Author: Bernama

  • 3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    3 lelaki suspek tipu guna TikTok ditahan

    TIGA lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Kampung Baru di sini petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian menggunakan aplikasi TikTok di premis berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan pada pukul 2.50 petang yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial itu, turut merampas antaranya tiga unit komputer riba, 21 unit telefon bimbit, satu unit modem dan satu monitor komputer.

    “Semua suspek, berusia antara 19 hingga 23 tahun, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noor Dellhan, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan penduduk tempatan serta warga asing menerusi aplikasi TikTok.

    “Semua suspek ini berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan dan kemudiannya mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan TikTok tersebut kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian,” katanya. – BERNAMA

  • Ular sawa 50 kg, 6 meter ditangkap di Lenggong

    Ular sawa 50 kg, 6 meter ditangkap di Lenggong

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berjaya menangkap seekor ular sawa yang beratnya dianggarkan 50 kilogram di Sungai Ulu Lenggong, Kampung Ulu Lenggong, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh, hari ini.

    Jurucakap jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong menerima panggilan telefon mengenai reptilia itu yang berada di pintu empangan sungai berkenaan pada 9.30 pagi tadi.

    Beliau berkata, dengan kekuatan anggota bomba seramai lima orang, penjerut ular digunakan untuk menangkap haiwan itu yang dianggarkan berukuran sepanjang enam meter.

    “Ular sawa tersebut diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dan menambah operasi itu tamat pada 10.10 pagi tadi. – BERNAMA

  • Kaki budak lelaki 3 tahun tersepit dalam eskalator

    Kaki budak lelaki 3 tahun tersepit dalam eskalator

    SEORANG kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir sejam setelah kaki kanannya tersepit dalam eskalator di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya hari ini.

    Kejadian berlaku kira-kira 1.30 tengah hari ketika mangsa berusia tiga tahun dikatakan turun bersama ibu bapanya menggunakan eskalator dari tingkat dua sebelum kaki kanannya secara tiba-tiba masuk dan tersepit di bahagian tepi eskalator berkenaan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.48 tengah hari.

    “Kaki mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian dan mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Seorang saksi ingin dikenali sebagai Nurul berkata dia terdengar jeritan yang amat kuat sebelum melihat seorang kanak-kanak tersepit di eskalator itu.

    “Keadaan memang panik, nasib baik ada yang segera menekan butang kecemasan bagi menghentikan eskalator itu. Kanak-kanak itu menangis hampir satu jam sebelum pihak bomba datang mengeluarkan kakinya yang tersepit,” katanya.

    Tinjuan Bernama di lokasi kejadian mendapati pihak pengurusan pusat beli belah terbabit telah menutup operasi eskalator itu buat sementara waktu. – BERNAMA

  • ePemula: Belia, pelajar IPT daftar mulai esok e-tunai RM150

    ePemula: Belia, pelajar IPT daftar mulai esok e-tunai RM150

    GOLONGAN belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan yang layak, boleh mendaftar untuk menerima RM150 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah program ePemula, mulai esok.

    Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kredit e-tunai tersebut adalah melalui satu daripada empat penyedia perkhidmatan iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

    “Selain RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet juga akan memberi insentif tambahan dalam bentuk cashback, baucar, mata terkumpul atau coins sepanjang tempoh program ini,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, tempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula akan bermula esok hingga 1 Jun ini, manakala kredit ePemula serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.

    Menurut MOF, ePemula akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 April.

    Program ePemula terbuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada 2022 (lahir pada 2002 hingga 2004) atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di IPT tempatan yang berdaftar, selain data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan.

    Menurut MOF, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi e-tunai bernilai RM150 di bawah program ePemula untuk belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di IPT tempatan yang layak menerusi Belanjawan 2022.

    Untuk maklumat lanjut mengenai ePemula serta inisiatif lain yang memanfaatkan golongan belia boleh layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/epemula.html manakala bagi pelbagai manfaat lain khusus untuk belia, layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/rakyat-kewangan.html – BERNAMA

  • Peniaga boleh kena tindakan jika puding buih punca keracunan

    Peniaga boleh kena tindakan jika puding buih punca keracunan

    JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu akan menjalankan ujian makmal terhadap sampel puding buih yang dimakan oleh dua kanak-kanak (lelaki dan perempuan) sehingga menyebabkan mereka mengalami keracunan makanan Rabu lepas.

    Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sampel tersebut akan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal dan keputusannya akan diperoleh dalam tempoh tujuh hari.

