Author: Bernama

  • Kerajaan mohon lucut hak wang Alvin Goh, isteri Addy Kana

    Kerajaan mohon lucut hak wang Alvin Goh, isteri Addy Kana

    KERAJAAN memohon untuk melucut hak wang lebih RM500,000 milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada ‘Datuk Addy Kana’, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Notis usul itu difailkan oleh pendakwa raya selaku pemohon secara berasingan pada 29 Sept lepas dengan menamakan Goh, 33, dan syarikatnya, Malaysian House of Internet Sdn Bhd dan Networld Computer (KL) Sdn Bhd serta Alyaa, 34, dan syarikatnya, Nine Nine International Sdn Bhd selaku responden.

    Dalam notis usul itu, pendakwa raya memohon untuk melucut hak wang milik Goh berjumlah RM60,232.01 yang disimpan di dalam tiga akaun bank lelaki itu dan wang RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik syarikatnya iaitu Malaysian House of Internet dan Network Computer.

    Pendakwa raya juga memohon untuk melucut hak wang milik Alyaa berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International.

    Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari tahun ini didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan hari ini, mahkamah menetapkan 29 Dis ini untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak memaklumkan berhubung status penyiaran notis warta kepada pihak ketiga.

    Pihak ketiga berkepentingan perlu tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

    Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Goh diwakili peguam Lim Jin Wen dan Alyaa diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisyam. – BERNAMA

  • Rogol gadis bawah umur, hukuman penjara 12 tahun kekal

    Rogol gadis bawah umur, hukuman penjara 12 tahun kekal

    SEORANG bekas pemandu lori kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan kerana merogol anak jirannya, sehingga remaja berumur 13 tahun itu mengandung dan cuba membunuh diri.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya diketuai Datuk Suraya Othman membenarkan rayuan lelaki berusia 60 tahun itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Feb 2020, yang menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan ke atasnya.

    Hakim Suraya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Seri Mariana Yahya, mengembalikan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Sepang terhadap lelaki itu.

    Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam menggunakan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan ketika menaikkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan kepada penjara 25 tahun dan 10 sebatan, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

    Hakim Suraya dalam penghakimannya berkata hukuman maksimum bagi kesalahan merogol gadis bawah umur di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan adalah penjara 20 tahun, tetapi hakim Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun.

    “Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi dan mengembalikan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen bermula dari tarikh tangkap pada 11 Jun 2017,” katanya.

    Hakim Suraya turut menasihati lelaki itu selaku perayu supaya tidak mengulangi kesalahan sama selepas keluar dari penjara.

    “Jangan buat lagi…awak seorang bapa kepada enam anak, kenapa awak mahu merogol remaja bawah umur? Apabila sudah keluar nanti, jalani kehidupan dengan baik,” kata hakim itu.

    Lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berumur 13 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Puchong, Sepang di sini pada 11 malam, pertengahan bulan Mac dan April 2017, mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama.

    Berdasarkan fakta kes, pada pertengahan Mac 2017, perayu telah membawa mangsa ke rumah perayu, kononnya untuk menyambut hari jadi anak perayu dan apabila tiba di rumah perayu, mangsa mendapati tiada orang di rumah berkenaan.

    Perayu kemudian merogol mangsa dan selepas kejadian itu, perayu mengugut akan menularkan gambar kemaluan mangsa di Facebook, sekiranya remaja itu menceritakan apa yang berlaku kepada ibunya.

    Remaja itu kemudian telah disahkan hamil dan memberitahu perkara itu kepada ibunya, dan laporan polis dibuat serta mangsa dirujuk kepada pakar psikiatri yang mencadangkan supaya janin mangsa digugurkan selepas mangsa menunjukkan simptom depresi dan cuba membunuh diri.

    Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap janin tersebut mendapati bahawa perayu merupakan bapa kandung kepada janin itu.

    Peguam Usha Kulasegaran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli bertindak bagi pihak pendakwaan selaku responden. – BERNAMA

  • 56 pelanggan, 2 pemilik premis hiburan dikompaun RM130,000

    56 pelanggan, 2 pemilik premis hiburan dikompaun RM130,000

    SERAMAI 56 pelanggan dan dua pemilik premis hiburan berusia antara 23 hingga 51 tahun dikompaun sebanyak RM130,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar.

    Dua premis yang beroperasi di Taman Miharja dan Jalan Loke Yew , di sini diserbu Selasa lepas masing-masing pada pukul 10 dan 11.30 malam, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.

    Katanya, pelbagai peralatan hiburan dan 441 botol arak pelbagai jenama dirampas dalam serbuan di dua premis terbabit.

    Beliau berkata, pemilik premis ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976. – BERNAMA

  • Peguam Negara teliti cadangan pindaan 2 akta Parlimen

    Peguam Negara teliti cadangan pindaan 2 akta Parlimen

    PEGUAM Negara sedang meneliti cadangan pindaan dan pemerkasaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.

    Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kertas cadangan berkenaan dijangka dikembalikan kepada Jawatankuasa Parlimen, yang dipengerusi kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada penghujung November ini, dalam usaha merealisasikan transformasi Parlimen.

    “Jika mereka tidak dapat mengisi itu (tempoh masa dan hasil penelitian), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perlu memberi kepada saya sebabnya.

