Author: Bernama

  • Kes rasuah: Zahid jumpa wakil UKSB di rumah

    Kes rasuah: Zahid jumpa wakil UKSB di rumah

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengan wakil Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) di rumahnya di Seri Satria, Putrajaya sebelum membuat keputusan menyambung kontrak Visa Luar Negara (VLN) syarikat itu selama tiga tahun lagi.

    Bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Shahril Ismail berkata bekas timbalan perdana menteri itu turut menolak syor daripada bahagiannya untuk membawa perkara itu ke Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

    “Pada 15 Jun 2017, saya telah menerima panggilan daripada Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (pengarah UKSB) dan beliau memberitahu bahawa Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) telah bersetuju untuk melanjutkan kontrak UKSB selama tiga tahun dan meminta saya untuk membawa minit ceraian tersebut ke rumah Datuk Seri Zahid di Seri Satria di Putrajaya untuk kelulusan menteri tersebut.

    “Sampai di rumah Datuk Seri Zahid, Wan Quoris Shah sedang menunggu saya dan menyatakan perlu menunggu ‘green light dahulu’ berikutan wakil syarikatnya sedang berjumpa dengan Datuk Seri Zahid.

    “Kemudian beliau mengajak saya masuk dan berjumpa Datuk Seri Zahid. Apabila berjumpa dengan Datuk Seri Zahid, saya telah menyerahkan minit ceraian tersebut untuk keputusan dan tandatangan beliau. Saya juga ada memaklumkan syor bahagian saya,” katanya dan menjelaskan perjumpaan itu dibuat pada bulan puasa beberapa hari sebelum Hari Raya.

    Beliau berkata sedemikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zander Lim Wai Keong.

    Ketika ditanya TPR Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, sama ada menjadi kebiasaan untuk wakil syarikat berbincang di rumah menteri (Ahmad Zahid) bagi mendapatkan kontrak kerajaan, Shahril berkata ia perkara biasa kerana beliau pernah membawa dokumen ke rumah menteri.

    “… tetapi tentang stake holder (wakil syarikat) ini saya rasa ini yang pertama,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata, pertemuannya bersama bekas menteri dalam negeri dan Wan Quoris Shah di kediaman tertuduh diadakan berikutan pihaknya memaklumkan kepada pengarah UKSB itu bahawa pelanjutan kontrak VLN selama enam tahun itu perlu diproses oleh UKAS dan diluluskan jemaah menteri.

    “Wan Quoris Shah kemudian memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan Datuk Seri Zahid mengenai perkara ini,” katanya. UKSB sebelum telah menerima kontrak membekalkan sistem VLN di China selama enam tahun bermula dari 1 Nov 2013 hingga 31 Okt 2019.

    Menurut tatacara pelanjutan kontrak perkhidmatan, mana-mana syarikat yang ingin dilanjutkan kontrak melebihi tujuh tahun perlu mendapatkan kelulusan daripada jemaah menteri melalui UKAS.

    Menjawab soalan TPR Datuk Raja Rozela Raja Toran mengenai keperluan untuk membawa minit ceraian ke rumah Ahmad Zahid pada hari tersebut, Syahril berkata ia bagi mendapatkan keputusan secara bertulis daripada menteri itu.

    “Sebelum ini kami hanya menerima satu arahan berbentuk lisan daripada Wan Quoris Shah bahawa syarikat itu sudah berbincang dengan menteri (Ahmad Zahid), katanya menteri tidak bersetuju dengan keputusan bahagian kami.

    “Jadi untuk sahkan keputusan menteri itu, saya jumpa terus menteri bagi mendapatkan keputusan hitam putih. Keputusan lisan seperti itu (makluman Wan Quoris Shah) kami tidak boleh proses, kami perlu keputusan bertulis atas dokumen rasmi kerajaan barulah kami proses. Keputusan lisan kami anggap tidak sah,” katanya.

    Rozela: Terima arahan dari Wan Quoris Shah?

    Sharil: Ya

    Rozela: Wakil syarikat beri arahan kepada pegawai kerajaan?