    “Sekiranya terbukti puding buih penyebab keracunan makanan itu, peniaga boleh diambil tindakan mengikut peraturan 39 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Semalam, media melaporkan dua beradik dari Kampung Seberang Tuan Chik di Kuala Terengganu, telah mengalami cirit-birit dan muntah pada pukul 4 pagi dipercayai selepas memakan puding buih yang dibeli oleh ibu mereka di sebuah gerai di Bukit Tumbuh pada 6 petang, Rabu lepas.

    Kanak-kanak berusia sembilan dan tujuh tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Khamis dan masih menerima rawatan sehingga kini, namun kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan seorang daripada mereka akan dibenarkan pulang hari ini.

    Dalam pada itu Dr Kasemani menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati semasa membeli juadah sepanjang Ramadan bagi mengelak perkara seumpama itu berulang.

    “Amalkan kaedah lihat, hidu dan rasa pada makanan sebelum ia dimakan terutama juadah yang menggunakan telur kerana telur yang tidak dimasak sempurna mempunyai risiko menyebabkan keracunan makanan kerana boleh mengandungi bakteria salmonella,” katanya. – BERNAMA

  • Jumlah subsidi diputuskan setelah kuota haji Malaysia muktamad

    Jumlah subsidi diputuskan setelah kuota haji Malaysia muktamad

    KEMUDAHAN jumlah subsidi bagi menunaikan ibadah haji tahun ini akan diputuskan setelah jumlah kuota haji negara diketahui dan dimuktamadkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    “Apabila kita sudah dapat bilangan kuota (haji) sebenar, insya-Allah kita akan duduk (berbincang) untuk muktamadkan jumlah subsidi yang diberikan,” katanya ringkas ketika diminta mengulas berhubung perkembangan subsidi haji selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Infaq Kasih Ramadan Kawasan Kapar, di Klang hari ini.

    Jumaat lepas, Idris memaklumkan kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan ibadah haji diteruskan tahun ini, bagaimanapun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan.

    Sementara itu, mengulas mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Idris berkata, titah itu sudah jelas.

    Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI bertitah bahawa sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja. – BERNAMA

  • Kian Meng-Pei Jing juara Terbuka Korea

    Kian Meng-Pei Jing juara Terbuka Korea

    BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengakhiri kemarau lima tahun tanpa gelaran apabila muncul juara kejohanan badminton Terbuka Korea hari ini.

    Lebih manis, pasangan Malaysia itu meraih kejuaraan tersebut selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won dalam aksi final yang berlangsung selama 50 minit di Stadium Palma, Suncheon.

    Merupakan pertemuan kali ketiga buat kedua-dua pasangan itu, Kian Meng-Pei Jing beraksi cemerlang untuk melebarkan rekod dua kemenangan sebelum ini apabila sekali lagi menundukkan pasangan Korea Selatan itu dengan straight set.

    Turun selaku wakil negara yang masih meneruskan cabaran pada kejohanan itu, Kian Meng-Pei Jing ternyata unggul apabila sentiasa berada di hadapan sebelum mencatat kemenangan 21-15 di set pertama.

    Ketinggalan satu set, Sung Hyun-Hye Won cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun usaha mereka gagal apabila pasangan Malaysia itu terus mendominasi perlawanan untuk merekodkan kemenangan 21-18.

    Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Kian Meng-Pei Jing muncul beregu Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Korea. – BERNAMA

  • PM Pakistan Imran Khan disingkir melalui undi tidak percaya

    PM Pakistan Imran Khan disingkir melalui undi tidak percaya

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    PERDANA Menteri Pakistan, Imran Khan digulingkan daripada kuasa pada malam Sabtu, menjadi ketua kerajaan terbaharu dalam sejarah 75 tahun Pakistan yang tidak dapat menghabiskan mandat lima tahun dan yang pertama disingkirkan melalui undi tidak percaya.

    Dewan Perhimpunan Kebangsaan parlimen negara itu memulakan sidangnya pada pukul 10.30 pagi seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Agung untuk mempertimbangkan usul undi tidak percaya pembangkang.

    Mahkamah yang campur tangan selepas timbalan speaker Dewan Negara, Qasim Khan Suri tidak membenarkan usul itu pada 3 April, berkata, langkah itu adalah komplot yang disokong pihak asing untuk perubahan rejim di Pakistan.

    Sepanjang hari Sabtu, ahli parlimen dari parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan pimpinan Imran mengecam Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa mencampuri urusan negara itu.

