Author: Bernama

  • PGA9 rampas rokok seludup bernilai RM3.2 juta dalam rumah kedai di Tumpat

    PGA9 rampas rokok seludup bernilai RM3.2 juta dalam rumah kedai di Tumpat

    BATALION Kesembilan Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas sebanyak 429 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3.2 juta di sebuah rumah kedai di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata rampasan rokok itu dilakukan hasil maklumat diperoleh PGA berkaitan aktiviti penyeludupan produk tembakau itu  pada 3.30 pagi.

    “Ketika serbuan pintu hadapan premis berkenaan tidak berkunci dan hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam premis itu telah menjumpai kotak-kotak berwarna coklat.

    ”Pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak itu menemukan pelbagai jenama rokok putih yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini secara haram,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal (Martek) PGA, Lubok Stol, di sini hari ini.

    Turut hadir Pegawai Pemerintah Medan PGA9, DSP Ismail Sidek.

    Muhamad Zaki berkata pihaknya membawa kesemua rokok yang dirampas itu ke Martek PGA Lubok Stol untuk tindakan selanjutnya.

    “Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi kita mendapati penyeludup telah mengubah modus operandi susulan kawalan ketat di kawasan sempadan iaitu dengan menjadikan rumah atau premis sebagai tempat transit barangan seludup itu.

    Kesemua rokok seludup ini dipercayai untuk pasaran dalam dan luar Kelantan. Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti dalang aktiviti penyeludupan rokok-rokok ni,” katanya.

    — BERNAMA

  • KPDNHEP Terengganu tumpas kegiatan seleweng lebih 16,000 liter diesel bersubsidi

    KPDNHEP Terengganu tumpas kegiatan seleweng lebih 16,000 liter diesel bersubsidi

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas 16,380 liter diesel dan menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi dalam satu operasi di Marang, malam tadi.

    Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata dalam serbuan di stesen minyak di Wakaf Tapai pada 9.30 malam itu, pihaknya turut merampas sebuah lori tangki dengan nilai keseluruhan rampasan (termasuk diesel) berjumlah RM83,217.

    “Ketika serbuan, seorang pemandu lori sedang leka mengisi minyak ke dalam tangki simpanan lori dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sambungan paip diubah suai dipercayai untuk menyalurkan minyak diesel dari tangki asal ke ruang simpanan lori.

    “Pegawai risikan telah mengekori pergerakan lori tangki tersebut dari beberapa stesen minyak sebelum serbuan dilakukan dan modus operandi kegiatan ini adalah dengan membeli minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sehingga penuh tangki simpanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kegiatan pemindahan minyak diesel dari pam stesen minyak ke ruang simpanan lori tangki tanpa kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia adalah salah di sisi undang-undang.

    Saharuddin berkata justeru, pemandu lori tangki berusia 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Katanya jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta.

    Beliau berkata siasatan turut dijalankan terhadap pemilik stesen-stesen minyak yang dipercayai terlibat untuk mengetahui sama ada mereka turut bersubahat dengan kegiatan itu.

    “Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu katanya sebarang aduan boleh dibuat di portal [email protected], talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, [email protected], aplikasi Telefon Pintar EzADU, Whatsapp ke 019-2794317 atau di laman Facebook dan Twitter KPDNHEP Terengganu.

    — BERNAMA

  • 2 pelatih lelaki PUSPEN Raub mati lemas

    2 pelatih lelaki PUSPEN Raub mati lemas

    DUA pelatih lelaki Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) ditemukan lemas ketika mandi tasik di pusat pemulihan itu yang terletak di Kampung Kundang Patah, Raub hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa pertama berusia 43 tahun ditemukan pada kedalaman 10 meter pada 4 petang tadi, manakala mangsa kedua 37 tahun ditemukan empat minit kemudian pada kedalaman lapan meter.

    “Pasukan bomba telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan melakukan pencarian di permukaan air dan menggunakan peralatan grappling iron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.04 petang, sebelum tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub digerakan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi lebih sejam itu. – BERNAMA

  • Skop dasar RUU Sumbangan Politik bawa ke Kabinet

    Skop dasar RUU Sumbangan Politik bawa ke Kabinet

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Rang Undang-undang Sumbangan Politik secara dasarnya telah dipersetujui untuk dilaksanakan dan skopnya akan dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri.

    Beliau berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah yang dipengerusikannya hari ini.