    “Kenapa tidak, sebab kedua-dua ini adalah ‘regular’, bukan sesuatu yang diluar jangka, yang satu (Akta Perkhidmatan Parlimen 1963) nak hidup balik, yang satu lagi (Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952) hanya dua pindaan sahaja,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

    Beliau memberi contoh, satu pindaan untuk Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 adalah meningkatkan denda daripada RM1,000 kepada RM20,000 bagi mereka yang memperkecil atau mempersenda Parlimen serta ahlinya, manakala satu lagi pindaan melibatkan Kod Etika Ahli Parlimen.

    Pada masa sama, Rais menjangkakan perkara itu dapat diselesaikan sebelum dibawa dalam bentuk rang undang-undang baharu pada mesyuarat kedua Dewan Negara, Disember ini.

    Pada 14 Okt, Rais dilapor menyatakan mahu Dewan Negara memperkukuhkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. – BERNAMA

  • Bekas Hakim, Timbalan Pendakwa Raya, Peguam bebas tuduhan terima rasuah

    Bekas Hakim, Timbalan Pendakwa Raya, Peguam bebas tuduhan terima rasuah

    MAHKAMAH Sesyen di Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan tiga pengamal undang-undang termasuk seorang bekas hakim atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM17,500, dua tahun lepas.

    Hakim Rihaida Rafie membebaskan Azmil Muntapha Abas, 47, bekas hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu; Khairul Azhwa Yusri Mohamad, 34, bekas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di mahkamah sama dan seorang peguam Noor Amirul Nazreen Anas, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas ketiga-tiga tertuduh di akhir kes pendakwaan.

    Rihaida berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen utama pertuduhan iaitu kesemua tertuduh bersetuju menerima suapan bagi diri mereka wang tunai RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong pada tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan dalam pertuduhan.

    “Mahkamah mendapati tiada sebarang perbincangan atau komunikasi antara tertuduh pertama, kedua atau  ketiga (berhubung rasuah) malah pada peringkat akhir kes, saksi-saksi tidak dapat menyatakan wang tersebut dipersetujui sebagai upah untuk tertuduh ketiga (Azmil Muntapha) menjatuhkan hukuman denda (dalam kes pendatang asing),” katanya.

    Beliau berkata tiada keterangan yang dikemukakan menunjukkan Khairul Azhwa Yusri dan Azmil Muntapha mengetahui kewujudan wang tersebut.

    Menurut hakim itu  pendakwaan juga gagal membuktikan Azmil Muntapha menerima suapan sebagai upah baginya selaku Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu ketika itu untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja kepada tujuh orang pendatang asing.

    “Bagi tujuan penerimaan wang sebagai upah untuk tertuduh ketiga, langsung tidak pernah dinyatakan mana-mana saksi sepanjang kes pendakwaan.

    “Keterangan saksi pendakwaan juga bercanggah antara satu sama lain termasuk saksi utama iaitu SP26 di mana mahkamah mendapati siasatan pegawai penyiasat adalah lemah dan tidak menyeluruh,” katanya.

    Rihaida berkata pihak pendakwaan hanya berjaya membuktikan elemen pertama pertuduhan di mana Khairul Azhwa Yusri dan Azmil Muntapha merupakan penjawat awam yang masing-masing berkhidmat di Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada ketika itu.

    Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan 28 saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu.

    Ketiga-tiga mereka didakwa secara rasuah menerima suapan wang itu daripada Wong, 42, sebagai upah kepada Azmil Muntapha untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja ke atas tujuh pendatang asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, antara 9.30 pagi hingga 2.45 petang, 17 Julai 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009  yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Negara BIMP-EAGA perlu segera buka sempadan

    Negara BIMP-EAGA perlu segera buka sempadan

    NEGARA anggota Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) harus meneroka segala peluang untuk memulihkan kembali nilai rantaian rentas sempadan, kebanyakannya terputus sejak penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-14 pada Khamis berkata, Malaysia sudah berusaha melaksanakannya kerana menganggap BIMP-EAGA sebagai platform penting bagi membolehkan pembangunan serantau yang lebih seimbang dan inklusif.

    “Bagi mencerminkan komitmen ini, kerjasama sub-serantau di bawah BIMP-EAGA diarus perdanakan serta diutamakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya.

    Sejajar dengan pelan berkenaan, Ismail Sabri berkata, kerjasama di bawah BIMP-EAGA akan menyasarkan peningkatan aktiviti rentas sempadan dan mengukuhkan nilai rangkaian.

    Kerjasama ini akan turut memfokuskan pewujudan pekan dan bandar yang selesa, menaik taraf prasarana akses serta rangkaian dan meningkatkan kerjasama serta penyelarasan antara pemegang taruh.

    Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kerajaan Persekutuan Malaysia akan terus mempercepat pembangunan di Labuan, Sabah dan Sarawak.

    “Pelbagai langkah akan terus diambil bagi menaik taraf prasarana akses dan ketersambungan dengan mempercepat pelaksanaan Projek Prasarana Utama di BIMP-EAGA.

    “Ini termasuk Lebuhraya Pan Borneo, pekan di sempadan, kemudahan kastam, imigresen, kuarantin serta keselamatan,” katanya.

    Dalam usaha untuk BIMP-EAGA pemulihan selepas pandemik yang berdaya tahan dan mampan, Ismail Sabri menegaskan bahawa negara peserta mesti menetapkan strategi baharu dan berani, menerusi pendekatan menyeluruh di negara masing-masing sambil mengekalkan kerjasama serantau.