    Wakil pakatan pembangkang daripada Pergerakan Demokratik (PDM), termasuk Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dan Parti Rakyat Pakistan (PPP), menuntut undian disegerakan dengan keyakinan bahawa mereka mempunyai jumlah minimum yang diperlukan iaitu 172 daripada 342 kerusi dewan untuk menggulingkan Imran.

    Pengundian akhirnya dijalankan sekitar tengah malam oleh Ayaz Sadiq PLM-N di kerusi speaker selepas speaker Asad Qaiser dan timbalannya Suri meletak jawatan.

    “Seratus tujuh puluh empat ahli mengundi untuk menyokong resolusi itu,” umum Ayaz.

    Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kepada negara pada petang Jumaat, Imran yang dipilih pada 2018 dengan tegas berkata, beliau tidak akan menerima “kerajaan import” dan mendakwa bahawa anggota parlimen “dibeli” untuk menukar kesetiaan parti.

    Dakwaan AS campur tangan untuk menggagalkan Pakistan daripada mempunyai dasar luar bebas disebut-sebut semasa prosiding perhimpunan pada Sabtu.

    “Dalam tempoh 124 tahun terakhir ini, hanya satu kuasa asing telah membuat 81 percubaan menukar rejim (di seluruh dunia). Dan sejak 1948, terdapat 61 percubaan menukar rejim. Rejim ditukar di Asia Barat, Eropah, Afrika dan Amerika Latin,” kata Hammad Azhar, yang berkhidmat sebagai menteri tenaga dalam pentadbiran yang dijatuhkan itu.

    “Hari ini percubaan menukar rejim sedang dilakukan di negara ini, dan kita ada buktinya,” tambah beliau. Sejarah hubungan AS-Pakistan yang tidak mesra menjadikan rakyat Pakistan waspada terhadap campur tangan Amerika dalam hal ehwal dalaman.

    “Mereka telah cuba memusnahkan setiap negara Islam,” kata Shireen Mazari, yang berkhidmat sebagai menteri hak asasi manusia dalam kabinet Imran.

    Dengan berkata ia merupakan konspirasi luar, beliau meminta usul itu ditolak.

    Seorang lagi menteri kabinet Imran, Menteri Luar Shah Mahmood Qureshi pula menegaskan bahawa Jawatankuasa Keselamatan Negara (NSC) Pakistan, yang merangkumi menteri-menteri utama dan kepimpinan tertinggi tentera, memandang serius terhadap dakwaan campur tangan AS.

    Mengenai lawatan Imran pada Februari ke Moscow, Qureshi berkata, penasihat keselamatan negara AS menghubungi rakan sejawatannya dari Pakistan dengan mesej “Jangan pergi.”

    Beliau mempersoalkan bagaimana sesebuah negara berdaulat boleh dihalang daripada melakukan lawatan dua hala.

    Bagaimanapun, pemimpin pembangkang lebih berminat untuk mengundi tanpa melengahkan usul undi tidak percaya.

    “Di bawah perintah Mahkamah Agung, sidang ini dijalankan untuk satu tujuan, iaitu meneruskan pengundian,” kata pemimpin PML-N Shehbaz Sharif.

    Shehbaz mendapat sokongan pakatan anti-Imran sebagai calon perdana menteri Pakistan yang seterusnya, dengan tentera mempunyai pengaruh besar dalam perkara-perkara utama.

    “Kita tidak akan membalas dendam terhadap sesiapa,” katanya selepas usul itu diluluskan di dalam dewan.

    “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pakistan dan dewan ini kerana buat pertama kalinya di Pakistan undi tidak percaya telah berjaya dan kita telah mencipta sejarah,” kata pemimpin PPP Bilawal Bhutto Zardari. Bapanya bekas presiden Pakistan, Asif Zardari turut hadir di sisinya dalam dewan itu.

    Pemimpin PTI, bagaimanapun, percaya penentangan anti-AS Imran dan kempennya untuk membina Pakistan yang lebih kuat dan berdikari, berpegang pada prinsip Islam, menjana lebih banyak sokongan orang ramai.

    Parti itu merancang untuk mengadakan protes di seluruh negara pada petang Ahad. – BERNAMA

  • Seorang lelaki mati akibat penyakit anjing gila di Selangor

    Seorang lelaki mati akibat penyakit anjing gila di Selangor

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat satu kes kematian melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan menghidap rabies atau penyakit anjing gila pada Isnin (4 April).

    Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan di Facebook rasmi JKNS memaklumkan, mangsa yang berusia 40 tahun dan menetap di daerah Petaling itu, meninggal dunia di rumah pada 10 Mac lepas.

