Author: Bernama

  • Treler bawa 20 tan tepung terbalik, pemandu maut

    Treler bawa 20 tan tepung terbalik, pemandu maut

    SEORANG pemandu treler maut manakala kelindannya cedera selepas treler muatan tepung seberat 20 tan terbalik ke bahu jalan di KM 24 Bukit Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata dalam kejadian pada 7.38 pagi itu, pemandu treler Adzri Mat, 43 maut di tempat kejadian manakala kelindannya Mohd Nazran Hakim, 20, cedera akibat tersepit.

    “Anggota bomba menggunakan rescue tool dan power unit untuk mengeluarkan mangsa dan kelindan yang tersepit. Treler itu dalam perjalanan membawa muatan tepung dari Gerik ke Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan serta polis untuk tindakan selanjutnya dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gerik. – BERNAMA

  • Pembantu tadbir ditipu ‘ASP Wong’ lebih RM30,000

    Pembantu tadbir ditipu ‘ASP Wong’ lebih RM30,000

    SEORANG pembantu tadbir di Port Dickson mendakwa kerugian RM38,480 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak syarikat kurier dan pegawai polis ‘ASP Wong’ pada 15 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 46 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada syarikat kurier berkenaan memaklumkan terdapat bungkusan barang terlarang atas namanya di pejabat tersebut, namun mangsa menafikan perkara itu.

    Beliau berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis dikenali sebagai ASP Wong yang memberitahu wanita itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

    “Mangsa diminta menyerahkan maklumat perbankan dalam talian iaitu ‘username’ dan kata laluan bagi empat akaun miliknya. Dia turut menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima untuk tujuan pemindahan wang kepada pegawai polis itu.

    “Mangsa yang merasa curiga itu kemudian membuat semakan akaun bank dan mendapati kerugian RM38,480 daripada empat akaun miliknya yang dipindahkan ke akaun tidak dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Aidi Sham berkata, wanita itu membuat laporan polis pada hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang mengaku sebagai badan penguat kuasa atau institusi kewangan selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

  • Pengikut Ustaz Abdul Somad spam akaun media sosial pemimpin Singapura

    Pengikut Ustaz Abdul Somad spam akaun media sosial pemimpin Singapura

    AKAUN media sosial beberapa pemimpin politik dan agensi kerajaan di Singapura telah dispam pengikut kepada seorang penceramah Indonesia yang tidak dibenarkan masuk ke Singapura pada Isnin, lapor CNA.

    Memetik jurucakap Kementerian Komunikasi dan Penerangan (MCI), CNA melaporkan adanya gesaan untuk melancarkan serangan siber ke atas akaun media sosial Kerajaan Singapura .

    Akaun Instagram Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Kanan Teo Chee Hean, dan Menteri Luar Vivian Balakrishnan adalah antara yang terjejas, termasuk akaun Twitter Lee.

    Akaun Instagram Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan dan Lembaga Pelancongan Singapura turut dispam.

    “Selain itu, laman sesawang dua syarikat pengurusan acara turut terjejas. Laman sesawang berkenaan dapat dipulihkan semula dan SingCERT akan menghubungi syarikat itu untuk membantu,” kata jurucakap MCI.

    SingCERT atau Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Singapura adalah agensi yang bertanggungjawab untuk respons terhadap insiden keselamatan siber di Singapura.

    Menurut MCI organisasi tempatan yang terjejas akibat serangan siber atau mempunyai bukti adanya aktiviti mencurigakan terhadap rangkaian mereka perlu melaporkan kepada SingCERT.

    Laporan boleh dibuat secara dalam talian.

    Terdahulu pada 17 Mei, Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura mengesahkan pendakwah Indonesia, Abdul Somad Batubara bersama enam rakannya telah tiba di Terminal Feri Tanah Merah Singapura dari Batam pada 16 Mei.

    Abdul Somad telah disoal dan selepas itu rombongannya tidak dibenarkan masuk ke Singapura dan dihantar pulang semula ke Batam pada hari yang sama.

    Antara lain, kementerian itu mendakwa Abdul Somad dikenali sebagai “pelampau dan penyokong dasar segregasi”, yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.

    Menurut MHA kemasukan pelawat ke Singapura adalah berdasarkan kaedah “tidak secara automatik mahupun mempunyai hak” dan “setiap kes dinilai berdasarkan merit tersendiri.” – BERNAMA

  • [VIDEO] 12 pekerja kilang maut ditimpa tembok runtuh

    [VIDEO] 12 pekerja kilang maut ditimpa tembok runtuh

    SEKURANG-KURANGNYA 12 terbunuh dalam kejadian tembok runtuh di sebuah kilang pemprosesan garam di Gujarat, India.

