Tag: Anwar Ibrahim

  • Muhyiddin teruskan tindakan saman ke atas Anwar

    Muhyiddin teruskan tindakan saman ke atas Anwar

    PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Perdana Menteri gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada beliau dalam tempoh 24 jam sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam beliau kepadanya.

    Menerusi kenyataan media, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sehubungan itu berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Anwar

    Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang dimuat naik dalam akaun Facebook beliau malam ini.

    HARI ini Anwar Ibrahim membuat kenyataan media berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA. Dia kemukakan dokumen untuk membuktikan dia bercakap benar.

    Tetapi dokumen yang dia kemukakan bukan berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA. Dokumen itu berkenaan Sukuk.

    Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan Sukuk bukan pelupusan hutang peneroka FELDA. Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar.

    Siaran Media Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun saya selesaikan pada tahun 2021.

    Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan. Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.

    Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya kepada rakyat.

    Oleh kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada saya dalam tempoh 24 jam sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam saya kepadanya, maka saya telah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atasnya.

  • Kempen awal PRN melalui rumah terbuka gagal

    Kempen awal PRN melalui rumah terbuka gagal

    Semalam telah berakhir rumah terbuka Aidilfitri Madani di Alor Setar Kedah yang mana penganjurannya menjadi isu hangat diperdebatkan kerana amat ketara ia diadakan berikutan Kedah adalah antara enam negeri yang akan terlibat pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Selepas ini rumah terbuka yang sama akan diadakan di Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Walaupun pemimpin kerajaan menggunakan pelbagai alasan bagi menafikan ia adalah kempen PRN, ia sama sekali tidak dapat meyakinkan rakyat bahawa ia sebenarnya kempen ketara kerajaan PH-BN untuk meraih undi daripada rakyat di enam negeri-negeri berkenaan.

    Alasan paling kukuh bahawa ia adalah kempen ialah ia diadakan di enam negeri yang terlibat PRN sedangkan sebelum ini acara tradisi itu diadakan di Seri Perdana, Putrajaya ataupun di kawasan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri.

    Jika ia bukan kempen PRN, sudah pasti majlis yang sama diadakan di Wilayah Persekutuan, Perlis, Perak (negeri kerusi PM dan TPM), Pahang, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

    Sekiranya alasan untuk bertemu rakyat, sudah pasti ia diadakan di seluruh negara dan bukannya di kawasan negeri tertentu sahaja.

    Kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan untuk mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan majlis di enam negeri lebih jimat berbanding satu majlis di Putrajaya juga alasan yang dicipta untuk menutup pekung di dada.

    Keduanya, pada malam sebelum hari rumah terbuka, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi secara terang-terangan berucap yang menyentuh isu politik Kedah.

    Isu-isu yang dikaitkan dengan negeri itu seperti masalah bekalan air, pembangunan dan kemiskinan dijadikan bahan kempen itu dan beberapa janji politik telah ditaburkan semasa ucapan tersebut seperti “masalah air akan selesai jika kerajaan PH-BN diberi mandat” dan bantuan berbilion ringgit untuk Kedah.

    Dan apabila segala tindak-tanduk menjurus ke arah kempen PRN, maka secara tidak langsung rakyat nampak bahawa jentera kerajaan telah digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk menjayakan rumah terbuka tersebut.

    Selain wang kerajaan digunakan, turut dikerah dengan agresif ialah jentera kerajaan seperti Jabatan Penerangan dan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang dibawa dengan ‘berbiji-biji bas’ untuk memenuhkan majlis berkenaan.

    Sepanjang pengetahuan Tok Chey, semasa PH menjadi pembangkang, mereka cukup lantang mengkritik kerajaan yang dikatakan sering menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

    Kini, apabila menjadi kerajaan, PH dilihat lebih teruk apabila bukan sahaja telah menggunakan jentera kerajaan, tetapi berkempen lebih awal sebelum gendang kempen diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Bahkan mereka kini telah bergabung dengan BN yang dulu sering dituduh oleh PH sering menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen semasa PRU dan PRN.

    Daripada reaksi yang Tok Chey terima, kempen awal kerajaan PH-BN ini walaupun telah mengeluarkan belanja yang banyak dan penyalahgunaan jentera yang menyeluruh, ia tidak akan dapat mengubah pendirian pengundi.

    Ini kerana seperti yang dinyatakan oleh Presiden Pas, Hadi Awang bahawa nasihat mantan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat tersemat rapi di hati ahli-ahli Pas.

    Slogan itu ialah ‘bagi gula kacau, bagi kain pakai, bagi duit ambil namun tetap undi Pas’ .

    Nasihat penting itu jugalah membolehkan Pas terus mempertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah dan terbaharu berjaya menawan Perlis.