    Merujuk aspek pelancongan sebagai contoh, beliau berkata, dalam memulihkan industri yang teruk terjejas itu, negara anggota seharusnya meneroka kemungkinan menggunakan pendekatan standard yang membolehkan individu sudah divaksin bergerak bebas dan selamat di sempadan dengan tempoh kuarantin minima atau berdepan proses kelulusan rumit.

    “Sebagai permulaan, ini boleh dilaksanakan di lokasi perintis terpilih,” katanya.

    Mengenai inisiatif hijau, Ismail Sabri berkata, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Local Governments for Sustainability (ICLEI) dalam membangunkan Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAPs).

    Perdana Menteri berkata, Malaysia akan membangunkan sekurang-kurangnya dua GCAPs di bawah RMK12 untuk bandar anggota BIMP-EAGA Malaysia sebagai sumbangan ke arah mempercepat pelaksanaan inisiatif bandar hijau kawasan pertumbuhan itu, sejajar dengan komitmen Malaysia menjadi bandar neutral karbon secepat-cepatnya menjelang 2050.

    Mengenai BIMP-EAGA dan Tabung Kerjasama Korea Selatan (BKCF), Ismail Sabri berkata, beliau yakin ia akan memberi sumbangan bermakna dengan meningkatkan kerjasama dalam ketersambungan maritim; dagangan dan pelaburan; pelancongan; pembangunan sumber manusia; dan keselamatan maritim serta alam sekitar.

    Bagi meningkatkan lagi kerjasama BIMP-EAGA dengan Korea Selatan, beliau turut berharap Kerangka Kerja Kerjasama BIMP-EAGA-Korea Selatan dan Pelan Tindakannya, akan segera dapat dimuktamadkan.

    Dipengerusikan oleh Indonesia, BIMP-EAGA dihadiri negara anggota serta ADB dan Pusat Fasilitasi BIMP-EAGA. Ia diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-38 dan Ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei. – BERNAMA

  • Tidak patuh pengurusan kewangan, negara rugi lebih RM620 juta

    Tidak patuh pengurusan kewangan, negara rugi lebih RM620 juta

    KETIDAKPATUHAN kementerian dan jabatan Persekutuan terhadap pengurusan kewangan telah menyebabkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620.07 juta pada 2020.

    Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, daripada RM510.49 juta pembayaran tidak teratur, RM499.19 juta melibatkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Sementara itu, daripada RM104.79 juta kerugian wang awam, RM81.69 juta merupakan penalti belum tuntut dan tidak dikenakan Jabatan Imigresen manakala pembaziran RM4.79 juta melibatkan peralatan lewat diterima dan tidak dipasang di Istana Budaya.

    “Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil, Ketua Audit Negara telah mengemukakan 29 syor, iaitu empat syor untuk pengesahan penyata kewangan dan 25 syor untuk pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian dan jabatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada Bernama berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

    Nik Azman berkata, pengauditan pematuhan melibatkan sejumlah RM899.44 juta telah dilaksanakan terhadap tiga kementerian dan lima jabatan Persekutuan meliputi aspek pengurusan kontrak berjumlah RM772.40 juta, perolehan kerajaan (RM54.8 juta ) dan kutipan hasil (RM72.24 juta).

    Sementara itu, dalam Penegasan Perkara (Emphasis of Matter) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, Ketua Audit Negara menyatakan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2020 berjumlah RM879.560 bilion atau 62.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

    Hutang Persekutuan meningkat sebanyak RM86.562 bilion atau 10.9 peratus berbanding RM792.998 bilion atau 52.4 peratus pada tahun 2019.

    Menurut Ketua Audit Negara, sebanyak 50.4 peratus atau RM98.058 bilion daripada RM194.555 billion pinjaman baharu pada 2020 digunakan untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang telah matang.

    “Ini menunjukkan kerajaan bergantung kepada pinjaman baharu untuk membayar pinjaman matang dan penggunaan dana Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM8.265 bilion bagi pelunasan Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta dan Komitmen Jaminan,” katanya.

    Selain itu, sejumlah RM2.65 bilion digunakan untuk membayar perbelanjaan perkhidmatan sokongan hospital dan klinik di Kementerian Kesihatan serta penyenggaraan fasiliti di Kementerian Pendidikan yang sebelum ini dibayar menggunakan peruntukan belanja mengurus.

    “Dana Kumpulan Wang Pembangunan yang dibiayai melalui pinjaman sepatutnya digunakan untuk membiayai projek pembangunan fizikal yang menyumbang kepada pembentukan modal baharu yang boleh meningkatkan pembangunan Negara serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi untuk menjana aktiviti ekonomi,” katanya.

    Sementara itu, hasil kerajaan Persekutuan merosot 14.9 peratus kepada RM225.075 bilion pada 2020 berbanding RM264.415 bilion tahun sebelumnya manakala perbelanjaan COVID-19 berjumlah RM38.019 bilion.

    Perbelanjaan mengurus pula merosot 14.7 peratus kepada RM224.6 bilion, iaitu penurunan sebanyak RM38.743 bilion berbanding tahun 2019 manakala perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM51.36 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM2.813 bilion atau 5.2 peratus berbanding RM54.173 bilion pada 2019.

    Nik Azman berkata, secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM87.645 bilion dengan nisbah defisit kepada KDNK pada kadar 6.2 peratus, berbanding 3.4 peratus atau RM51.37 bilion pada 2019.

