Author: Bernama

  • Kereta jatuh longkang besar, 2 remaja maut

    Kereta jatuh longkang besar, 2 remaja maut

    DUA remaja lelaki maut manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang besar dipenuhi air di KM14.3 Lebuhraya Sultan Iskandar di Johor Bahru, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Rupiah Abd Wahid berkata, kemalangan pada 2.05 pagi itu mengakibatkan kedua-duanya yang berusia 18 tahun dan merupakan pemandu kereta serta penumpang hadapan, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Beliau berkata, dua penumpang belakang iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang cedera di paha kanan dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera di kepala dan badan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru telah melanggar pembahagi jalan selepas melalui selekoh lalu terbabas ke dalam longkang dipenuhi air yang menyebabkan kereta tersebut tenggelam.

    “Kedua-dua mangsa yang maut dikeluarkan oleh pihak bomba manakala dua penumpang belakang berjaya mengeluarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar berkata selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu, dua jentera dan tiga ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM) dengan 11 anggota dihantar ke tempat kejadian.

    “Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati empat mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut, namun dua daripadanya berjaya keluar daripada kenderaan sebelum bomba tiba,” katanya sambil menambah operasi berkenaan ditamatkan pada 3.08 pagi. – BERNAMA

  • Op Maksiat: 3 lelaki, 4 wanita asing dicekup

    Op Maksiat: 3 lelaki, 4 wanita asing dicekup

    DUA lelaki yang didapati positif dadah jenis methamphetamine antara tujuh individu ditahan menerusi Op Bersepadu Khas Maksiat di empat pusat hiburan di sekitar Melaka Raya di Melaka tengah malam tadi.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dua rakan berusia 25 dan 50 tahun itu ditahan ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan dalam operasi bermula 12.30 tengah malam.

    Beliau berkata, turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan penjaga sebuah premis hiburan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji empat wanita warga asing tanpa permit kerja sah.

    “Empat wanita warga asing berusia 31 hingga 38 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial serta permit kerja dengan bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan terlibat dan mereka akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zainol berkata, kesemua serbuan dijalankan secara serentak dan keseluruhannya, seramai 312 individu terdiri daripada 195 lelaki tempatan, 112 wanita tempatan dan lima wanita warga asing berusia 22 hingga 45 tahun diperiksa.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan 56 serbuan melibatkan premis hiburan, rumah urut dan hotel bajet di sekitar negeri itu bagi mengesan aktiviti maksiat dan individu dikehendaki, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

    Katanya, menerusi siri serbuan berkenaan, seramai 195 individu terdiri daripada 49 warga tempatan dan 146 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.

    Zainol berkata, pihaknya juga melaksanakan 45 pemeriksaan ke atas pusat hiburan manakala rumah urut dan hotel bajet masing-masing 25 pemeriksaan sejak Januari hingga Jun tahun ini.

    “Hasil pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan, sebanyak 24 saman dikeluarkan iaitu enam saman ke atas pemilik premis kerana beroperasi tanpa lesen perniagaan, premis beroperasi lebih masa (17) dan premis menjual minuman keras tanpa lesen (satu).

    “Tindakan serbuan, tangkapan dan rampasan yang giat dijalankan sepanjang enam bulan pertama tahun ini sedikit sebanyak memberi impak besar kepada individu dan sindiket maksiat untuk bergerak aktif di Melaka.

    “Polis memandang serius aktiviti ini dan fokus mengambil tindakan berterusan dalam memastikan aktiviti berkenaan dapat dibendung,” katanya. – BERNAMA

  • Taktik sorok rokok seludup lebih RM500,000 dalam van terbongkar

    Taktik sorok rokok seludup lebih RM500,000 dalam van terbongkar

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai lebih RM500,000 termasuk cukai yang dipercayai disimpan oleh kumpulan penyeludup di dalam sebuah van yang diletakkan di sebuah lorong kampung, di Kota Bharu, empat hari lepas.

    Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, pasukan operasi bahagian penguatkuasaan JKDM Kota Bharu menemukan 82 kotak yang mengandungi 671 batang rokok pelbagai jenama itu selepas memeriksa van berkenaan dalam serbuan Ops Benteng, pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

    “Kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM98,650 dengan nilai cukai sekitar RM452,725…kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Padang Bongor, di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata, risikan pihaknya mendapati penyeludup sengaja menjadikan kenderaan yang ditinggalkan sebagai tempat simpanan rokok seludup untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, sebelum diedar kepada pelanggan.

    Sementara itu, Mohd Nasir berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini 183 kes rokok seludup dikesan melibatkan rampasan 11 juta batang rokok bernilai kira-kira RM1.5 juta dengan nilai cukai dianggarkan RM7.4 juta.

