dalam memerangi wabak COVID-19. Pelbagai bentuk inisiatif pemulihan negara juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan negara kita dapat keluar daripada belenggu pandemik dan rakyat kembali menjalani kehidupan biasa.
    2. Antaranya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus populasi dewasa negara ini menerima dos vaksinasi lengkap seterusnya membuka jalan bagi membolehkan negara memasuki fasa endemik.
    3. Saya ingin melahirkan rasa syukur kerana beberapa cadangan dan syor yang dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara yang saya sendiri pengerusikan diterima Kerajaan antaranya pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya serta peralihan ke fasa endemik mulai 1 April lalu yang menjadi ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.

    Saudara-saudari sekalian,

    1. Saya difahamkan ramai yang sudah berada di kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri esok. Kepada yang merancang untuk bergerak pulang malam ini atau pagi esok atau yang sedang memandu ketika ini, saya nasihatkan berhati-hati di jalan raya, sentiasa berdisiplin dan patuh kepada peraturan jalan raya serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.
    2. Kalau rasa penat, berhenti dan berehat seketika atau bergilir memandu dengan ahli keluarga lain. Saya doakan saudara-saudari dilindungi Allah dan selamat sepanjang perjalanan pergi dan balik.
    3. Dalam kita gembira dan teruja untuk menyambut lebaran kali ini, jangan sesekali kita lupakan golongan yang tidak bernasib baik, yang mungkin tidak mampu menyambut hari besar ini seperti kita kerana kesusahan, kesempitan hidup atau dihimpit kemiskinan.
    4. Marilah kita sama-sama membantu golongan yang tidak bernasib baik ini bagi memberikan mereka sedikit kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini.
    5. Begitulah juga dengan saudara seagama kita di negara-negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Iraq dan beberapa negara lagi yang menyambut 1 Syawal dalam keadaan perang yang masih tidak berkesudahan.
    6. Walaupun kita tidak dapat membantu secara fizikal, marilah kita sama-sama berdoa agar konflik yang sedang melanda negara mereka cepat berakhir dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan dalam suasana aman damai.

    Saudara-saudari yang dihormati,

    1. Pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang tidak pernah merasa jemu bertugas termasuk pada musim perayaan bagi memastikan keselamatan negara.
    2. Akhir kata, saya, isteri dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada saudara-saudari sekalian dan seluruh umat Islam, tidak kira di mana jua anda berada.

    Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.

    Wabillahi al-taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

  • Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri, Isnin 2 Mei 2022

    Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri, Isnin 2 Mei 2022

    Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok, umum Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Syed Danial Syed Ahmad malam ini.

    Pengumuman beliau itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

    “Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 2 Mei 2022,” katanya.

    Tarikh itu ditetapkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berdasarkan rukyah dan hisab.

    Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Daud Bakar melakukan cerapan anak bulan untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi umat islam sambil disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah (kiri) di Menara Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
  • [VIDEO] Pandu bahaya dan buli, polis buru pemandu Alphard

    [VIDEO] Pandu bahaya dan buli, polis buru pemandu Alphard

    SEORANG pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dikesan memandu secara berbahaya dan membuli pengguna jalan raya yang lain di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur) semalam.

    Perbuatan biadab pemandu terbabit yang melakukan provokasi di jalan raya dirakam dalam video yang tular dalam media sosial hari ini.

    Dalam video berdurasi 2 minit 25 saat itu, lelaki berkenaan dilihat memandu kenderaannya secara terhuyung-hayang serta sengaja menekan brek sehingga menyebabkan kelancaran aliran lalu lintas terganggu.

    Suspek dilihat melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya yang lain dengan memandu secara terhuyung-hayang sehingga mengganggu kelancaran aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur) semalam. (Gambar: Facebook JSPT)

    Sehubungan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melancarkan gerakan memburu suspek berkenaan yang memandu Toyota Alphard bernombor pendaftaran BPV 686.

    “Tindakan pemandu MPV ini boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada dirinya tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain.

    “JSPT mendapati kejadian berlaku pada 30 April 2022 (Sabtu) dekat Lebuhraya KL-Karak (arah timur) dan semakan pemilik kenderaan MPV ini telah dikenal pasti.

    “Justeru, JSPT menggesa pemandu MPV ini segera menyerah diri ke Balai Trafik IPD Gombak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat akan kejadian ini, boleh sama-sama menyalurkan kepada JSPT melalui Facebook Messenger dan e-mel terus ke [email protected],” kata JSPT dalam kenyataan hari ini.

