Author: Hussaini Amran

  • Kes kekecohan di KLIA, 22 saksi diambil keterangan

    Kes kekecohan di KLIA, 22 saksi diambil keterangan

    SERAMAI 22 saksi dirakam keterangan berkaitan satu insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, baru-baru ini.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada 22 saksi tersebut, empat adalah pengadu manakala yang lain adalah 12 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), empat pegawai Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta dua pekerja syarikat agensi pelancongan.

    “Setakat ini, sebanyak empat laporan polis yang telah diterima pihak polis Selangor.

    “Kesemua aduan tersebut dibuat oleh orang awam membabitkan kejadian ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Katanya, Kertas Enkuiri Polis (KEP) berhubung kejadian tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa bagi mendapatkan pandangan perundangan dan keputusan.

    Jelas beliau, berdasarkan KEP, polis mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana pihak untuk diambil keterangan.

    Pada Khamis media melaporkan berita tular dalam media sosial mengenai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan pihak JIM.

    Bagaimanapun King Sing menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melepaskan pelawat tersebut.

    Menerusi kenyataan media, beliau mempersoal siapa sebenarnya menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai JIM yang bertugas.

    Selain itu, beliau turut mendakwa kehadirannya ke KLIA bertujuan membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara.

  • Menteri Pendidikan mesti tegas kembalikan semula sesi penggal persekolahan pada Januari

    Menteri Pendidikan mesti tegas kembalikan semula sesi penggal persekolahan pada Januari

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SESI pembelajaran di sekolah rendah dan menengah di negara ini dikatakan semakin bercelaru dan kalut.

    Ramai golongan ibu bapa mengeluh dan keliru apabila musim baharu atau penggal persekolahan bermula pada bulan Mac, tidak seperti sebelumnya iaitu Januari.

    Ini kerana, mereka sudah terbiasa setiap kali menyambut tahun baharu, maka sesi persekolahan akan bermula di mana anak-anak akan menaiki kelas daripada tahun satu kepada dua, tiga, empat, lima, enam dan ada yang memasuki kelas menengah.

    Bagaimanapun, perkara ini tidak berlaku pada sesi kali ini menyebabkan semangat para pelajar untuk ke sekolah seakan pudar dan luntur.

    Malah, para pelajar menyifatkan semangat untuk belajar tidak seiring dengan kehadiran tahun baharu seperti tahun-tahun sebelum ini.

    Sesi persekolahan tidak bermula awal tahun pada kali ini menyebabkan semangat para pelajar untuk ke sekolah seakan pudar dan luntur

    Hal ini kerana sebaik para pelajar memasuki kelas pada penggal akhir persekolahan pada Januari lalu, mereka sekadar menghabiskan masa dengan aktiviti kokurikulum termasuk sukan.

    Malah, ada guru-guru juga kurang memberi tumpuan untuk belajar sebaliknya lebih tertumpu kepada majlis-majlis keraian tertentu seperti persaraan dan lawatan.

    Memandangkan minggu ini merupakan penggal akhir persekolahan dan buku teks sudah lama dipulangkan, maka suasana pembelajaran juga semakin hilang.

    Apa yang membimbangkan perkara ini turut dirasai oleh pelajar dalam kalangan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Disaat peperiksaan SPM akan bermula, masih ada guru-guru dan sekolah menganjurkan pelbagai majlis seperti Graduasi, diadakan di hotel-hotel tertentu.

    Ini merupakan penggal akhir persekolahan dan buku teks sudah lama dipulangkan, maka suasana pembelajaran juga semakin hilang.

    Apa makna ini semua? Tanya beberapa ibu bapa.

    Justeru pelbagai pihak meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya lebih tegas bagi mengembalikan semula penggal persekolahan pada bulan Januari, bukan Mac.

    Ia perlu demi kelangsungan semangat anak-anak ke sekolah untuk menimba ilmu.

    Sebagai menteri baharu, Fadhlina perlu membuat pertimbangan sewajarnya bukan hanya mengikut telunjuk pihak tertentu.P

    Menurut presidennya, Aminuddin Awang, permulaan penggal persekolahan yang bermula pada Januari setiap tahun disifatkan bersesuaian dengan keadaan di negara ini.

    Malah beliau tidak nampak wujud masalah besar sepanjang permulaan sesi persekolahan sedia ada serta sesuai dengan keadaan cuaca dan sosiobudaya negara ini.

