Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merupakan gandingan mantap dalam Perikatan Nasional (PN) yang akan menawan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr. Karim Deraman berkata, ini kerana kedua-dua tokoh tersebut dikenali mempunyai rekod bersih dan memiliki prestasi yang baik.

Jelas Yang Dipertua Pas Kawasan Gelang Patah itu, gandingan tersebut memberi kelebihan kepada PN sekali gus menawarkan pemerintahan yang berintegriti, amanah dan bertanggungjawab.

“Ketokohan dan keperibadian serta rekod bersih Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN memberi kelebihan kepada PN. Tentu orang masih boleh ingat bagaimana Tan Sri Muhyiddin enggan bersekongkol semasa isu 1Malaysia Development (1MDB).

“Pendirian Tan Sri Muhyiddin sehingga menyebabkannya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya kerana tidak mahu terlibat dalam kemungkaran. Ini adalah contoh teladan yang harus diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita ketika berkempen di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini.

Begitu juga katanya, pemerintahan kerajaan Pas di Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu tiada Menteri Besarnya atau Exco kerajaan negeri terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa.

Tambah beliau, faktor Muhhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Abdul Awang perlu menjadi panduan untuk pengundi memilih PN dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

Mengenai kempen yang berbaki tiga hari lagi, bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berpuas hati dengan sambutan diterima dan yakin PN akan mampu menawan hati pengundi terutama apa yang ditawarkan Ikrar PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here