Author: Bernama

  • Kemas laksana Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-kanak tahun depan

    Kemas laksana Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-kanak tahun depan

    JABATAN Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan melaksanakan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas tahun depan dalam usaha memberi pendedahan awal dan membantu golongan itu menguasai kemahiran digital.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia akan menjadi aspirasi pembangunan bakat digital kanak-kanak di Tabika Kemas dan jabatan itu telah menyiapkan pelan tersebut yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 kanak-kanak.

    “Saya punya kehendak adalah supaya kita mulakan dulu (pelan transformasi itu), berapa banyak (Tabika Kemas) tak kisah, jadi sekurang-kurangnya kita dah mula. 

    “Kita mahu supaya kanak-kanak yang datang belajar di Tabika Kemas akan merasai pengalaman yang menyeronokkan dalam melalui proses pembelajaran berteraskan Literasi Digital kerana ini penting untuk memberi pendedahan dari awal agar kanak-kanak ini berkemahiran digital bagi memenuhi keperluan era digital masa hadapan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup dan menyampaikan hadiah Hari Potensi Kemas ke-16 Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Alor Setar yang menyaksikan Johor dinobat sebagai johan keseluruhan.

    Mahdzir berkata pelan itu merangkumi beberapa strategi antaranya memperluas pembekalan peralatan seperti TV pintar, komputer dan akses Internet bagi mewujudkan persekitaran digital di Tabika Kemas.

    Beliau berkata pelan itu juga akan memperkasa pembangunan kandungan bahan pengajaran serta pembelajaran digital melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak antaranya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan.

    Mengulas kemampuan guru Tabika Kemas mengendali pengajaran dan pembelajaran digital, Mahdzir berkata mereka akan diberi latihan antaranya kursus anjuran Kemas dengan kerjasama MDEC bagi meningkatkan kemahiran digital masing-masing.

    “(Dari segi capaian Internet), kita nak kena ada (cara) bagaimana nak lengkapkan dulu ketersambungan dengan kelas-kelas Kemas. Ada Tabika Kemas di kawasan kampung dan pedalaman seperti di Sabah, Sarawak yang capaian Internetnya masih di tahap rendah. Kita kena ada yang asas ini dulu,” katanya.

    Beliau berkata sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi tujuan latihan dan pembekalan peralatan digital kepada hampir 10,416 Pendidik Masyarakat Tabika Kemas dan 10,833 kelas taman bimbingan kanak-kanak itu di seluruh negara.

    “Walaupun Kemas akan ke arah pembelajaran digital namun ibu bapa tidak perlu risau kerana yuran pembelajaran atau sumbangan daripada ibu bapa bagi Tabika Kemas tidak akan dinaikkan sebaliknya ia kekal dan tidak melebihi RM30 sebulan.

    “Selebihnya adalah ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi sebanyak RM20 juta setahun,” katanya.

    Mahdzir juga berkata pihaknya sedang dalam proses meningkatkan elaun 10,000 pembantu Kemas di seluruh negara yang kini RM500 sebulan kepada jumlah bersesuaian dengan kadar kos hidup semasa.

    “Asalnya mereka sukarelawan dan dulu datang masak sahaja pada waktu tengah hari tetapi sekarang ini datang pagi sampai tengah hari juga… mungkin elaun ini tak sesuai dah waktu ini,” katanya. – BERNAMA

  • Bajet 2022 tumpu pemulihan negara pascapandemik – Menteri

    Bajet 2022 tumpu pemulihan negara pascapandemik – Menteri

    BAJET 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dilihat menitikberatkan agenda sosial, pendidikan dan keselamatan rakyat dalam usaha pemulihan negara melibatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia pascapandemik.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2022 iaitu sebanyak RM52.6 bilion dan akan memanfaatkannya demi memastikan ekosistem pendidikan negara terus diperkasa.

    “Terima kasih YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan kerajaan secara keseluruhannya di atas keprihatinan kepada pembangunan generasi pewaris negara. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kementerian berkenaan diberikan peruntukan mengurus dan pembangunan berimbang untuk dimanfaatkan Keluarga Malaysia.

