CIRI-ciri perpaduan umat tidak akan lengkap sekadar membabitkan dua entiti politik berteraskan Melayu dan Islam semata-mata, tegas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Lapor Berita Harian, Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan kumpulan Islam tidak hanya membabitkan Pas dan UMNO tanpa penyertaan BERSATU dan entiti lain, begitulah juga tidak hanya Pas dan BERSATU tanpa UMNO dan lain-lain.

Sehubungan itu katanya, mana-mana pihak yang menolak usaha penyatuan boleh dikira melampau terhadap usaha perdamaian dan akan dikeluarkan daripada pakatan perpaduan ummah

“Kalau hanya PAS dan UMNO sahaja atau PAS dan BERSATU sahaja, maka tidak memenuhi ciri-ciri perpaduan umat, dan hanya bertujuan politik yang terbatas dan tidak sempurna.

“Jika tanpa golongan bukan Islam yang tidak ekstrem pula, maka tidak terlaksana mesej Islam yang adil kepada seluruh manusia.

“Adapun kumpulan Islam yang memimpin tidak boleh terikat kepada satu-satu bangsa sahaja,” katanya menerusi catatan Minda Presiden di Facebooknya, hari ini.

Abdul Hadi dalam laporan itu berkata, Pas wajib mengambil teladan daripada Sunnah Nabawiyyah dalam sirahnya dengan menjadikan agenda perpaduan umat Islam dan mesejnya kepada seluruh umat manusia bermasyarakat majmuk.

Beliau berkata langkah itu bermula dengan perpaduan umat Islam yang memimpin dengan mengumpulkan semua kumpulan Islam daripada berbagai-bagai jemaah atau parti.

Ia kemudiannya, disertai kumpulan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam konteks masyarakat majmuk.

Abdul Hadi turut menempelak pihak yang berada dalam dilema mengenai kefahaman terhadap Pas yang beraqidah Islam bersifat universal, pada masa yang sama turut memperjuangkan kebangsaan Melayu dan Bumiputera.

Beliau berkata sikap yang menimbulkan persoalan sehingga menimbulkan keraguan terhadap Pas yang membawa agenda perpaduan umat, malah dikatakan Pas memasuki semua kolam, kecuali kolam yang banyak buaya atau binatang berbisa.

“Aqidah Islam yang berbeza dengan ideologi, perlu dirujuk kepada huraian al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah yang mentafsirkannya.

“Kedua-dua sumber itu adalah rujukan tertinggi dalam Undang-undang Tubuh atau Perlembagaan Pas,” katanya.

Sebelum ini Abdul Hadi dilaporkan berkata kepemimpinan Pas masih mengharapkan dapat memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Tegasnya, parti itu tidak berganjak daripada agenda perpaduan ummah di negara ini.

Selasa lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata PAS akan memuktamadkan hala tuju sama ada mengekalkan kerjasama dengan PN atau masih ada persefahaman dengan UMNO, menjelang PRU-15.

Presiden BERSATU itu dilaporkan berkata bayangan itu diberikan oleh Abdul Hadi pada pertemuan dengan kepemimpinan BERSATU.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here