    Menurutnya, Rang Undang-undang Sumbangan Politik penting kerana sehinga kini masih tiada undang-undang atau peraturan dalam negara yang mengawal selia pembiayaan politik.

    “Ia dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ismail Sabri berkata, cadangan pelaksanaan rang undang-undang itu akan dibawa untuk perbincangan dengan ahli Kabinet terlebih dahulu sebelum sesi libat urus dengan parti politik diadakan.

    Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dijadikan agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak dan melihat usaha itu amat penting dan perlu disegerakan bagi membanteras jenayah kewangan serta mengekang ketirisan hasil kerajaan.

    Ke arah melaksanakan usaha itu, katanya, sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda.

    “Dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak ini akan membolehkan agensi penguat kuasa lebih fokus kepada pelaksanaan siasatan bagi kes-kes jenayah khususnya jenayah kewangan,” katanya.

    Selain itu, perdana menteri berkata, satu pelan komprehensif yang akan menginstitusikan prinsip dan amalan tadbir urus yang baik dikenali sebagai Pelan tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun kerajaan akan diperkenalkan.

    Beliau berkata, pelan itu bertujuan meningkat dan memperkukuhkan keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu kelemahan tadbir urus aspek kerajaan termasuk badan berkanun.

    Pelan itu menurutnya, adalah berdasarkan empat prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan.

    “Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi pembangunan MyGovernance ini. Selaras dengan pembangunan tersebut, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI).

    “Mesyuarat bersetuju dengan pembangunan MyGovernance dan mengesyorkan supaya kajian dan sesi libat urus dilaksanakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah akan datang,” katanya

    Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya kajian lebih mendalam dilakukan berkenaan pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara kerana ia melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan.

    Kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik tadbir urus dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini, katanya. – BERNAMA

  • Cubaan seludup dadah RM1 juta guna kurier, kargo KLIA tumpas

    Cubaan seludup dadah RM1 juta guna kurier, kargo KLIA tumpas

    POLIS berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis syabu dari Lembah Klang ke Sabah dan Sarawak, melalui perkhidmatan kurier dan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam dua kes berasingan, bulan ini.

    Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman dalam sidang media di Sepang hari ini berkata, dadah jenis syabu seberat 28 kilogram (kg), yang dianggarkan bernilai RM1 juta itu dirampas di sekitar kawasan Kompleks Kargo KLIA pada 8 dan 11 Mei lepas.

    Dalam kes 8 Mei, polis menemui 3 kg dadah disorok dalam satu unit ketuhar gelombang mikro dipercayai untuk dihantar ke Tawau, Sabah, manakala pada 11 Mei pula, dadah seberat 25 kg ditemui disorokkan dalam dua unit alat pembesar suara, untuk dihantar ke Tawau dan Kuching, Sarawak.

    Imran berkata sindiket yang terlibat, dipercayai menggunakan syarikat penghantaran barangan yang baru dibuka sekitar Lembah Klang.

    “Siasatan mendapati pengirim menggunakan butir diri dan alamat palsu. Butir diri dan alamat penerima juga palsu,” katanya.

    Setakat ini, katanya tiada tangkapan dilakukan dan proses siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Imran berkata lagi, pihaknya telah menggagalkan beberapa cubaan menyeludup dadah melalui Kompleks Kargo KLIA yang dianggarkan seberat 56 kg bernilai RM2 juta, sejak awal tahun ini – BERNAMA

  • Penghantar makanan mengaku salah hantar gambar, video lucah

    Penghantar makanan mengaku salah hantar gambar, video lucah

    SEORANG penghantar makanan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan membuat dan menghantar gambar serta video lucah menggunakan aplikasi Instagram, dua tahun lepas.

    Muhammad Khair Ma’ani, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mahkamah menetapkan 19 Jun depan untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

    Lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi Instagram dengan nama mkdaniel__ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar dan video lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah di sini, kira-kira 8.50 pagi, 25 Jan 2020.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

  • AP beras masih lagi berkuat kuasa – MAFI

    AP beras masih lagi berkuat kuasa – MAFI

    APPROVED Permit (AP) iaitu kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport bagi komoditi agromakanan tertentu seperti kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair tidak lagi dikenakan, berkuat kuasa serta merta, kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

    Ia susulan keputusan pemansuhan AP yang diputuskan Jemaah Menteri dan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

    MAFI dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun berkata, AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuat kuasa.

    Dengan pemansuhan AP itu, MAFI berkata, semua syarikat dibenarkan mengimport semua komoditi agromakanan, tertakluk kepada Import Permit (IP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), berserta syarat-syarat yang tertulis dalam permit.

