Author: Bernama

  • UMNO Kelantan pernah suara hasrat putus hubungan dengan PAS

    UMNO Kelantan pernah suara hasrat putus hubungan dengan PAS

    UMNO Kelantan pernah menyuarakan hasrat mahu memutuskan hubungan dengan PAS negeri itu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ketika itu, kepimpinan parti menyerahkan kepada kebijaksanaan UMNO Kelantan untuk menentukan masa depan parti di negeri itu.

    “Selagi keputusan tidak merugikan UMNO dan itu yang dirasakan terbaik untuk kekuatan UMNO di Kelantan, kita kata ‘go ahead’ (teruskan).

    “Setiap negeri mempunyai pandangan berbeza berdasarkan negeri masing-masing. Pandangan di Pahang mungkin berbeza di Kelantan atau di Terengganu yang berlainan daripada Selangor.

    “Ada yang mahu bekerjasama dan ada yang tidak, dan ada juga yang masih hendak berbincang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup dengan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pejabat Kemas Bera di Bera hari ini.

    Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semalam, bahawa mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama PAS negeri menerusi Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa serta-merta.

    Ditanya jika keputusan itu berkaitan dengan pertemuannya bersama UMNO Kelantan semalam, Ismail Sabri menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan dirinya kerana ia adalah pertemuan dengan kepimpinan parti daripada semua bahagian di negeri itu. – BERNAMA

  • Perbalahan dalaman antara punca ADUN Elopura tinggalkan DAP

    Perbalahan dalaman antara punca ADUN Elopura tinggalkan DAP

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong meminta Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon supaya tidak sewenangnya membuat tuduhan tidak berasas, dan sebaliknya menerima keputusannya meninggalkan DAP dengan terbuka.

    Katanya, tujuan beliau bersama beberapa rakan seperjuangannya meninggalkan DAP adalah dengan harapan agar pembelaan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih inklusif, dan bukannya sengaja berhasrat untuk melompat ke mana-mana parti lain.

    Dalam satu kenyataan di Sandakan hari ini beliau berkata, mereka juga memilih untuk keluar parti atas alasan sama, yakni DAP Sabah hilang arah, selain mengalami perbalahan dalaman serta masalah komunikasi teruk antara pemimpinnya.

    “Kami tekankan di sini, kami meninggalkan parti kerana mahu berjuang untuk rakyat di Sabah agar dapat diberi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik serta bersifat masyarakat inklusif mengatasi bangsa dan agama,” tegas Chong.

    Dua hari lepas Poon mendakwa, tindakan Chong dan ADUN Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin untuk keluar parti dibuat sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang disebabkan agenda tertentu, dan beliau turut menggesa mereka supaya meletak jawatan sebagai ADUN. – BERNAMA

  • Mesyuarat Bersatu Johor bincang PRN dalam masa terdekat

    Mesyuarat Bersatu Johor bincang PRN dalam masa terdekat

    BERSATU Johor akan mengadakan mesyuarat bersama semua Ketua Bahagian dan jentera parti itu bagi membincangkan secara terperinci persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

    Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam kenyataan hari ini berkata selain itu, pertemuan dan perbincangan bersama PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selaku komponen dalam Perikatan Nasional negeri juga akan diadakan bagi tujuan sama.

    Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bersatu yang ketika itu di bawah payung Pakatan Harapan, bertanding 17 kerusi DUN Johor dan memenangi sembilan kerusi.

    Sementara itu di IPOH, Perak Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan bersama rakan strategik dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung PRN Johor.

    “Dewan telah pun dibubarkan dan kami menghormati keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar.

    “Tentunya Bersatu akan ambil bahagian dan kami akan berbincang dengan rakan strategik kami dalam PN untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di sini hari ini.

    Ahmad Faizal bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai perancangan kerjasama dalam menghadapi PRN itu antara UMNO dan PAS.

    Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kementeriannya sedang merancang bekerjasama dengan GABEM dan rakan kongsi lain untuk mengadakan program bagi membantu usahawan dalam kalangan belia di seluruh negara.

    “Saya lihat usaha GABEM untuk program pendigitalan perniagaan ini amat baik dan kami akan memulakan proses perundingan kerjasama dan insya-Allah jika ia sesuai, kita akan memulakan secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA

  • PRN Johor: PN diharap letak 30 peratus calon wanita

    PRN Johor: PN diharap letak 30 peratus calon wanita

    KETUA Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berharap Perikatan Nasional (PN) memberi ruang kepada sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita Bersatu dan Wanita PN untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Dalam mana-mana pilihan raya pun kita berharap diberikan tempat juga kepada calon-calon wanita khususnya kepada Srikandi dan Wanita PN.

