Tag: PRU15

  • Kekalahan BN Terengganu dalam PRU15 umpama luka yang bernanah

    Kekalahan BN Terengganu dalam PRU15 umpama luka yang bernanah

    guane

    KEGAGALAN UMNO- Barisan Nasional (BN) mempertahankan beberapa kerusi penting di kubu kuatnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu amat sukar di terima oleh ahli-ahli parti tersebut.

    Kekalahan kesemua kerusi Parlimen, 0-8 kepada Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai amat memalukan kerana sebelum ini ia tidak pernah berlaku.

    Sebab itulah sehingga hari ini masih ramai yang bercakap dan memperkatakan perkara tersebut.

    Selain penganalisis dan pemerhati politik, rata-rata orang UMNO sendiri termasuk di peringkat akar umbi meletakkan kekalahan itu berpunca daripada kelemahan dan kedegilan pucuk pimpinan parti.

    Malah, ahli-ahli UMNO menganggap kekalahan itu umpama ‘luka yang bernanah’ dan sukar untuk dirawat.

    Mereka terlalu kecewa dan hairan kenapa kekalahan itu boleh berlaku?

    Lalu mereka bertanya kenapa rakyat Terengganu menolak BN sedangkan pada peringkat awal pengumuman calon bagi kesemua kerusi Parlimen dibuat, para pengundi seakan tiada masalah menerima reputasi calon-calon BN?

    Namun, setelah kempen memasuki peringkat pertengahan, kebanyakan calon BN seakan longlai serta tenggelam disebalik reputasi calon PN diwakili Pas dan Bersatu.

    Maka itu, sebaik sahaja kempen berada di penghujung, calon-calon BN termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilihat semakin tenggelam di Kemaman.

    Begitu juga dengan Setiausaha Agong UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat seakan tenggelam di Hulu Terengganu dan Nawi Mohamad pula lemas di Besut.

    Akhirnya,calon- calon popular BN ini juga dilihat terus tenggelam dan lemas disebalik pelbagai isu yang terpalit di peringkat kepimpinan UMNO pusat termasuk melibatkan isu peribadi.

    Yang peliknya serangan isu peribadi seperti rasuah dan No Anwar, No DAP itu turut dilaungkan sendiri oleh ahli-ahli UMNO yang tidak sebulu dengan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Bermula dari situlah, laporan semasa mengenai kedudukan dan penerimaan calon BN sentiasa berubah-ubah.

    Sehari sebelum hari pembuangan undi (PRU15), kedudukan calon di Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu di katakan masih 60-40 dan 50-50.

    Bagaimanapun, pada sebelah malamnya harapan kemenangan di tiga kerusi Parlimen pilihan BN itu lebih cenderung pula kepada calon PN.

    Perkembangan itu menyebabkan Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar ketika bercakap kepada pemberita di Kemaman berasa yakin bahawa PN akan menang kesemua kerusi Parlimen di Terengganu.

    Keyakinan ini akhirnya menjadi realiti apabila gabungan baharu melibatkan parti Pas dan Bersatu berjaya membuktikannya.

    Apapun, bagi pemerhati dan penganalisis politik di Terengganu, mereka berpendapat kekalahan BN dalam PRU15 adalah berpunca daripada kekecewaan rakyat khususnya ahli-ahli UMNO terhadap pucuk pimpinan parti menyebabkan wujudnya undi protes dari dalam selain pengundi muda.

    Sebab itulah kalau diperhatikan pencapaian kemenangan majoriti dimiliki oleh kesemua calon PN dalam PRU15 menunjukkan peningkatan agak selesa berbanding PRU14.

    Ini kerana, bukan sahaja ahli Pas, Bersatu dan UMNO yang memilih calon PN, sebaliknya ia turut menjadi pilihan kepada pengundi berusia 18 termasuk dalam kalangan ‘mat rempit’ yang selama ini sentiasa menjauhi dunia politik.

    Persoalannya, apakah fenomena ini akan terus berulang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini?