    “Pasukan KPKT akan meneruskan komitmen untuk menyampai kepada Keluarga Malaysia dan memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

    Bajet 2022 dibentangkan Tengku Zafrul yang menekankan tiga fokus utama iaitu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

  • Penjawat awam terima Bantuan Khas Kewangan RM700, pesara RM350

    Penjawat awam terima Bantuan Khas Kewangan RM700, pesara RM350

    SERAMAI 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM700 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh mencabar ini.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata manakala seramai satu juta pesara kerajaan pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350.

    “… (kedua-dua bantuan ini melibatkan) dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Perkara itu adalah antara yang cadangan di bawah strategi keempat iaitu “Mendokong Penyampaian Perkhidmatan Awam” Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

    Beliau berkata kerajaan turut akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari dengan mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak mereka.

    Katanya, kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antara lain memperuntukkan RM365 juta untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

    Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara, selain meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

    Kerajaan juga bercadang memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental. – BERNAMA

  • Bajet 2022 memacu kesejahteraan Keluarga Malaysia

    Bajet 2022 memacu kesejahteraan Keluarga Malaysia

    KERAJAAN membentangkan Bajet 2022 hari ini dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM332.1 bilion untuk menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata bajet mengembang itu mengambil aspirasi konsep Keluarga Malaysia dan turut dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu akibat pandemik COVID-19.

    “Bajet 2022 diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini, juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah bajet yang inklusif, mampan dan seimbang,” katanya ketika membentangkan bajet bertema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

    Bajet 2022 itu meneruskan pemberian bantuan wang tunai langsung secara bersasar kepada rakyat, memperkasakan aspek pendidikan dan kesihatan dengan menyediakan peruntukan terbesar kepada kedua-dua sektor berkenaan dan menjana peluang pekerjaan.

    Tengku Zafrul dalam Bajet 2022 itu mengumumkan pemberian inisiatif tunai langsung Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun hadapan dengan peruntukan RM8.2 bilion untuk disalurkan kepada 9.6 juta penerima.

    Memandangkan peperangan terhadap pandemik COVID-19 belum berakhir, peruntukan RM4 bilion disediakan khusus untuk agenda menangani COVID-19 bagi membiayai program vaksinasi dan meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam.

    Dalam mengutamakan aspek kesihatan awam bagi membina daya tahan negara sebagai persediaan ke fasa endemik COVID-19, Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 menyediakan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

    Menyedari krisis pandemik telah memburukkan kehidupan sosial sehingga mencetuskan kesempitan hidup, keganasan rumah tangga dan kemurungan, Bajet 2022 memperuntukkan RM70 juta bagi memastikan isu kesihatan mental diberi keutamaan.

    Seperti kelaziman belanjawan negara yang memberi tumpuan kepada sektor pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara, Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 menyediakan peruntukan RM52.6 bilion untuk Kementerian Pendidikan manakala RM14.5 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

    Kerajaan juga akan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 setiap pelajar untuk tiga juta murid yang layak sebagai persediaan ke sekolah, berbanding RM100 sebelum ini.

    Sebagai menghargai jasa guru melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) terutamanya semasa pandemik COVID-19, Bajet 2022 menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar RM100 secara sekali bayar kepada lebih 400,000 guru.

    Menteri Kewangan itu berkata penggunaan peranti telekomunikasi kini menjadi semakin penting khususnya bagi golongan pelajar institusi pengajian tinggi, justeru kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar golongan B40 di bawah inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

    Ekoran krisis kesihatan akibat COVID-19 yang melanda negara sejak 2020 telah menjejaskan sektor pekerjaan dan mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran, Bajet 2022 merangka untuk mewujudkan 600,00 jaminan peluang pekerjaan pada tahun hadapan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia atau JaminKerja dengan peruntukan RM4.8 bilion.

    “Diharapkan melalui pelaksanaan inisiatif JaminKerja serta langkah pemulihan ekonomi, ia dapat menurunkan kadar pengangguran negara kepada empat peratus dan mencapai tahap guna tenaga penuh,” katanya.

