Author: Bernama

  • Bapa Ahli Parlimen Cameron Highlands meninggal dunia

    Bapa Ahli Parlimen Cameron Highlands meninggal dunia

    BAPA kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor, meninggal dunia awal pagi semalam.

    Allahyarham Datuk Mohd Nor Abdullah, 87, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Baling, Kedah, kira-kira 2.30 pagi akibat komplikasi buah pinggang, diabetes, darah tinggi dan juga jantung.

    Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Gobek, Pengkalan Hulu, kira-kira 2 petang semalam.

    Allahyarham Mohd Nor adalah antara 10 anggota pertama berkhidmat dalam Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq yang ditubuh dan diperkenalkan Special Air Service (SAS) British pada tahun 1956. – BERNAMA

  • 2 motosikal konvoi rentung, seorang lelaki maut

    2 motosikal konvoi rentung, seorang lelaki maut

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 39.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 30-an, manakala rakannya yang cedera pula dianggarkan berusia dalam 20-an.

    “Mereka dipercayai sedang berkonvoi motosikal dari Melaka pulang ke Perak.

    “Punca kemalangan masih dalam siasatan bagaimanapun impak kemalangan itu menyebabkan kedua-dua motosikal itu terbakar 90 peratus,” katanya.

    Norazam berkata mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala rakannya pula telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.05 petang tadi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian. – BERNAMA

  • Penagih dadah bersenjata rempuh polis semasa cuba lari

    Penagih dadah bersenjata rempuh polis semasa cuba lari

    SEORANG lelaki dipercayai penagih dadah bersenjatakan sebilah pisau dan pemutar skru yang dikehendaki polis ditahan di sebuah kedai cermin mata berdekatan Pasar Jelawat, di Bachok, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lelaki berusia 30 tahun yang juga penagih dadah itu telah memasuki premis terbabit untuk menyembunyikan diri daripada ditahan polis.

    Beliau berkata, suspek sebelum ini dikehendaki polis susulan laporan yang dibuat oleh adik perempuan lelaki itu yang berusia 28 tahun pada 22 Okt lepas bahawa abangnya telah mengugut mahu mencederakan dia dan membakar keretanya. .

    “Pihak polis telah ke rumah suspek di Kampung Seneng, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari tadi untuk menahannya.

    Suspek bagaimanapun bertindak agresif dengan berlari merempuh seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan melarikan diri. Suspek juga dilihat memegang pisau dan pemutar skru sehingga menyukarkan tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, pihak polis yang membuat tindakan susulan berjaya menemukan suspek tiga kilometer dari rumahnya sebelum memasuki sebuah premis cermin mata di Pasar Jelawat, dalam cubaannya untuk menyembunyikan diri.

    “Anggota polis yang sudah mengekorinya bagaimanapun berjaya mengesan suspek dan menahannya dengan menggunakan pistol renjatan elektrik kerana suspek agak agresif.

    “Tiada tebusan sepertimana yang tular dalam media sosial. Semua pekerja premis itu telah pergi ke kedai sebelahnya untuk memudahkan pihak polis membuat tangkapan. Soal siasat awal, suspek mengaku terlibat berkaitan kes yang dilaporkan,” katanya.

    Beliau berkata polis turut merampas sebilah pisau, dua pemutar skru, empat biji pil kuda dan wang tunai berjumlah RM515 daripada suspek.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Peraturan 25(1)(e) & (o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

    Menurut beliau berdasarkan siasatan polis suspek sebelum ini mempunyai lapan rekod kesalahan lampau berkaitan Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

    Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 22 saat menerusi perkongsian akaun Viral Media Kelate di Facebook dengan mendakwa bahawa berlaku rompakan bersenjata di sebuah kedai di lokasi berkenaan. – BERNAMA

  • Muktamar: Dewan Ulama PAS Kelantan lulus 10 usul

    Muktamar: Dewan Ulama PAS Kelantan lulus 10 usul

    DEWAN Ulama PAS Kelantan hari ini meluluskan 10 usul termasuk mewujudkan pasukan petugas khusus kepada pengundi baharu berusia 18 tahun bagi menarik minat mereka agar peduli kepada agama dan negara.