    Sharil: Lebih kepada makluman

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 1 April depan. – BERNAMA

  • Gara-gara kempen PRN Johor, Akmal ditegur Speaker

    Gara-gara kempen PRN Johor, Akmal ditegur Speaker

    YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menegur sikap Ahli Parlimen yang cuba ‘berpolitik’ semasa persidangan Dewan Rakyat termasuk berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Teguran itu diberikan selepas Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) membangkitkan mengenai peruntukan PRN Johor sebanyak RM150 juta yang katanya lebih baik digunakan untuk membantu penternak ayam untuk menstabilkan harga ayam.

    “Saya ingin menyeru kepada Yang Berhormat semua kalau boleh kurangkan sikit politik di dalam Dewan, kita tumpukan isu rakyat, maksud saya janganlah berkempen (pilihan raya) di Dewan Rakyat,” kata Azhar dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Akmal Nasrullah menyatakan perkara itu ketika membangkitkan soalan tambahan mengenai harga ayam kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid ketika sesi soal jawab.

    “Isu ayam yang timbalan menteri sebut tadi, puncanya kerana kos, sekarang ini kerajaan bagi subsidi 60 sen untuk stabilkan harga ayam, setujukah timbalan menteri daripada kita belanja RM150 juta untuk PRN Johor lebih baik bantu stabilkan harga sebab rakyat tengah susah sekarang ini, bukan stabilkan politik.

    “Rakyat Johor hendak tahu, kenapa mereka perlu masuk (terlibat) dalam PRN sedangkan harga barang sedang naik,” katanya.

    Semalam, beberapa Ahli Parlimen juga didapati menyentuh mengenai PRN Johor di Dewan termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) ketika menutup perbahasan Titah Diraja.

    “Sebelum saya duduk, saya nak sebut di sini Pengerang Jaga Pengerang, Johor Jaga Johor, insya-Allah N38 dan N39 dimenangi oleh Barisan Nasional,” kata Azalina. – BERNAMA

  • DUN Skudai: Calon PN mampu tumbangkan PH, BN

    DUN Skudai: Calon PN mampu tumbangkan PH, BN

    PENGALAMAN membantu masyarakat dan perancangan menangani masalah rakyat menjadi modal dan taruhan kempen beberapa calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai bagi menambat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

    Mereka juga menyatakan kesediaan untuk terus memperjuangkan agenda masing-masing seperti calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Khoo Kong Ek yang telah merangka pelan perancangan 10 tahun bagi membangunkan kawasan itu, sekiranya diberikan mandat sekali lagi.

    Khoo yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai pada 1999 hingga 2004 berkata penubuhan Jawatankuasa Khas Pengurusan Banjir untuk menangani isu banjir kilat yang dialami penduduk di beberapa kawasan di Skudai sejak sekian lama dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus dapat membantu memulihkan ekonomi rakyat, merupakan antara fokus pelan perancanganya itu.

    “Saya mengambil masa yang panjang untuk mengkaji dan meneliti pelan perancangan untuk kawasan ini sekali gus menjadikan Skudai lebih berdaya maju.

    “Saya akan memberi fokus kepada usaha untuk memacu kembali ekonomi Skudai yang terjejas akibat pelbagai isu termasuk banjir kilat, selain meningkatkan semula pendapatan rakyat jika diberi mandat mentadbir DUN ini sekali lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Johor Bahru, baru-baru ini.

    Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10, Khoo memenangi kerusi DUN Skudai atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Gerakan. Namun, beliau mengambil keputusan keluar daripada parti itu pada 2020 dan menyertai Bersatu pada awal tahun lepas.

    Ketua Biro Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu Johor itu berkata, pelan perancangan yang dirangka itu juga antara lain akan memberi fokus menjadikan Skudai sebagai sebuah bandar pintar, membantu mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan muda dan menubuhkan dana bagi membantu golongan yang memerlukan terutama rakyat yang tidak mempunyai perlindungan perubatan.

    DUN Skudai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon DAP Marina Ibrahim; calon BN, Lim Soon Hai dan Khoo.