    Belanjawan itu turut mencadangkan insentif bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tertentu seperti Orang Kurang Upaya, Orang Asli, banduan dan mengalakkan wanita kembali bekerja, selain memberi pelepasan cukai bagi menghadiri latihan dan meningkatkan kemahiran.

    Menyentuh tentang jaringan keselamatan sosial, Tengku Zafrul dalam pembentangannya mencadangkan pengukuhan sistem perlindungan sosial termasuk meningkatkan kadar pencen ilat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), meluaskan pelepasan cukai untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja dalam sektor gig.

    Tengku Zafrul berkata pelbagai inisiatif menyeluruh diambil kerajaan dalam Bajet 2022 untuk melaksanakan strategi membangun sebuah Keluarga Malaysia meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, usia, jantina dan wilayah.

    Antaranya ia meliputi agenda pemerkasaan Bumiputera yang menyaksikan peruntukan RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera, pengimarahan syiar Islam (RM1.5 bilion), pembangunan kaum Cina dan India (RM345 juta), anak-anak Sabah dan Sarawak bagi mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan (RM10 juta) dan Orang Asli (RM274 juta).

    Bajet 2022 itu turut memberi perhatian kepada kaum hawa termasuk menyediakan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan mereka dalam sektor ekonomi selain menitikberatkan aspek kesihatan termasuk menyediakan peruntukan bagi subsidi ujian subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks.

    Tengku Zafrul berkata bagi menjaga keselamatan kanak-kanak, kerajaan akan mensubsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh keluarga B40.

    Selain menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU, Bajet 2022 mencadangkan kuota khas satu peratus untuk program MyStep kepada golongan OKU serta kerajaan untuk menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU.

    Dalam usaha membina kehidupan yang kondusif, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan lebih RM31 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif dalam Bajet 2022 bagi meminimum kesan peningkatan kos sara hidup rakyat melibatkan kawalan harga barang dan perkhidmatan.

    Menyedari kesukaran akses pengangkutan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, kerajaan akan terus memberikan subsidi RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk setempat.

    Kerajaan juga akan terus menambah baik aspek kesejahteraan penduduk luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah dengan menyediakan peruntukan lebih RM2.5 bilion bagi infrastruktur luar bandar termasuk pembinaan jalan raya, air dan bekalan elektrik.

    Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara tidak dikompromi, Bajet 2022 memperuntukkan masing-masing RM16 bilion dan RM17 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi memulihkan sektor-sektor tumpuan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 seperti pelancongan, kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi melaksanakan tujuh inisiatif antaranya seperti Program Subsidi Upah bersasar kepada pemain industri pelancongan dan pembiayaan khusus bagi sektor pelancongan.

    Sejumlah RM188 juta disediakan untuk merancakkan aktiviti industri kreatif seperti inisiatif Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, program Perkasa Modal Insan dan perlindungan PERKESO kepada golongan artis.

    Dalam menyediakan kemudahan jalur lebar terkini kepada Keluarga Malaysia, pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan RM700 juta untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 buah sekolah terutamanya di luar bandar.

    Belanjawan itu turut meneruskan pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan akan diteruskan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM1.7 bilion dan RM1.5 bilion.

    Dalam ucapan pembentangan selama dua jam itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 ke bawah, dan RM350 bagi kira-kira sejuta pesara kerajaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

    Beliau turut mengumumkan gantian cuti rehat maksimum 150 hari dinaikkan kepada 160 hari bagi mengiktiraf pengorbanan penjawat awam ketika menangani krisis COVID-19.

    “Dalam menangani krisis COVID-19, ramai penjawat awam terutamanya barisan hadapan tetap komited kepada tugasannya dan antaranya tidak berpeluang bercuti,” katanya.

    Tengku Zafrul berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan jawatankuasa pemantauan yang diselaras oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan semua inisiatif Bajet 2022 berjaya mencapai objektif yang disasarkan.