    Kesemua usul berkenaan diluluskan pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Kelantan ke-50 di Kompleks Pendidikan Islam, di Bachok hari ini, yang dihadiri 115 ahli daripada perwakilan seluruh negeri.

    Menjelas mengenai usul penubuhan pasukan petugas itu, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood berkata. pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti akan disertai pengundi baharu yang terdiri daripada golongan belia berumur 18 tahun dan ke atas.

    Beliau berkata, susulan itu, senario yang bakal terjadi ialah pertambahan jumlah pengundi yang dijangka mendadak di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

    “Angka yang kita peroleh daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah 5.8 juta pengundi muda seluruh negara. Bilangan tersebut tidak termasuk golongan dewasa yang selama ini tidak pernah mendaftar sebagai pemilih dalam PRU sebelum ini.

    Dengan berlakunya situasi begini maka kita perlu pastikan pengundi muda yang akan mengundi dalam PRU15 nanti benar-benar memberi sokongan mereka. Malah, dengan adanya ‘pasukan petugas’ ini nanti sekurang-kurangnya ia dapat menarik minat mereka agar peduli kepada negara dan agama,” katanya dalam ucapan pada muktamar itu.

    Antara usul lain yang diluluskan adalah seluruh ahli Dewan Ulama Pas setiap kawasan dapat mengeluarkan infak RM1 untuk disumbangkan kepada Dewan Ulama Pas Negeri setiap bulan, selain menaikkan elaun pegawai halakat di seluruh negeri sesuai dengan tuntutan semasa.

    Selain itu, usul yang diketengahkan juga adalah supaya PAS Pusat meluaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) merentasi parti politik agar PRU15 nanti hanya berlaku pertandingan antara dua penjuru sahaja.

    Menyentuh mengenai perkembangan politik semasa, Hassan mengingatkan semua ahli PAS supaya mengamalkan sikap berlapang dada dan bersangka baik dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya ingin meraih kemenangan pada PRU15.

    Beliau turut berkata PAS sebagai sebuah gerakan Islam perlu berjiwa besar untuk menjadi pendamai dalam agenda perpaduan ummah, malah untuk memastikan kerajaan sekarang kekal memerintah, maka pendokong PAS perlu lebih bijaksana serta cermat dalam berhadapan dengan pelbagai situasi.

    Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan ditangguhkan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. – BERNAMA

  • PRN Melaka: Aktiviti, perhimpunan, majlis sosial dilarang

    PRN Melaka: Aktiviti, perhimpunan, majlis sosial dilarang

    SEBARANG aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa esok hingga 27 Nov ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak COVID-19.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan berkata, ia termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

    Beliau berkata, berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM), antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster COVID-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Katanya, KKM menjangka aktiviti ini akan banyak diadakan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

    “Memandangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 masih tinggi, terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes COVID-19 baharu yang dilaporkan, aktiviti itu akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti,” katanya.

    Isnin lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

    Jelas Khairy, larangan ini selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Empat yang terkini.

    Tegasnya, sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    “Semua pihak dikehendaki mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang telah ditetapkan demi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster,” katanya.

    Ia juga menurutnya, berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342, menjadikan aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

    Subperaturan 10(1) memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh, semasa dalam mana-mana fasa ditetapkan, berhimpun atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan. – BERNAMA

  • GPS bertanding semua 82 kerusi DUN Sarawak

    GPS bertanding semua 82 kerusi DUN Sarawak

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi juga menafikan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dengan Bersatu.

    “Saya ingin menegaskan, tiada rundingan sedemikian pernah atau akan diadakan. Malah, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi di DUN Sarawak pada PRN yang akan datang.