  • Aidilfitri: 833,000 kenderaan masuk Pulau Pinang

    Aidilfitri: 833,000 kenderaan masuk Pulau Pinang

    KIRA-KIRA 833,000 buah kenderaan memasuki Pulau Pinang sejak kelmarin ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli berkata, bagaimana aliran trafik di negeri itu secara keseluruhannya masih lagi berjalan lancar di kesemua lokasi.

    ”Bagaimanapun di lebuh raya berhampiran Tol Sungai Dua, kenderaan kadang-kadang dilihat perlahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, polis Pulau Pinang menjangkakan jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang untuk menuju ke bahagian Utara negara meningkat sehingga 3.6 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selain itu pihak polis juga menjangkakan kira-kira sejuta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang sepanjang tempoh tersebut.

    Sementara itu, Zafri turut menasihatkan orang ramai merancang perjalanan serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

    Ujarnya, pengguna jalan raya perlu memberi kerjasama jika berlaku kemalangan dan tidak sesekali menggunakan laluan kecemasan selain sentiasa berhemah semasa memandu.

    ”Pemandu juga perlu memastikan baki tol mencukupi serta mendapatkan rehat yang secukupnya sepanjang perjalanan,” katanya.

  • UMNO yang terlebih dahulu anggap PN sebagai musuh – Faiz

    UMNO yang terlebih dahulu anggap PN sebagai musuh – Faiz

    UMNO yang terlebih dahulu mengisytiharkan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu sebagai musuh parti itu, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Faiz Na’aman.

    Memetik laporan FMT, beliau mempersoalkan apa yang dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa PN berdendam terhadap BN.

    Dendam apa yang beliau maksudkan itu?

    “Takkanlah beliau jangka Bersatu perlu terus berkhayal untuk bekerjasama dengan BN pula menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sedangkan UMNO sendiri yang terang-terang mahu membalas dendam atas kejatuhan mereka ditolak majoriti rakyat pada PRU lalu,” katanya kepada FMT.

    Baru-baru ini, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kesediaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan “sesiapa sahaja” untuk menjatuhkan BN berunsur dendam dan akan menyebabkan parti itu ditolak pengundi.

    Malah, Faiz menambah, UMNO turut memusuhi PAS di Kelantan di mana tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Amanah Kelantan merancang kerjasama untuk menguasai Kelantan selepas PRU-15.

    “Apa tindakan UMNO terhadap Ku Li? Mana Muafakat Nasional mereka?” soalnya.

    Pada masa yang sama, beliau hairan dengan ‘nada’ Annuar terhadap Muhyiddin yang kini berubah berbanding ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dalam Kabinet kerajaan PN dahulu.

    “Dahulu, ketika berada di bawah kepimpinan PM8 (Muhyiddin), nadanya defensif berhubung pembentukan kerajaan PN ketika itu. Sekarang dilihat bagaikan mencurah cuka ke dalam luka antara Bersatu dan UMNO,” katanya.

  • Maritim gagal cubaan menyeludup mercun melalui jalan laut

    Maritim gagal cubaan menyeludup mercun melalui jalan laut

    SELEPAS gagal menyeludup mercun melalui jalan darat, sindiket mengubah strategi apabila menggunakan jalan laut dari perairan Laut China Selatan.

    Taktik itu terbongkar apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas 21 bungkusan plastik hitam berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang cuba dibawa masuk melalui jalan tersebut.

    Cubaan membawa masuk mercun dari negara jiran itu dipatahkan menerusi Operasi Khas Pagar Laut.

    Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, hasil risikan APMM berjaya mengesan bot yang mencurigakan pada jam lebih kurang 4.20 pagi. 

     “Menyedari kehadiran penguat kuasa, bot berkenaan bertindak melarikan diri memasuki perairan sungai Kemasin. Bot penguat kuasa seterusnya berpatah balik ke lokasi pertemuan tadi untuk pemeriksaan dan mendapati, terdapat lebih kurang 21 plastik hitam mengandungi pelbagai mercun dan bunga api yang cuba diseludup masuk daripada negara jiran melalui jalan laut.

    “Mercun dan bunga api ini dipercayai dibawa masuk kerana mendapat permintaan yang tinggi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada awal Mei depan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mercun-mercun berkenaan akan dibawa masuk secara berperingkat melalui jalan laut sebelum dipasarkan di sekitar negeri ini.

    Dalam perkembangan sama, Syed Nor Adli berkata, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh agensi lain di sepanjang Sungai Golok dan juga di darat, mengesan taktik penyeludup yang cuba mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan jalan laut.