    Menjawab isu tersebut, Fadhlina memberi jaminan KPM akan mengembalikan semula takwim persekolahan yang bermula pada Januari seperti sebelum ini.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

    Sehubungan itu beliau berharap ibu bapa tidak perlu risau kerana pihaknya sedang berusaha ke arah itu.

    Namun katanya, perkara berkenaan belum boleh dilaksanakan tahun ini memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi mengikut Akta Pendidikan 1996.

    Pada masa sama beliau mengakui KPM banyak menerima permintaan supaya sesi persekolahan seperti sebelum ini dilaksanakan semula.

    Sesi persekolahan berubah berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan takwim persekolahan bagi 2022/2023 bermula pada Mac 2022.

    Namun, walaupun pelaksanaan PKP sudah berakhir takwim sesi persekolahan 2023/2024 masih kekal bermula pada Mac, bukan Januari.

    Ini menyebabkan ramai ibu bapa kurang berpuas hati sehingga ada pihak menyifatkan menteri tersebut sebagai gagal.

    Malah, ada aktivis pendidikan turut meragui kemampuan Fadhlina menerajui KPM kerana beliau dikatakan tidak mempunyai latar belakang dalam bidang berkenaan.

    Justeru, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, berkata ia amat sukar dan dikhuatiri Ahli Parlimen Nibong Tebal itu akan mengambil masa yang lama untuk memahami permasalahan dalam sistem pendidikan di negara ini.

    Beliau berkata, isunya bukan orang baharu atau lama, sebaliknya latar belakang beliau adalah seorang peguam dan tiada pengalaman mengendalikan isu-isu pendidikan.

    Memandangkan isu ini berhubung dengan ilmu dan pendidikan di mana ia amat penting kepada para pelajar dan masa hadapan negara, penulis berharap perubahannya tidak mengambil masa terlalu lama sehingga berlaku pertukaran kerajaan yang lain.

  • ‘Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan sabar’ – Syamsul Yusof

    ‘Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan sabar’ – Syamsul Yusof

    TIGA hari setelah mendedahkan tentang perkahwinan keduanya, pengarah terkenal Syamsul Yusof kembali mencuri perhatian netizen apabila berkongsi gambar perkahwinannya bersama Puteri Sarah Liyana dan Ira Kazar.

    Menerusi Instagram miliknya, Syamsul berkongsi gambar itu beserta kapsyen yang meminta kedua isterinya supaya bertenang dan bersabar.

    “Morning (selamat pagi)! Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar. Doakan yang baik-baik,” tulisnya ringkas.

    Dalam pada itu, pengikut Syamsul menerusi ruangan komen pada hantaran berkenaan memberi respons positif terhadap status berkenaan.

    Ia adalah perkongsian hantaran pertama Syamsul selepas membuat pengumuman mengenai perkahwinan keduanya tJumaat lalu yang menjadi bualan hangat dan mengundang kecaman masyarakat.

    Malah, ibu bapanya iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail turut terkesan dengan apa yang berlaku.

    Jumaat lalu Syamsul akhirnya mengesahkan dia sudah bernikah dengan Ira yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi.

  • Remaja maut kemalangan dengan treler

    Remaja maut kemalangan dengan treler

    SEORANG ramaja meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar treler di simpang tiga kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam, Bukit Kayu Hitam, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada pukul 2.20 petang tadi.

    “Kemalangan tersebut membabitkan treler dan motosikal Y15Z, yang ditunggangi pelajar sekolah berusia 16 tahun.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dipandu lelaki berusia 48 tahun itu, yang bergerak dari arah jalan utama menghala ke Temin, membelok secara tiba-tiba untuk ke simpang sebelah kanan dan melanggar motosikal mangsa yang bergerak dari arah bertentangan.

    “Akibat pelanggaran itu, remaja lelaki terbabit cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra (HJ) untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya lapor BH Online.

    Rodzi berkata, hasil siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu treler ketika memasuki simpang.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987 dan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ditahan untuk pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom).

    Beliau juga meminta saksi kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi IPD Kubang Pasu di talian 04-9172222.