    “Justeru, saya ingin membetulkan mesej salah yang dilaporkan dalam beberapa media yang membuat laporan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kenyataan itu dibuat susulan laporan media yang mendakwa Nanta telah mengesahkan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dan Bersatu bagi menghadapi PRN Sarawak.

    Bersatu menduduki satu kerusi DUN Sarawak menerusi ADUN Krian, Datuk Ali Biju yang memenangi kerusi berkenaan sebagai calon PKR dalam PRN ke-11 namun kini beliau menyertai Bersatu. – BERNAMA

  • Kanak-kanak mati lemas jatuh dalam Sungai Tawau

    Kanak-kanak mati lemas jatuh dalam Sungai Tawau

    KANAK-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terjatuh dari jambatan ke dalam Sungai Tawau di Kampung Jawa Lanut semalam, ditemukan lemas pada 8.19 pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stepen berkata, pihaknya menemui mayat Mohd Alif Amuddin tersangkut di akar kayu di tepi sungai, kira-kira 600 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Kami menyambung operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada 8 pagi dan selepas beberapa minit operasi bermula, salah seorang anggota SAR ternampak mayat mangsa di pokok bambu di tepi sungai,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Julius, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Semalam dilaporkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.45 petang dan operasi SAR terus dijalankan sebelum ditangguhkan pada 6.06 petang.

    Sementara itu bapa mangsa, Amuddin Mustapah, 40, berkata ketika kejadian mangsa bersama tiga kanak-kanak lain bermain di rumah datuknya yang berdekatan sungai.

    “Namun ketika bermain saya difahamkan Alif tergelincir dari tepi jambatan dan masuk ke dalam sungai, kawan-kawannya yang melihat kejadian meminta bantuan orang ramai,” katanya sambil menahan sebak.

    Sebelum kejadian, Amuddin berkata, anaknya yang merupakan kanak-kanak yang aktif dan petah bercakap itu meminta izin untuk bermain di rumah datuknya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka. – BERNAMA

  • PN tidak tarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan

    PN tidak tarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan menarik sokongan di peringkat pusat meskipun kemungkinan berlaku pertembungan dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 Nov ini.

    Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ini kerana pihaknya masih menaruh kepercayaan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mentadbir negara.

    “Tidak terlintas pun di fikiran kami (menarik sokongan) kerana kami lihat kerajaan pada ketika ini sedang belajar berjalan dengan baik dengan usaha yang dipergiatkan melalui gagasan Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan.

    “Semuanya berjalan dengan lancar, insya-Allah kami akan teruskan (kerjasama) dan kami mohon agar Allah mempermudahkan segala urusan,” katanya yang juga Timbalan Presiden Bersatu ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Senamrobik Perdana Peja Trophy 2021 yang berlangsung di Padang Bola Sepak Lintau di Ipoh, hari ini.

    Pada 22 Okt lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu yang menganggotai PN dalam menghadapi PRN Melaka.

    Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata secara peribadi, hubungannya dengan kebanyakan pemimpin UMNO terutamanya yang berada dalam Kabinet juga masih baik dan tidak terganggu dengan sebarang percaturan politik.

    “Saya juga lihat ada dalam kalangan rakyat dan pemimpin antara dua kelompok ini masih boleh bekerjasama namun saya tidak menolak kemungkinan berlaku satu atau dua individu yang agak keliru dengan agenda yang sepatutnya dibawa,” katanya.

    Selain itu, katanya PN masih membuka pintu rundingan kerjasama dengan semua parti termasuk UMNO dalam memastikan kemenangan berjaya direalisasikan dalam PRN Melaka.

    “Seperti yang disebut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kami sememangnya mahu bekerjasama dengan semua pihak yang nak membangunkan negara, melakukan perkhidmatan terbaik kepada rakyat namun semuanya terpulang kepada mereka,” katanya.

    Terdahulu, mengulas mengenai program, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan itu merupakan antara usaha untuk memupuk gaya hidup sihat selain membudayakan sukan dalam kalangan rakyat.