    Menurut kenyataan itu LKAN ini mengandungi tiga komponen utama iaitu pengesahan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi Tahun berakhir 31 Dis 2020, analisis kewangan Kerajaan Persekutuan dan pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan.

    Nik Azman berkata, secara keseluruhannya, penyata kewangan Kerajaan Persekutuan menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan bagi tahun berakhir 31 Dis 2020 dan rekod perakaunannya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.

    Ia merupakan pembentangan LKAN kedua di Dewan Rakyat tahun ini selepas LKAN Tahun 2019 Siri 2 dibentangkan pada 28 Sept lepas dan hari ini juga, Jabatan Audit Negara memberi taklimat kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen berhubung isu-isu utama penemuan Audit.

    LKAN ini boleh diakses oleh orang awam di laman sesawang http://www.audit.gov.my mulai 10.10 pagi ini manakala isu-isu dalam LKAN Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 pula akan dimuat naik di Portal Auditor General’s Dashboard (AGD) mulai pukul 11 pagi. – BERNAMA

  • Langgar SOP larangan berhimpun, BN dikompaun RM10,000

    Langgar SOP larangan berhimpun, BN dikompaun RM10,000

    prn melaka

    PEJABAT Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada Barisan Nasional (BN) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkongsian dalam platform media sosialnya memaklumkan, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dikeluarkan kepada BN susulan penganjuran majlis sosial di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC), malam tadi.

    Notis kepada Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz yang dikongsikan oleh KKM menyebut parti itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 (1) PPPAPB (langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) kerana gagal memastikan penjarakan fizikal yang merupakan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

    Notis itu juga memaklumkan kompaun RM10,000 kepada BN atas kesalahan melanggar SOP itu akan habis tempoh pada 9 Nov ini.

    Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn, WTC itu turut dihadiri Pengerusi parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Baru-baru ini, KKM menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk pelancaran jentera bermula 25 Okt hingga 27 Nov ini.

    Menurut SOP Fasa Empat PPN yang dikemas kini Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 22 Okt, penganjuran majlis di dalam dewan atau tempat terbuka dibenarkan dengan kapasiti tetamu 50 peratus ruang penganjuran majlis selain perlu memastikan penjarakan fizikal.

    Majlis tidak dibenarkan sekiranya sukar untuk mengawal keadaan apabila terdapat ramai orang pada satu-satu masa dan sukar untuk mengawal keperilakuan.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ini. – BERNAMA

  • Ingkar larangan berhimpun, parti MUDA kena kompaun

    Ingkar larangan berhimpun, parti MUDA kena kompaun

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 kerana mengingkari larangan berhimpun dengan mengadakan sidang akhbar di Melaka.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dalam kenyataan malam ini berkata tindakan itu diambil berikutan perhimpunan berkenaan menyukarkan penjarakan fizikal dilakukan.

    “Kompaun tersebut dikeluarkan kepada penganjur program itu yang juga Pegawai Media MUDA Melaka.

    “Ia selari dengan larangan berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dikeluarkan bermula Isnin lalu,” katanya.

    Berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342, aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

    Afzanizar berkata polis juga sebelum itu telah menasihati penganjur agar memberhentikan sidang akhbar tersebut berdasarkan larangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya berkuat kuasa Isnin lepas sehingga 27 Nov depan, namun diingkari.

    Beliau berkata polis telah memanggil penganjur sidang media berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan telah memaklumkannya melakukan kesalahan di bawah peruntukan 10 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 sebelum kompaun dikeluarkan.

    Setiausaha Agung Penaja MUDA, Amira Aisya Abd Aziz menerusi akaun Twitternya dilapor berkata parti telah dikompaun RM4,000 selepas mengadakan sidang akhbar berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di hadapan Bangunan Stadhuys, Banda Hilir tengah hari tadi. – BERNAMA

  • Menjelang Bajet 2022: Apa kata Perdana Menteri?

    Menjelang Bajet 2022: Apa kata Perdana Menteri?

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan sesi Wawancara Bajet 2022 dengan media tempatan.

    Berikut adalah transkrip penuh Wawancara Bajet 2022 bersama Perdana Menteri itu.

    SOALAN: Ini merupakan belanjawan kedua yang dibentangkan ketika negara masih berdepan cabaran pandemik COVID-19. Dengan konsep Keluarga Malaysia yang Datuk Seri perkenalkan, rakyat tertunggu-tunggu apakah bentuk Bajet 2022. Apa yang Datuk Seri dan kerajaan fikirkan ketika merangka Bajet 2022 dan apa yang ingin dicapai dengan belanjawan ini.

    JAWAPAN: Dalam merangka Bajet 2022, kerajaan sentiasa meletakkan Keluarga Malaysia sebagai keutamaan. Oleh itu, persediaan Bajet 2022 mengambil pendekatan senegara atau “whole-of-nation”, dan berteraskan tiga prinsip Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Melalui proses yang telus dan menyeluruh, Bajet 2022 akan memastikan kesinambungan bantuan-bantuan kerajaan, terutamanya bagi membantu Keluarga Malaysia yang masih terkesan termasuklah perniagaan. Masih ramai yang memerlukan bantuan dan ini akan diteruskan oleh kerajaan.