  • PRU15: Pembahagian kerusi PN selesai dalam masa terdekat – Tuan Ibrahim

    PRU15: Pembahagian kerusi PN selesai dalam masa terdekat – Tuan Ibrahim

    PEMBAHAGIAN kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan selesai dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata, satu perbincangan sudah dilakukan sebelum ini namun tiada keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

    Bagaimanapun, beliau yakin isu pembahagian kerusi itu akan diselesaikan selepas beberapa pertemuan diadakan bersama semua pimpinan yang berada dalam PN.

    “Saya rasa dalam PN ini kita mudah untuk selesai masalah kerusi, tiada masalah sangat (dan) kita yakin dalam dua, tiga kali mesyuarat boleh selesaikan, Insya-Allah,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Ceramah 3 Menteri Besar Pas dan Pelancaran Jentera PRU-15 di Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, malam tadi.

    Tuan Ibrahim berkata, Pas juga sudah berada di ‘gear’ terakhir dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU-15.

    “Ini kira ‘gear’ akhir, sudah bersedia sepenuhnya daripada segi jentera.

    “Insya-Allah daripada segi parti, kita (juga) masih menunggu mengenai tarikh persiapan PRU-15, tetapi secara keseluruhannya kita dapati negeri-negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya,” katanya lapor BH Online.

    Mengenai manifesto PRU-15 bagi gabungan parti di dalam PN, Tuan Ibrahim berkata, PN sudah menubuhkan satu jawatankuasa manifesto PRU-15 yang memberi fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

    “Manifesto bersama kita sudah draf (dan) jawatankuasa manifesto bersama juga diwujudkan untuk merangka mengenai asas dan dasar-dasar utama.

    “Tumpuan utama kita yang pertama untuk pemulihan ekonomi negara dan kedua, kita akui bahawa isu perubahan iklim ada impak secara langsung kepada situasi negara.

    “Jadi kita beri keutamaan soal kebajikan rakyat dan sebagainya serta melihat isu yang menjadi keutamaan juga dan dalam konteks ini ialah sebuah negara yang berintegriti tinggi, bebas rasuah serta menjamin keadilan kepada semua rakyat,” katanya.

  • Pembubaran Parlimen mesti dibincang semua parti gabungan, kata ahli MPT Bersatu

    Pembubaran Parlimen mesti dibincang semua parti gabungan, kata ahli MPT Bersatu

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, pembubaran Parlimen wajar dibincangkan bersama semua parti politik yang terlibat membentuk gabungan dalam kerajaan.

    Tegas beliau, selepas itu perlu sebelum mendapat persetujuan kabinet dan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Perkara tersebut penting bagi mengelakkan berlakunya pertembungan ketika pembahagian kerusi.

    “Kesilapan dalam isu berkenaan akan memberi kesan kepada penyatuan ummah yang telah dicapai sebelum ini.

    “Kita perlu sedar bahawa kerajaan hari ini merupakan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tegas beliau, kegagalan penyatuan ummah hanya akan merugikan dan menguntungkan pihak lain.

    Kenyataan itu dibuat susulan laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijangka mengadakan pertemuan bersama lima pimpinan tertinggi (Top 5) UMNO bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU1-5) yang berkemungkinan diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan.

    Perbincangan itu turut melibatkan rakan komponen UMNO yang lain dalam gabungan BN seperti parti MCA dan MIC.

    Pada masa yang sama, Mohd. Redzuan turut mengingatkan kerajaan agar menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.

  • PN kecewa Ismail Sabri gagal penuhi terma penting perjanjian

    PN kecewa Ismail Sabri gagal penuhi terma penting perjanjian

    PERIKATAN NASIONAL (PN) kecewa dengan dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kekecewaan itu dilahirkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN semalam.

    “Sehubungan itu, PN memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

    Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyebut secara terperinci tentang terma-terma perjanjian terbabit.

    Antara isu yang dibangkitkan oleh Bersatu tetapi masih belum ada tindakan lanjut daripada kerajaan adalah berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri.

    Isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri timbul baru-baru ini selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, perkara itu dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Ismail Sabri.

    Menurut Muhyiddin, pertemuan tersebut turut membincangkan isu lantikan jawatan yang termaktub dalam perjanjian antara PN dan Ismail Sabri.

    Pada 9 Julai lalu, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kanan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri mengesahkan bahawa perjanjian berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu memang wujud.