    Pada PRU ke-14, kerusi itu dimenangi Tan Hong Pin (PH-DAP) menewaskan S. Kanan (BN) dengan majoriti 35,126 undi. – BERNAMA

  • Manfaat WCaRe, saringan awal kanser percuma untuk wanita Johor

    Manfaat WCaRe, saringan awal kanser percuma untuk wanita Johor

    LEBIH 7,500 wanita di Johor bakal menerima manfaat pembiayaan percuma bagi saringan awal kanser payudara (ujian mamogram) dan kanser serviks (ujian HPV DNA) pada tahun ini.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata inisiatif menerusi Program Woman Cancer Reproductive (WCaRe) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu bertujuan memberi kesedaran kepada kaum hawa mengenai kepentingan penjagaan kesihatan reproduktif mereka.

    “Bagi Johor sahaja, seramai 3,520 wanita akan menerima manfaat bagi ujian mamogram manakala seramai 3,960 orang lagi bagi ujian HPV DNA.

    “Kementerian saya juga akan terus komited untuk memastikan usaha ini berterusan dan tidak terhenti pada angka tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Tautan Kasih Sihat Ceria LPPKN @KPWKM di Segamat hari ini.

    Beliau juga berkata empat Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Jabatan Kebajikan Masyarakat di Johor turut menerima bantuan kewangan keusahawanan di bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

    Katanya bagi fasa pertama inisiatif itu, keempat-empat PAWE menerima peruntukan sebanyak RM60,015 manakala 10 keluarga yang baru menimang cahaya mata menerima Kit Dana KASIH berupa keperluan ibu berpantang dan barangan bayi. – BERNAMA

  • ATM perlu peruntukan tambahan selenggara aset diguna ketika banjir

    ATM perlu peruntukan tambahan selenggara aset diguna ketika banjir

    KEMENTERIAN Pertahanan memerlukan peruntukan tambahan bagi kerja-kerja penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang digunakan ketika operasi membantu mangsa banjir, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

    Beliau berkata, ketiadaan aset khusus bagi kerja-kerja menyelamat menyebabkan aset pertahanan sedia ada, diguna pakai ketika operasi banjir.

    Katanya, penyelenggaraan berkala perlu dilakukan, bagi memastikan semua aset ATM bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Apabila berlaku banjir berskala besar dan luar jangka seperti yang berlaku di Selangor dan Pahang baru-baru ini, aset ATM tidak mencukupi dan kita hanya guna apa yang ada.

    “ATM memerlukan bajet untuk penyelenggaraan aset yang sewajarnya bagi penugasan serta menghadapi bencana alam seterusnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jiwa Murni (PJM) Pemimpin dan ATM Bersama Rakyat di Felda Kemahang, di Tanah Merah hari ini. – BERNAMA

  • Ismail Sabri dapat injunksi ad-interim terhadap Agenda Daily

    Ismail Sabri dapat injunksi ad-interim terhadap Agenda Daily

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap pemilik Agenda Daily Media Enterprise berhubung saman fitnahnya berkaitan artikel yang diterbitkan Januari lepas.

    Peguam Joshua Tan, yang mewakili Ismail Sabri, berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters membenarkan injunksi itu berkuat kuasa sehingga 27 April kerana injunksi ex-parte (sebelah pihak) sebelum ini akan luput pada 11 Mac.

    “Mahkamah telah membenarkan injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan Mohd Zubit (pemilik) untuk mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April,” kata peguam itu kepada media selepas prosiding secara maya hari ini.

    Beliau berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan defendan untuk lanjutan masa bagi memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan injunksi plaintif.

    Pada 18 Feb, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang menfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

    Beliau mendakwa, artikel itu antaranya membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    “Artikel itu juga membawa maksud saya tidak setia dengan UMNO dan hanya berminat untuk terus menjadi perdana menteri tanpa mengira kepentingan UMNO dan lebih bimbang tentang kedudukan saya sebagai perdana menteri dan bukannya kepentingan negara,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar.

    “Penerbitan itu juga telah menyebabkan emosi saya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu juga boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politik saya,” dakwanya.

    Menurut Ismail Sabri, walaupun peguamnya telah menghantar surat tuntutan bertarikh 3 Feb lepas memohon defendan memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf, namun sehingga hari ini ia masih belum dilaksanakan.

