MESYUARAT Jawatankuasa Pas pusat semalam menjadi tumpuan kerana parti itu dijangka membuat pilihan sama ada memilih UMNO atau Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi sekutu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebelum Pas bermesyuarat, Bersatu tidak memberi kata dua kepada Pas memilih UMNO atau Bersatu, tidak seperti mana dilakukan oleh Dr.Ahmad Zahid Hamidi. Presiden UMNO memberi tiga syarat kepada Pas kalau mahu bekerjasama dengan UMNO. Tiga syarat itu ialah Pas perlu keluar daripada gabungan PN, memutuskan politik dengan Bersatu dan mengisytiharkan secara rasmi mufarakah sepenuhnya dengan PN.

Tetapi ternyata semalam Pas tidak mempedulikan amaran Zahid apabila memutuskan tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan komitmen ketiga-tiga parti teras Melayu itu. Keputusan Pas hakikatnya sudah diduga, walaupun khabarnya ada dalam kalangan pemimpin Pas sendiri kecewa kerana agenda mereka untuk menarik Pas meneruskan Muafakat Nasional (MN) HANYA dengan UMNO GAGAL!

Kelompok yang dianggap ‘laju sangat’ itu didakwa sering melakukan tindakan atau langkah  yang mendahului kepemimpinan Pas.

Mereka tidak mahu Pas bersama Bersatu, mereka tidak mahu Pas berada dalam Perikatan Nasional, mereka tidak mahu Pas meneruskan agenda penyatuan ummah. Kerana apa? Kerana mereka hanya memikirkan keuntungan politik dalam PRU-15. Ada antaranya terus bercita-cita mahu menjadi menteri.

Inilah golongan ‘parasit’ dalam Pas yang mahu menghancurkan kerjasama erat antara Bersatu dan Pas. Tetapi usaha mereka gagal apabila Abdul Hadi sejak awal konsisten dengan penyatuan ummah. Malah Abdul Hadi bukanlah seperti pemimpin UMNO yang tidak konsisten dalam perjuangan itu. Apabila beliau bersama Ahmad Zahid mengutus surat kepada Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos 2020 menjemput Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) dan disambut penuh positif oleh Muhyiddin pada 18 Ogos 2020, Abdul Hadi terus berpegang kepada perkara itu.

Agenda penyatuan ummah harus diteruskan. Abdul Hadi percaya Muhyiddin ikhlas dalam soal tersebut seperti dinyatakan oleh Presiden Bersatu dalam suratnya bertarikh 18 Ogos tersebut. Antara lain beliau berkata,;

‘’Saya percaya  penyertaan BERSATU dalam MUAFAKAT NASIONAL akan dapat memenuhi hasrat memperkukuhkan agenda penyatuan ummah khususnya dalam perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.’’

Tetapi malangnya, selepas itu gerakan menyatukan ketiga-tiga parti itu senyap begitu sahaja. Tujuh bulan kemudian, pada Mac 2021, Perhimpunan Agung UMNO adalah badan tertinggi parti itu membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan UMNO dalam PRU-15.

Bagaimanapun keputusan UMNO sedikitpun tidak meragut semangat Abdul Hadi yang terus konsisten untuk bersama Bersatu demi penyatuan ummah, biarpun beliau ‘disindir’, dihentam dan dicerca oleh pemimpin UMNO termasuklah ‘budak hingusan’ yang baru setahun jagung dalam politik.

pas khemah besar

Malah Abdul Hadi ‘tidak melompat’ apabila Muhyiddin menyatakan ‘UMNO dan BN adalah musuh utama’ Bersatu pada PRU-15. Kenapa Abdul Hadi bersikap demikian? Ia disebabkan beliau faham, Muhyiddin hanya ‘menyambut’ keputusan perhimpunan agung UMNO yang terlebih dahulu menjadikan ‘Bersatu sebagai musuh kamu yang paling nyata.’’

Penulis percaya, kelompok penyokong tegar MN dalam Pas dan segelintir pemimpin UMNO yang melihat ‘Bersatu musuh kamu paling nyata’ – akan kepanasan berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas pusat semalam.

Mereka gelisah seperti ‘kucing nak beranak’, bila Abdul Hadi terus bercakap soal penyatuan ummah dengan berpegang teguh kepada Firmah Allah SWT dalam surat Al Hujurat ayat 10 yang bermaksud;

”Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.’’

Dan seperti mana kata Abdul Hadi, penyatuan ummah itu bukan sahaja bagi menghadapi PRU-15 tetapi juga sebagai persediaan pasca PRU-15.

Penulis yakin Bersatu khususnya Muhyiddin, tidak akan menghalang hasrat murni Abdul dan Pas itu, tetapi apa yang menjadi masalah ialah kelompok tertentu ‘yang menjalankan kerja-kerja syaitan’ tidak mahu melihat parti-parti Melayu bekerjasama demi kepentingan politik mereka.

Bagi mereka, jika Pas meninggalkan Bersatu maka tercapai ‘agenda jahat’ mereka untuk menghancurkan Bersatu dalam PRU-15…itulah harapan mereka. Namun mereka lupa, seperti kata Datuk Dr.Marzuki Mohamad,;

‘’‘’ Saya hadir dalam hampir setiap pertemuan antara mereka berdua dan saya dapati kedua-duanya sentiasa bersikap berterus terang. Tiada apa perkara penting yang melibatkan hubungan kedua-dua parti diselindungkan.

‘’Malah, jika ada perundingan dengan parti-parti di luar PN yang dibuat sama ada oleh TSMY atau TGHH, kedua-dua mereka sentiasa saling melaporkan hasil pertemuan itu. Jadi tidak ada syak wasangka antara kedua-duanya. Jadi, jika ada pihak yang ingin melihat BERSATU dan PAS berpecah disebabkan isu rundingan antara PAS dan UMNO ini, lupakan sajalah.’’

Dan bagi penulis pula, mereka juga lupa sejak bersama Muhyiddin dalam Kerajaan PN mulai Mac 2020 hingga ke hari ini, Abdul Hadi amat memahami hati budi Muhyiddin dan Abdul Hadi juga pasti mengetahui hati budi Ahmad Zahid kerana mereka bertiga acap kali bersemuka dalam pertemuan dan mesyuarat.

Abdul Hadi tahu Muhyiddin juga ikhlas mahukan penyatuan Melayu sebab itulah Presiden Pas tersebut terus istiqamah mahukan ketiga-tiga parti Melayu itu bersatu hati. Abdul Hadi tahu Muhyiddin bukan seperti ‘pemimpin tertentu’ di depan cakap lain, di belakang buat lain.

Oleh itu kalaulah Pas meninggalkan Bersatu demi mahu bersama UMNO dan menutup agenda penyatuan ummah, adakah mereka yakin ‘sikap depan cakap lain, belakang buat lain’ oleh pemimpin UMNO tertentu, tidak akan berulang?

Apa yang pasti perjuangan Pas menyatukan ummah akan menempuh jalan berlaku, bukan kerana Bersatu atau Muhyiddin, tetapi disebabkan UMNO terlalu yakin mereka sudah kuat dan akan menang besar dalam PRU-15, kalau tidak mana mungkin mereka beri kata dua kepada Pas!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here