KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap agar kawasan luar bandar boleh berfungsi sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang mampan, menjelang 2030.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keusahawanan boleh menjadi aktiviti utama masyarakat luar bandar, bagi memastikan penduduk luar bandar juga dapat menikmati kehidupan yang lengkap dan selesa, sama seperti penduduk yang tinggal di bandar.
“Pembudayaan norma baharu dalam komuniti bagi mencegah penularan COVID-19, telah menjadi faktor menggalak kepada penggunaan teknologi dalam banyak perkara, termasuk dalam bidang keusahawanan.
“Justeru, usahawan luar bandar mesti diperlengkap dan diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran baharu, mengenai penggunaan teknologi maklumat dan inovasi aplikasi siber bagi menghadapi persaingan yang kompetitif,” katanya pada program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @Pontian di Stadium Mini Pontian hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat lebih 64,000 usahawan di bawah KPLB, yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan dan terdapat juga usahawan yang sudah menembusi pasaran antarabangsa.
“Ini merupakan satu kebanggaan bagi pihak kementerian dalam melahirkan lebih ramai lagi usahawan Rural to Global,” katanya.
Mahdzir berkata, dengan bimbingan dan kursus pemerkasaan keusahawanan yang dilaksanakan kementerian dan agensi di bawahnya, para usahawan telah membuktikan yang mereka juga mampu menguruskan perniagaan dengan lebih cekap, seterusnya membantu dalam meningkatkan perkembangan ekonomi negara.
“Penyertaan usahawan luar bandar dalam aktiviti ekonomi seperti ini wajar dipertingkatkan secara lebih menyeluruh, dengan penglibatan semua pihak berkepentingan melalui rangkaian kerjasama strategik antara kementerian dan kerajaan negeri serta pihak swasta.
“Pemerkasaan aktiviti keusahawanan di luar bandar juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, untuk merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.
KUD merupakan satu program pemasaran di bawah KPLB yang bertujuan untuk memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar, melalui perluasan akses pasaran serta peningkatan aktiviti pemasaran.
Mini [email protected] merupakan antara inisiatif di bawah Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk memperkasa sistem pembiayaan kewangan, kemudahan fizikal dan sistem sokongan luar bandar.
Mini [email protected] menyasarkan 10,000 pengunjung yang akan hadir ke tapak karnival sepanjang program bermula hari ini sehingga Sabtu di Stadium Mini Pontian. – BERNAMA