    Beliau yang terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian tersebut menyatakan, perjanjian yang tidak boleh didedahkan untuk siaran umum itu disaksikan oleh seorang menteri dari Bersatu dan seorang lagi dari UMNO.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengatakan tidak salah bagi Muhyiddin membangkitkan tentang perkara itu tetapi pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.

    Selain itu, Bersatu telah berulang kali menuntut hak agar salah seorang pemimpinnya dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang keluar parti untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Sehingga kini, masih belum ada maklum balas yang konkrit daripada kerajaan tentang perkara itu.

    Mesyuarat MT PN semalam turut menetapkan Majlis Pelancaran PN Terengganu pada 30 Julai ini serta penganjuran Konvensyen PN pada 27 Ogos depan.

  • Sebaik-baiknya Paul Yong lepaskan jawatan Pengerusi FPDSB

    Sebaik-baiknya Paul Yong lepaskan jawatan Pengerusi FPDSB

    MUNGKIN ramai yang tidak menyedari bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang didapati bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini telah dilantik sebagai Pengerusi sebuah syarikat khas (SPV) milik kerajaan.

    Setakat hari ini, maklumat dalam laman sesawang Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB) menunjukkan Paul Yong masih lagi menyandang jawatan tersebut.

    fpdsb paul yong
    Gambar: Laman sesawang FPDSB

    Sebelum ini, timbul tanda tanya tentang pelantikan tersebut yang dibuat secara ‘senyap-senyap’ dan tidak ramai orang yang tahu.

    Tahu-tahu sahaja, nama dan gambar Paul Yong sudah tertera dalam carta organisasi FPDSB iaitu SPV yang ditubuhkan dengan matlamat untuk melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan dari 2006 hingga 2020.

    Ketika itu, Paul Yong masih lagi dalam proses perbicaraan atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Hari ini juga, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan dua sebatan terhadap beliau atas sabitan kesalahan tersebut.

    Walau bagaimanapun, jawatan ADUN yang disandangnya masih kekal kerana Paul Yong dibenarkan membuat rayuan.

    Pada masa yang sama, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam kenyataan hari menyatakan bahawa parti itu akan mempertimbangkan jawatan Bendahari Agung yang disandang beliau dalam mesyuarat Jumaat ini.

    FPDSB masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kedudukan Paul Yong dalam syarikat itu selepas keputusan mahkamah dijatuhkan terhadapnya.

    Sebaik-baiknya, Paul Yong menawarkan diri secara sukarela untuk berundur dari jawatan Pengerusi FPDSB.

    Sedikit sebanyak, sabitan terhadap jenayah rogol yang berlaku ketika beliau masih bersama DAP dahulu boleh memberi kesan negatif terhadap reputasi SPV milik kerajaan itu.

    Sepanjang prosiding rayuan berjalan, Paul Yong pasti kerap turun naik tangga mahkamah sekali gus menyukarkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawabnya di FPDSB.

    Lebih molek sekiranya kerajaan mempertimbangkan tokoh lain yang lebih layak menggantikan Paul Yong bagi mempengerusikan syarikat berkenaan.

  • Wanita buat komedi hina Islam mesti bertaubat – Nasrudin

    Wanita buat komedi hina Islam mesti bertaubat – Nasrudin

    WANITA yang ditahan polis kerana didakwa menghina Islam dalam persembahan komedi sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dinasihatkan supaya bertaubat atas apa yang telah dilakukannya.

    Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan berkata, wanita terbabit juga perlu menginsafi bahawa ia adalah satu kesalahan besar dalam agama.

    “Tampil di khalayak dalam keadaan menutup aurat dan membuat pengakuan menghafal al-Quran lalu di saat itu jua, dengan sengaja dan bangga ia meleraikan satu persatu pakaian luarnya sehingga separuh telanjang, adalah satu perbuatan mempersenda dan memperkecilkan Islam.

    “Ia bukan sahaja perbuatan yang mencabul harga diri individu yang terlibat, tetapi juga meluruhkan nilai mulia pada agama yang dianut serta mempalit rasa malu kepada seluruh umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan netizen apabila seorang wanita Islam yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

    Terdahulu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata, suspek itu kini direman tiga hari bermula hari ini.

    Nasrudin mengingatkan bahawa agama Islam bukan prop komedian yang boleh dilantun sesuka hati.

