Author: Wartawan WartaRakyat

  • Isteri sarat mengandung, suami remaja 19 tahun pula merempit

    Isteri sarat mengandung, suami remaja 19 tahun pula merempit

    Oleh RAHIMI MOHAMMAD

    SEORANG remaja lelaki yang sedang menunggu kelahiran cahaya mata kedua diberkas selepas menunggang motosikal dalam keadaan bahaya atau merempit di Tanjung Piai, Pontian, awal pagi ini.

    Sebelum itu, suspek berusia 19 tahun yang turut memiliki anak berusia lima bulan bersama tiga rakannya dipercayai berlumba sesama sendiri dari arah Permas menghala ke Tanjung Piai pada pukul 1.38 pagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, keempat-empat mereka termasuk remaja berkenaan didapati menunggang motosikal dengan kelajuan tinggi atau merempit sambil melakukan aksi ‘Superman’ yang membahayakan diri dan pengguna lain.

    “Anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Pontian yang berada di lokasi kejadian bagi Op Selamat Aidilfitri berjaya mengecam lelaki tersebut.

    “Remaja itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC kemudian ditahan pada pukul 1.55 pagi tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya, hari ini.

    Tambah Mohammad Shofee, suspek yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Jika sabit kesalahan boleh dituduh di bawah seksyen sama yang memperuntukan hukuman penjara selama lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000,” ujarnya lagi.

    Aksi sekumpulan mat rempit yang dirakamkan dalam Op Selamat Aidilfitri awal pagi tadi.

    Sementara itu, kata beliau, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Pontian menjalankan Op Cantas Khas, Op Kesan dan Op Aidilfitri yang bertujuan mencegah jenayah kekerasan dan harta benda.

    Setakat hari ini katanya, seramai 306 orang, 74 buah premis dan 221 buah kenderaan telah diperiksa dengan seorang lelaki ditahan bersama motosikal curi yang dimilikinya.

    “Malah, seramai enam lagi lelaki turut ditangkap atas lain-lain kesalahan. Operasi ini masih berjalan sepanjang tempoh perayaan ini dan BSJ Pontian sentiasa komited memelihara ketenteraman awam di daerah ini.

    “Sebarang maklumat mengenai apa-apa pelakuan atau aktiviti jenayah boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah IPD Pontian di talian 07-6869999,” katanya.

  • 9 PATI Indonesia ditahan ceroboh perairan Malaysia

    9 PATI Indonesia ditahan ceroboh perairan Malaysia

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETANGKASAN anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghidu cubaan sembilan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mahu menceroboh perairan negara berjaya menggagalkan usaha itu, malam tadi.

    TLDM dalam kenyataan memaklumkan, PATI berkenaan berjaya ditahan pada pukul 9.45 malam di perairan Johor Selatan iaitu di kedudukan 1.5 batu nautika selatan Teluk Ramunia.

    Kesemua PATI itu terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warganegara Indonesia berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

    “Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (Swasla) telah mengesan keberadaan sebuah bot curiga berkelajuan tinggi bergerak dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.

    “Area Control Centre (ACC) Johor kemudian telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD Ganyang di lapangan untuk tindakan lanjut. KD Ganyang seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi memintas bot tersebut.

    “Menyedari kehadiran bot-bot TLDM di lokasi, bot PATI cuba bertindak meloloskan diri. Namun hasil kecekapan dan tindak balas pantas FCB 1123 dan RHIB LEPAU telah berjaya mengagalkan cubaan tersebut dan memberkas mereka di selatan Teluk Ramunia,” katanya.

    Tambah kenyataan itu, PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op Merpati untuk soal siasat dan ujian saringan Covid-19.

    Kesemua PATI terbabit seterusnya akan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan siasatan lanjut.

    “Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan baik di laut mahupun di darat.

    “Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

    Tambahnya, TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada setiap masa.

  • ‘’Sepatutnya pergi ke mahkamah…saya tak terima dia punya penjelasan’’ – Tun Mahathir

    ‘’Sepatutnya pergi ke mahkamah…saya tak terima dia punya penjelasan’’ – Tun Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad ternyata tidak berpuas hati dengan jawapan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berhubung kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi ke atas beliau.