    Berdasarkan perkembangan semasa, penulis percaya dan berasa yakin PN mampu melakukannya!.

    Ini kerana selagi ‘luka yang bernanah’ masih ada, amat sukar bagi UMNO-BN menang di Terengganu walaupun bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang awal-awal lagi ditolak rakyat.

  • Waran tangkap: EXCO Terengganu ke mahkamah Ahad ini

    Waran tangkap: EXCO Terengganu ke mahkamah Ahad ini

    PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata beliau akan hadir memberi keterangan pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Ahad ini.

    Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata ketidakhadirannya pagi tadi adalah kerana terlibat dengan beberapa program kerajaan negeri selain telah mencadangkan kepada peguam Barisan Nasional (BN) pada Rabu agar sesi perbicaraan itu dilaksanakan pada sebelah petang.

    “Petang Rabu, PA (pembantu) saya memaklumkan peguam BN cadang supaya (saya) hadir pada 10 pagi Khamis (hari ini) tetapi saya mencadangkan petang sebab saya banyak komitmen program pada sebelah pagi,” katanya.

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor kerana gagal hadir memberi keterangan pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.

    Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Hassan Abdul Ghani selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong itu.

    Perbicaraan bagi Petisyen Pilihan Raya Parlimen Marang bersambung Ahad ini (19 Mac).

    Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Feb lepas menolak bantahan awal yang dikemukakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN. – BERNAMA

  • Sogokan RM150: Pengundi fail petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Putrajaya

    Sogokan RM150: Pengundi fail petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Putrajaya

    SEORANG pengundi di Parlimen Putrajaya memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen itu, yang dimenangi Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, selepas mendakwa ahli Parlimen tersebut memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan untuk mengundinya.

    Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, 49, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jan lepas menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Radzi, 45, selaku responden.

    Menerusi petisyen itu, Ahmad Faisal antara lain memohon perintah mahkamah agar Radzi, yang juga Naib Presiden Bersatu, tidak wajar dipilih bagi Parlimen berkenaan pada PRU15 yang diadakan pada 19 Nov lepas.

    Ahmad Faisal mendakwa pemberian sogokan wang RM150 itu, yang dilakukan oleh responden dan ejennya, menyebabkan kemenangan kepada Radzi dengan mengalahkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, calon daripada Barisan Nasional yang juga penyandang kerusi Parlimen itu sejak 2004.

    Menurut pempetisyen, perbuatan sogokan oleh ejen responden mendorong pengundi di kawasan itu untuk mengundi responden semasa PRU15 dan bukan mengundi calon lain.

    Katanya, tindakan ejen-ejen responden memberikan sogokan dalam bentuk wang tunai telah memprejudiskan perjalanan pilihan raya dan ia suatu tindakan salah serta menggugat amalan prinsip demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Pempetisyen mendakwa pemberian wang sogokan itu diketahui menerusi kumpulan WhatsApp bertarikh 21 Nov dan 21 Dis tahun lepas serta 4 Jan tahun ini, iaitu pengundi yang mengundi responden pada PRU15 akan memperoleh RM150.

    Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Faizah Jamaludin hari ini, peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Radzi membantah petisyen berkenaan atas alasan pempetisyen gagal membuktikan butiran peribadi pengguna aplikasi WhatsApp.

    “Tiada nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat serta pempetisyen gagal memplidkan butiran untuk menunjukkan apa-apa pembayaran oleh ejen responden atas arahan responden,” kata peguam itu.

    Sementara itu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata bantahan awal yang difailkan oleh responden pada 12 Feb lepas, tidak mempunyai merit dan petisyen itu perlu didengar melalui perbicaraan penuh.

    “Kami berhujah bahawa satu-satunya cara untuk hakim Pilihan Raya menentukan sama ada individu itu yang memberikan wang bagi pihak responden atau sebaliknya ia adalah isu yang boleh dibicarakan yang patut diselesaikan dengan cara pemeriksaan saksi ketika perbicaraan petisyen,” katanya.

    Selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, Hakim Faizah menetapkan 10 Mac ini untuk keputusan bantahan awal.

    Pada PRU15, Radzi yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang di kerusi Parlimen Putrajaya dengan memperoleh 16,002 undi, menewaskan penyandang empat penggal kerusi itu, Tengku Adnan yang mendapat 13,692 undi. – BERNAMA

  • Pelantikan Anwar sebagai PM tutup tirai rencam peristiwa politik negara 2022

    Pelantikan Anwar sebagai PM tutup tirai rencam peristiwa politik negara 2022

    PENTAS politik negara tahun ini menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah tersendiri yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) buat julung kalinya membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Pilihan raya pada 19 Nov menampilkan keputusan Parlimen Tergantung, apabila buat pertama kalinya sejak pilihan raya umum 1955, tiada parti atau gabungan yang berupaya menang dengan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu.

    Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN-74), Barisan Nasional (BN-30), Gabungan Parti Sarawak (GPS-23), Gabungan Rakyat Sabah (GRS-enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu kerusi, dalam pilihan raya yang menyaksikan had umur pengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun buat pertama kali.

    Walaupun ramai pemerhati politik sudah meramalkan perkara itu akan berlaku sebaik sahaja Parlimen dibubarkan pada 10 Okt, kebuntuan politik terus membelenggu negara, membawa kepada situasi yang belum pernah dilalui, membingungkan seluruh penduduk negara selama lima hari.

    Namun PRU15 membuktikan sistem demokrasi negara dapat bergerak seperti sepatutnya apabila jalan penyelesaian akhirnya muncul, menerusi bimbingan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang penyelesaiannya menyaksikan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov. 

    Ia sekali gus merealisasikan impian Anwar selama kira-kira 24 tahun untuk menerajui tampuk pentadbiran negara.

    Sebelum ini, sebaik sahaja Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 13 Sept 2021, ia terus disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman kestabilan politik antara kerajaan dengan pembangkang bagi menurunkan suhu persengketaan politik dalam negara, dengan hasrat mewujudkan suasana ‘tenang’, apabila kedua-dua pihak bersetuju PRU15 tidak akan diadakan sehingga 31 Julai 2022.

    Kerjasama antara parti politik di bawah gagasan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Ismail Sabri memberi ruang kepada kerajaan memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi dan membantu meringankan beban rakyat yang masih terkesan dengan pandemik COVId-19.

    Bagaimanapun selepas Julai, ‘suhu’ politik mulai ‘hangat’ kembali apabila ada pihak khususnya UMNO mahu PRU15 diadakan segera bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil berbanding kerajaan sedia ada.

    Desakan itu timbul selepas BN menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Nov 2021 dan diikuti kemenangan melebihi dua pertiga pada PRN Johor pada 12 Mac 2022 dengan memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

    Mengambil kira prestasi di dua PRN berkenaan, BN berpendirian PRU15 perlu diadakan tahun ini meskipun idea itu mendapat bantahan daripada PH, ‘rakan’ BN dalam kerajaan iaitu PN, dan juga beberapa pemimpin UMNO sendiri; atas alasan ekonomi negara belum pulih sepenuhnya kesan daripada COVID-19, serta mengelak mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh.

    Namun akhirnya pimpinan ‘Top 5’ UMNO iaitu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri akhirnya setuju Parlimen dibubarkan pada tahun ini juga.   

    Ledakan pertelingkahan berhubung tarikh pilihan raya terus jadi ketara apabila buat kali pertama dalam sejarah, tiga negeri di bawah pentadbiran PH, yakni Selangor, Negeri Sembilan, serta Pulau Pinang, dan tiga lagi negeri di bawah pentadbiran PAS, yakni Terengganu, Kelantan dan Kedah, – memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15.

    PRU15 turut menampilkan kejutan apabila nama-nama besar seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mohamad, Ahli Parlimen lama seperti Tengku Razaleigh Hamzah, serta beberapa menteri yang menyandang kerusi; tumbang dalam pilihan raya berkenaan.

    Sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan bermulalah siri rundingan dalam kalangan pemimpin pelbagai parti politik bagi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

    Anwar mendakwa beliau sudah memperoleh majoriti mudah, manakala Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberitahu bahawa beliau sudah menghantar akuan bersumpah 112 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada PN.

    Seri Paduka Baginda kemudian menitahkan supaya PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan, namun Muhyiddin enggan dengan alasan PN tidak dapat bekerjasama dengan PH.

    Berikutan itu, pada 24 Nov perbincangan khas Raja-Raja Melayu diadakan sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong merungkai kemelut pembentukan kerajaan baharu, dan pada tarikh sama UMNO memutuskan menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan diterajui PH sebagai menjunjung titah Seri Paduka Baginda.

    Tarikh bersejarah itu juga (24 Nov) menyaksikan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

    Anwar sebagai Pengerusi PH yang juga presiden parti PKR akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menerajui Kerajaan Perpaduan hasil sokongan BN, GPS, Warisan, GRS, PBM, KDM dan Bebas.

    Walaupun GPS pada mulanya menyatakan sokongan kepada PN, dan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, namun susulan perkembangan di Semenanjung Malaysia, Premier Sarawak yang juga pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam kenyataan pada 24 Nov berkata GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan perdana menteri.

    Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut menyusuri laluan sama, menyatakan sokongan kepada PH dan Anwar sebagai perdana menteri pada 24 Nov, walaupun hanya beberapa hari sebelumnya telah memberi sokongan kepada PN dan Muhyiddin.

    Jajaran politik baharu di Semenanjung itu bukan sahaja memaksa parti politik yang memenangi banyak kerusi di Sabah menyokong Kerajaan Perpaduan, malah parti Warisan yang memenangi tiga kerusi, parti KDM dengan satu kerusi dan dua wakil rakyat Bebas turut berbuat demikian. 

    Pada 25 Nov, Anwar melangkah masuk ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk memulakan tugas rasmi pertama sebagai Perdana Menteri, dan seterusnya menyenaraikan anggota Kabinetnya, yang memenuhi titah perintah Al-Sultan Abdullah untuk menampilkan kerajaan inklusif dengan perwakilan daripada semua parti dan wilayah. 

    Anwar turut melakar sejarah baharu dengan mengotakan janjinya untuk melantik dua Timbalan Perdana Menteri – Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof, yang merupakan pemimpin pertama dari Sabah atau Sarawak untuk memegang jawatan sebagai pemimpin nombor dua negara.

    Pada 19 Dis, Anwar membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10, apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan dengan lebih suara bersetuju, pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15.

    Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, selesai membahaskan usul berkenaan.

    Terdahulu pada permulaan persidangan, calon Anwar, Johari Abdul dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, selepas memperoleh 147 undi berbanding 74 yang diperoleh calon PN, bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad. Salah seorang daripada 222 Ahli Parlimen tidak dapat mengambil bahagian dalam undian apabila sampai lewat tiba di Dewan, atas alasan masalah kesihatan. – BERNAMA

  • PN miliki kriteria jadi pembangkang semak dan imbang – Pemerhati

    PN miliki kriteria jadi pembangkang semak dan imbang – Pemerhati

    MESYUARAT pertama Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-15 yang bermula pada Isnin depan dijangka membincangkan beberapa agenda termasuk usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin kerajaan perpaduan.

    Tumpuan pastinya kepada Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai jumlah kerusi Dewan Rakyat kedua terbanyak selepas Pakatan Harapan (PH), namun memilih menjadi pembangkang dengan tidak menyertai kerajaan perpaduan yang setakat ini diwakili PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta disokong beberapa parti lain termasuk Parti Warisan Sabah dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

    PN yang mempunyai 74 kerusi Parlimen ternyata bersedia untuk menjadi blok pembangkang yang kuat apabila ia memilih Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang. Ahli Parlimen Larut yang juga bekas Menteri Dalam Negeri itu terkenal dengan kelantangan dan ketegasan. 