    Beliau berkata, 22 individu ditahan dan didakwa di mahkamah bersabit dengan kegiatan itu. – BERNAMA

  • Tawaran saman PDRM, JPJ melalui WhatsApp adalah palsu

    Tawaran saman PDRM, JPJ melalui WhatsApp adalah palsu

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan iklan promosi tawaran saman hingga 20 Julai yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp adalah palsu.

    Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, iklan itu yang mempromosikan tawaran 50 peratus diskaun saman PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memaparkan nombor individu yang boleh dihubungi bagi mendapatkan diskaun tersebut.

    “Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu berkenaan.

    “Orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut diminta tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan berita terutama mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

  • Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    SEBUAH treler 30 tan yang sedang membawa muatan besi guna semula dikatakan berhenti secara tiba-tiba sebelum menggelongsor secara mengundur dan merempuh sebuah rumah dalam satu kemalangan di Jalan Peringkat 4, Kampung Felda Sendayan, Seremban malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9.15 malam apabila treler yang dipandu lelaki berusia 32 tahun itu mengalami kerosakan enjin, menyebabkan ia berhenti secara tiba-tiba.

    Beliau berkata, treler yang dalam perjalanan dari Melaka menuju Sungai Pelek, Sepang itu kemudiannya menggelongsor, sebelum bahagian belakangnya tergelincir ke kiri bahu jalan dan merempuh sebuah rumah.

    Nanda dalam kenyataan hari ini berkata, tiada kecederaan dilaporkan, dan ujian saringan awal mendapati pemandu treler itu positif dadah jenis methamphetamine. – BERNAMA

  • Hans Isaac, Maszlee Malik antara 20 MPP baharu PKR

    Hans Isaac, Maszlee Malik antara 20 MPP baharu PKR

    DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini diumum secara rasmi sebagai Presiden PKR bagi sesi 2022-2025 pada Kongres Nasional Ke-16 parti itu selepas menang tanpa bertanding jawatan nombor satu parti pada Pemilihan PKR 2022.

    Keputusan kepimpinan baharu PKR diumum Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Saiful Izham Ramli.

    Bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli pula diumum secara rasmi dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR, menewaskan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Menurut laman web rasmi PKR, Mohd Rafizi meraih 59,678 undi manakala Saifuddin Nasution mendapat 43,010 undi.

    Sementara itu, empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksikan pertandingan 17 penjuru dimenangi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari (46,075 undi), Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang (34,939), Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (34,496 undi) manakala Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (33,230 undi).

    Turut diumum adalah senarai 20 barisan baharu Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipilih oleh 2,665 perwakilan pada Kongres Nasional PKR semalam.

    Berikut adalah senarai penuh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR 2022-2025:

    Pengerusi Tetap: Datuk Ahmad Kassim

    Timbalan Pengerusi Tetap: Muhammad Mustafa Ghazanfar

    Presiden: Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Timbalan Presiden: Mohd Rafizi Ramli

    Naib Presiden:

    1. Datuk Seri Amiruddin Shari
    2. Chang Lih Kang
    3. Nik Nazmi Nik Ahmad
    4. Datuk Seri Aminuddin Harun

    Anggota MPP:

    1. Dr Maszlee Malik

    2.​​ Akmal Nasrullah Mohd Nasir

    1. Datuk Romli Ishak

    ​​​​​​​4. Fahmi Zainol​​​​​​​

    ​​​​​​​5. Mohd Yahya Mat Sahri​​​​​​

    ​​​​​​​6. Nor Azrina Surip

    ​​​​​​​7. Lee Chean Chung

    ​​​​​​​8. Siti Aishah Shaik Ismail

    ​​​​​​​9. Syed Ibrahim Syed Noh

    ​​​​​​​10. Gerald Hans Isaac

    ​​​​​​​11. Simon Oii Tze Min

    ​​​​​​​12. Wong Chen

    ​​​​​​​13. Raiyan Abdul Rahim

    ​​​​​​​14. Tan Kar Hing

    ​​​​​​​15. Zahir Hassan

    ​​​​​​​16. David Cheong Kian Young

    ​​​​​​​17. Hee Loy Sian

    ​​​​​​​18. Amidi Abdul Manan

    ​​​​​​​19. Elizabeth Wong Keat Ping

    ​​​​​​​20. Muhammad Bakhtiar Wan Chik. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pesawat kargo terhempas dan terbakar

    [VIDEO] Pesawat kargo terhempas dan terbakar

    SEBUAH pesawat kargo Ukraine yang membawa lapan anak kapal dilaporkan terhempas berhampiran bandar Kavala di utara Greece pada petang Sabtu, menurut Xinhua.