    Insiden berlaku pada Rabu di estet Gujarat Industrial Development Corporation (GIDC) di daerah Morbi, lapor media India.

    “Sebahagian tembok setinggi 15 hingga 20 kaki runtuh, menyebabkan 13 pekerja terperangkap. Seramai 12 pekerja disahkan maut manakala seorang lagi cedera,” kata seorang pegawai polis.

    Perdana Menteri India, Narendra Modi turut bersedih dengan tragedi itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. – BERNAMA

  • UKSB taja Ahmad Zahid dan isteri melancong ke luar negara, sambut hari jadi, raya

    UKSB taja Ahmad Zahid dan isteri melancong ke luar negara, sambut hari jadi, raya

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam  diberitahu bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) telah menaja bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancong ke luar negara, sambutan ulang tahun isterinya dan hari raya.

    Bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun berkata penajaan itu merupakan keutamaan sumbangan bulanan daripada syarikat tersebut dari 2014 hingga 2018.

    “Terdapat juga beberapa bulan kami tidak membuat bayaran tetapi kami telah menggandakan bayaran  pada bulan berikutnya untuk menampung bulan yang kami terlepas.

    “Secara peribadi saya tidak menyimpan rekod pembayaran itu namun saya tahu David Tan (Pengurus Pentadbiran UKSB dari 2012 hingga 2018) menyimpan lejar mengenai bayaran bulanan itu yang ditunjukkannya kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya ketika membaca pernyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Abdul Malik Ayob.

    Terdahulu, saksi pendakwaan ke-15 itu mengesahkan bahawa UKSB telah menyerahkan wang tunai secara bulanan berjumlah antara SGD200,000 dan SGD520,000 kepada Ahmad Zahid dari 2014 kepada 2018 berhubung Kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Sebelum ini, saksi ketiga pendakwaan iaitu bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal imigresen Kementerian Dalam Negeri Siti Jalilah Abd Manap memberitahu mahklamah bahawa Ahmad Zahid telah melanjutkan kontrak UKSB bagi projek VLN meskipun kontrak sedia ada sah untuk tempoh tiga tahun lagi.

    Menjelaskan bagaimana sumbangan itu bermula, Lee berkata Ahmad Zahid telah membayangkan bahawa beliau memerlukannya untuk dana politik dan meminta saksi tersebut membantu dalam hal berkaitan UMNO.

    “Wang tunai itu disediakan oleh David Tan. Setelah siap, David Tan akan memberikan sampul mengandungi wang itub dan saya akan menghantarnya. Biasanya, kami bertiga iaitu Wan Quoris (Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani – pengarah UKSB), David Tan dan saya akan pergi sendiri ke rumah Datuk Seri Zahid nsmun hanya seorang yang diberikan tanggungjawab menyerahkan wang itu.

    Saksi itu berkata tarikh penghantaran wang itu tidak ditetapkan dan bergantung kepada keselesaan Ahmad Zahid.

    Beliau berkata meskipun pembayaran itu dikatakan untuk dana politik, UKSB tidak pernah memasukkannya ke akaun UMNO atau diberikan resit atau perakuan bagi pembayaran tersebut.

    Lee juga berkata UKSB tidak akan memberikan wang itu kepada Ahmad Zahid jika beliau tidak memintanya.

    Beliau berkata kali pertama bertemu Ahmad Zahid ialah pada Mei 2013 di Hospital Tawakal ketika anak Presiden UMNO itu kemalangan dan dirawat di situ.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menrima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB ketika menjadi Menteri Dalam Negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan membekalkan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa meminta SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

    Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

    — BERNAMA

  • ‘Saya diawasi, diperhatikan hingga ke tandas…’ kata Mohd Bakke

    ‘Saya diawasi, diperhatikan hingga ke tandas…’ kata Mohd Bakke

    BEKAS Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau diawasi dan diperhatikan oleh kakitangan 1MDB hingga ke tandas pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama 1MDB-Petrosaudi (JVCO).

    Mohd Bakke berkata, beliau hadir pada majlis itu di mana Datuk Seri Najib Razak adalah tetamu kehormat atas dasar menghormati Lembaga Pengarah (BOD) dan pemegang saham 1MDB yang juga syarikat pelaburan strategik negara.

    Memetik laporan Berita Harian, saksi ke-15 pendakwaan itu berkata, perjanjian usaha sama itu sudah ditandatangani sebelumnya, bagaimanapun majlis rasmi dengan Putera Turki bin Abdullah (pengasas PetroSaudi) yang dihadiri tetamu kehormat lain diadakan pada November 2009.

