MUNGKIN ramai yang tidak menyedari bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang didapati bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini telah dilantik sebagai Pengerusi sebuah syarikat khas (SPV) milik kerajaan.

Setakat hari ini, maklumat dalam laman sesawang Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB) menunjukkan Paul Yong masih lagi menyandang jawatan tersebut.

fpdsb paul yong
Gambar: Laman sesawang FPDSB

Sebelum ini, timbul tanda tanya tentang pelantikan tersebut yang dibuat secara ‘senyap-senyap’ dan tidak ramai orang yang tahu.

Tahu-tahu sahaja, nama dan gambar Paul Yong sudah tertera dalam carta organisasi FPDSB iaitu SPV yang ditubuhkan dengan matlamat untuk melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan dari 2006 hingga 2020.

Ketika itu, Paul Yong masih lagi dalam proses perbicaraan atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Hari ini juga, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan dua sebatan terhadap beliau atas sabitan kesalahan tersebut.

Walau bagaimanapun, jawatan ADUN yang disandangnya masih kekal kerana Paul Yong dibenarkan membuat rayuan.

Pada masa yang sama, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam kenyataan hari menyatakan bahawa parti itu akan mempertimbangkan jawatan Bendahari Agung yang disandang beliau dalam mesyuarat Jumaat ini.

FPDSB masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kedudukan Paul Yong dalam syarikat itu selepas keputusan mahkamah dijatuhkan terhadapnya.

Sebaik-baiknya, Paul Yong menawarkan diri secara sukarela untuk berundur dari jawatan Pengerusi FPDSB.

Sedikit sebanyak, sabitan terhadap jenayah rogol yang berlaku ketika beliau masih bersama DAP dahulu boleh memberi kesan negatif terhadap reputasi SPV milik kerajaan itu.

Sepanjang prosiding rayuan berjalan, Paul Yong pasti kerap turun naik tangga mahkamah sekali gus menyukarkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawabnya di FPDSB.

Lebih molek sekiranya kerajaan mempertimbangkan tokoh lain yang lebih layak menggantikan Paul Yong bagi mempengerusikan syarikat berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here