    Sebagai konteks kepada Bajet 2022:

    a. Pertama sekali, kita menjangkakan bahawa tahun ini (2021) pada asalnya adalah tahun pemulihan. Namun, susulan penularan varian yang lebih merbahaya seperti Delta, situasi pandemik COVID-19 menjadi lebih mencabar, menyebabkan keadaan negara merosot selepas pembentangan Bajet 2021. Akibat daripada ini, pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) bagi 2021 yang pada mulanya diunjurkan untuk tumbuh antara 6.5 ke 7.5 peratus, telah disemak semula kepada tiga hingga empat peratus.

    b. Kedua, berikutan usaha dan langkah segera kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang didokong oleh pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kita sudah mula melihat tanda-tanda pemulihan baru-baru ini, terutamanya kadar penggunaan wad ICU (Unit Rawatan Rapi) yang semakin menurun serta peralihan lebih banyak negeri kepada Fasa 3 dan 4 PPN. Oleh itu, ekonomi negara dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, dan akan menjadi landasan bagi pemulihan ekonomi negara pada tahun 2022.

    c. Ketiga, perancangan Bajet 2022 akan dirangka dengan memberikan tumpuan kepada strategi 3M iaitu Memulih Kehidupan, Membina Semula Daya Tahan dan Memangkin Pembaharuan.

    d. Pada masa yang sama, kerajaan akan terus komited dalam membantu rakyat yang masih terjejas, serta menyokong kelangsungan perniagaan.

    Seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, seiring dengan pembukaan ekonomi sepenuhnya pada tahun 2022, kerajaan akan memberikan tumpuan kepada strategi 3M iaitu:

    a. Memulih Kehidupan, iaitu langkah-langkah dalam melindungi dan memulih kehidupan dan mata pencarian rakyat, memacu pemulihan bagi sektor ekonomi terutamanya sektor yang terjejas seperti pelancongan dan peruncitan, membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan orang kurang upaya serta menjana peluang pekerjaan;

    b. Membina Semula Daya Tahan, terutamanya dalam mengukuhkan sistem kesihatan negara, mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi dalam sistem pendidikan dan sektor perniagaan, penekanan kepada IR 4.0 dan transformasi digital, serta meningkatkan keupayaan modal insan negara. Selain itu, Bajet 2022 juga akan mengkaji kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara; dan

    c. Memangkin Pembaharuan. Ini termasuklah dengan penumpuan ke arah mencapai matlamat SDG, RMK12 (Rancangan Malaysia ke-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam serta penekanan unsur kelestarian (ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil sebagai rakan pembangunan negara.

    SOALAN : Malaysia kini memasuki fasa pemulihan ekonomi selepas menghadapi krisis kesihatan paling buruk. Menurut kenyataan Pra-Bajet 2022, kerajaan akan meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan ekonomi negara. Apakah antara yang mungkin menarik perhatian dalam belanjawan kali ini?

    JAWAPAN : Seperti yang kita ketahui, semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, beberapa sektor memerlukan lebih perhatian kerana terjejas teruk. Contohnya, sektor pelancongan dan peruncitan yang tidak dapat beroperasi susulan pelaksanaan semula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada bulan Mei, dan Fasa 1 PPN semenjak 1 Jun. Oleh itu, wajar bagi kerajaan supaya meneruskan bantuan kepada rakyat dan perniagaan, seperti yang dizahirkan melalui lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini yang berjumlah RM530 bilion. Jika bantuan dihentikan terlalu awal, ini mungkin mengganggu momentum pemulihan ekonomi yang dapat kita lihat baru-baru ini. Bajet 2022 akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang, dan ini dirangka berdasarkan tiga keperluan utama iaitu:

    a. Pertama, meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui PPN.

    b. Kedua, menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan.

    c. Ketiga, memangkinkan pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan.

    Selain itu, Bajet 2022 juga akan menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara. Usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan. Oleh itu, yang amatlah penting juga bahawa melalui Bajet 2022 ini, kerajaan akan berusaha untuk memastikan keterangkuman, iaitu tiada pihak yang layak akan tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan terutamanya pihak yang terjejas teruk rentetan PKP.

    SOALAN: Menerusi konsep Keluarga Malaysia adakah sebarang bentuk bantuan tunai berkala yang akan diberikan kepada golongan sasar khususnya B50 yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19?

    JAWAPAN : Seperti yang saya nyatakan tadi, kerajaan kekal komited dalam memastikan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, ini termasuklah bantuan tunai secara langsung kepada Keluarga Malaysia. Seperti yang kita ketahui, melalui pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini, kerajaan telahpun menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM33 bilion melalui:

    a. Pertama, BPN: penyaluran RM18.2 bilion, memanfaatkan 10.6 juta penerima B40/M40;

    b. Kedua, menambahbaik Program BSH (Bantuan Sara Hidup) kepada BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) dengan peruntukan RM9.1 bilion bagi 8.4 juta penerima;

    c. Ketiga, Bantuan Khas COVID-19 bagi B40/M40 dengan peruntukan RM4.6 bilion, yang memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah, termasuklah warga emas dan bujang;

    d. Keempat, meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan melalui JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk memanfaatkan > 400,000 penerima. Peruntukan ditingkatkan dari RM1.5 bilion pada tahun 2020 kepada RM2.2 bilion bagi tahun 2021;

    e. Kelima, melaksanakan program e-PENJANA dan e-BELIA dengan kos keseluruhan pelaksanaan program sebanyak RM800 juta, yang telah memanfaatkan lebih dari 11 juta rakyat dari golongan B40 dan M40, serta 2 juta belia; dan

    f. Keenam, melaksanakan program Prihatin Kasih dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Program ini memberi kemudahan kepada golongan miskin tegar atau miskin di bandar untuk membeli barangan keperluan asas tanpai tunai bernilai RM100 selama tiga bulan.

    g. Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan RM300,000 bagi setiap Ahli Parlimen di Malaysia bagi Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat yang terjejas akibat COVID-19.