    Mohd Bakke meletakkan jawatannya pada 19 Oktober 2009 manakala bekas pengarah 1MDB Tan Sri Azlan Mohd Zainol meletakkan jawatan pada 11 Januari 2010.

    Saksi itu menjelaskan bagaimana beliau diawasi dan diperhatikan ketika disoal oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, mengapa tidak menemui Najib pada majlis itu untuk menyatakan ketidakpuasan mengenai pembayaran AS$1 bilion dalam dua peringkat yang dibuat oleh 1MDB bagi syarikat usaha sama dan perkara berkaitan.

    Apabila dicadangkan oleh Muhammad Shafee bahawa kemungkinan tindakan kakitangan 1MDB adalah menjaga keselamatannya, Mohd Bakke menjawab “Wallahu a’lam (dan Allah lebih mengetahui).

    Mohd Bakke berkata, pada majlis berkenaan, dia sentiasa diikuti ke mana-mana oleh kakitangan 1MDB, malah hingga ke tandas.

    “Selepas meletak jawatan daripada 1MDB, saya tidak mahu terbabit lagi dengan 1MDB, …ia adalah sesuatu yang saya ingin lupakan, katanya.

    Sementara itu, Mohd Bakke berkata beliau tidak pernah mencurigai peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low sebagai wakil kepada Najib.

    Bagaimanapun katanya, beliau mengesyaki tindakan Najib yang mahu mempercepatkan pelaburan 1MDB dalam syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi (JVCo) dan tindakan Jho Low memberikan arahan kepada pengurusan 1MDB.

    Jho Low pernah mengemukakan cadangan kerjasama dengan FGV Holdings Berhad (FGV) pada 2007 yang mana ketika itu beliau adalah pengerusinya.

    Jho Low dibawa oleh bekas Pengerusi, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang bagi membuat pembentangan kepada FGV mengenai tenaga yang boleh diperbaharui.

    Ketika pembentangan, saksi berkata beliau tidak memberikan tumpuan kepada Jho Low, sebaliknya hanya fokus kepada Abu Zahar yang sudah lama dikenalinya.

    “Saya dengar pembentangan itu pun kerana Abu Zahar. Bagaimanapun kerjasama itu tidak diteruskan kerana terdapat beberapa syarat yang tidak dipenuhi,” katanya.

  • Altantuya buat laporan polis, minta cari Razak Baginda jika apa-apa berlaku kepadanya

    Altantuya buat laporan polis, minta cari Razak Baginda jika apa-apa berlaku kepadanya

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa wanita warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu pernah membuat laporan polis menyatakan ‘sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda’, hari yang sama wanita itu hilang hampir 16 tahun lepas.

    Supt Tonny Anak Lunggan, 42,  pegawai penyiasat dalam kes bunuh wanita itu berkata pada 3 Nov 2016 beliau dihubungi melalui telefon oleh DSP Gan Tack Guan memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh Altantuya di Balai Polis Tun H.S. Lee pada 1.08 tengah hari, 19 Okt 2006.

    “Saya telah menyemak laporan polis itu melalui Police Reporting System (PRS) dan mencetaknya keluar. Saya dapati adalah benar bahawa laporan polis itu dibuat oleh Altantuya dan memaklumkan kepada DSP Gan dan Supt Zainol Samah mengenai laporan polis tersebut.

    “Saya ingat satu perkara yang amat jelas. Altantuya nyatakan dalam laporan itu sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda (penganalisis politik Abdul Razak Baginda),” kata saksi ke-26 itu ketika membacakan pernyataan saksinya.

    Beliau berkata demikian pada prosiding kes saman RM100 juta difailkan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev Shaariibuu dan keluarganya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.

    Kepada soalan peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, saksi itu berkata Inspektor Zamilah Mamat telah ditugaskan sebagai pegawai penyiasat untuk menyiasat laporan polis tersebut, namun beliau tidak sempat mengambil keterangan daripada mendiang Altantuya.

    Tonny, yang kini bertugas di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman berkata adalah penting untuk siasatan dibuat terhadap laporan polis itu kerana ia dibuat oleh si mati dan berkait langsung dengan kehilangannya.

    “Tambahan pula, laporan itu dibuat pada hari sama dengan kehilangan beliau (19 Okt 2006).

    “Walaupun saya bukan pegawai penyiasat bagi laporan itu, saya masih mengambil kira laporan tersebut kerana berkait terus dengan siasatan saya khususnya terhadap laporan Namiraa Gerelmaa mengenai kehilangan rakannya (Altantuya),” katanya.