    MAFI berkata, walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agromakanan dari luar negara, pengimport masih perlu mempunyai IP bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu-pintu masuk negara.

    “Ini untuk memastikan kawalan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas daripada penyakit dan perosak, serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya.

    Ismail Sabri semalam mengumumkan tiada lagi AP dikenakan bagi mengimport bahan makanan berkuat kuasa serta merta, di mana keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya, bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

    MAFI berkata, ia akan terus memainkan peranan penting, bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan dan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dimakan serta berkhasiat.

    “Pada masa yang sama, kebajikan pengeluar makanan tempatan juga akan terus dipelihara,” katanya. – BERNAMA

  • Habibah dilantik Pengerusi JK Khas tangani gangguan seksual, buli

    Habibah dilantik Pengerusi JK Khas tangani gangguan seksual, buli

    BEKAS Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambah baik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penubuhan jawatankuasa khas ini merupakan antara pendekatan kementerian untuk mendapatkan solusi terbaik dalam menangani kes gangguan seksual dan buli.

    Selain Habibah, turut menerima watikah pelantikan semalam ialah tujuh ahli jawatankuasa berkenaan yang merupakan individu berpengalaman luas dan mempunyai latar belakang profesion berbeza termasuk pensyarah, kaunselor, pegawai undang-undang serta wakil badan bukan kerajaan.

    Mereka terdiri daripada Datuk Sutinah Sultan, Datuk Sulaiman Wak, Prof Datin Mariani Md Nor, Lt Kol Bersekutu (PA) Aminuddin Awang, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Prof Madya (Kehormat) Datuk Dr Sundramoorthy dan ACP Siti Kamsiah Hassan.

    “Kami yakin serta percaya dengan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya, jawatankuasa khas ini akan dapat membantu kementerian meneliti secara mendalam dan seterusnya mengesyorkan pelan tindakan bersesuaian,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini. – BERNAMA

  • Pelajar sekolah perempuan antara 5 suspek edar dadah

    Pelajar sekolah perempuan antara 5 suspek edar dadah

    POLIS menahan lima sekawan termasuk seorang remaja perempuan masih bersekolah yang disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah sejak tahun lepas di sekitar Lembah Klang, dalam tiga serbuan sejak dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, semua suspek yang berusia lingkungan 14 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua buah kondominium, masing-masing di Jalan Kuching dan di Jalan Cemur, serta sebuah rumah di Petaling Jaya.

    Beliau berkata, polis turut merampas 50 botol mengandungi cecair disyaki methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) berjumlah 500 mililiter (ml), 10 bungkus air ketum (7,000 ml), 54 botol dadah MDMA (3,300 ml), dan 41 botol MDMA (410 ml) dalam serbuan itu.

    “Kesemua suspek direman sehingga 24 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan dadah yang diperolehi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.

    Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

    Beh berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM210,570 dan boleh digunakan oleh 1,121 penagih. – BERNAMA

  • Bekas ADUN Telok MAS, Noor Effandi Ahmad sertai Amanah

    Bekas ADUN Telok MAS, Noor Effandi Ahmad sertai Amanah

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), Selasa lepas.

    Perkara itu dikongsikan beliau di laman sosial Facebook miliknya semalam, selepas menyerahkan borang keahliannya kepada Naib Presiden Amanah, Adly Zahari.

    “Inilah wadah baharu perjalanan politik saya. Sedikit sebanyak, pengalaman lalu baik suka mahupun duka akan dibawa bersama buat merencana suatu harapan yang lebih baik dan moga membawa manfaat kepada Malaysia tercinta. Kekuatan diri akan diperkasa, kelemahan diri menjadi pedoman berharga.

    “Kepada keluarga besar Amanah, saya sedar saya ini budak baharu belajar, banyak kekurangannya. Mohon tunjuk ajar dan kerjasama,” menurut catatan itu.

    Sementara itu, Adly, yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, juga di Facebooknya mengucapkan selamat datang kepada Noor Effandi, Afiq Nordin dan rakan-rakannya dalam keluarga Amanah.

    Noor Effandi bersama ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron, ADUN Pantai Kundur Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga mengakibatkan kerajaan negeri Melaka tumbang pada tahun lepas dan pilihan raya negeri diadakan.

    Berikutan tindakannya itu, Noor Effandi dipecat keahliannya daripada Bersatu. – BERNAMA