    Hari ini, Dr.Mahathir menegaskan, Idrus harus tampil memberi penjelasan berhubung langkah penyelesaian di luar mahkamah kes saman tersebut.

    Memetik laporan Berita Harian, Dr.Mahathir berkata,  penjelasan Idrus hanya melalui surat kepadanya tidak dapat mengelak kegusaran awam berhubung perkara itu.

    “Ya, saya terima surat daripada dia (Idrus Harun). Biasanya surat itu rahsia. Saya tak boleh cakap, sepatutnya dia bagi tau kepada orang ramai. Saya tak terima dia punya penjelasan. Baik peguam negara sekarang, Apandi pun saya tak terima,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, sepatutnya perkara itu turut dibawa ke mahkamah bagi membolehkan masyarakat awam menilai pihak mana yang bersalah.

    “Sepatutnya pergi ke mahkamah, tengok betul ke tidak tuduhan kononnya kita buang secara tidak mengikut undang-undang atau pun peraturan.

    “Sebab sebelum ini kita kerap kali buang pegawai (kerajaan) yang tidak jalankan tugas dengan baik, kita memang keluarkan daripada kerajaan,” katanya.

    Dr.Mahathir berkata, antara tindakan yang pernah diambil termasuk memberi cuti, menempatkan pegawai secara sementara di jabatan lain sebelum menamatkan perkhidmatannya.

    “Tindakan seperti itu bukan baharu dan untuk Apandi sahaja, malah orang lain pun kena, tetapi orang lain tak ada buat tuntutan. Malah, kita nampak dia berat sebelah sebagai Peguam Negara, sepatutnya dia tak boleh memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

    Menurut beliau, kerajaan tidak sepatutnya membayar pampasan kepada bekas peguam negara itu, kerana tindakan dikenakan terhadapnya mengikut peraturan ditetapkan.

    Dr.Mahathir membuat gesaan itu selepas Idrus hari ini berkata, beliau telah memaklumkan kepada Dr. Mahathir mengenai terma penyelesaian berkaitan saman difailkan Apandi terhadap bekas Perdana Menteri itu dan kerajaan Malaysia.

    Menurut Idrus, berikutan penyelesaian itu, plaintif iaitu Apandi, telah menarik balik tindakan undang-undangnya berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara.

  • Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto kahwini lelaki warga Perancis

    Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto kahwini lelaki warga Perancis

    AHLI Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto mengahwini lelaki warga Perancis Alain Morvan dalam satu majlis perkahwinan sivil di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya, semalam.

    Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 30 orang itu, pasangan berkenaan melafazkan ikrar di hadapan pendaftar pada jam 11 pagi, disaksikan ibunya, S Mary, 73, dan kakak Shaalini, 41, serta ahli keluarga lain, lapor portal FMT.

    Hadir sama Lim Kit Siang dan Ramkarpal Singh dari DAP dan Duta Perancis ke Malaysia Roland Galharague.

    Kasthuri, 43, berkata, dia mula bertemu Morvan, 51, yang berasal dari Brittany, di Parlimen Eropah di Belgium pada Februari 2019 ketika kongres anti-hukuman mati.

     “Kami sentiasa bertemu dan sedar mempunyai persamaan. Sebelum pulang, kami merasakan ada hubungan yang kuat,” katanya.

    Kasthuri berkata Morvan menyokong anti-hukuman mati, selain menjadi aktivis hak wartawan dan dia sendiri adalah bekas wartawan selama 25 tahun.

    “Dia adalah lelaki baik. Dia mendukung pemansuhan hukuman mati dan mengambil berat terhadap alam sekitar dan hak asasi manusia,” katanya.

    Dia berkata, Morvan selalu melawatnya dan dia juga ke Perancis sekiranya berpeluang ke negara itu.

    Kasthuri berkata walaupun Perancis berada dalam senarai hitam perjalanan Malaysia sekatan penuh Covid-19, namun mereka bertemu di luar acara yang diadakan di luar Perancis.

    “Pada satu masa, kami langsung tidak berjumpa untuk tempoh lebih setahun ketika pandemik,” katanya.

  • Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah meninggal dunia

    Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah meninggal dunia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah yang kini memegang jawatan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Hashim Jahaya meninggal dunia di kediamannya dekat Taman Suria, Alor Setar awal pagi ini.

    Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Allahyarham dikatakan meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi.

    “Saya dimaklumkan semalam beliau menjalani rawatan dialisis akibat penyakit buah pinggang yang dideritai sejak sekian lama, dan pulang ke rumahnya untuk berehat.

    “Beliau dikatakan merasa letih selepas pulang ke rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi,” katanya.

    Tambahnya, pemergian Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah merupakan satu kehilangan besar kepada parti.

    “Beliau meninggalkan jasa cukup besar kepada UMNO dan kami amat terasa akan kehilangannya. Sudah tentu kepimpinan UMNO terutamanua di Kuala Kedah merasakan kehilangan kepimpinan beliau.

    “Kami merakamkan ucapan takziah buat keluarga arwah. Dalam pertemuan terakhir kami pada majlis berbuka puasa UMNO Bahagian Kuala Kedah sebelum ini, beliau sempat menyampaikan ucapan serta tunjuk ajar kepada ahli parti dengan semua itu akan menjadi kenangan buat kami,” katanya.

  • Wanita dibelasah sampai mati kerana dedah hubungan sulit suami

    Wanita dibelasah sampai mati kerana dedah hubungan sulit suami

    SEORANG wanita berusia 28 tahun dibelasah sampai mati sehari sebelum Aidilfitri selepas dia mendedahkan suaminya mempunyai hubungan sulit, di kediaman mereka di Batu 9, Cheras.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian di sebuah pangsapuri kira-kira jam 9.16 pagi itu, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Kajang yang memaklumkan seorang wanita berusia 28 tahun dibawa suaminya ke hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

    Menurut beliau, pemeriksaan luaran mendapati terdapat kesan lebam di beberapa anggota badan mangsa dan pegawai perubatan yang juga pengadu mendapati kematian wanita tersebut mencurigakan.

     “Hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira dua jam kemudian mendapati punca kematian disebabkan kecederaan abdomen yang disebabkan senjata tumpul.

    “Kita percaya mangsa dipukul dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Lanjutan itu Mohd Zaid memberitahu, polis menahan suami mangsa yang berusia 38 tahun pada hari yang sama untuk membantu siasatan.

    “Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati suspek berang dengan tindakan mangsa yang memuat naik satu hantaran di media sosial yang mengatakan lelaki itu mempunyai hubungan sulit,” tambahnya.

    Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika disabit dengan kesalahan suspek boleh dihukum gantung sampai mati.

    Mohd Zaid menambah, mekanik itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, Isnin ini.

  • Rakyat masih letih, biar PRU-15 lepas habis penggal – Hadi

    Rakyat masih letih, biar PRU-15 lepas habis penggal – Hadi

    PAS mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir.

    Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti  itu bersetuju proses demokrasi pilihan raya ditangguhkan sehingga tiba masanya bagi memberi peluang kepada kerajaan sedia ada menunaikan tugas dan tanggungjawabnya dalam tempoh baki penggal.

    “Kita sudah buat kenyataan tiga negeri habiskan penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih dengan politik dan wabak (Covid-19) yang belum selesai. Jadi lebih baik kita beri peluang kepada kerajaan yang ada laksanakan tugas dalam tempoh secukupnya. Oleh itu kita setuju PRU ditangguhkan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dengan menggerakkan semua jentera di seluruh negara dan menambah cawangan serta ahli.

    Abdul Hadi turut menegaskan, Pas akan meneruskan agenda perpaduan ummah menerusi kerjasama dengan parti Melayu terbesar, iaitu Bersatu dan UMNO, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

    “Kerjasama ini kita akan lihat perkembangan, sehingga kini kita teruskan kerjasama yang ada biar kukuh dan kuat,” katanya.

  • Kes saman Apandi: ‘Mengapa penyelesaian harus dirahsia?’ – Tun M

    Kes saman Apandi: ‘Mengapa penyelesaian harus dirahsia?’ – Tun M

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad persoal cara penyelesaian kes saman membabitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

    Dalam tweetnya hari ini, beliau terkejut dengan penyelesaian luar mahkamah pihak Kerajaan dan Mohamed Apandi dengan terma yang dakwanya telah dirahsiakan.