    Kesimpulannya, usaha keras kerajaan PH-BN untuk berkempen lebih awal dengan menyalahgunakan segala kemudahan kerajaan tidak akan berjaya kerana ahli Pas dan pengundi atas pagar sudah tetap pendirian mereka dan tidak akan berubah walaupun ditawarkan dengan pelbagai imbuhan.

  • Anwar tak mahu billboard gambarnya dan kerajaan Madani dipasang

    Anwar tak mahu billboard gambarnya dan kerajaan Madani dipasang

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jabatan berkaitan untuk menghentikan pemasangan papan iklan atau billboard baharu yang memaparkan imej beliau atau tulisan kerajaan Madani di seluruh negara.

    Anwar berkata, papan iklan sedia ada termasuk yang bersaiz gergasi sudah mencukupi buat masa ini tanpa perlu membuat penambahan pada masa akan datang.

    Katanya lagi, papan iklan yang sudah dipasang kini juga tidak mendapat persetujuan dan kelulusan daripada beliau.

    “Saya dalam perjalanan ke Alor Setar dan semalam diberitahu billboard Anwar dan Madani di seluruh negara, ini tidak mendapat persetujuan dan kelulusan saya.

    “Saya sudah beritahu, tidak payah belanja (untuk) ini, (tetapi) dijawab oleh jabatan berkenaan bahawa peruntukan ini peruntukan lama dan oleh kerana pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan maka ia dipindahkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Hotel Raia, Alor Setar, hari ini.

    Perdana Menteri berkata, walaupun memahami peruntukan sedia ada digunakan untuk tujuan itu, namun beliau merasakan adalah lebih baik wang tersebut digunakan untuk perkara lain yang lebih bermanfaat.

    “Jadi saya arahkan semua billboard baharu dihentikan, kekal yang ada sahaja dan saya tidak mahu ini diteruskan kerana ia tidak menunjukkan satu pendirian kerajaan Madani.

    “Saya tidak mahu dana kerajaan digunakan untuk buat billboard besar-besaran dan cukuplah yang ada tetapi tidak boleh diteruskan,” katanya.

  • ‘Hari ini hari aman’ – Sanusi

    ‘Hari ini hari aman’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Alor Setar hari ini berlangsung dengan baik.

    “Hari ini hari aman,” katanya ringkas ketika disapa semasa menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan di Hotel Raia.

    Muhammad Sanusi hadir ke rumah terbuka itu bagi mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berangkat sama.

    Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet dan kepimpinan lain.

    Sebelum ini, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani menjadi polemik antara kerajaan dan pembangkang apabila pertama kali dianjurkan di Kedah dan lima lagi negeri berbanding kelaziman di Seri Perdana, Putrajaya.

    Semalam, Muhammad Sanusi mengesahkan akan hadir ke rumah terbuka tersebut setelah Sultan Kedah berkenan berangkat memenuhi undangan Kerajaan Persekutuan.

    Rumah terbuka itu turut mendapat perhatian pemantau pilihan raya, Bersih yang meminta undang-undang penggunaan sumber kerajaan diperketat ekoran kontroversi penganjurannya yang didakwa berunsur politik.

    Pengerusi Bersih, Thomas Fann dilaporkan berkata, penganjuran majlis rumah terbuka raya di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bukan satu kebetulan.

  • Gerakan tuntut janji, komitmen Anwar tolak projek tambak laut

    Gerakan tuntut janji, komitmen Anwar tolak projek tambak laut

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menuntut janji dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini pernah membuat kenyataan menentang projek tambakan laut di bahagian selatan Pulau Pinang (PSI).

    Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong mendakwa, Anwar pernah membuat kenyataan yang membayangkan tidak bersetuju dengan projek tambakan berskala besar itu dalam program perjumpaan bersama komuniti nelayan setempat pada Julai 2019.

    Sehubungan itu, tegas beliau, Anwar harus tegas dan campur tangan sebagai Perdana Menteri untuk membatalkan projek terbabit bagi mengelakkan daripada merosakkan ekologi semula jadi dan menjejaskan mata pencarian nelayan.

    Dalam masa sama, beliau menempelak Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang penuh yakin menyatakan projek itu tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri termasuk pada pilihan raya negeri tidak lama lagi.

    “Kon Yeow seolah-olah tidak mengendahkan suara-suara penentangan daripada rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kini beliau masih menganggap sokongan pengundi Pulau Pinang kepada Pakatan Harapan (PH) adalah satu perkara yang pasti.

    “Inilah akibat daripada sokongan pengundi tanpa syarat kepada PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang merayu penduduk negeri itu mempertimbangkan secara serius kesan dan akibat buruk daripada projek tersebut.

    Jelasnya, pengundi Pulau Pinang perlu menolak gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang sebagai cara menyatakan bantahan mereka terhadap projek tambakan besar-besaran tersebut.

