HELAH dua lelaki mengubah suai van menggunakan logo dan warna Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyeludup daun ketum sebanyak 850 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM8,500 berjayah dipatahkan polis, Khamis lalu.

Tindakan suspek berusia 29 dan 35 tahun termasuk seorang anggota JBPM itu berjaya dikesan polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang, di Jeli, Kelantan.

Menurut Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin, dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, van dengan logo JBPM yang dipandu dua lelaki lengkap berpakaian jabatan melalui sekatan dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota kemudian bertindak mengekori van itu sebelum mengarahkan pemandu untuk memberhentikan di Kampung Rabbana, bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barangan salah, namun terdapat lambakan plastik berwarna hitam yang mengandungi daun ketum pada bahagian belakang van.

“Semakan pada nombor casis (nombor badan kenderaan) mendapati ia tidak wujud dalam sistem selain nombor pendaftaran yang asal berkait dengan kes kecurian lori yang dilaporkan hilang di Sri Alam, Johor, pada 2013.

“Anggota bertindak merampas van serta daun ketum selain menahan kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

Ahmad berkata, mereka ditahan reman bermula 27 Oktober sehingga 1 November untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya negatif dadah.

“Mereka menggunakan modus operandi menggunakan van yang diubah suai sebagai kenderaan jabatan awam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Selain itu, hasil soal siasat mendapati mereka menerima upah RM3,000 untuk satu perjalanan membawa ketum dari sebuah negeri di Utara ke Kelantan bagi tujuan pasaran sekitar Machang.

“Kedua-dua suspek mengakui bahawa penyeludupan daun ketum ini bukan pertama kali dilakukan mereka sebaliknya untuk kali ketiga,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 168 Kanun Keseksaan, Seksyen 171, Kanun Keseksaan, dan Seksyen 108(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here