    Pemilihan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang disifatkan tepat oleh pemerhati, khususnya dalam konteks semak dan imbang, memandangkan ini kali pertama negara ditadbir oleh kerajaan perpaduan diketuai oleh PH dengan 82 ahli Dewan Rakyat. Selain itu, ia diperkuat oleh 30 ahli Parlimen BN, GPS (22), GRS (6) dan lain-lain parti.

    Pembentukan kerajaan perpaduan itu disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu menyaksikan Parlimen tergantung buat pertama kali dalam sejarah negara apabila tidak ada sebuah parti pun boleh membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.

    KERAJAAN BAYANGAN

    Ketika mengulas akan kemampuan PN selaku blok pembangkang, pensyarah sains politik daripada Universiti Putra Malaysia Datuk Dr Jayum Jawan berkata sebagai gabungan yang pernah mentadbir kerajaan selama kira-kira dua tahun sebelum ini, PN mampu menjadi pembangkang yang berkesan dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang.

    Jelasnya, memandangkan PN mempunyai jumlah kerusi kedua terbanyak, mereka boleh membentuk ‘kabinet bayangan’ yang cekap.

    “Ketua Pembangkang akan menjadi ‘Perdana Menteri Bayangan’ dan  difahamkan PN akan mengagihkan dua atau tiga ahli Parlimen mereka untuk menjaga dan memantau satu kementerian… ini merupakan satu tindakan yang tepat,” kata Felow Akademi Sains Malaysia itu kepada Bernama.

    Menurutnya, Malaysia tidak pernah mempunyai kabinet bayangan sekalipun BN yang menjadi blok pembangkang selepas PRU14 pada 2018 pernah mengutarakan cadangan tersebut.

    “Pada 2018 rakyat tidak tahu siapa menteri bayangan kerana mereka tidak menonjol dari segi menyemak tindak-tanduk menteri dalam kerajaan.

    “PN boleh mewujudkan dengan jelas peranan kabinet bayangan, namun mereka yang dilantik perlu menunjukkan kesungguhan melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut kerana ia bersifat  kerja sukarela dan tidak ada bayaran,” katanya.

    Kewujudan kabinet bayangan juga dilihat sejajar dengan ciri demokrasi  berparlimen (Westminster) yang diamalkan Malaysia yang mana ahli-ahli kanan daripada parti pembangkang diberikan tugas memantau dasar dan tindakan kerajaan serta membuat cadangan alternatif.

    “Tugas utama mereka (menteri bayangan) ialah memastikan dasar itu baik, betul, bermanfaat kepada rakyat selain pastikan menteri dalam kerajaan buat kerja kerana menteri bayangan boleh berdebat dengan menteri yang dibayanginya mengenai isu berkaitan kementerian semasa Parlimen bersidang.

    “Kedua-dua pihak perlu buat ‘homework’ untuk berdebat secara profesional di Parlimen tentang dasar kementerian, bukan serangan peribadi sesama mereka,” jelasnya.

    Menurut Jayum, dengan strategi itu, pastinya jemaah menteri pimpinan Anwar  akan lebih berhati-hati dan  bersungguh dalam melaksanakan tanggungjawab kerana ada pihak yang sentiasa memantau tindak-tanduk mereka, sekali gus menjamin kerajaan baharu mentadbir negara dengan amanah, telus dan adil.

    GANDINGAN BAHARU DAN LAMA 

    Jayum juga menyifatkan gandingan muka lama dan baharu dalam PN sebagai saling melengkapi, khususnya dalam menyalurkan idea yang lebih segar dan menjadi pengkritik kerajaan yang dinamik.

    Malah katanya, mandat yang diberikan kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Ahli Parlimen PN dapat mengukuhkan lagi blok pembangkang kerana beliau seorang yang berpengalaman luas dalam pentadbiran negara termasuk selaku perdana menteri ke-8.