    Daripada keseluruhan bantuan tersebut, hampir RM24 bilion atau 73 peratus telah pun disalurkan kepada para penerima yang layak, manakala baki daripada peruntukan akan segera disalurkan dalam masa terdekat. Malah baru-baru ini juga, saya telahpun mengumumkan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) bernilai RM500 yang mula disalurkan kepada Keluarga Malaysia pada Selasa, 26 Oktober. Ini akan memanfaatkan hampir 870,000 individu yang telah hilang pendapatan pada tahun ini, serta melibatkan peruntukan sebanyak RM434 juta. Walau apapun, kerajaan tetap komited untuk memastikan seramai mungkin rakyat akan mendapat manfaat dari Bajet 2022 dan InsyaAllah tiada siapa yang akan tertinggal, terutamanya golongan yang memerlukan.

    SOALAN : Sektor pendidikan merupakan antara elemen utama dalam pembinaan dan pembentukan masyarakat, apakah tumpuan yang bakal diberikan oleh kerajaan menerusi Bajet 2022 dalam memastikan sistem pendidikan negara mampu berdepan apa jua cabaran baharu dan beradaptasi daripada pengalaman pandemik COVID-19?

    JAWAPAN : Di dalam Bajet 2022, dalam membina ketahanan sistem pendidikan negara melalui apa yang kita belajar dari pandemik COVID-19, kerajaan akan terus menekankan kepentingan dari segi penyampaian dan kualiti pendidikan. Ini termasuklah dalam menyokong kembali sesi pembelajaran yang lama terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi dan sosial, terutamanya melalui agendai digitalisasi. Ini akan melihat kemudahan dari segi pembelajaran digital, bantuan pendidikan kepada golongan B40 kerana mereka ini adalah yang paling terjejas. Selain itu, kerajaan juga akan menyentuh beberapa aspek mengenai pembayaran pinjaman pendidikan dalam Bajet 2022. Namun, apa yang sama penting sebenarnya adalah imunisasi anak-anak kita, yang sekarang ini sedang berjalan lancar. Ini salah satu aspek yang akan menentukan kejayaan pembukaan sekolah semula, di samping pelaksanaan SOP (prosedur operasi standard) yang baik dan berdisiplin.

    SOALAN : Sektor kesihatan kini menjadi agenda utama kerajaan menerusi proses PPN, bagaimanakah Bajet 2022 mampu menjadi pelengkap kepada agenda kesihatan negara untuk tahun 2022?

    JAWAPAN : Bajet 2022 merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan RMK12 yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Jadi, Bajet 2022 akan memberi tumpuan utama untuk terus melindungi dan memulih kehidupan, serta mata pencarian rakyat dan perniagaan. Ia juga akan memfokuskan kepada membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pasca-pandemik yang lebih mampan. Di dalam Rancangan Malaysia Ke-12, antara keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana sehingga jangka masa panjang adalah mengenai penyusunan semula sistem kesihatan negara. Ini terutamanya Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia yang akan diperkenalkan sebagai hala tuju baru untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara. Selain itu, RMK12 juga telah menyentuh mengenai usaha kerajaan dalam memerangi penyakit berjangkit dan memerangi penyakit tidak berjangkit. Oleh itu, kita boleh menjangka bahawa Bajet 2022 akan terus meneruskan usaha dalam memperkaskan sistem kesihatan negara, supaya kita bersedia sekiranya terdapat gelombang baru pandemik COVID-19. Walaupun sudah lebih 70 peratus keseluruhan populasi negara telah divaksin lengkap, kita tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan sebegini. Kita masih perlu berhati-hati dan teruskan disiplin mengikuti SOP. ⠀

    SOALAN : Jika sebelum ini peruntukan menerusi bajet tidak pernah meminggirkan golongan di luar bandar, menerusi Bajet 2022 bagaimanakah bentuk bantuan akan diberikan kepada golongan di bandar yang berdepan tekanan kenaikan kos sara hidup?

    JAWAPAN : Semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, ekonomi Keluarga Malaysia, tidak kira yang di bandar atau di luar bandar, serta pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah terjejas teruk. Baru-baru ini juga kita dapat lihat kos kenaikan harga barang akibat bekalan yang terhad dan juga faktor-faktor luaran seperti kos bahan mentah yang lebih tinggi di peringkat global. Justeru, dengan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial baru-baru ini, semestinya Keluarga Malaysia berharap Bajet 2022 yang akan dibentang Jumaat ini akan sedikit sebanyak membantu golongan di bandar, dan juga di luar bandar yang berdepan dengan tekanan kenaikan kos sara hidup. Saya ingin ulangi bahawa bahawa kerajaan akan terus membantu rakyat melalui pelbagai langkah mengenai isu ini. Sebagai contoh, salah satu langkah dasar yang dimanfaatkan oleh sejumlah besar Keluarga Malaysia adalah subsidi minyak dan minyak masak dalam membantu mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi di peringkat global ke atas kos sara hidup rakyat. Malah, seperti yang pernah diumumkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini, untuk tahun ini saja kerajaan bakal menampung sejumlah RM8 bilion melalui subsidi minyak dan minyak masak. Yang penting sekali, rakyat dan perniagaan jangan lupa mendengar apa yang bakal mereka perolehi dari Bajet 2022 yang akan menentukan hala tuju pemulihan ekonomi negara kita.