    Menurut Tonny, kandungan laporan polis Namiraa menyatakan bahawa pada 19 Okt 2006, pada 7 malam, semasa beliau dan Altantuya berada di sebuah hotel, Altantuya telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu Altantuya bahawa suaminya meminta lelaki itu menjemput Altantuya pergi ke sebuah rumah di Damansara Heights.

    “Kira-kira 8 malam, Altantuya kemudiannya menghubungi Namiraa dan menyatakan beliau sudah sampai di rumah suaminya bernama Abdul Razak Abdullah Baginda.

    “Namiraa menyatakan bahawa beliau telah cuba menghubungi rakannya itu, namun gagal. Beliau membuat laporan polis kerana takut terjadi apa-apa hal keselamatan terhadap rakannya itu,” katanya.

    Tonny berkata berdasarkan siasatan serta kandungan laporan polis tersebut, DSP Gan telah mengarahkan ASP Lim Meng Seah untuk menangkap Abdul Razak dan lelaki itu kemudian ditangkap pada 7 Nov 2006.

    Sementara itu, Tonny berkata Abdul Razak juga telah membuat laporan polis pada 23 Okt 2006 berkenaan ugutan oleh Altantuya, yang juga dikenali sebagai Amina pada 17 Okt dan laporan berhubung gangguan daripada seorang lelaki serta dua perempuan warga asing, yang dibuat pada 20 Okt tahun sama.

    Ditanya Sangeet adakah saksi itu tahu mengapa laporan polis tersebut dibuat tujuh hari selepas Altantuya pergi ke rumah Abdul Razak pada 17 Okt, Tony menjawab, beliau tidak tahu kenapa laporan oleh Abdul Razak dibuat lewat dan beliau tidak diberi penerangan berhubung perkara itu.

    Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.

    Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.

    Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung esok.

    — BERNAMA

  • UKSB  beri SG$200,000 – SG$520,000 sebulan kepada Zahid selama 4 tahun

    UKSB  beri SG$200,000 – SG$520,000 sebulan kepada Zahid selama 4 tahun

    BEKAS Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mengesahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Harry Lee Vui Khun berkata bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir tahun 2014 dengan bayaran sebanyak SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

    “Bayaran SG$200,000 sebulan bermula pada hujung tahun 2014 dan berterusan sehingga pertengahan 2015. Dalam tempoh itu, kami ada pergi ke rumah beliau (Ahmad Zahid) di Country Heights, Kajang dan dalam perjumpaan itu Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) meminta sumbangan bulanan dinaikkan. Selepas berbincang dengan Wan Quoris (Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, Pengarah UKSB) dan David Tan, kami bersetuju untuk (memberi)  SG$300,000 sebulan.

    “Kemudian pada 2017, Datuk Seri Zahid meminta untuk berjumpa kami berdua di kediaman peribadinya. Dalam pertemuan itu juga Datuk Seri Zahid meminta bayaran bulan dinaikkan berikutan pilihan raya umum akan diadakan.

    “Selepas berbincang dengan Wan Quoris dan David Tan, kami bersetuju untuk menaikkan bayaran bulanan daripada SG$300,000 kepada SG$520,000 sebulan,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Abdul Malik Ayob pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah.

    Saksi pendakwaan ke-15 itu menambah mereka bersetuju dengan jumlah itu selepas Ahmad Zahid memaklumkan bahagian UMNO memerlukan bantuan kewangan.

    “Dalam perbincangan kami, kami bersetuju untuk membayar sejumlah RM10,000 bagi setiap bahagian iaitu lebih kurang 100 bahagian UMNO dan selepas pengiraan jumlah keseluruhan mencecah SG$520,000 sebulan,” katanya.

    Saksi pendakwaan ketiga, bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN) Siti Jalilah Abd Manap sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid telah menyambung kontak UKSB untuk projek VLN walaupun kontrak sedia ada masih berbaki tiga tahun lagi.

    Apabila ditanya dalam soalan tambahan oleh DPP Datuk Raja Rozela Raja Toran, bolehkah anda mengingati berapa kali anda menghantar (wang tunai) dari 2014 hingga 2018? Beliau berkata: “Proses itu 70 peratus dilakukan oleh saya…40 kali dalam tempoh empat tahun.”

    Raja Rozela: Bolahkah anda ingat dengan siapa anda pergi ke Country Heights, Kajang (rumah Ahmad Zahid) untuk menyerahkan wang itu?

    Harry Lee: Dengan Wan Quoris dan David Tan.