    Oleh itu, Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif. – BERNAMA

  • Kerajaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Azeez Rahim

    Kerajaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Azeez Rahim

    KERAJAAN menarik balik permohonan melucut hak wang tunai hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datin Seri Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa keputusan itu dibuat Jabatan Peguam Negara berikutan surat representasi yang dikemukakan oleh responden (keluarga Abdul Azeez)

    “Hari ini ditetapkan untuk sebutan dan terdapat perkembangan dari segi siasatan dan juga adanya surat susulan (berhubung representasi) daripada pihak responden bertarikh 15 Feb 2022 di mana Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk menarik balik permohonan melucut hak harta tersebut.

    “Sehubungan itu, perintah pelepasan (harta) akan dibuat boleh pihak pendakwa raya,” katanya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian membatalkan permohonan kerajaan tersebut dan melapangkan tarikh pendengaran permohonan yang ditetapkan pada 21 Jun ini.

    Peguam Datuk Prem Ramachandran dan Sharvin Raj yang mewakili keluarga Abdul Azeez hadir pada prosiding itu.

    Pada 8 Feb lepas, Nik Haslinie memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara menolak representasi dikemukakan ahli keluarga Abdul Azeez pada 4 Feb lepas berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta tersebut.

    Pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik Khadijah, empat anaknya iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

    Pada 18 Dis 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai.

    Abdul Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

    Perbicaraan tersebut, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

  • Keputusan henti salur air kepada P Pinang bidang kuasa Perak

    Keputusan henti salur air kepada P Pinang bidang kuasa Perak

    KEPUTUSAN kerajaan Perak untuk tidak meneruskan bekalan air mentah kepada Pulau Pinang dibuat atas kapasiti bidang kuasa negeri berkenaan.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hal itu disebabkan sumber air terletak di bawah urusan kerajaan negeri masing-masing, selain Perak juga telah menjelaskan berhubung keputusan itu.

    “Menjelang 2035 dijangka dia (Perak) akan dapat lebih kurang tiga juta rakyat dan oleh itu dia melihat keperluan dalam negeri yang perlu diutamakan dulu,” katanya selepas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram malam tadi.

    Menurut Tuan Ibrahim, rundingan telah dibuat dan kerajaan Perak memaklumkan yang negeri itu memerlukan Loji Rawatan Air (LRA) yang besar di utara Perak.

    Beliau berkata, perjumpaan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah diadakan bagi membincangkan tentang sumber bekalan air.

    Beliau berkata, Pulau Pinang mempunyai rizab simpanan air tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 30 peratus rizab margin berbanding negeri lain.

    Tuan Ibrahim berkata, terdapat alternatif lain yang boleh dilaksanakan Pulau Pinang, antaranya melakukan penerokaan baharu termasuk sumber air bawah tanah.

    Semalam, Perak memuktamadkan tidak mampu membekalkan air mentah dari Sungai Perak seperti yang dicadangkan di bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang, kerana kajian menunjukkan kegunaan air bagi negeri itu tidak mencukupi sepenuhnya. – BERNAMA

  • Saksi utama nafi beri keterangan bercanggah untuk selamatkan Bung Moktar, Zizie

    Saksi utama nafi beri keterangan bercanggah untuk selamatkan Bung Moktar, Zizie

    SAKSI utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad hari ini menafikan beliau memberi keterangan bercanggah serta mereka-reka cerita semata-mata untuk menyelamatkan pasangan suami isteri itu.

    Perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa keterangannya adalah benar.

    “Saya tidak berbohong di mahkamah,” katanya ketika dipanggil semula untuk disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How selepas dianggap sebagai saksi belot dalam kes pendakwaan.

    Bagaimanapun, saksi ke-25 pendakwaan itu bersetuju dengan cadangan Law bahawa terdapat percanggahan berhubung keterangannya di mahkamah dengan rakaman percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai permintaan komisen sebanyak RM3.5 juta daripada Bung Moktar.

    Law: Menurut rakaman percakapan SPRM pada 2016, kamu nyatakan wang RM3.5 juta diminta oleh Bung Moktar tetapi ketika memberi keterangan di mahkamah sebelum ini, kamu maklumkan wang itu tidak pernah diminta olehnya. Adakah kamu setuju kedua-dua keterangan ini adalah bercanggah.

    Norhaili: Setuju.

    Kepada cadangan Law bahawa dengan memberi keterangan yang bercanggah di mahkamah dan rakaman percakapan, beliau adalah seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dan Norhaili menjawab: “Saya tidak pasti.”

