Author: Bernama

  • Tanah mendap Serdang: MBSJ pasang cerucuk besi

    Tanah mendap Serdang: MBSJ pasang cerucuk besi

    MAJLIS Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak malam tadi mula memasang cerucuk besi di tebing longkang besar berhampiran lokasi kejadian tanah mendap di Jalan LP 1A/2, Serdang, semalam.

    Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, pemasangan cerucuk besi oleh kontraktor yang dilantik MBSJ itu, adalah sebagai langkah keselamatan berikutan hasil pemantauan Jabatan Kejuruteraan MBSJ masih berlaku pergerakan tanah di lokasi berkenaaan.

    “Pihak kontraktor datang melihat dan membuat prosedur memasang kepingan cerucuk besi di kawasan tanah mendap sebagai tembok penahan, selain turut memasangnya di kawasan berdekatan bagi mengelak berlaku lagi runtuhan,” katanya kepada pemberita di sini.

    Johary berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama MBSJ bagi memutuskan langkah penyelesaian jangka masa panjang berhubung kejadian tanah mendap itu.

    “Ini merupakan kejadian kedua melibatkan tanah mendap di kawasan sama dan kami memandang serius perkara ini dengan mengenal pasti punca sebenar,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan berkata, 26 pemilik premis peniagaan di kawasan berhampiran diarah menghentikan sementara perniagaan sebagai langkah keselamatan.

    “Beberapa penduduk yang menetap di bahagian atas premis berkenaan juga dilihat mula berpindah sejak semalam,” katanya.

    Tinjauan Bernama mendapati beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemantauan, selain polis turut memperluaskan pemasangan tali kuning bagi mengelakkan orang awam menghampiri kawasan berkenaan.

    Dalam kejadian pada pukul 6.38 petang semalam, dilaporkan lima kenderaan yang diletakkan di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang, mengalami kerosakan akibat mendapan tanah di kawasan itu. – BERNAMA

  • Tiada keperluan pindah Orang Asli terkesan ancaman harimau

    Tiada keperluan pindah Orang Asli terkesan ancaman harimau

    TIADA keperluan setakat ini untuk memindahkan Orang Asli di Gua Musang yang terkesan dengan ancaman harimau belang sejak Disember lepas, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata, kerajaan negeri yakin perkara itu dapat diselesaikan menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

    “Isu harimau ini di bawah Perhilitan, kita sedang berusaha menyelesaikannya dan setakat ini kita tidak menerima maklumat harimau masuk ke dalam perkampungan Orang Asli.

    “Kalau kita nak pindahkan mereka (Orang Asli), mengikut pengalaman sebelum ini kebanyakannya tidak mahu pindah ke tempat lain kerana mahu kekal di kampung mereka sahaja. Oleh itu, kita nasihatkan supaya mereka tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan kemeriahan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini, bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau belang pada 7 Jan lepas.

    Jumaat lepas, penduduk di Pos Ber pula berdepan kebimbangan sama apabila harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan itu.

    Sementara itu, ketika ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa haiwan liar tersebut berkeliaran di penempatan Orang Asli disebabkan pembalakan haram, Mohd Amar berkata, pihaknya mengakui berlaku pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK).

    “Masalah pembalakan berlaku di seluruh Malaysia yang dilakukan orang yang tidak bertanggungjawab, cuma di Kelantan isunya tidak serius.

    “Pembalakan haram itu memang ada, orang kampung buat kebun tanam durian, tanam kelapa sawit dan mungkin tebang hutan simpan, malah setakat kelmarin kita mendapat maklumat bahawa dua ekor harimau yang masih berkeliaran itu belum dapat dikesan namun tidak memasuki kampung,” katanya. – BERNAMA

  • PGA rampas 2.2 juta batang rokok putih bernilai RM1.6 juta di Kota Bharu

    PGA rampas 2.2 juta batang rokok putih bernilai RM1.6 juta di Kota Bharu

    BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 2.2 juta batang rokok putih bernilai RM1.6 juta termasuk cukai yang disembunyikan di kawasan semak di Kampung Lundang Paku, di Nilam Puri di Kota Bharu, awal pagi semalam.

    Pegawai Pemerintah PGA8, Supt Mat Shukor Yusof berkata rampasan pada 3.30 pagi itu dilakukan selepas sepasukan anggotanya mengesan dua kenderaan jenis Pajero dan Proton Exora yang mencurigakan di kawasan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di Kota Bharu.