    “Rampasan keseluruhan mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM8,240 mengikut nilai pasaran semasa. Kesemua barang yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09 – 778 0070.

  • ‘Adakah aduan itu sudah disahkan sebelum SPRM siasat Nazlan’’ – Gobind

    ‘Adakah aduan itu sudah disahkan sebelum SPRM siasat Nazlan’’ – Gobind

    TIMBALAN Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo ingin tahu jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengesahkan dakwaan dalam laporan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali sebelum memulakan siasatannya.

    Melalui Facebook beliau, Ahli Parlimen Puchong melontarkan persoalan; “Adakah aduan itu sudah disahkan dalam kes ini sebelum memulakan siasatan?”

    Beliau menegaskan, SPRM perlu mengesahkan fakta dalam laporan sebelum boleh memulakan siasatan mengikut Akta SPRM iaitu  Seksyen 29(3) yang menyatakan:

    ‘’Jika seseorang pegawai suruhanjaya mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan suatu kesalahan di bawah akta ini berikutan aduan yang dibuat mengikut subsekyen (1), dia hendaklah menyiasat dan bagi maksud itu boleh menjalankan segala kuasa penyiasatan yang diperuntukkan di bawah akta ini dan Kanun Tatacara Jenayah.’

    Gobind berkata, peruntukan itu adalah bagi memastikan aduan diterima sudah mempunyai asas sebelum siasatan dimulakan terhadap penama dalam laporan.

    “Ia menetapkan kewajipan ke atas SPRM, yang menjadi prasyarat penting untuk siasatan dijalankan terhadap individu berkenaan,’’ katanya.

    Gobind turut mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki memberikan maklum balas.

    “Azam Baki mesti menyatakan sama ada suruhanjaya itu sudah mengesahkan perkara yang dinyatakan dalam laporan terhadap hakim terlebih dahulu.

    “Jika ini tidak dilakukan, hakim berkenaan tidak boleh disiasat kerana asas aduan belum dapat dipastikan,” katanya.

    Semalam, SPRM menafikan kritikan berhubung siasatannya ke atas Nazlan dengan menegaskan ia mempunyai kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta SPRM 2009 untuk menyiasat mana-mana pegawai awam, termasuk hakim.

    Nazlan membuat laporan polis minggu lalu berhubung artikel berita yang mendakwa beliau disiasat berhubung sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

    Nazlan adalah hakim yang mendapati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana milik SRC International pada 28 Julai 2020.

  • [VIDEO] Beratus tindikan pada tubuh, orang pandang Rolf ‘semacam’

    [VIDEO] Beratus tindikan pada tubuh, orang pandang Rolf ‘semacam’

    DENGAN sebanyak 453 tindikan yang ‘menghiasi’ tubuhnya, Rolf Buchholz sentiasa menjadi perhatian orang ramai di mana sahaja dia pergi.

    Pakar sains komputer berusia 62 tahun itu semakin terkenal sejak diiktiraf oleh Guinness World Record sebagai manusia yang mempunyai tindikan terbanyak di dunia pada 2012.

    Tidak cukup dengan itu, terdapat 278 tindikan pada alat sulitnya manakala bebola matanya bertatu, lidahnya terbelah dan kepala kelihatan seperti bertanduk dua.

    Mirror yang memetik Daily Star melaporkan, Rolf bangga dengan penerimaan masyarakat terhadapnya sejak diiktiraf oleh Guinness World Record.

    Setakat ini, belum ada manusia lain yang dapat memecahkan rekod yang dianggap Rolf sebagai pencapaian yang istimewa.

    “Sejak saya mencipta rekod, orang ramai melihat tubuh saya dari pandangan berbeza.

    “Memandangkan saya sudah jadi terkenal, mereka lebih mudah untuk menerimanya,” jelasnya sambil menyatakan bahawa dia menindik tubuh bukan semata-mata untuk mencipta rekod dunia.

    Rolf berkata, dia membuat tindikan dan tatu kerana menyukainya.

    Lelaki itu turut memasukkan magnet pada hujung jarinya namun dia mengaku mengalami beberapa insiden yang tidak dijangka selepas itu.

  • ”Kita tak ikut khemah besar…ada tikus, ada kucing..ada macam-macam” – Hadi

    ”Kita tak ikut khemah besar…ada tikus, ada kucing..ada macam-macam” – Hadi

    PAS tidak akan menyertai kerjasama politik atau ‘khemah besar’ yang dicadangkan pemimpin pembangkang bagi berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) .