    “Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam penganjuran program ini yang telah berlangsung sejak semalam membabitkan sukan bola sepak, senamrobik dan acara berbasikal. Kami berharap program ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

  • Jurutera mabuk pandu lawan arus rempuh 2 kereta

    Jurutera mabuk pandu lawan arus rempuh 2 kereta

    SEORANG jurutera yang memandu secara melawan arus hingga menyebabkan kemalangan dengan dua kereta dan mencederakan seorang pemandu, ditahan di Kilometer 26 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, di Port Dickson, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, hasil ujian dilakukan di Balai Polis Trafik Port Dickson mendapati lelaki berusia 29 tahun itu di bawah pengaruh alkohol.

    Jelasnya, kemalangan itu melibatkan tiga kereta iaitu kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu suspek manakala dua lagi adalah kereta mangsa iaitu Proton Saga dan Toyota Vios.

    “Dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi itu, lelaki berkenaan telah memandu secara melawan arus dari arah Port Dickson ke arah Seremban, kereta suspek kemudian merempuh dua kereta dari arah bertentangan.

    “Susulan kejadian itu, suspek tidak cedera namun seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga mengalami kecederaan iaitu patah paha kaki kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Bagaimanapun, pemandu kereta Toyota Vios berusia 24 tahun bersama dua orang penumpang masing-masing berusia 23 dan 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Aidi Sham berkata lelaki berusia 31 tahun yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

    Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman pada pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) dan Seksyen 42 (1) APJ 1987. – BERNAMA

  • Pengarah filem terkenal Mamat Khalid meninggal dunia

    Pengarah filem terkenal Mamat Khalid meninggal dunia

    PENGARAH filem terkenal, Mamat Khalid meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River.

    Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah.

    “Arwah pengsan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia,” katanya ringkas melalui pesanan aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

    Punca kematian tidak dapat diketahui namun difahamkan akibat serangan jantung.

    Selain menumpukan masanya dalam bidang perfileman, arwah juga merupakan pemilik kafe Sarang Art Hub yang dibuka di Tanjung Malim sejak 2016.

    Allahyarham atau nama sebenarnya, Mohamad bin Mohamad Khalid, 58, merupakan seorang penulis skrip dan pengarah filem selain merupakan adik kepada kartunis terkenal negara Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat.

    Allahyarham yang dilahirkan di Ipoh, meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

    Antara filem air tangan arwah yang terkenal pastinya adalah ‘Zombi Kampung Pisang’, ‘Hantu Kak Limah’, ‘Rock’ dan ‘18 Puasa di Kampong Pisang’ yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat filem genre lucu dan hiburan keluarga.

    Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemergian Mamat Khalid merupakan satu kehilangan bakat yang tidak mungkin dapat dicari ganti

    “Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Mamat Khalid, penerbit, pengarah dan pelakon. Negara kehilangan bakat yang tidak mungkin ada pengganti. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam ciapan di Twitternya.

    Nada sedih yang sama turut dizahirkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam Twitternya;

    “Al Fatihah. Moga Allah tempatkan Abang Mamat Khalid dalam kalangan mereka yang dirahmati olehNya”.

    Beberapa rakan selebriti yang rapat dan mengenali arwah turut melahirkan perasaan dukacita dan terkejut seperti pelakon Que Haidar yang menghantar ciapan dalam Twitter: “Antara pengarah terawal mengesan bakat saya. Al Fatihah untuk Abang.”

    Sharifah Amani dalam hantarannya di Twitter : “Thank you Abang Mamat for the years of love and dedication towards your craft and country. You will be truly missed. (Terima kasih Abang Mamat untuk cinta dan dedikasi anda kepada seni dan negara buat sekian lama. Anda akan sentiasa dirindui). Semoga tenang disana. Salam takziah buat keluarga dan sahabat tercinta. Al Fatihah”. – BERNAMA