BEKAS Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau diawasi dan diperhatikan oleh kakitangan 1MDB hingga ke tandas pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama 1MDB-Petrosaudi (JVCO).

Mohd Bakke berkata, beliau hadir pada majlis itu di mana Datuk Seri Najib Razak adalah tetamu kehormat atas dasar menghormati Lembaga Pengarah (BOD) dan pemegang saham 1MDB yang juga syarikat pelaburan strategik negara.

Memetik laporan Berita Harian, saksi ke-15 pendakwaan itu berkata, perjanjian usaha sama itu sudah ditandatangani sebelumnya, bagaimanapun majlis rasmi dengan Putera Turki bin Abdullah (pengasas PetroSaudi) yang dihadiri tetamu kehormat lain diadakan pada November 2009.

Mohd Bakke meletakkan jawatannya pada 19 Oktober 2009 manakala bekas pengarah 1MDB Tan Sri Azlan Mohd Zainol meletakkan jawatan pada 11 Januari 2010.

Saksi itu menjelaskan bagaimana beliau diawasi dan diperhatikan ketika disoal oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, mengapa tidak menemui Najib pada majlis itu untuk menyatakan ketidakpuasan mengenai pembayaran AS$1 bilion dalam dua peringkat yang dibuat oleh 1MDB bagi syarikat usaha sama dan perkara berkaitan.

Apabila dicadangkan oleh Muhammad Shafee bahawa kemungkinan tindakan kakitangan 1MDB adalah menjaga keselamatannya, Mohd Bakke menjawab “Wallahu a’lam (dan Allah lebih mengetahui).

Mohd Bakke berkata, pada majlis berkenaan, dia sentiasa diikuti ke mana-mana oleh kakitangan 1MDB, malah hingga ke tandas.

“Selepas meletak jawatan daripada 1MDB, saya tidak mahu terbabit lagi dengan 1MDB, …ia adalah sesuatu yang saya ingin lupakan, katanya.

Sementara itu, Mohd Bakke berkata beliau tidak pernah mencurigai peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low sebagai wakil kepada Najib.

Bagaimanapun katanya, beliau mengesyaki tindakan Najib yang mahu mempercepatkan pelaburan 1MDB dalam syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi (JVCo) dan tindakan Jho Low memberikan arahan kepada pengurusan 1MDB.

Jho Low pernah mengemukakan cadangan kerjasama dengan FGV Holdings Berhad (FGV) pada 2007 yang mana ketika itu beliau adalah pengerusinya.

Jho Low dibawa oleh bekas Pengerusi, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang bagi membuat pembentangan kepada FGV mengenai tenaga yang boleh diperbaharui.

Ketika pembentangan, saksi berkata beliau tidak memberikan tumpuan kepada Jho Low, sebaliknya hanya fokus kepada Abu Zahar yang sudah lama dikenalinya.

“Saya dengar pembentangan itu pun kerana Abu Zahar. Bagaimanapun kerjasama itu tidak diteruskan kerana terdapat beberapa syarat yang tidak dipenuhi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here