    “Mendiang telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan keputusan ujian makmal bagi spesimen otak didapati positif virus rabies,” katanya.

    Dr Sha’ari berkata hasil siasatan dalam kalangan masyarakat setempat mendapati mendiang dilihat masih berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan dua hari sebelum meninggal.

    “Adalah dimaklumkan punca jangkitan masih dalam siasatan. Tiada gejala dan tanda penyakit rabies dilaporkan pada kes yang berlaku di Selangor ini,” katanya.

    Dr Sha’ari berkata, berikutan kejadian kes tersebut, beberapa langkah pencegahan dan kawalan telah dijalankan secara bersepadu oleh JKNS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Petaling antaranya penangkapan anjing liar yang dijalankan di lokaliti terlibat bermula 7 April lalu.

    “Spesimen haiwan yang ditangkap dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI),” katanya.

    Dr Sha’ari berkata, siasatan lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Program Active Case Detection (ACD) dalam lingkungan radius satu kilometer dari rumah mendiang.

    Katanya lagi, surat peka kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan bagi meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal kes gigitan anjing atau haiwan liar oleh pengamal perubatan di Selangor.

    “Selain itu, pelantikan dua hospital rujukan kes gigitan anjing di negeri ini iaitu Hospital Shah Alam dan Hospital Serdang. Ini bagi membolehkan penilaian risiko dan kategori luka bagi pemberian vaksin rabies serta rawatan immunoglobulin rabies sekiranya perlu,” katanya.

    Susulan itu, Dr Sha’ari turut menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan apabila digigit oleh anjing atau haiwan liar iaitu segera membersihkan bahagian tubuh yang digigit atau dicakar dan mendapatkan rawatan.

    “Segera laporkan kepada DVS Selangor atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah sekiranya peliharaan berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif atau pihak PBT jika terdapat anjing atau haiwan liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal,” katanya. – BERNAMA

  • Sidang khas Parlimen bermula esok, bentang pindaan Perlembagaan

    Sidang khas Parlimen bermula esok, bentang pindaan Perlembagaan

    Oleh MAIZATUL JAMNY MUHAMMAD ROSLI

    MESYUARAT Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan diadakan esok.

    Sidang khas itu merangkumi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin (11 April) dan Mesyuarat Khas Dewan Negara pada Selasa (12 April).

    Pembentangan dan perbahasan itu melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

    Bagaimanapun, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti yang dijadual dibentang, dibahas dan diluluskan pada mesyuarat khas kali ini, ditangguh ke satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

    Penangguhan itu dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Khamis lepas, yang diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Turut hadir beberapa wakil kerajaan dan blok pembangkang antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

    Pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti itu ditangguh buat kali kedua selepas dijadual untuk dibentang bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac. Penangguhan kali pertama itu dibuat untuk membolehkan pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh dan semua sesi libat urus selesai.

    Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat Mac lepas termasuk rang undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

    Ia selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu rang undang-undang itu disegerakan selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan pada 13 Sept 2021.

    Pada 2 April, Wan Junaidi mendedahkan seramai 39 Ahli Parlimen di negara ini melompat parti sejak 2018 dan tindakan itu membawa kepada ketidakstabilan politik selain negara turut menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam satu penggal Parlimen.

    Persidangan khas Parlimen adalah mesyuarat yang diadakan semasa Majlis dalam tangguhan dan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3), urusan-urusan mesyuarat itu hendaklah ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan urusan itu hendaklah dihantar kepada ahli-ahli tidak lewat daripada masa hendak diadakan mesyuarat itu.

    Mesyuarat Khas Parlimen itu juga berbeza dengan mesyuarat penggal biasa antaranya tiada urusan-urusan kerajaan lain dan sesi soal jawab lisan.

    Sidang khas kali ini adalah yang ketiga dalam tempoh setahun selepas mesyuarat khas berkaitan Proklamasi Darurat serta Ordinan-ordinan Darurat diadakan pada 26 Julai 2021 dan sidang khas isu banjir pada 20 Jan.

    Selain itu, sidang khas Parlimen sebelum ini yang pernah diadakan antaranya berkenaan isu Gaza pada 12 Jan 2009, isu MH17 pada 23 Julai 2014 dan Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 26 dan 27 Jan 2016.

    Dalam pada itu, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 dijadual bermula pada 18 Julai hingga 4 Ogos manakala Mesyuarat Ketiga dijadual selama 31 hari bermula 26 Okt hingga 15 Dis ini. – BERNAMA