    “Jadi kita harap agar sekurang-kurangnya 30 peratus yang akan bertanding terdiri daripada calon wanita,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Kotak Makanan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Kit Dana Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kampung Spang Loi di Segamat hari ini.

    Seramai 126 mangsa banjir di kampung berkenaan menerima sumbangan kotak makanan, dapur gas dan tong gas.

    Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

    Dalam pada itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata lebih 90 peratus daripada 37,000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan dengan banjir telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat ini.

    “(Senarai) nama tu kita dah selesaikan. (Senarai) nama itu telah diberikan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan NADMA telah menyerahkan BWI kepada lebih 90 peratus KIR (yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat) di pusat pemindahan sementara,” katanya. – BERNAMA

  • Warisan belum putuskan bertanding PRN Johor

    Warisan belum putuskan bertanding PRN Johor

    PARTI Warisan Sabah (Warisan) ketika ini masih menimbang untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    Beliau berkata, Warisan perlu meneliti banyak perkara sebelum memutuskan untuk bertanding antaranya kerjasama dengan rakan politik di Semenanjung seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) malah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baharu sahaja diumumkan petang semalam.

    “Saya sudah berhubung dengan Syed Saddiq (Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), saya maklumkan kepadanya perlu ada persediaan sekiranya kita memutuskan untuk bertanding, walaupun kita ada penyokong di kawasan tertentu.

    “Ramai orang Sabah, Sarawak di situ (Johor) namun kita tidak hanya bergantung kepada penduduk Sabah dan Sarawak. Kita akan lihat bagaimana keadaan di situ dan kita putuskan apabila tiba masanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Warisan di Likas di Kota Kinabalu malam tadi.

    Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor, selepas baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

    Mohd Shafie berkata, tindakan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung tahun lepas adalah penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berharap PRU15 berjalan serentak dengan PRN Johor.

    “Selepas Melaka, Sarawak dan sekarang Johor dan mungkin negeri lain lagi, ini kerja yang sangat memenatkan. Sekiranya diadakan serentak dengan PRU lagi bagus dan menjimatkan,” katanya.

    Sementara itu, pada majlis sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai di Selangor, Bryan Lai mengumumkan beliau menyertai Warisan yang disifatkannya sebagai sebuah parti berbilang kaum di negara ini.

    “Saya buat keputusan sertai Warisan dan berjanji akan bekerja keras untuk parti. Warisan parti sebenar yang berbilang kaum di Malaysia dan saya yakin dengan kepimpinan Datuk Seri (Mohd Shafie) untuk menerajui negara,” katanya yang kini menjadi ADUN pertama parti itu di Semenanjung.

    Pada April tahun lepas Lai mengumumkan keluar daripada DAP dan bergerak sebagai ADUN bebas yang menyokong Pakatan Harapan. 

    Warisan memiliki 17 kerusi DUN di Sabah. – BERNAMA

  • Esok hari penentuan sama ada Zahid perlu bela diri

    Esok hari penentuan sama ada Zahid perlu bela diri

    KEPUTUSAN sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diarah membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB), akan diketahui esok.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadualkan untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan pada pukul 9.30 pagi.

    Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 68, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.

    Pada 6 Dis lepas Hakim Sequerah menetapkan 24 Jan (esok) sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

    Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.

    Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly. Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.

    Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

    Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan April 2018.

    Ahmad Zahid juga berdepan dengan 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, yang menjadikan beliau berdepan dengan sejumlah 87 pertuduhan semuanya. – BERNAMA

  • 41 suspek penagih, tokan dadah 3 kawasan Felda dicekup

    41 suspek penagih, tokan dadah 3 kawasan Felda dicekup

    POLIS menahan 40 lelaki dan seorang wanita disyaki penagih dan tokan dadah dalam serbuan Ops Tapis Khas dan Ops Sarang di tiga kawasan Felda sekitar Tampin, pada Jumaat lepas dan semalam.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua mereka yang berusia 27 hingga 65 tahun ditahan di Felda Bukit Jalur, Felda Sungai Kelamah dan Felda Jelai 4.