    Berikut kenyataan penuh beliau;

    TAN Sri Apandi Ali telah fail tuntutan di Mahkamah terhadap saya setelah saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Dia tuduh yang saya berniat jahat dan tidak turut undang-undang dlm menamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara.

    Saya telah beri kenyataan saya kepada pihak Peguam Negara. Saya pertahan tindakan saya dan percaya bahawa saya telah ikut prosedur yang ditetapkan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara.

    Pada masa itu saya berasa Tan Sri Apandi tidak dapat bertindak bebas kerana beliau merupakan peguam UMNO sejak sekian lama.

    Dia tidak mungkin dapat berlaku adil dalam siasatan terhadap 1MDB dan salahlaku Dato Seri Najib. Malahan dia telah kata bahawa Najib tidak bersalah kerana kononnya tiada kes, sebelum apa-apa tindakan siasatan dibuat.

    Sikap berat sebelah Apandi ini terbukti apabila Najib didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

    Semasa saya beri keterangan kepada pihak Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) bagi persediaan kes saman Apandi terhadap saya, saya telah dimaklum bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosidur dan Rule of Law.

    Mereka maklumkan bahawa saya dan kerajaan telah memberi nasihat betul pada Yang di-Pertuan Agong supaya Tan Sri Apandi Ali ditamatkan perkhidmatan.

    Saya terkejut apabila baca berita baru-baru ini tentang satu penyelesaian diluar mahkamah dibuat diantara Kerajaan dan Apandi. Terma penyelesaian juga dirahsiakan.

    Saya tidak pun dimaklum tentang terma penyelesaian walaupun saya merupakan saksi utama.

    Saya menulis pada Peguam Negara. Saya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian tersebut dibuat. Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada Kerajaan.

    Saya tidak faham kenapa terma penyelesaian harus dirahsia dari saya serta rakyat. Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan pampasan.

    Apakah pampasan perlu dibayar jika tindakan dibuat mengikut undang-undang? Di mana prinsip Rule of Law.

    Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali diwaktu mana sekalipun. Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi di adili di mahkamah.

  • Duit raya anak milik siapa?

    Duit raya anak milik siapa?

    Oleh : MAULANA AHMAD LUTFI MUHARAM

    DUIT raya diberikan kepada anak kita, sama ada secara terus kepada mereka (anak) atau melalui perantaraan ibu bapanya, adalah menjadi milik anak.

    Sahnya pemilikan (kepada anak) jika pemberian melalui perantaraan ibu bapa, tidak ada kemusykilan dalam fiqh Shafii.

    Adapun jika diberi terus kepada mereka (anak), maka ia termasuk dalam bab hibah (hadiah) kepada budak belum baligh. Berdasarkan kaedah mazhab Shafii, hukum hibah seperti itu adalah tidak sah (kerana si penerima budak yang belum baligh). Apabila tidak sah hibah, maka tidak sah permilikan.

    Namun berdasarkan ‘ikhtiyar’ (pendapat pilihan) sebahagian ulama Shafii dan nilai pemberian yang ‘tafih’ (kecil), serta dibantu dengan ‘uruf said’ (uruf tempatan), maka kita hukumkan hibah itu sah, dan apabila hibah itu sah maka sabit (sah juga) pemilikan anak terhadap duit tersebut.

    Kaedah syarak menyebut bahawa semua harta anak adalah dibawah wilayah penjagaan ayah sebagai AMANAH. Ayah hendaklah menggendalikan harta tersebut berdasarkan maslahat harta itu dan maslahat anak.

    Ayah hanya boleh menggunakan harta anak untuk kegunaan peribadi apabila ada darurat mendesak dan ia PERLU dibayar (diganti) semula. Harta anak boleh digunakan (oleh ayah) untuk saraan pengajian dan persekolahan anak, dan ia TIDAK PERLU dibayar (diganti) semula.