    “Meskipun mendapat tepukan gemuruh dari audien, tindakan itu tidak boleh dinilai sebagai bahan lawak jenaka melainkan ia suatu perbuatan yang hina dan jijik kerana mempersendakan ajaran wahyu dari Tuhan Yang Maha Mencipta,” jelasnya.

    Beliau turut kesal dengan tindakan seorang lelaki yang memuatkan kandungan video memaparkan perbuatan menarik tudung wanita Islam dalam media sosial baru-baru ini.

    “Mempertaruhkan maruah seorang muslimah demi meraih rating di media sosial adalah satu tindakan yang keterlaluan dan wajib dihentikan,” tegasnya.

    Nasrudin berkata, Islam sebagai satu cara hidup yang mulia dan mendidik penganutnya agar berperilaku sopan dan menjaga sensitiviti beragama.

    “Maka tidak sahaja Islam melarang penganutnya menghina agama lain, maka terlebih utama seorang muslim diwajibkan memelihara maruah dan kesucian agama Islam yang dianutinya,” ujarnya.

    Sehubungan itu, beliau berkata, YADIM mengingatkan seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam tindakan dan ucapan agar tidak terjebak dalam situasi yang boleh disifatkan sebagai menghina dan mempersenda agama suci ini.

    “Tidak sahaja berdepan dengan kemarahan umat Islam kerana agama mereka diperlekeh, bahkan ia berdepan dengan kemurkaan Allah SWT yang azabnya sangat dahsyat,” katanya.

    Nasrudin menyeru umat Islam agar menghayati firman Allah SWT dalam surah Al-An’am ayat 70:

    وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

    Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.

    وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا

    dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah mereka lakukan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan pemberi syafaat selain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya.

    أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

    Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka lakukan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

  • Minyak masak bersubsidi ‘berlambak’ di selatan Thailand

    Minyak masak bersubsidi ‘berlambak’ di selatan Thailand

    DALAM keadaan rakyat Malaysia berdepan masalah kekurangan bekalan minyak masak peket 1 kilogram yang dijual pada harga subsidi RM2.50 sepeket, lain pula halnya di selatan Thailand.

    Laporan Astro Awani hari ini mendedahkan bahawa produk tersebut dapat diperoleh dengan mudah di sana, malah pelanggan boleh membeli seberapa banyak yang mereka mahu pada harga 55 baht atau kira-kira RM7 sepeket.

    Malah, seorang penduduk di sebuah kampung di Narathiwat memberitahu bahawa mereka tidak berdepan dengan masalah mendapatkan minyak masak peket 1 kg kerana sentiasa ada stok.

    Timbul persoalan bagaimana ketirisan boleh berlaku sehingga menyebabkan produk bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja boleh terlepas masuk ke negara asing.

    Yang menjadi mangsa adalah rakyat kita khususnya mereka yang berpendapatan rendah kerana harga minyak masak botol kini tidak lagi menerima subsidi daripada kerajaan.

    Namun, mereka tiada pilihan kerana bekalan minyak masak peket 1 kg sukar diperoleh dan jika ada pun, peniaga mengehadkan jumlah yang boleh dibeli oleh setiap pelanggan.

    Salah satu punca ketirisan yang dikenal pasti adalah kelemahan dari segi penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan negara.

    Keadaan ini membolehkan mereka yang tamak haloba mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menjual produk bersubsidi ke negara jiran.

    Bagi setiap peket minyak masak 1 kg, mereka beroleh keuntungan atas angin kira-kira RM4.50 dan melihat kepada mudahnya bekalan produk itu diperoleh di selatan Thailand, terdapat kemungkinan ia diseludup dalam jumlah yang besar.

    Dalam hal ini, agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab mengekang kegiatan penyeludupan dan kawalan sempadan perlu melipatgandakan usaha mencegah ketirisan bekalan minyak masak bersubsidi.

    Gejala ini jika tidak dibanteras akan menyebabkan kerajaan berterusan menanggung kerugian kerana subsidi yang disalurkan akhirnya dinikmati oleh sindiket penyeludupan.

    Tidak mustahil jika satu hari nanti, tiada lagi subsidi diberikan untuk minyak masak paket 1 kg bagi mengelakkan ketirisan daripada terus berlaku.

    Jika itu langkah yang diambil, rakyat Malaysia khususnya golongan B40 pasti akan sangat terkesan.