    Law berkata saksi itu memberi keterangan yang tidak memihak kepada pendakwaan dan Norhaili menjawab: “Saya tidak pasti… yang penting, saya bercakap benar.”

    Kepada soalan lain, saksi itu berkata semasa dipanggil oleh SPRM untuk siasatan, beliau berada dalam keadaan tertekan dan takut.

    “Ini adalah pengalaman kali pertama sepanjang 19 tahun saya berada dalam unit amanah. Saya sedih dan rasa kemurungan seolah-olah saya bersalah sedangkan saya rasa saya sudah buat perkara yang betul,” katanya yang turut memaklumkan SPRM telah mengambil lima rakaman percakapan beliau bermula dari 2016 hingga 2018.

    Norhaili juga bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa RM2.8 juta yang dibayar kepada Zizie Izette adalah wang pengenalan.

    Pada 27 Jan lepas, Norhaili memberitahu mahkamah bahawa pelakon itu layak menerima wang pengenalan kerana telah memperkenal suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Beliau berkata bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette merupakan strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenal seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

    Terdahulu, Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyoal balas Norhaili yang dianggap sebagai saksi belot berikutan keterangannya di mahkamah pada 14 Feb lepas adalah bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat oleh SPRM.

    Prosiding soal balas terhadap Norhaili akan bersambung pada 18 Mac ini.

    Peguam Datuk K. Kumaraendran mewakili Zizie Izette manakala Bung Moktar diwakili M. Athimulan.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Luar bandar jadi pusat pertumbuhan ekonomi mampan menjelang 2030

    Luar bandar jadi pusat pertumbuhan ekonomi mampan menjelang 2030

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap agar kawasan luar bandar boleh berfungsi sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang mampan, menjelang 2030.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keusahawanan boleh menjadi aktiviti utama masyarakat luar bandar, bagi memastikan penduduk luar bandar juga dapat menikmati kehidupan yang lengkap dan selesa, sama seperti penduduk yang tinggal di bandar.

    “Pembudayaan norma baharu dalam komuniti bagi mencegah penularan COVID-19, telah menjadi faktor menggalak kepada penggunaan teknologi dalam banyak perkara, termasuk dalam bidang keusahawanan.

    “Justeru, usahawan luar bandar mesti diperlengkap dan diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran baharu, mengenai penggunaan teknologi maklumat dan inovasi aplikasi siber bagi menghadapi persaingan yang kompetitif,” katanya pada program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @Pontian di Stadium Mini Pontian hari ini.

    Beliau berkata, sehingga kini terdapat lebih 64,000 usahawan di bawah KPLB, yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan dan terdapat juga usahawan yang sudah menembusi pasaran antarabangsa.

    “Ini merupakan satu kebanggaan bagi pihak kementerian dalam melahirkan lebih ramai lagi usahawan Rural to Global,” katanya.

    Mahdzir berkata, dengan bimbingan dan kursus pemerkasaan keusahawanan yang dilaksanakan kementerian dan agensi di bawahnya, para usahawan telah membuktikan yang mereka juga mampu menguruskan perniagaan dengan lebih cekap, seterusnya membantu dalam meningkatkan perkembangan ekonomi negara.

    “Penyertaan usahawan luar bandar dalam aktiviti ekonomi seperti ini wajar dipertingkatkan secara lebih menyeluruh, dengan penglibatan semua pihak berkepentingan melalui rangkaian kerjasama strategik antara kementerian dan kerajaan negeri serta pihak swasta.

    “Pemerkasaan aktiviti keusahawanan di luar bandar juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, untuk merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.

    KUD merupakan satu program pemasaran di bawah KPLB yang bertujuan untuk memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar, melalui perluasan akses pasaran serta peningkatan aktiviti pemasaran.

    Mini KUD@Pontian merupakan antara inisiatif di bawah Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk memperkasa sistem pembiayaan kewangan, kemudahan fizikal dan sistem sokongan luar bandar.

    Mini KUD@Pontian menyasarkan 10,000 pengunjung yang akan hadir ke tapak karnival sepanjang program bermula hari ini sehingga Sabtu di Stadium Mini Pontian. – BERNAMA