    “Pengundi Pulau Pinang khususnya mereka yang tinggal di kawasan sekitar projek penambakan di selatan Pulau Pinang itu perlu menggunakan undi mereka untuk memberi pengajaran kepada kerajaan PH yang bongkak dan angkuh pada PRN akan datang,” katanya.

    Tambah beliau, sebagai bantuan kepada Pulau Pinang untuk mempromosikan projek perkhidmatan awam, pihaknya merayu Anwar meluluskan peruntukan khas daripada Kerajaan Pusat untuk membiayai pembinaan projek transit aliran ringan (LRT).

    “Langkah ini adalah sama seperti ketika Gerakan memerintah Pulau Pinang suatu ketika dahulu dalam menyiapkan dua buah jambatan di Pulau Pinang tanpa melibatkan projek tambakan besar-besaran untuk mencari modal pembiayaan,” katanya.

  • Projek PSI: Kerajaan sedia dengar keluhan, bantahan nelayan – Anwar

    Projek PSI: Kerajaan sedia dengar keluhan, bantahan nelayan – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedia mendengar sebarang keluhan atau bantahan daripada nelayan tempatan berhubung projek Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

    “Kalau mereka mahu kemukakan bantahan kita akan dengar dan kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jaminul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

    Perdana Menteri menegaskan projek PSI itu pada masa ini menerima kelulusan bersyarat daripada Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

    “EIA meluluskan pada prinsipnya dengan 71 syarat. Jadi kita telitilah. Saya dah kemukakan beberapa kebimbangan terutama (bagi) pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum dan biarkan proses ini berjalan,” katanya.

    Sebelum ini Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) melahirkan rasa kecewa dan mendakwa usaha mereka untuk berjumpa Perdana Menteri bagi membincangkan isu PSI ‘tidak dilayan’.

    Projek penambakan laut secara besar-besaran itu mendapat bantahan nelayan tempatan di situ yang mendakwa bakal terjejas sumber pendapatan dan hasil laut mereka.

    Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan PSI mendapat kelulusan EIA daripada JAS Putrajaya bertarikh 11 April lepas, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

    Chow berkata laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk bacaan umum.

    PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas. – BERNAMA

  • Lelaki ugut baling mercun bom kepada PM direman

    Lelaki ugut baling mercun bom kepada PM direman

    SEORANG lelaki berumur 24 tahun yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata penahanan reman itu dilakukan susulan pihaknya telah mengesan satu ciapan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter Mat Sekilau/Membalak @apanakdikato.

    Katanya, menerusi ciapan berkenaan ia memaparkan tangkap layar individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan “Boleh Pasang nanti bang Non Mai klate, Kasi ajar sikit” untuk membaling mercun bom.

    “Kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri.

    “Hasil pemerhatian mendapati sumber asal hantaran tersebut telah dimuat naik oleh suspek di akaun Tiktok @najibnafi99, namun mengikut semakan video tersebut telah dipadam.

    “Semalam, lebih kurang pukul 10.30 malam, tangkapan telah dibuat ke atas suspek di pekarangan Balai Polis Binjai untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • Enggan layan desas-desus gerakan tumbangkan kerajaan

    Enggan layan desas-desus gerakan tumbangkan kerajaan

    KETUA Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Ismail Nasution berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini disifatkan berada pada situasi yang stabil, utuh dan berfungsi.

    Justeru tegasnya, beliau tidak melihat adanya ancaman daripada pihak luar terhadap Kerajaan Perpaduan ketika ini.

    Pada masa sama katanya, beliau juga enggan melayan dan tidak mahu memberikan sebarang maklum balas terhadap desas-desus kononnya Kerajaan Perpaduan ketika ini bakal tumbang seperti yang didakwa dan tular di media sosial.

    “Fokus kami sekarang adalah untuk memulihkan semula ekonomi, membantu rakyat terutama selepas pandemik Covid-19.

    “Kestabilan politik, memakmurkan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat adalah fokus kami (Kerajaan Perpaduan) ketika ini,” katanya, hari ini.

    Saifuddin Nasution ditanya mengenai desas-desus yang tular di media sosial kononnya Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi PH dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) akan tumbang dalam tempoh terdekat, malah ada yang meramalkan seawal September ini.

    Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut menyifatkan dakwaan partinya terlibat dalam percubaan menggulingkan kerajaan di bawah pimpinan Anwar sebagai mengarut dan tidak berasas.

    Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, dakwaan yang dilaporkan oleh sebuah portal berita sebelumnya adalah tidak benar dan pihaknya tidak terlibat dengan gerakan tersebut.