    Sebelum terhempas pesawat Antonov An-12 yang dalam penerbangan dari Serbia ke Jordan itu meminta kebenaran untuk pendaratan cemas dan memaklumkan pihak berkuasa Greece mengenai masalah enjin, lapor penyiar ERT, memetik sumber Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Greece.

    Menurut saksi kejadian, pesawat itu terbakar dan terhempas di ladang jagung disusuli letupan kuat.

    Operasi menyelamat masih berjalan. Maklumat awal menyatakan pesawat itu membawa 12 tan kargo termasuk peluru namun, ia masih belum dapat disahkan.

    https://youtu.be/691ExNTbiak

    Susulan itu beberapa kawasan berhampiran lokasi kejadian mengalami gangguan bekalan elektrik kerana pesawat berkenaan dikatakan turut melanggar kabel elektrik. – BERNAMA

  • Isteri ADUN Pengkalan Kubor meninggal dunia

    Isteri ADUN Pengkalan Kubor meninggal dunia

    ISTERI kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, meninggal dunia, petang tadi.

    Allahyarham Wan Norihan Wan Ab Rahman, 54, menghembuskan nafas terakhir jam 6.55 petang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

    Pengawai Khas Wan Roslan, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, arwah sebelum ini menghidap penyakit jantung dan baru sahaja menjalani pembedahan pintasan (bypass) di sebuah hospital swasta.

    “Arwah mengalami masalah paru-paru berair selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan dimasukkan ke unit rawatan rapi sebuah hospital swasta selama 26 hari sebelum dipindahkan ke HUSM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Anas Karimi berkata jenazah Allayarham akan dikebumikan di Kampung Kutan, di Tumpat, malam ini.

    Terdahulu pengendali laman Facebook Wan Roslan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, turut memaklumkan mengenai pemergian Wan Norihan. – BERNAMA

  • Kanak-kanak ditemukan mati dengan kesan jerut bukan mangsa dera

    Kanak-kanak ditemukan mati dengan kesan jerut bukan mangsa dera

    KANAK-KANAK perempuan berusia 11 tahun yang ditemukan mati dengan kesan jerut di leher dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng di sini, Khamis lepas didapati bukan mangsa penderaan.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai kecederaan lampau pada badannya.

    “Tiada tanda-tanda mangsa mengalami penderaan kerana tidak mempunyai kesan kecederaan lampau di tubuh badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan, punca kematian kanak-kanak itu adalah akibat dijerut di lehernya.

    Katanya, kes berkenaan masih dalam siasatan.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu pada 4.55 petang Khamis sebelum menahan ibu mangsa berusia 34 tahun bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Jabatan Peguam Negara sahkan tolak tawaran Jho Low

    Jabatan Peguam Negara sahkan tolak tawaran Jho Low

    PEGUAM Negara Tan Sri Idrus Harun mengesahkan bahawa ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low telah membuat percubaan untuk mencari penyelesaian dengan kerajaan berhubung pertuduhan keatasnya.

    Bagaimanapun Idrus berkata semua tawaran itu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Dalam kenyataan hari ini beliau berkata semua percubaan itu dibuat tahun ini menerusi wakil Jho Low.

    “Dalam percubaan itu wakil-wakil Jho Low berjumpa dengan pelbagai agensi Kerajaan Malaysia, termasuk Pejabat Peguam Negara.

    “Semua tawaran bagi penyelesaian berkenaan daripada wakil Jho Low ditolak oleh AGC,” katanya yang merujuk kepada laporan berita berhubung perkara itu.

    Semalam media The Edge yang memetik sumber melaporkan Jho Low menawarkan RM1.5 billion kepada kerajaan bagi menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.

    ‘’Saya hanya fasilitator’’ – Apandi

    SEMENTARA itu, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini cuba menjelaskan peranannya dalam rundingan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dengan kerajaan berhubung tawaran untuk menyelesaikan dakwaan berkait 1MDB.

    Dalam jawapan ringkasnya kepada portal MalaysiaNow beliau berkata peranannya hanyalah sebagai fasilitator kepada rundingan tersebut.

    “Ya,” katanya apabila ditanya tentang perkara itu.

    Dalam kenyataan yang berasingan, Apandi berkata beliau didekati oleh pihak Kobre & Kim yang berpengkalan di Washington DC, Amerika Syarikat untuk berjumpa dengan pejabat Peguam Negara pada penghujung Mei 2022.

    “Saya mengaturkan beberapa pertemuan yang mana wakil Kobre & Kim datang ke Malaysia.

    “Pada mesyuarat itu, yang berlangsung di pejabat Peguam Negara, kerajaan Malaysia diwakili oleh AG (Idris Harun) and pegawainya, serta seorang pegawai kanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

    Menurut Apandi, rundingan itu kelihatan positif semasa sedang berlangsung namun dibatalkan oleh pejabat Peguam Negara secara tiba-tiba.