    Ketika menegaskan pendirian Pas itu, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas akan terus melaksanakan agenda perpaduan ummah yang menyatukan parti-parti Melayu terbesar dan NGO.

    “Kita tak ikut khemah besar, kita ada kumpulan kita sendiri (dan) kita masih terus menjalankan agenda perpaduan ummah.

    “(Kita) tak ikut khemah besar, dalam khemah besar ada tikus ada kucing, ada macam-macam, kita bukan khemah (tapi) kita bawa agenda perpaduan ummah. Apa yang kita nak bawa adalah kerjasama yang pertama (dengan) parti-parti terbesar orang Islam iaitu Pas sendiri, Bersatu dan UMNO termasuk NGO (badan bukan kerajaan) dan kumpulan bukan Islam yang tidak ekstremis,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah minggu di Rusila, Marang, lapor media.

    Isu ‘khemah besar’ mula diperkatakan apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana juga parti bagi mewujudkan kerjasama dalam berhadapan dengan BN pada PRU-15. Bagaimanapun kenyataan beliau mendapat reaksi berbeza sama ada pemimpin dalam kerajaan mahupun pembangkang.

    Lanjutan itu, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa kepimpinan Pakatan Harapan tidak terus menutup ruang perbincangan dengan parti pembangkang termasuk Pas dan Bersatu dalam blok kerajaan.

    Ditanya berhubung isu PasLeaks, Abdu Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, keyakinan orang ramai kepada Pas tidak tergugat dan menegaskan ahli baharu parti itu terus bertambah setiap bulan.

    Pada masa sama, katanya, kerjasama dalam gabungan PN berjalan dengan baik termasuk mereka yang berada dalam Kabinet.

    “Sehingga hari ini, tiap-tiap bulan kita terima ahli baharu (mencecah) ribu-ribu ahli baharu tak kurang (daripada) 1,000 ahli baharu, kadang-kadang 2,000 (orang), 4,000 (orang) pun ada.

    “Kita tak goyah (dengan isu ini) dan hubungan dengan pemimpin lain juga baik dan hubungan (Pas dan UMNO) khususnya yang di Putrajaya yang memerintah juga baik,”ujarnya.

    PasLeaks didakwa dokumen sulit yang mengandungi perbincangan bagi menjatuhkan Kerajaan BN, bagaimanapun semua pihak yang disebut dalam dokumen menafikan penglibatan mereka manakala pihak polis telah membuka kertas siasatam

  • Salahuddin cadang Bersatu, Pas bincang di peringkat negeri soal ‘khemah besar’

    Salahuddin cadang Bersatu, Pas bincang di peringkat negeri soal ‘khemah besar’

    TIMBALAN Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mencadangkan perbincangan boleh diadakan melibatkan Parti Bersatu dan Pas yang kini menjadi pembangkang di Johor dan Melaka untuk menyertai khemah besar.

    Kata beliau,  perbincangan itu atas kapasiti Bersatu dan Pas sebagai parti pembangkang di negeri terbabit dan ia berbeza dengan kedudukan mereka di peringkat Pusat yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

    “Mesti faham mengapa saya seru kepada perbincangan dengan kesemua pihak (termasuk Bersatu dan Pas) adalah kerana ada senario baharu yang kita saksikan ketika ini. Bersatu dan Pas ini, mereka adalah kerajaan di peringkat ‘federal’, tetapi setelah berlaku beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), mereka dah jadi pembangkang, jadi saya melihat isu ini perlu kepada suatu perbincangan.

    “Konsep khemah besar itu seperti yang telah kita putuskan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu sesiapa nak masuk selain daripada barisan pembangkang di peringkat ‘federal’, ia perlukan keputusan Majlis Presiden PH,” katanya kepada pemberita dalam Program Jelajah Singgah Sahur anjuran Pejabat Parlimen Pulai dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bharu hari ini.

    Mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan pihaknya sedia untuk mengadakan perbincangan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik, Salahuddin berkata, tawaran tersebut dibuat kemungkinan kerana bekas Perdana Menteri itu melihat ada keperluan bagi perkara berkenaan.

    “Saya rasa itu dia (Muhyiddin) bercakap mungkin kerana melihat kepada keperluan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, tetapi apa pun pandangan dia, kita boleh dengar dahulu, namun keputusan tetap di peringkat atasan (PH).

    “Ketika ini kita belum memulakan sebarang perbincangan secara rasmi, jadi ‘why not’ kita duduk, cakap-cakap dahulu apa salahnya, di peringkat negeri mereka sudah jadi pembangkang,” katanya.

    Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Bersatu sebelum ini menyatakan kesediaan pihaknya untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRU15.