  • Wujud ‘Napoleon Kecil’ dalam PMO, dakwa Sanusi

    Wujud ‘Napoleon Kecil’ dalam PMO, dakwa Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wujud kumpulan yang digelarnya sebagai ‘Napoleon Kecil’ dalam kalangan pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Beliau berkata, kumpulan itu berperanan sebagai pihak yang menguruskan beberapa perkara dan keputusan kecil melibatkan PMO selain menonjolkan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Bagaimanapun, dakwanya ‘Napoleon Kecil’ ini telah mewujudkan sistem pecah dan perintah terutama membabitkan hubungan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan selain menampakkan ‘keburukan’ individu tidak disukai mereka.

    Menurut Sanusi, tindakan itu akan mewujudkan perbalahan berpanjangan sekali gus merenggangkan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan terutamanya melibatkan Kedah.

    “Saya nampak di dalam pentadbiran Perdana Menteri ada ‘Little Napoleon’, (itu) saya nampak, minta maaf kalau tidak betul, Little Napoleon ini akan timbulkan perpecahan (selain sentiasa) merancang untuk (wujudkan) perbalahan (antara saya dan Perdana Menteri).

    “Niat (mereka) bagus hendak up (naikkan imej) ‘boss’ dia, tapi itu kadang-kadang boleh cetuskan beberapa perkara tidak diingini.

    “(Contohnya) saya beberapa kali (dipalitkan dengan isu terutama) undangan (menghadiri) Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA2023′), Mesyuarat Kewangan Negara, (dan) majlis jamuan hari raya, itu semua itu kerja ‘Little Napoleon’, saya ikhlas bercakap (berhubung isu ini) dan harap Perdana Menteri dengar suara saya,” katanya, menurut laporan Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Menteri Besar Kedah di Seri Mentalon, Alor Setar.

    Mengulas lanjut, Sanusi menjelaskan, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Perdana Menteri namun tindakan kumpulan berkenaan yang turut digelar ‘Syaitan Kecil’ untuk memusuhinya, menampakkan beliau adalah tidak mesra kepada kerajaan Pusat ketika ini.

    Persepsi yang cuba dibawa itu jelasnya tidak lain tidak bukan adalah sebagai bahan kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi menyambut baik ura-ura yang mengatakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal menjadi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Menurut beliau, ketokohan yang ada kepada Shahidan terutama pengalaman sebagai Menteri Persekutuan mampu menjadi nilai tambah yang boleh menjadi penawaran kepada pengundi.

    “Saya dengar dia nak pergi (bertanding di) Selangor, saya dengar (sahaja) bukan ‘confirm’, (apa yang) saya dengar (adalah PRN nanti beliau akan bertanding) di Selangor.

    “(Ia akan menjadikan PN lebih) kuat khususnya di Selangor, di Kedah ini ada tidak bertambah, tiada tidak berkurang, saya rasa di Selangor orang macam dia diperlukan.

    “Ini kerana (beliau) ada pengalaman jadi Menteri Wilayah, saya alukan kalau beliau sedia tanding PRN, seronok juga ada tokoh veteran macam beliau,” katanya.

    Muhammad Sanusi Md Nor, Napoleon kecil, pejabat perdana menteri, Anwar Ibrahim,

  • Anwar PM paling teruk jika gagal tunai janji reformasi, kata Suaram

    Anwar PM paling teruk jika gagal tunai janji reformasi, kata Suaram

    DATUK Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri paling teruk jika gagal menunaikan janji reformasi yang telah dibuat Pakatan Harapan (PH) selama ini, kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

    Menyifatkan kerajaan lambat dalam memperkenalkan dasar berkaitan melindungi hak asasi manusia, pengarah eksekutif kumpulan hak asasi manusia itu Sevan Doraisamy mempersoalkan tekad politik kerajaan untuk mengubah undang-undang zalim dan kuno di negara ini.

    Beliau berkata, mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada Anwar, yang telah menjadi mangsa kezaliman polis dan mangsa penahanan tanpa bicara, untuk melakukan sesuatu sekarang ketia dia mempunyai kuasa.

    “Jadi, sebagai bekas mangsa, (dan dikenali sebagai) Bapa Reformasi, harapan itu (tinggi).

    “… apa yang kita nak lihat antara menteri sebelum ini dan perdana menteri sekarang, saya nak kata Anwar adalah pilihan yang lebih baik berbanding PM sebelum ini, kerana agenda reformasi dan latar belakangnya.

    “Tetapi dengan latar belakang itu, jika dia gagal melaksanakannya, dia akan menjadi perdana menteri yang paling teruk. Kerana perdana menteri sebelum ini tidak banyak memberikan janji dari segi reformasi dan semua itu,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Beliau menyatakannya semasa persidangan yang diadakan di Kuala Lumpur untuk melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia Suaram 2022 hari ini.

    Beliau diminta mengulas berhubung pentadbiran persekutuan pimpinan Anwar, termasuk sama ada Suaram berpuas hati dengan usaha hak asasi manusia yang telah diambil oleh kerajaan sejak ia berkuasa pada November tahun lalu.