TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan barisan ‘Kabinet bayangan’ Perikatan Nasional (PN) yang akan menyelaraskan pengurusan gabungan itu sebagai pembangkang di Parlimen.

Beliau yang juga Pengerusi PN menyatakannya pada sidang media selepas berakhir Pemukiman Ahli Parlimen PN, di sebuah hotel di ibu negara.

Kabinet bayangan PN

Menurut beliau, PN bersetuju dengan cadangan Sekretariat Ahli Parlimen PN diwujudkan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen.

“Jawatankuasa Portfolio pembangkang ini diberikan kepada Ahli Parlimen kita yang ada kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang yang lalu dalam bidang masing-masing,” katanya.

Berdasarkan poster Jawatankuasa Portfolio itu, Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin diberikan tugas penting iaitu portfolio kewangan dan ekonomi.

“Kita setuju sekretariat PN akan keluarkan kenyataan polisi, tentang semua perkara, berkaitan ekonomi apa pendirian dasar, alam sekitar, antarabangsa, pertahanan atau keselamatan dalam negara.

“Kita akan bentang supaya rakyat tahu apa kita bentangkan dan kita bersedia memikul amanah besar kalau rakyat beri mandat tadbir negara,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Ahli Parlimen itu diberikan portfolio berdasarkan kepentingan dan kepakaran individu, dan input mereka akan dikeluarkan sebagai kenyataan oleh sekretariat PN.

Jelasnya, dasar itu akan menjadi kesinambungan Wawasan Kemakmuran Bersama ketika pentadbirannya.

Antara 26 Ahli Parlimen termasuk bekas menteri dari pentadbiran Muhyiddin sebelum ini, kini ditugaskan membayangi pengganti mereka, termasuk Ahli Parlimen PN penggal pertama.

Menerusi senarai itu, Ahli Parlimen Putrajaya Radzi diberikan portfolio kewangan dan ekonomi, manakala Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, memegang portfolio pendidikan.

Ahli Parlimen Bersatu penggal pertama yang dinamakan termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan, membayangi portfolio komunikasi dan digital, serta Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyelia kementerian luar.

Daripada Pas, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad memegang portfolio hal ehwal agama, manakala Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyelia portfolio sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim.

Selain itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah memegang portfolio pembangunan wanita keluarga dan masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here