    “Menyedari diekori, kedua-dua kenderaan tersebut dipandu laju ke Kampung Lundang Paku hingga gagal dikesan, namun anggota kami menemui kesan tayar kenderaan tersebut di kawasan semak.

    “Pemeriksaan lanjut menemui timbunan 220 kotak besar berisi rokok putih jenama John disembunyikan di dalam semak dan dipercayai untuk diedarkan secepat mungkin ke kawasan lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas PGA8 Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

    Mat Shukor percaya rokok tersebut diseludup masuk melalui jalan laut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan di sini.

    Katanya, kesemua rokok yang dirampas diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

    — BERNAMA

  • Broker kemuka matan palsu berkaitan kontrak perolehan LCS ditahan

    Broker kemuka matan palsu berkaitan kontrak perolehan LCS ditahan

    SEORANG broker ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berkaitan kontrak perolehan enam buah kapal tempur pesisir pantai (LCS).

    Menurut sumber SPRM, lelaki itu dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta kepada sebuah syarikat perkapalan melalui tiga syarikat.

    Menurutnya, lelaki berumur 62 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini kira-kira 9.30 malam semalam.

    Sumber itu berkata siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Broker itu kini direman selama lima hari sehingga 30 Jan setelah perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

    SPRM pada Isnin menahan dua ketua pegawai eksekutif syarikat susulan penemuan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam kapal LCS oleh Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    Pada 21 Nov lepas, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid membuat laporan kepada SPRM berhubung projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual.

    Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dengan RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal tersebut secara serentak. – BERNAMA

  • Lebih 10 juta kanak-kanak positif COVID-19

    Lebih 10 juta kanak-kanak positif COVID-19

    LEBIH 10 juta kanak-kanak di Amerika Syarikat telah diuji positif bagi COVID-19 sejak penularan wabak itu, menurut laporan terkini Akademi Pediatrik Amerika (AAP) dan Persatuan Hospital Kanak-kanak.

    Kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat secara mendadak akibat varian Omicron, lapor agensi berita Xinhua.

    Sebanyak 10,603,034 kes COVID-19 membabitkan kanak-kanak telah dilaporkan di seluruh negara setakat 20 Jan, dan jumlah itu menyumbang kepada 18.4 peratus daripada keseluruhan kes, menurut laporan yang diterbitkan pada Isnin.

    Lebih 1.1 juta kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan pada minggu lalu, iaitu hampir lima kali ganda berbanding musim sejuk lalu, menurut AAP.

    “Terdapat keperluan mendesak untuk mengumpul lebih banyak data khusus berdasarkan umur untuk menilai tahap penyakit serta potensinya bagi jangka masa panjang.

    “Penting untuk kita sedar bahawa terdapat kesan segera COVID-19 terhadap kesihatan kanak-kanak, tetapi sangat penting untuk kita kenal pasti dan tangani kesan berpanjangan terhadap fizikal, mental dan kesejahteraan sosial generasi kanak-kanak ini,” kata laporan itu.

    Sementara itu, lebih 91,000 kanak-kanak dimasukkan ke hospital sejak Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS mula merekodkan data mulai 1 Ogos 2020.

    Negara itu menyaksikan peningkatan mendadak bagi kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak, dan kadar vaksinasi mereka rendah.

    Hanya 20.3 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, dan 55.4 peratus remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun lengkap suntikan vaksin sepenuhnya pada Selasa, menurut data CDC.

    Pengarah CDC, Rochelle Walensky berkata, cara terbaik memastikan kanak-kanak dilindungi adalah dengan pemberian vaksin. – BERNAMA

  • Op Tapis Khas: Dadah bernilai lebih RM3.5 juta dirampas dalam tempoh tiga hari

    Op Tapis Khas: Dadah bernilai lebih RM3.5 juta dirampas dalam tempoh tiga hari

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas sejumlah 212.6 kilogram (kg) dan 1,199.2 liter pelbagai jenis dadah dianggar bernilai lebih RM3.5 juta, selepas menahan 5,200 orang menerusi Op Tapis Khas di seluruh negara dari 21 hingga 23 Jan.

    Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan dalam operasi bersama polis kontinjen negeri-negeri itu, terdiri daripada 4,987 lelaki dan 213 wanita berumur lingkungan 13 hingga 60 tahun.

    “Dalam operasi selama tiga hari itu, polis dalam masa sama berhasil menahan 942 tokan dadah yang turut melibatkan remaja bawah umur. Seramai 129 suspek merupakan warga asing. Operasi sama itu turut menggempur 367 sarang penagih,” katanya pada sidang media JSJN di Bukit Aman, hari ini.