    Raja Rozela: Dalam kenyataan, anda berkata wang itu diserahkan sendiri oleh anda, anda pergi bersama (Wan Quoris dan David Tan) mengapa anda berbuat demikian?

    Harry Lee: Saya tak pasti, dari hari pertama penghantaran sedemikian, saya hanya ikut dari hari pertama, ia adalah pertemuan empat mata (dengan Ahmad Zahid).

    Beliau menambah sepanjang 40 kali penghantaran yang dilakukannya, Ahmad Zahid tidak pernah memulangkan wang itu.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

    — BERNAMA

  • Isu tular jual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia bukan milik JPN – Hamzah

    Isu tular jual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia bukan milik JPN – Hamzah

    DAKWAAN  penjualan 22.5 juta data peribadi rakyat Malaysia seperti yang tular menerusi media sosial hari ini, disahkan bukan milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    “Kami (Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai mekanisma untuk mengesahkan data yang dijual itu bukan daripada JPN. Seperti kes-kes sebelum ini, penjualan data melibatkan agensi yang diberi ruang untuk terima maklumat daripada JPN,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu berkenaan selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

    Hamzah berkata satu siasatan sedang dilakukan pihaknya dan mendapati data yang dijual itu adalah koleksi penjual daripada sumber-sumber lain.

    “Semua individu yang terlibat dengan kegiatan penjualan data peribadi ini akan dipanggil bagi membantu siasatan dan hasil siasatan penuh akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.

    Sehubungan itu, Hamzah berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi mendapatkan data peribadi melalui agensi di bawah JPN akan dikaji semula.

    “JPN merasakan wujud keperluan untuk data peribadi didapatkan terus daripada jabatan terbabit supaya isu seperti ini tidak timbul,” katanya.

    Terdahulu, sebuah portal teknologi dan telekomunikasi, Lowyat.net melaporkan terdapat penjualan data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan dimiliki 800,000 individu milik JPN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara dalam talian.

    Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

    — BERNAMA

  • Sukan SEA: Pasukan golf lelaki negara tamatkan kemarau emas selepas 21 tahun

    Sukan SEA: Pasukan golf lelaki negara tamatkan kemarau emas selepas 21 tahun

    MALAYSIA akhirnya meraih emas acara berpasukan golf lelaki Sukan SEA selepas dua dekad, menewaskan Thailand 2-1 dalam final hari ini.

    Pasukan negara terdiri daripada  Ervin Chang, Marcus Lim Pang Chuen, K. Rhaasrikanesh dan A. Nateeshvar (pemain simpanan) menampilkan persembahan mantap di Heron Lake Golf Course & Resort di Bangkok, untuk mengetepikan juara bertahan itu, sekali gus menyumbang emas ke-24 pada temasya dwitahunan berkenaan yang sedang berlangsung.

    Ervin, yang baru-baru ini mencipta sejarah sebagai atlet golf negara pertama memenangi acara individu lelaki, mengalahkan Weerawish Narkprachar 2-1, manakala Marcus tewas 0-1 kepada Ratchanon Chantananuwat, menjadikan kedudukan terikat 1-1. 

    Rhaasrikanesh muncul penyelamat buat Malaysia apabila menang 1-0 menentang Pongsapak Laopakdee.

    “Selepas pusingan yang sukar semalam, saya sangat gembira dengan pukulan-pukulan terakhir (yang dilakukan). Hati dah berdebar-debar sikit, akhirnya semuanya bagus,” kata Rhaasrikanesh kepada pemberita.

    Malaysia hanya pernah dua kali memenangi acara berpasukan lelaki iaitu pada 1989 dan 2001.

    Pasukan yang meraih emas pada edisi 2001 di Kuala Lumpur terdiri daripada Airil Rizman Zahari, S. Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin.

    Sementara itu, pasukan wanita yang dibarisi Mirabel Ting Ern Hui dan Jeneath Wong terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, selepas tewas pada Thailand 1.5 – 0.5.

    Mirabel berjaya menjadikan kedudukan seri ketika berentap dengan Natthakritta Vongtaveelap, namun pemenang gangsa individu wanita, Jeneath, ditundukkan 1-0 oleh Eila Galitsky.

    Bantahan oleh pasukan Malaysia yang mendakwa berlaku kesilapan teknikal kedi, bagaimanapun tidak berjaya membawa pertandingan ke pusingan penentuan.

    Keputusan pada edisi kali ini adalah paling cemerlang dihasilkan pasukan golf kebangsaan dalam kempen Sukan SEA, menerusi dua emas, satu perak dan satu gangsa.–Bernama