    Bajet 2022 adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept. – BERNAMA

  • Kaum Cina, India, Orang Asli terima manfaat Bajet 2022

    Kaum Cina, India, Orang Asli terima manfaat Bajet 2022

    INISIATIF menyeluruh buat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, usia, jantina dan wilayah dilaksana melalui Strategi Membangun Sebuah Keluarga Malaysia dalam Bajet 2022.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sejumlah RM200 juta disediakan khusus untuk kaum Cina antaranya untuk melaksana program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan skim pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

    Bagi kaum India pula, beliau berkata RM145 juta disediakan antaranya untuk melaksana program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN Nasional.

    Katanya kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan serta pelaksanaan aktiviti-aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat.

    “Dalam menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan, RM10 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

    Tengku Zafrul berkata RM274 juta pula diperuntukkan bagi melaksana program peningkatan taraf hidup komuniti Orang Asli seperti pemberian subsidi dan bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200,000 Orang Asli.

    Katanya bagi tahun hadapan, kerajaan juga akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah komuniti berkenaan kepada RM4 sehari.

    Bagi mendokong agenda perpaduan dan budaya sukarela di peringkat komuniti, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM50 juta bagi geran RM6,000 untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang akan memanfaatkan lebih 8,000 KRT. – BERNAMA

  • Bajet 2020: Belia terima kredit e-dompet RM150 melalui e-Start

    Bajet 2020: Belia terima kredit e-dompet RM150 melalui e-Start

    BELIA berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi bakal menerima kredit RM150 secara sekali beri dalam akaun e-dompet masing-masing menerusi program e-Start, sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program itu akan memanfaatkan lebih 2 juta belia dengan peruntukan bernilai RM300 juta.

    “… (diharap) belia yang menerima manfaat daripada program ini dapat menggunakan sebaiknya melalui pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata Bajet 2022 turut menyediakan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara selain memperuntuk RM10 juta kepada Majlis Sukan Negara khusus untuk meningkatkan program latihan atlet orang kurang upaya (OKU) dan melaksanakan Liga Sukan OKU.

    Katanya bagi memastikan rakyat kembali aktif selaras pemulihan pasca COVID-19, sebanyak RM50 juta diperuntuk bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever dan Penganjuran Hari Sukan Negara.

    “Bagi merancakkan pertumbuhan e-Sukan pula, RM20 juta disediakan bagi pembangunan e-Sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

    “Kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-Sukan yang layak,” katanya.

    Tengku Zafrul turut menyeru pihak swasta untuk memberikan elaun sekurang-kurangnya RM900 kepada pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat mereka memandangkan kerajaan telah mula membayar jumlah elaun yang sama kepada pelatih industri sejak 2019.

    Beliau berkata kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan, yang menyaksikan peningkatan berbanding RM800 sebelum ini.

    “Kerajaan bercadang untuk melanjutkan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2,” katanya. – BERNAMA

  • Bajet 2022: Kerajaan tanggung sepenuhnya bayaran LKM persendirian OKU

    Bajet 2022: Kerajaan tanggung sepenuhnya bayaran LKM persendirian OKU

    KERAJAAN menanggung sepenuhnya bayaran lesen kenderaan persendirian yang dimiliki orang kelainan upaya (OKU) bagi tahun depan.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu dapat meringankan kos sara hidup golongan itu.

    Beliau berkata selain itu, kerajaan memperuntuk RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU antaranya dengan menyediakan banyak laluan khas untuk golongan cacat penglihatan.

    “Sebanyak RM10 juta turut diperuntuk kepada Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan bagi melaksanakan program latihan serta bimbingan ajar kepada golongan OKU,” katanya.

    Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata kerajaan turut menyediakan kuota khas sebanyak satu peratus menerusi program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) bagi memastikan golongan muda OKU menceburi bidang pekerjaan.