    “Polis turut merampas dadah jenis heroin dianggar seberat 99 gram dan syabu seberat 17 gram keseluruhannya dianggar bernilai RM6,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan mendapati 12 daripada mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan disiasat mengikut Seksyen 39C ADB 1952.

    Katanya, kesemua mereka kini direman antara empat hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – BERNAMA

  • Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah maut kereta masuk parit

    Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah maut kereta masuk parit

    TIMBALAN Ketua MIC Bahagian Tapah, D Sivabalan maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Km 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tapah, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku pada kira-kira 12.45 tengah malam dan menyebabkan Sivabalan, 50, meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa (Sivabalan) yang memandu kereta jenis Proton Iswara memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta jenis Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun.

    “Kereta mangsa kemudian terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan menuju ke arah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala pemandu Proton Exora tidak mengalami kecederaan. – BERNAMA

  • PRN Johor: Pas berunding dengan Bersatu, UMNO – Takiyuddin

    PRN Johor: Pas berunding dengan Bersatu, UMNO – Takiyuddin

    PAS akan berunding serta berbincang dengan UMNO, Bersatu dan rakan lain berhubung penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

    Beliau berkata perbincangan itu akan menentukan sama ada PAS menyertai PRN Johor secara kerjasama dengan rakan parti lain atau sebaliknya.

    “Bentuk macam mana kita nak memasuki PRN ini belum dimuktamadkan lagi. Malah sebagai sebuah parti senior di negara ini, kita tidak pernah tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya umum mahupun pilihan raya negeri. 

    “Sama ada sedikit atau banyak (kerusi), PAS tetap menyertai, jadi saya kira untuk PRN Johor sekiranya benar-benar berlaku, saya memberi jaminan PAS akan menyertainya,” katanya kepada pemberita semasa hadir pada majlis pemberian sagu hati kepada Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu dan penghulu tanpa mukim kaum Tiong Hua di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata rundingan antara PAS dengan parti lain mampu memberikan satu pilihan yang baik buat pilihan raya.

    ”Bagi PAS, pilihan raya adalah proses untuk memilih kepimpinan sama ada di peringkat negara ataupun negeri.

    “Hasil pemilihan berkenaan akan mewujudkan kestabilan dalam negara dan juga dalam negeri kerana sekiranya berlaku ketidakstabilan politik, ia akan menyebabkan kesan yang buruk kepada negara, negeri dan juga rakyat,” katanya.

    Beliau berkata PAS mahu suasana politik yang stabil sekali gus akan menstabilkan ekonomi dan aspek sosial.

    Takiyuddin turut mengingatkan setiap kepimpinan di peringkat tinggi mahupun ahli agar menjaga kerahsiaan dan nama baik PAS serta tidak melakukan perkara yang merugikan kepentingan parti. 

    “Jadi semua pihak perlu berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara termasuk mengeluarkan kenyataan… adakah ia memberi kebaikan kepada parti atau sebaliknya,” kata beliau.

    — BERNAMA

  • PGA gagalkan cubaan seludup masuk 88kg ganja bernilai RM4.4 juta

    PGA gagalkan cubaan seludup masuk 88kg ganja bernilai RM4.4 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 18 menggagalkan cubaan menyeludup masuk 88 kilogram ganja bernilai RM4.4 juta dalam satu operasi di kawasan semak sempadan Malaysia-Thailand di Jalan Stesen Kereta Api, Padang Besar, Perlis semalam.

    Timbalan Komander Briged Utara ACP Mohd Noh Khamis berkata ganja terbabit dirampas pada 9.08 malam hasil maklumat risikan dan intipan yang dijalankan di kawasan itu.

    “Sebelum itu, anggota PGA berjaya mengesan dua suspek lelaki dalam keadaan mencurigakan yang keluar masuk pagar berduri sempadan Malaysia-Thailand di kawasan tersebut namun tidak dapat dipastikan apa yang dibawa oleh mereka kerana keadaan gelap.

    “Setelah 30 minit intipan, kami dapati tiada pergerakan orang di situ dan anggota telah melakukan pemeriksaan, hasilnya kita menemukan tujuh plastik hitam berisi 88 ketulan ganja mampat yang ditinggalkan di situ,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

    Beliau berkata ganja terbabit kemudian diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Katanya PGA akan terus meningkatkan kawalan di kawasan sempadan termasuk melakukan pemantauan menggunakan dron bagi mengesan dan mengekang sebarang aktiviti penyeludupan.

    — BERNAMA