
TINDAKAN UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpin berpengaruh dalam parti itu mampu merencatkan momentum perjuangan ahlinya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ini kerana, langkah drastik tersebut dianggap sebagai tidak tepat dibuat oleh kepimpinan tertinggi dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sekaligus ia boleh menyebabkan Parti itu bakal hilang sokongan.
Banyak pihak berpendapat, tindakan yang diambil itu tidak sepadan dengan apa yang dilakukan pemimpin terbabit.
Sebaliknya, ia dikatakan tidak lebih kepada ‘bayang-bayang’ atau ‘igauan ngeri’ dialami kepimpinan tertinggi dalam UMNO.
Berdasarkan itulah ramai penganalisis dan pemerhati politik tanah air termasuk di Terengganu percaya, tindakan tersebut seakan memberi ‘bola tanggung’ atau bonus kepada Perikatan Nasional (PN) diterajui parti Bersatu, Pas dan Gerakan untuk terus meraih kemenangan besar dalam PRN nanti.
Mereka menjangkakan, kemenangan bukan sahaja diraih di tiga negeri diperintah Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Namun, PN juga dilihat berpeluang untuk mencipta kemenangan bergaya di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, iaitu negeri yang diperintah Pakatan Harapan (PH).
Menurut pemerhati politik, hal ini kerana rakyat kini semakin muak dengan pelbagai isu terpalit membabitkan parti pemerintah dalam kerajaan perpaduan sejak kebelakangan ini.
Selepas pasca Pilihan Raya ke-15 (PRU-15), antara isu yang sukar diterima rakyat ialah pembentukan kerajaan perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan cuba menipu rakyat khususnya ahli UMNO kerana ia cuba ‘menghalalkan’ sentimen No Anwar, No DAP.
Ia diikuti pula dengan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi yang terkait dengan isu rasuah dan masih dalam perbicaraan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Sebelum itu Ahmad Zahid telah didesak oleh pelbagai pemimpin UMNO termasuk sayap wanita dan Pemuda supaya meletak jawatan ekoran kekalahan besar parti itu dalam PRU15.
Selain itu, penganalisis politik turut menyatakan isu usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan juga dianggap boleh mengeruhkan lagi perpaduan dan kestabilan dalam UMNO.
Manakala isu terbaharu melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik anaknya, Nurul Izah Anwar sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan pula dijangka turut memberi kesan besar kepada PH dan BN dalam PRN nanti sehingga ia dikatakan mampu menggoncang Kerajaan Perpaduan.

Bercakap mengenai pemecatan dan penggantungan pemimpin UMNO, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris berpendapat sekiranya pemimpin popular UMNO yang dipecat khususnya Khairy Jamaluddin (KJ) menyertai Bersatu, ia dilihat mampu mempekukuhkan lagi sokongan rakyat kepada parti tersebut.
Ini kerana kata Razali, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu memiliki pengaruh, pengalaman luas dan rekod perkhidmatan yang baik.
Malah katanya, bekas Menteri Kesihatan itu juga masih muda disamping memiliki aura, karakter, pengikut serta pengaruh tersendiri.
Bagaimanapun, disebalik kecaman pelbagai pihak ke atas kepimpinan UMNO, Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku pula menganggap isu pembersihan dalam parti itu sebagai perkara biasa dan percaya UMNO mampu bangkit kembali selepas ia berjaya bebas daripada musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.
Justeru, Nik Dir yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang yakin proses pembersihan besar besaran terhadap pensabotaj parti dan calon pada PRU15 lalu mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan parti itu.
Beliau berpendapat, kalau dibiarkan golongan seperti itu dalam UMNO, lagi sukar untuk parti untuk terus mara.
Sambil menyifatkan langkah pembersihan itu sebagai tepat, beliau tidak menafikan akan wujud kesannya kerana masing-masing
mempunyai penyokong peribadi sendiri, namun tidak sampai UMNO akan bungkus atau terkubur.
Apapun dalam konteks Terengganu, banyak pihak meramalkan disebalik jelmaan setiap isu tersebut, tidak mustahil PN dijangka mampu memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Ini kerana, selain pengundi 18, difahamkan ahli-ahli UMNO yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti dijangka akan mengundi calon PN.