    SOALAN : Menurut perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pengangguran di Malaysia kembali meningkat kepada 768,700 orang atau pada kadar 4.8 peratus Jun lalu, apakah inisiatif yang akan diperkenalkan menerusi Bajet 2022 dan langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian Sumber Manusia dalam mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan baharu selaras dengan PPN?

    JAWAPAN : Sebagai konteks, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang menawarkan peluang pekerjaan secara penempatan bagi tempoh jangka pendek sehingga sederhana. Kita juga perlu menangani isu pengangguran di kalangan belia Keluarga Malaysia, serta isu “underemployment”. Sehingga 22 Oktober 2021, hampir 440,000 (436,765) penempatan pekerjaan dan penciptaan pendapatan telah berjaya dilaksanakan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat, dengan peruntukan sebanyak RM3.9 bilion bagi inisiatif-inisiatif tersebut. Daripada jumlah ini, secara majoritinya kejayaan telah disumbangkan oleh penempatan pekerjaan secara ‘Direct Hiring’ iaitu program Penjana Kerjaya, MYSTEP serta Program Perantisan dan Skim Perantisan Nasional. Selain itu, bagi menyediakan rakyat dengan kemahiran yang dapat memenuhi permintaan industri, kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi program latihan yang relevan dalam meningkatkan kebolehpasaran dan melengkapkan mereka dengan skill yang relevan. Kerajaan juga menyediakan latihan keusahawanan bagi melahirkan peniaga dan usahawan yang berdaya saing. Hasil daripada usaha ini, kita dapat lihat kadar pengangguran yang beransur pulih dari nilai tertinggi iaitu 5.3 peratus pada Mei 2020, kepada 4.6 peratus pada Ogos 2021. Melangkah ke hadapan, melalui Bajet 2022, kerajaan akan terus memperkasakan dan memperkukuh program-program penjanaan pekerjaan, InsyaAllah.

    SOALAN : Dalam penyediaan Bajet 2022, kerajaan telah mempelawa orang ramai untuk berkongsi idea melalui empat Kertas Konsultasi Awam (KKA) selain mengadakan sesi perbincangan dengan Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan (PH). Sejauh mana input-input ini membantu kerajaan dalam merangka Bajet 2022 yang lebih komprehensif?

    JAWAPAN : Bajet 2022 akan dirangka secara komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak selaras dengan iltizam kebersamaan Keluarga Malaysia. Sebagai contoh, penerbitan kenyataan Pra-Bajet (KPB) dan juga Kertas Konsultasi Awam (KKA) bagi Bajet 2022 menggambarkan pendekatan yang lebih terangkum dan inklusif, terutamanya dalam melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dari segi persediaan Bajet 2022. Selain itu, saya juga difahamkan melalui taklimat oleh Menteri Kewangan, bahawa untuk tahun kedua berturut-turut, mereka telah menjalankan program Jelajah Belanjawan untuk turun ke padang bertemu dengan pihak berkepentingan termasuk pihak-pihak kerajaan negeri dan industri. Mereka telah berbincang tentang belanjawan yang sedang dirangka, selain mendapatkan maklum balas terus dari pihak-pihak berkepentingan. Ini juga adalah sebagai tambahan kepada Portal Cadangan Bajet 2022 yang bertujuan untuk mendapat maklum balas dari pelbagai lapisan masyarakat. Secara keseluruhannya, Kementerian Kewangan telah mengadakan:

    • 28 sesi Focus Group yang melibatkan wakil-wakil dari pelbagai industri yang yang mewakili hampir kesemua sektor ekonomi;

    • 76 sesi libat urus secara langsung bersama semua Kementerian, termasuk menteri masing-masing dan Pihak pembangkang dari Pakatan Harapan; dan

    • 8 jelajah negeri, iaitu Johor, Kedah, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Melaka.

    Setakat ini, Kementerian Kewangan telah menerima:

    a. > 1,200 maklum balas bagi KKA;

    b. > 1,000 memorandum melalui 105 entiti bagi cadangan Bajet 2022; dan

    c. ~ 50,000 cadangan melalui Portal Cadangan Bajet 2022

    Bagi Kertas Konsultasi Awam, antara maklum balas yang paling banyak diterima adalah berkaitan penambahbaikan program bantuan tunai kerajaan, dengan 167 maklum balas; dan kajian insentif cukai, dengan 103 maklum balas. Dalam kata ringkas, proses merangka Bajet 2022 adalah menyeluruh dan telus, dan kerajaan akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan input-input tersebut dipertimbangkan. Selanjutnya dalam pelaksanaan, kerajaan akan menggerakkan pelbagai ahli Keluarga Malaysia dalam usaha kebersamaan bagi mensejahterakan keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan rakyat dan perniagaan. Ini adalah dengan kerjasama Sektor Swasta, NGO, GLC/ GLIC bagi menyampaikan manfaat secara langsung kepada rakyat, perniagaan dan ekonomi. Bajet 2022 merupakan satu usaha yang menggembleng input rakyat, dan pelaksanaannya akan melibatkan semua pihak, di mana penyampaiannya adalah untuk manfaat semua lapisan masyarakat. Dalam erti kata lain, Budget 2022 is from the people, by the people, for the people. Secara keseluruhan, Bajet 2022 adalah bajet berimpak tinggi yang akan merangkumi:

    • Bantuan kepada golongan B40 – termasuk untuk pendidikan anak-anak B40;

    • Sokongan perniagaan untuk memastikan PMKS dapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semua perniagaan mereka;

    • Menjana lebih banyak pekerjaan bagi menangani pengangguran; dan

    • Pemacu pemulihan bagi mengembalikan negara kepada kedudukan ekonomi sebelum COVID-19 dengan norma baharu.

