Oleh RAHIMI MOHAMAD

PERKEMBANGAN memberangsangkan industri sukan elektronik (e-sukan) negara dan subsektor sukan berkenaan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat menjadi kayu ukur kepada kerajaan untuk memberi lebih tumpuan dalam Belanjawan 2022.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah berkata, industri itu mempunyai potensi dan nilai komersial tinggi khususnya kepada generasi muda di negara ini kerana mampu menjana pendapatan kepada pemainnya.

Sejak 2019 ujar beliau, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sehingga RM45 juta bagi menyokong dan menggalakkan perkembangan industri berkenaan.

“Selain usaha meningkatkan lagi pendedahan sektor e-sukan dalam kalangan masyarakat umum, kerajaan juga berhasrat untuk meneroka pelbagai sub-sektor di dalam industri itu sendiri.

“Kerana setiap sub-sektor berkenaan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan baharu kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Akademi Soloz, di sini hari ini.

Mohd. Shahar berkata, kerajaan juga komited untuk memastikan sokongan berterusan kepada industri e-Sukan negara menerusi Belanjawan 2022 yang akan diumumkan pada 29 Oktober nanti.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan sentiasa berusaha meneroka, mengkaji dan menyokong asas kepada langkah-langkah pembaharuan ‘Reform’ untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi baharu bagi memberi manfaat kepada rakyat khususnya dalam memenuhi citarasa generasi muda.

“Selaras dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah dilancarkan, pembangunan industri sukan di Malaysia akan diperkasakan dan diperhebatkan bagi memastikan industri ini juga dapat turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baharu.

“Dalam menjadikan industri sukan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, kerajaan berhasrat untuk menambah baik ekosistem industri tersebut, usahawan tempatan akan terus digalakkan menceburi industri pembuatan dan pemasaran barangan sukan serta penganjuran acara sukan dan pengurusan kemudahan sukan,” katanya.

Tambah beliau, golongan itu akan disokong bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif termasuk menyediakan akses kepada pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan daya saing untuk bersaing dengan pemain industri luar negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here