    Catatan: Adapun nafkah yg wajib ayah sediakan seperti pampers dan susu tak boleh diambil dari duit raya anak melainkan keadaan terdesak dan ia perlu diganti semula (lihat no.6). Wallahua’lam.

    *Penulis adalah Guru Fiqh dan Usul Fiqh di Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling

  • Ibarat bom jangka, saya boleh mati bila-bila masa – Azizulhasni

    Ibarat bom jangka, saya boleh mati bila-bila masa – Azizulhasni

    JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan keadaan kesihatan dirinya ibarat ‘bom jangka’ selepas didapati menghidapi penyakit jantung Anomalous Right Coronary Artery.

    Menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini, Azizulhasni berkongsi pengalaman beliau buat pertama kali kepada orang ramai berkenaan penyakit jantung yang dihidapinya itu.

    Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman berkata, beliau mula membuat pemeriksaan kesihatan apabila mengalami sakit di bahagian dada ketika pulang daripada sesi latihan selepas sukan Olimpik.

    “Bercakap pasal gejala ni agak panjang ceritanya, tapi jika dipendekkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini ianya semakin kuat dan jelas lagi-lagi ketika saya membuat persiapan ke Sukan Olimpik.

    “Ketika itu saya ingat semua itu adalah disebab oleh proses umur yang semakin meningkat. Semuanya bermula apabila saya kembali berlatih selepas tamat Sukan Olimpik. Selepas pulang dari satu sesi latihan tu, saya rasa sakit dada yang teramat dan tidak pernah saya alami situasi seperti itu,” katanya.

    Bercerita lebih lanjut, Azizulhasni berkata, isteri beliau yang risau dengan situasi itu kemudian memaksa beliau untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana khuatir berlaku serangan jantung.

    Kemudian, jelasnya, beliau ditahan di wad kecemasan hampir lima jam untuk menjalani pelbagai ujian. Begitupun, kata Azizulhasni, hasil ujian menunjukkan beliau tidak terkena serangan jantung.

    “Tidak ada peningkatan Troponin dalam darah yang menjadi salah satu tanda kalau mendapat serangan jantung. Akan tetapi doktor di wad kecemasan telah mengesan sesuatu yang agak berlainan sedikit pada graf keputusan ECG saya. Dari sinilah doktor keluarga saya (family GP) iaitu Dr Ati memainkan peranan penting pada peringkat awal untuk merungkai apakah permasalahan yang sebenarnya.

    “Masa pertama kali mengetahui yang saya ada kondisi ni, doktor pakar jantung terkejut dan kata ‘someone look after you and you’re so so lucky’. Keadaan saya ini ibarat bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa. Doktor juga bagi perumpaan yang melintas jalan raya, kemungkinannya untuk selamat adalah lebih tinggi dari situasi kondisi jantung saya ini.

    “Yang mana faham, mereka fahamlah. Saya memang pasrah waktu tu. Saya boleh mati pada bila-bila masa, bayangkan kalau anda dapat berita macam tu. Doktor nasihatkan saya untuk berhenti berlatih dahulu buat seketika waktu sebelum membuat diagnosis kedua untuk ‘double check’,” katanya.

    Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata, beliau yang mengakui degil masih meneruskan latihan seperti biasa kerana memikirkan Sukan Komanwel tinggal berapa bulan sahaja lagi.

    Jelas Azizulhasni, pada waktu itu, beliau reda sekiranya kehilangan nyawa pada bila-bila masa asalkan semua perkara diselesaikan olehnya terlebih dahulu.

    “Saya nak manfaatkan Ramadhan sepenuhnya, teruskan aktiviti kegemaran saya iaitu berkayuh dan setiap hari saya luangkan masa sepenuh-penuhnya dengan isteri dan anak-anak seperti tiada hari esok. Tanpa anak-anak tahu yang ayah mereka mungkin akan pergi pada bila-bila masa,” katanya.

    Azizulhasni menambah, orang ramai dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan sepenuhnya sekiranya mempunyai gejala atau masalah berkaitan jantung kerana ia adalah situasi yang mengancam nyawa.

    Beliau turut menasihatkan penghidap penyakit jantung untuk berehat sepenuhnya dan jangan sesekali memperjudikan nyawa masing-masing. – UtusanTV.