    Jayum juga berkata pelantikan Presiden PAS  Tan Sri Abdul Hadi Awang yang  pernah menjadi Menteri Besar Terengganu sebagai Timbalan Ketua Ahli Parlimen PN  merupakan gandingan pelengkap kepada Muhyiddin dalam menjadikan PN blok pembangkang berwibawa.

    “PN mempunyai ramai pemimpin berpengalaman dalam kalangan bekas menteri, menteri besar dan Exco yang boleh dijadikan panduan oleh muka baharu dalam blok pembangkang untuk bertindak lebih matang,” ujarnya.

    KEKUATAN PAS  

    Sementara itu,  penganalisis politik Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata ini bukan kali pertama PAS menjadi pembangkang dan semestinya sudah berpengalaman luas dalam peranan mereka sebagai pengkritik kerajaan.

    Malah kata pensyarah kanan  di Pusat Latihan Intern dan Pengayaan Akademik Universiti Malaya itu, Abdul Hadi sendiri pernah menjadi Ketua Pembangkang iaitu dari 2002 hingga 2004.

    “PAS menjadi pembangkang selama lebih enam dekad sejak PRU pertama diadakan pada 1955, dan saya pasti pengalaman PAS sebagai pembangkang akan digunakan sebaik mungkin dalam menyemak dan mengimbang kerajaan yang diketuai PH.

    “Pada PRU lepas juga PAS menyumbang kerusi Parlimen terbanyak (dalam PN) dan sudah pastinya rakyat akan menilai peranan yang dimainkan ahli Parlimen parti itu terutamanya dalam menambah baik dasar-dasar kerajaan,” katanya.

    Sebelum ini, ramai yang menjangkakan Abdul Hadi dilantik Ketua Pembangkang. Lebih-lebih lagi PAS mencatat prestasi cemerlang pada PRU15 apabila memenangi 43 kerusi Parlimen berbanding Bersatu dengan 31 kerusi.

    Pada pilihan raya itu, PAS menyapu bersih lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi di Kelantan, sementara Abdul Hadi pula menang besar di Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi, mengatasi BN, PH dan Pejuang Tanah Air. – BERNAMA

  • PN N.Sembilan sasar menang 19 kerusi DUN

    PN N.Sembilan sasar menang 19 kerusi DUN

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus membolehkan PN membentuk kerajaan negeri.

    Pengerusinya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata meskipun bukan perkara mudah, dengan usaha barisan kepimpinan yang komited selain kemenangan di kerusi Parlimen Padang Serai kepada PN baru-baru ini memberi isyarat bahawa perkara itu tidak mustahil untuk dicapai.

    “Kita sasar lebih kurang dua hingga tiga kerusi di setiap Parlimen di negeri ini, ia bukan tanggungjawab mudah tapi dalam tempoh yang ada ini kita gunakan sebaik mungkin untuk perbetulkan keadaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

    “Insya-Allah, banyak kita belajar daripada PRU15, saya harap kita kekalkan momentum supaya PRN kali ini kita lebih bersedia berdepan parti lawan selain tumpuan kepada pengundi muda yang beri sokongan kepada PN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Apresiasi Jentera PN di sini malam tadi.

    Beliau berkata peluang PN untuk mendominasi Negeri Sembilan juga besar berdasarkan perkembangan terkini dalam negara serta perancangan teliti dan sistematik jentera parti.

    DUN Negeri Sembilan ketika ini diwakili 20 ahli Pakatan Harapan dan 16 Barisan Nasional daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRU14. – BERNAMA

  • Pengundi Padang Serai, Tioman dinasihat mengundi ikut masa dicadangkan

    Pengundi Padang Serai, Tioman dinasihat mengundi ikut masa dicadangkan

    MENJELANG hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

    Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata seramai 132,955 orang pengundi bakal mengundi di Parlimen Padang Serai manakala 28,108 orang di DUN Tioman dan semua pengundi dinasihatkan supaya mengundi mengikut waktu yang telah diwartakan serta tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

    “Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Ikmalrudin menasihatkan pengundi supaya membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. 