    SOALAN: Perkembangan pesat teknologi digital pasca pandemik COVID-19 juga telah meningkatkan keperluan bakat digital dan ekonomi perkongsian bagi rakyat Malaysia, setakat mana Bajet 2022 memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan?

    JAWAPAN : Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pelbagai langkah untuk mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi telah diperkenalkan semenjak pandemik COVID-19 melanda negara. Ini termasuklah program Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Sehingga akhir September 2021, kemajuan yang memberangsangkan terus dicatat dengan sejumlah 6.4 juta premis di negara ini diliputi rangkaian gentian optik dengan akses gigabit setakat akhir September 2021. Ia sekali gus menandakan pelan berkenaan berada dalam landasan untuk mencapai sasarannya iaitu sebanyak 7.5 juta premis menjelang akhir 2022. Dari segi liputan 4G pula, setakat akhir September 2021, ia sudah mencapai 94 peratus. Malah, sebelum ini, kerajaan telah menawarkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan pengguna 3G untuk beralih kepada 4G menerusi Program Jaringan Prihatin, Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia. Di dalam Bajet 2022, kita akan lihat lebih banyak tumpuan kepada kepada agenda pendigitalan, termasuklah pelaksanaan 5G, yang akan diterajui oleh Digital Nasional Berhad (DNB). Selain itu, kita juga akan melihat kesinambungan program JENDELA, serta usaha Kerajaan dalam meningkatkan amalan digital, terutamanya dalam kalangan penggiat PMKS. Melangkah ke hadapan, semua sektor ekonomi dijangka akan mendapat manfaat daripada 5G. Kita dapat lihat di negara lain bahawa industri-industri utama mereka seperti perkilangan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, utiliti dan sektor awam telahpun mendapat manfaat daripada teknologi baharu untuk transformasi digital. 5G juga akan mencipta ekosistem baharu dalam menyampaikan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), dan transformasi digital daripada rangkaian 5G, perkhidmatan awan, Internet Pelbagai Benda (IoT), data dan Kecerdasan Buatan (AI). Secara keseluruhan, Bajet 2022 adalah usaha untuk menggambarkan tekad negara, membangunkan ekonomi dengan lebih lestari dan terangkum, serta akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini destinasi pelaburan utama.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    • DNB merupakan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh kerajaan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. DNB tertakluk kepada kesemua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta dikawaselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah kerangka perundangan sedia ada yang berkuatkuasa.

    SOALAN: Apakah mesej Datuk Seri kepada rakyat dan seterusnya kepada komuniti perniagaan?

    JAWAPAN : Semenjak hampir dua tahun yang lalu, tidak dinafikan Keluarga Malaysia telah melalui cabaran yang tidak pernah kita duga. Kesan pandemik COVID-19 tidak pernah terbayang oleh siapa-siapa, dan telah menjejaskan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia. Namun, di sebalik cabaran ini, kita juga dapat lihat kebersamaan petugas barisan hadapan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bahkan individu Keluarga Malaysia berganding bahu membantu kerajaan memerangi pandemik. Ini adalah manifestasi paling andal sebagai panduan untuk kita memulihkan negara. Oleh itu, amatlah penting supaya kerajaan memastikan kesinambungan bantuan-bantuan sebelum ini, dan juga mempertingkatkan sokongan kepada semua rakyat dan perniagaan. Realitinya Bajet 2022 adalah tidak lain tidak bukan dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi negara. It is a budget for survival and building resilience – from the people, by the people, for the people. Bajet 2022 dirangka untuk memelihara kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan dan kehidupan, agar rakyat negara kita mampu menghadapi cabaran-cabaran ekoran pandemik COVID-19; terutamanya sebagai persediaan bagi pertumbuhan selepas mengatasi COVID-19 nanti, InsyaAllah. Matlamat saya hanya satu, segala perkara yang ditentukan untuk Bajet 2022 adalah berdasarkan aspirasi Keluarga Malaysia dan semestinya merangkumi:

    a. Melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian;

    b. Membina semula daya ketahanan negara; dan KEMBALI

    c. Memangkin pembaharuan. Oleh itu, sekali lagi saya ingin menekankan bahawa Bajet 2022 ini dirangka dengan penuh berhati-hati dan rapi, serta melibatkan semua pihak berkepentingan. Ia adalah menyeluruh dan telus. Pemilik sebenar Bajet 2022 adalah jutaan rakyat sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

    SOALAN : Apakah berita menarik untuk penjawat awam bagi Bajet 2022?

    JAWAPAN : Kita sangat menghargai penjawat awam. Tentu sekali tidak pernah melupakan mereka…tunggu saya tak boleh umum apa-apa lagi. Tapi percayalah mereka tidak akan dilupakan. – BERNAMA