JABATAN Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan melaksanakan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas tahun depan dalam usaha memberi pendedahan awal dan membantu golongan itu menguasai kemahiran digital.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia akan menjadi aspirasi pembangunan bakat digital kanak-kanak di Tabika Kemas dan jabatan itu telah menyiapkan pelan tersebut yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 kanak-kanak.

“Saya punya kehendak adalah supaya kita mulakan dulu (pelan transformasi itu), berapa banyak (Tabika Kemas) tak kisah, jadi sekurang-kurangnya kita dah mula. 

“Kita mahu supaya kanak-kanak yang datang belajar di Tabika Kemas akan merasai pengalaman yang menyeronokkan dalam melalui proses pembelajaran berteraskan Literasi Digital kerana ini penting untuk memberi pendedahan dari awal agar kanak-kanak ini berkemahiran digital bagi memenuhi keperluan era digital masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup dan menyampaikan hadiah Hari Potensi Kemas ke-16 Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Alor Setar yang menyaksikan Johor dinobat sebagai johan keseluruhan.

Mahdzir berkata pelan itu merangkumi beberapa strategi antaranya memperluas pembekalan peralatan seperti TV pintar, komputer dan akses Internet bagi mewujudkan persekitaran digital di Tabika Kemas.

Beliau berkata pelan itu juga akan memperkasa pembangunan kandungan bahan pengajaran serta pembelajaran digital melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak antaranya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan.

Mengulas kemampuan guru Tabika Kemas mengendali pengajaran dan pembelajaran digital, Mahdzir berkata mereka akan diberi latihan antaranya kursus anjuran Kemas dengan kerjasama MDEC bagi meningkatkan kemahiran digital masing-masing.

“(Dari segi capaian Internet), kita nak kena ada (cara) bagaimana nak lengkapkan dulu ketersambungan dengan kelas-kelas Kemas. Ada Tabika Kemas di kawasan kampung dan pedalaman seperti di Sabah, Sarawak yang capaian Internetnya masih di tahap rendah. Kita kena ada yang asas ini dulu,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi tujuan latihan dan pembekalan peralatan digital kepada hampir 10,416 Pendidik Masyarakat Tabika Kemas dan 10,833 kelas taman bimbingan kanak-kanak itu di seluruh negara.

“Walaupun Kemas akan ke arah pembelajaran digital namun ibu bapa tidak perlu risau kerana yuran pembelajaran atau sumbangan daripada ibu bapa bagi Tabika Kemas tidak akan dinaikkan sebaliknya ia kekal dan tidak melebihi RM30 sebulan.

“Selebihnya adalah ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi sebanyak RM20 juta setahun,” katanya.

Mahdzir juga berkata pihaknya sedang dalam proses meningkatkan elaun 10,000 pembantu Kemas di seluruh negara yang kini RM500 sebulan kepada jumlah bersesuaian dengan kadar kos hidup semasa.

“Asalnya mereka sukarelawan dan dulu datang masak sahaja pada waktu tengah hari tetapi sekarang ini datang pagi sampai tengah hari juga… mungkin elaun ini tak sesuai dah waktu ini,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here