    Beliau berkata kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 39C, 12(2), dan 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    Ayob Khan berkata polis turut merampas satu senjata api ‘Revolver’ dalam operasi di Perak, selain senapang buatan sendiri masing-masing di Sarawak dan Negeri Sembilan, berserta beberapa butir peluru. 

    Turut disita wang tunai berjumlah RM333,766; barang kemas bernilai RM41,540; 34 kenderaan bernilai RM1.58 juta; dan 69 motosikal bernilai RM391,700.

    Ayob berkata operasi itu akan diteruskan di semua kontinjen, di samping Program Jihad Dadah dalam usaha membanteras ancaman dadah dalam kalangan masyarakat.

    — BERNAMA 

  • Op Tapis: 157 individu termasuk 30 pengedar dadah ditahan di Melaka

    Op Tapis: 157 individu termasuk 30 pengedar dadah ditahan di Melaka

    SEBANYAK 157 individu termasuk 30 pengedar dadah ditahan dan pelbagai dadah bernilai RM60,600 dirampas dalam Op Tapis Khas dijalankan di sekitar Melaka selama tiga hari bermula 21 Jan lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Zulkiflee Rashid berkata daripada 30 pengedar dadah, 17 daripadanya ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 13 lagi ditahan di bawah Seksyen 3 (1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    Beliau berkata dadah yang dirampas meliputi 1,168.38 gram (g) heroin, syabu (188.64 g), ganja (129.45 g), ketamin (4 g) dan air ketum (4.5 liter).

    “Kesemua pengedar dadah berkenaan berusia 19 hingga 64 tahun itu ditahan di sekitar Melaka termasuk di dua pot dadah iaitu di Pot Krubong di Melaka Tangah dan dan Pot Apache di Alor Gajah.

    “Seorang pengedar dadah yang ditahan di Pot Apache datang dari Lembah Klang untuk mengedar dadah dan merekrut penagih dadah di Alor Gajah untuk dijadikan ‘balaci’ (budak suruhan) bagi membantunya mengedar dadah di pot tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

    Beliau berkata daripada 157 individu yang ditahan, 73 penagih dan pengedar dadah termasuk seorang wanita ditahan di kedua-dua pot berkenaan yang merupakan sarang penagihan dan pengedaran dadah yang popular dalam kalangan mereka.

    Katanya wang tunai berjumlah RM10,000 dipercayai hasil aktiviti pengedaran dada, tujuh kereta dan 13 motosikal bernilai RM269,500 dirampas dan disita sepanjang tiga hari operasi berkenaan dijalankan.

    Zulkiflee berkata op berkenaan bukan sahaja bertujuan membersih dan menutup pot penagihan dan pengedaran dadah, malah bagi mengekang aktiviti tersebut di negeri ini.

    “Operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan orang ramai terutama generasi muda diingatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti penagihan serta pengedaran dadah yang boleh memusnahkan masa depan mereka,” katanya.

    — BERNAMA

  • Kerajaan pertimbang kelonggaran SOP jika proses dos penggalak selesai – PM

    Kerajaan pertimbang kelonggaran SOP jika proses dos penggalak selesai – PM

    KERAJAAN mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya proses vaksinasi COVID-19 di negara ini termasuk dos penggalak selesai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata perkara tersebut bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Kita lihat kalau dua dos vaksin COVID-19 dan booster (penggalak) selesai, saya percaya kita boleh berikan sedikit lagi kelonggaran dan ini terpulang kepada KKM untuk berikan pandangan, “ katanya.

    Ismail Sabri berkata sekiranya SOP terlalu ketat, ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara.

    Beliau berkata walaupun pelancongan domestik telah dibuka, pelancong antarabangsa masih belum dibenarkan masuk ke negara dan subsidi upah yang diperkenalkan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan.

    Menurutnya, sesetengah negara telah melonggarkan SOP untuk pelancong ke negara mereka dan perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan.

    “Sebab itulah kita ingat kalau rakyat kita telah diberikan booster, kita boleh relaks sikit dari segi SOP,” katanya.

    Ismail Sabri berkata ketika ini, kerajaan masih lagi berhati-hati dalam membuka sempadan negara berikutan kebimbangan jangkitan COVID-19.

    Walaupun Laluan Perjalanan Vaksinasi Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan  Singapura telah dilaksanakan serta perbincangan VTL dengan Indonesia dan Thailand telah dimulakan, namun berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat di luar  negara, menyebabkan Malaysia masih menggantung pergerakan ke luar negara, katanya.

