Tok Chey sebenarnya masih tidak boleh ‘move on’ dengan ucapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mengingatkan kaum Melayu Islam di negara ini agar tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok yang lain.
Pertamanya, Tok Chey kecewa dengan kenyataan itu kerana tiada angin, tiada ribut tiba-tiba kaum Melayu dilabel seumpama itu sedangkan hakikat yang berlaku di alam nyata adalah amat berbeza sekali.
Bandingkanlah dengan mana-mana negara di dunia ini, kita tidak akan jumpa satu kaum seperti Melayu yang cukup baik, bertoleransi dengan agama dan bangsa lain.
Di Malaysia ini ada pelbagai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Tamil dan budaya serta amalan agama lain boleh diadakan dengan aman dan tenteram.
Mereka juga boleh bertutur bahasa ibunda masing-masing tanpa sebarang sekatan atau bantahan daripada golongan majoriti.
Lihatlah bagaimana orang Melayu boleh hidup harmoni, hormat dengan penuh kerukunan terhadap pelbagai bangsa yang ada di dalam negara ini.
Satu contoh mudah yang dapat dikongsikan ialah di tempat tinggal Tok Chey sendiri yang majoritinya penduduk Melayu, ada hampir 10 keluarga Cina dan India yang dapat hidup dengan selesa.
Mereka berasa tenteram untuk hidup bersama majoriti masyarakat Melayu kerana sikap toleransi yang ditunjukkan oleh penduduk setempat.
Di kawasan majoriti Melayu ini jugalah terdapat banyak kedai-kedai dan perniagaan bangsa selain Melayu dan perniagaan mereka maju dan mampu ‘survive’ hasil sokongan majoriti kaum Melayu di sini.
Di tempat Tok Chey bekerja pula, kakitangan yang bukan Melayu dapat bekerja dengan tenang, menikmati kenaikan pangkat dengan adil serta layanan sama rata dan bukan melihat warna kulit.
Pekerja Melayu hormat kepada pekerja bangsa lain kerana itu adalah tuntutan bukan sahaja dalam agama tetapi sikap baik itu penting untuk mewujudkan suasana kerja yang kondusif.
Jika diambil contoh yang lebih luas, lihatlah carta orang terkaya di Malaysia, adakah ia dimonopoli oleh bangsa Melayu atau bangsa lain?
Senarai orang terkaya di Malaysia sudah cukup untuk membuktikan bahawa bangsa selain Melayu dapat hidup dengan selesa dan mengumpul kekayaan dengan ‘aman’ di negara ini.
Jika orang Melayu angkuh dan tidak bertolak ansur, mana mungkin bangsa lain mampu untuk mengekalkan rekod kekayaan sejak sekian lama.
Keduanya bukti depan mata yang dapat dilihat ialah betapa banyaknya bangsa dan warga asing berpusu-pusu mahu masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan dan membina empayar.
Lihatlah berapa banyak jumlah mereka yang berada di Malaysia hingga boleh membuka perniagaan, beranak-pinak dan ada yang sudah bergelar jutawan.
Angkuhkah orang Melayu kita sehingga jumlah warga asing di negara ini sudah berjuta-juta dan jumlah yang masuk secara haram adalah lebih banyak.
Ucapan Anwar yang meminta kaum majoriti di negara ini untuk mengambil pengajaran daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan masyarakat Islam di negara itu juga satu idea yang tidak boleh diterima.
Janganlah kerana hendak memuji negara yang baru dilawati itu, rakyat kita diminta untuk mencontohi mereka sedangkan apa yang diraikan kaum majoriti terhadap minoriti di negara ini adalah jauh lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh Kemboja.
Pada pandangan Tok Chey, selepas ini Perdana Menteri hendaklah lebih berhati-hati dalam ucapannya dan tidak mengguris perasaan orang Melayu.
Ucapan-ucapan seumpama itu tidak membawa sebarang kebaikan bahkan membuatkan orang Melayu menjauhkan diri daripada kerajaan PH-BN.
Leave a Reply