SEKURANG-kurangnya 19 warga asing disahkan maut dalam kejadian rempuhan semasa sambutan Halloween di daerah Itaewon di Seoul, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan pihak bomba.

Angka kematian meningkat kepada 151 dengan 19 daripadanya dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway, kata ketua jabatan bomba di Yongsan Choi Seong Beom dalam sesi taklimat.

Mereka yang terbunuh terdiri 97 perempuan dan 54 lelaki.

Presiden Yoon Suk Yeol dalam ucapannya secara langsung dari pejabat presiden berkata: “tragedi dan bencana pada Sabtu itu tidak sepatutnya berlaku.”

Presiden juga mengumumkan negara akan berkabung susulan kejadian itu.

Rempuhan itu disifatkan insiden terburuk di Korea Selatan sejak tragedi feri Sewol karam pada 2014 mengorbankan 304 nyawa, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.

Sambutan itu merupakan acara Halloween pertama di Seoul dalam tempoh tiga tahun selepas negara itu menarik balik kebanyakan sekatan COVID-19.

Punca sebenar kejadian masih belum diketahui. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here