    Beliau berkata pembukaan industri pelancongan antarabangsa akan dapat memulihkan ekonomi seterusnya menjadikan keadaan negara bertambah baik. 

    Sementara itu, Ismail Sabri mengulangi bahawa kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) lagi untuk menyekat pergerakan rakyat dan sektor perniagaan

    “Ada khabar angin yang apabila raya nanti tidak boleh balik kampung dan perniagaan ditutup, saya telah umumkan raya boleh balik kampung dan sambutannya begitu tinggi,” katanya.

    Pada Ahad semasa di Bera, Pahang, Ismail Sabri memberi jaminan bawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini.

    Beliau berkata jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja.

    — BERNAMA

  • Himpunan haram: Adam Adli, 7 individu lain dipanggil

    Himpunan haram: Adam Adli, 7 individu lain dipanggil

    SERAMAI lapan individu hari ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini bagi memberi keterangan berhubung penglibatan ceramah berkait himpunan #TangkapAzamBaki, pada Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua mereka antara dipanggil bagi membantu siasatan susulan program ceramah yang diadakan sehari sebelum himpunan terbabit dianjurkan pada Sabtu.

    “Polis menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika dihubungi.

    Amihizam berkata, sehubungan itu akan ada beberapa lagi individu lain dipanggil selepas ini untuk membantu siasatan.

    Antara yang hadir pada petang ini termasuk aktivis Adam Adli Abdul Halim; Ketua Pemuda DAP Howard Lee dan Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Dr Thanussha Francis Xavier.

    Selain itu, turut hadir Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Zubair Rahim dan Pengarah Strategik Pemuda Amanah, Asmaalif Abdul Adam.

    Terdahulu, kesemua yang hadir memberi keterangan pada 2.10 petang dengan diwakili peguam masing-masing serta dilihat meninggalkan IPD berkenaan pada 4.15 petang.

    Sabtu lalu, media melaporkan polis memeriksa butiran diri kira-kira 40 individu termasuk 12 aktivis yang hadir pada perhimpunan program Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki anjuran Pemuda Amanah Nasional di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, di sini.

    Hasil siasatan awal polis mendapati kesemua individu terbabit diipercayai berhimpun kira-kira 9 malam pada Jumaat bagi mengajak orang ramai untuk turut hadir pada perhimpunan berkenaan yang dijadualkan diadakan berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar. – BERNAMA

  • Lebih ramai bekas pemimpin DAP bakal sertai Warisan

    Lebih ramai bekas pemimpin DAP bakal sertai Warisan

    LEBIH ramai bekas pemimpin DAP Pulau Pinang dijangka menyertai Parti Warisan (Warisan) susulan penyertaan tiga bekas pemimpin DAP dalam parti yang berpangkalan di Sabah itu.

    Koordinator Warisan Pulau Pinang yang baru dilantik, Jeff Ooi berkata, penyertaan beliau dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang Datuk Danny Law Heng Kiang dilihat sebagai perintis kepada lebih ramai lagi bekas pemimpin DAP untuk mengikut jejak mereka.

    “Tetapi tumpuan kita bukan setakat untuk menerima bekas ahli DAP kerana Warisan Pulau Pinang mahu merentas semua pelosok landskap politik dan melihat penyertaan daripada tokoh korporat dan golongan profesional muda.

    “Syarat daripada pucuk pimpinan adalah untuk melihat tidak kurang 50 peratus keahlian dan sokongan daripada golongan profesional muda,” katanya dalam sidang media di Georgetown hari ini.

    Jeff yang juga bekas Ahli Parlimen Jelutong hari ini turut mengumumkan kemasukan seorang lagi bekas pemimpin DAP iaitu Martin Lim, 53, dalam Warisan Pulau Pinang

    Martin menyertai DAP pada 2009 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kakitangan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang manakala Law yang mengumumkan keluar parti itu pada 18 Jan lepas setelah menyertainya selama 35 tahun pernah menjadi ADUN Batu Lanchang.

    Ditanya mengapa beliau memilih Wariasan, Jeff berkata, beliau tertarik dengan konsep parti berbilang kaum dan agama, inklusif dan progresif yang diterapkan ke dalam parti tersebut.

    Berkenaan hala tuju parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, Jeff berkata, parti Warisan Pulau Pinang akan berusaha keras untuk mencapai matlamat menubuhkan sebuah kerajaan pusat dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memainkan peranan penting dan kritikal. – BERNAMA