    “Bagi meningkatkan akses terhadap media selain membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, dengan bantuan Bernama, semua rangkaian televisyen termasuk saluran swasta akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita mereka,” katanya. – BERNAMA

  • Bajet 2022: Diskaun PTPTN mulai 1 Nov – 3 April 2022

    Bajet 2022: Diskaun PTPTN mulai 1 Nov – 3 April 2022

    KERAJAAN bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 1 Nov ini hingga 30 April 2022.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia meliputi diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman serta diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

    Beliau berkata diskaun 10 peratus pula diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

    Bagi memastikan proses pengajian pelajar B40 terus terpelihara, Tengku Zafrul berkata kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar di institusi pengajian tinggi.

    “Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta. Insya-Allah, 600,000 siswa siswi daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

    Tengku Zafrul juga berkata peruntukan tambahan RM200 juta disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri.

    Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan telah mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai antara pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri.

    “Bagi memperkasa TVET, kerajaan menyediakan RM6.6 bilion untuk melaksana pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi berkaitan. Tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa,” katanya.

    Menurut Tengku Zafrul, Kementerian Pengajian Tinggi diperuntuk RM14.5 bilion dalam Bajet 2022. – BERNAMA

  • Intipati Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan

    Intipati Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan

    BERIKUT ialah intipati Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen hari ini.

    Bajet 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera mendukung tiga paksi utama iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.

    • Sebanyak RM332.1 bilion disediakan dalam Bajet 2022, tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.
    • Kerajaan perkenal Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) salur bantuan RM2,000 kepada isi rumah mempunyai tiga anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500.
    • Di bawah BKM kerajaan beri bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan sehingga RM5,000.
    • Bantuan tambahan RM300 diberikan kepada warga emas menerusi BKM.
    • Syarat kelayakan kebajikan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu RM1,169, banding RM980.
    • Kerajaan sediakan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia untuk pimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak.
    • Sebanyak RM32.4 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.
    • Kerajaan bercadang beri pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri.
    • Kerajaan bercadang meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula, perluaskan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin.
    • Kerajaan setuju sambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi maksimum empat tahun selepas tempoh khidmat wajib dua tahun.
    Sumber: Infografik Bajet 2022 Kementerian Kewangan
    Sumber: Infografik Bajet 2022 Kementerian Kewangan
    • Kerajaan meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta yang memberi manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian.
    • RM70 juta diperuntukkan untuk pastikan isu kesihatan mental diberi keutamaan.
    • RM52.6 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, manakala RM14.5 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
    • Kerajaan setuju sediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150, dijangka manfaatkan 3 juta murid-murid yang layak.
    • RM1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah, termasuk RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
    • RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
    • RM746 juta diperuntukkan untuk naik taraf sekolah-sekolah daif, sebilangan besar di Sabah (112 projek) dan Sarawak (165 projek).
    • RM50 juta diperuntuk untuk memperkasa agenda pendidikan khas termasuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas.
    • Kerajaan teruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukkan RM400 juta.
    • Lebih 400,000 guru sekolah bawah Kementerian Pendidikan dapat manfaat Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sekali bayar sebanyak RM100.
    Sumber: Infografik Bajet 2022 Kementerian Kewangan
    Sumber: Infografik Bajet 2022 Kementerian Kewangan
    • Setiap pelajar B40 di IPT dibekalkan sebuah tablet menerusi inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, libatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM450 juta.
    • Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022.
    • Diskaun bayaran balik PTPTN antara 10 hingga 15 peratus bermula 1 Nov 2021 hingga 30 Apil 2022.
    • RM6.6 bilion diperuntuk untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.
    • RM4.8 bilion diperuntuk bagi melaksanakan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), jamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan.
    • Kerajaan beri insentif 20 hingga 30 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan yang ambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif berkerja.
    • Kerajaan beri insentif 30 hingga 40 peratus daripada gaji bulanan RM1,200 ke atas kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU, Orang Asli dan banduan.
    • 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan swasta ditawarkan menerusi inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).
    • RM1.1 bilion diperuntuk untuk pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan sasaran 220,000 pelatih.
    • Pelepasan cukai bagi perbelanjaan hadir kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sehingga 2023.
    Sumber: Infografik Kementerian Kewangan
    Sumber: Infografik Bajet 2022 Kementerian Kewangan
    • Potongan cukai dua kali kepada syarikat beri biasiswa kepada pelajar IPT dalam semua bidang pengajian.
    • Program Baucar Perlindungan Tenang untuk B40 dinaikkan kepada RM75, boleh diguna untuk beli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Jan 2022.
    • Skim MySalam diperluas kepada semua penerima BKM, manfaat tuntutan kos peranti perubatan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima.
    • Inisiatif i-Saraan diperluas kepada individu berumur 55 sehingga 60 tahun, libatkan peruntukkan RM30 juta.
    • RM80 juta diperuntuk di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia.
    • Inisiatif perlindungan sosial negara di bawah Perkeso diteruskan dengan nilai caruman 80 peratus, manfaat diperluas kepada sembilan kategori termasuk artis.
    • Kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan Perkeso dinaikkan kepada RM550 akan bantu 56,000 isi rumah.
    • Pelepasan cukai sehingga RM4,000 kepada pencarum KWSP meliputi caruman secara sukarela.
    • Had pelepasan cukai dinaikkan kepada RM350 untuk galak pekerja swasta mencarum dengan Perkeso.
    • RM11.4 bilion diperuntuk bagi memperkasa Bumiputera.
    • RM1.5 bilion diperuntuk bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.
    • Pemberian khas sekali bayar RM500 kepada 70,000 imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan guru Kafa.
    • RM200 juta diperuntuk untuk kaum Cina, RM145 bagi kaum India dan RM274 juta kepada komuniti Orang Asli.
    • RM10 juta disediakan untuk galakkan anak-anak Sabah dan Sarawak dalami ilmu berkaitan budaya dan warisan.
    • Kadar wang saku pelajar Sekolah Menengah dalam kalangan Orang Asli dinaikkan kepada RM4 sehari.
    • Geran RM6,000 untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga libatkan peruntukan RM50 juta, manakala RM 50 juta untuk kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan PBT.
    • Semua syarikat senaraian awam wajib lantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita.
    • RM30 juta diperuntuk untuk sediakan taska di bangunan kerajaan, pinda garis panduan benarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat satu pejabat.
    • Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yusan taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.
    • RM13 juta diperuntuk bagi memperkasa Bahagian D11 PDRM, 100 perjawatan baharu akan diwujudkan.
    • Lebih RM11 juta disediakan sebagai subsidi ujian mamogram dan ujian saringan kanser serviks.
    • Subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak bagi keluarga B40.
    • RM30 juta bagi naik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU, RM10 juta untuk laksanakan program latihan dan bimbingan ajar kepada OKU, kuota satu peratus kepada OKU untuk program MySTEP.
    • BERNAMA bantu semua rangkaian TV sediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita.
    • Kerajaan setuju tanggung bayaran Lesen Kenderaan Motor OKU, perluas Program Pemulihan Dalam Komuniti ke universiti selain USM.
    • RM150 secara sekali bayar akan dikreditkan dalam akaun e-dompet belia berumur 18 hingga 20 tahun menerusi program ‘e-Start’.
    • RM10 juta diperuntuk kepada Majlis Sukan Negara untuk memperkasa Sukan OKU, RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan selenggara kemudahan sukan seluruh negara.
    • RM20 juta disediakan unuk rancakkan e-sukan, pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-sukan.
    • BSN sediakan dana sehingga RM50 juta dengan kadar faedah 0 peratusbagi ringankan keperluan kewangan pengusaha fasiliti sukan.
    • RM200 juta diperuntuk untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar.
    Sumber: Infografik Bajet Kementerian Kewangan
    Sumber: Infografik Bajet 2022 Kementerian Kewangan
    • KWSP lanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11 kepada sembilan peratus sehingga Jun 2022.
    • RM2 bilion disediakan bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk beri akses pembiayaan kepada pekerja gig, pengusaha kecil dan petani.
    • Kerajaan teruskan subsidi sebanyak RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak.
    • RM80 juta disediakan sebagai Dana Bantuan Sementara Bas Henti-henti, manakala RM115 juta bagi inisiatif pas perjalanan bas dan rel tanpa had di Lembah Klang. 
    • RM1.5 bilion ringgit disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak.
    • RM16 bilion diperuntuk kepada Kementerian Pertahanan dan RM17 bilion bagi Kementerian Dalam Negeri 
    • RM100 juta diperuntuk untuk ringankan beban mangsa banjir melalui pemberian Kit Makanan.
    • RM40 bilion disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti.
    • RM423 diperuntuk di bawah MOSTI dan KPT bagi mempergiat aktiviti R&D.
    • RM200 juta diperuntuk untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar.
    • KWSP lanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11 kepada sembilan peratus sehingga Jun 2022.
    • RM2 bilion disediakan bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk beri akses pembiayaan kepada pekerja gig, pengusaha kecil dan petani.
    • Kerajaan teruskan subsidi sebanyak RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak.
    • RM80 juta disediakan sebagai Dana Bantuan Sementara Bas Henti-henti, manakala RM115 juta bagi inisiatif pas perjalanan bas dan rel tanpa had di Lembah Klang. 
    • RM1.5 bilion ringgit disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak.
    • RM16 bilion diperuntuk kepada Kementerian Pertahanan dan RM17 bilion bagi Kementerian Dalam Negeri 
    • RM100 juta diperuntuk untuk ringankan beban mangsa banjir melalui pemberian Kit Makanan.
    • RM40 bilion disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti.
    • RM423 juta diperuntuk di bawah MOSTI dan KPT bagi mempergiat aktiviti R&D.
    • Projek pembangunan bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi akan diteruskan dengan peruntukan RM690 juta.
    • RM20 juta diperuntuk bagi setiap negeri untuk fokus kepada projek jaminan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
    • Sabah dan Sarawak terima peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing kepada RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion.
    • Tambahan 20 bank bergerak dijangka beroperasi merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak. 
    • RM700 juta diperuntuk untuk teruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 sekolah terutama di luar bandar.
    • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan transformasi 600 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia sebagai Pusat Sehenti bimbing usahawan mikro guna teknologi digital.
    • Kerajaan perluas perkhidmatan klinik bergerak oleh Hospital Pengajar Universiti, JPJ sediakan 20 kaunter bergerak untuk manfaat penduduk pedalaman.
    • 100 kiosk dengan fasiliti lengkap komputer disediakan di UTC untuk mudahkan orang awam berurusan dengan JPJ pada luar waktu pejabat.
    • RM365 juta ringgit diperuntuk bagi selenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.
    • Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis naik RM9.80 sejam untuk pegawai, RM8 sejam untuk anggota.
    • Bayaran insentif RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang terlibat jaga, rawat warga emas, OKU dan pesakit mental.
    • Gantian cuti rehat dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.
    • Kerajaan benar penjawat awam tebus awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari.
    • Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, RM350 kepada pesara kerajaan. – BERNAMA

  • Kritik kerajaan dalam media sosial, 5 wartawan dipenjara

    Kritik kerajaan dalam media sosial, 5 wartawan dipenjara

    LIMA wartawan Vietnam dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga empat setengah tahun pada Khamis kerana menyiarkan laporan dalam talian yang mengkritik kerajaan Komunis, lapor media.

    Sebuah mahkamah daerah berhampiran bandar selatan Can Tho mensabitkan mereka dengan kesalahan itu kerana “menyalahgunakan kebebasan demokrasi” melalui catatan di media sosial mereka, lapor Sputnik memetik laporan akhbar VnExpress.

    Kelima-lima wartawan itu menubuhkan sebuah kumpulan dengan nama Kewartawanan Bersih pada Ogos 2019 di Facebook dan saluran YouTube. Ia dibubarkan selepas seorang daripada mereka ditangkap pada akhir 2020.

    Kelima-lima mereka juga dilarang bekerja sebagai wartawan selama tiga tahun. – BERNAMA