    Sebanyak 46 Pusat Mengundi dan 230 Tempat Mengundi (Saluran) akan dibuka untuk pengundian di Parlimen Padang Serai, manakala 17 Pusat Mengundi melibatkan 52 saluran mengundi dibuka bagi proses pengundian di DUN Tioman.

    SPR juga menyarankan pengundi yang hadir mengundi esok supaya memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi manakala pengundi yang positif COVID-19 berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

    Ikmalrudin berkata majikan juga diingatkan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Beliau juga mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini dan sebarang bentuk aktiviti kempen termasuk aktiviti merayu undi perlu dihentikan selepas tempoh itu.

    “Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya dan menambah bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan.

    SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam, katanya. – BERNAMA

  • Tuan Ibrahim ketua pembangkang DUN Pahang

    Tuan Ibrahim ketua pembangkang DUN Pahang

    PERIKATAN Nasional (PN) memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ketua pembangkang mewakili gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

    Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata beliau akan memaklumkan pemilihan Timbalan Presiden PAS itu kepada Yang Dipertua DUN Pahang. 

    “…. seterusnya kami mencadangkan jawatan Ketua Pembangkang di DUN ini diberikan fungsi dan status yang rasmi sebagaimana di sesetengah DUN lain dan mengikut contoh di Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

    Selain itu, Saifuddin juga berkata PN turut bersetuju untuk menamakan ADUN Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus sebagai Ketua Whip di DUN Pahang. 

    Pada PRU15, Tuan Ibrahim memenangi kerusi DUN Cheka dengan majoriti 1,223 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ho Fong Mee yang mendapat 4,411 undi, Rashid Mohamad (Pakatan Harapan) memperoleh 2,255 undi dan calon pejuang Aishaton Abu Bakar hilang deposit selepas hanya mendapat 81 undi.

    Selain DUN Cheka, Tuan Ibrahim juga menang di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. – BERNAMA

  • Terengganu terbuka bincang adakan PRN serentak dengan negeri lain

    Terengganu terbuka bincang adakan PRN serentak dengan negeri lain

    KERAJAAN Terengganu terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan serentak dengan negeri-negeri lain, agar dapat menjimatkan kos pelaksanaannya, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Beliau berkata setakat ini masih belum ada perbincangan rasmi dijalankan antara enam negeri terlibat termasuk Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, selain hanya perbincangan secara kasual (bersahaja).

    “Perbincangan rasmi kita akan cuba cari ruang dan waktu untuk samakan (tarikh) pembubaran itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

    Pada masa ini Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditabir kerajaan Pakatan Harapan (PH) manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan diterajui PAS.

    Enam negeri tersebut tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk dijalankan secara serentak dengan peringkat Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 19 November lepas.

    Ditanya mengenai tarikh yang dicadangkan untuk pembubaran DUN Terengganu, Ahmad Samsuri berkata perkara tersebut masih belum diputuskan dan akan dimaklumkan apabila tiba masa dan waktu yang sesuai.

    “Belum tahu lagi (pembubaran DUN)… sebelum berakhir tempoh kita akan bubar,” katanya. – BERNAMA

  • Pusat mengundi awal dibuka esok bagi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

    Pusat mengundi awal dibuka esok bagi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

    SEJUMLAH 76 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi awal esok bagi Parlimen Padang Serai, manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pula melibatkan 243 anggota polis.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan memaklumkan, proses mengundi bagi Parlimen Padang Serai bertempat di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, mulai 8 pagi hingga 2 petang.

    Beliau berkata bagi DUN Tioman pula, akan mengundi awal di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin (8 pagi hingga 5 petang) dan di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman (8 pagi hingga 12 tengah hari).

    “SPR turut menyarankan kepada pengundi yang positif COVID-19, untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti.

    “Proses pengundian awal ini turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding. SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal yang terpilih,” katanya.

    Beliau berkata kertas undi awal akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat, selain pengiraan dibuat pada 7 Dis bermula jam 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan.

    Dalam pada itu, SPR turut menasihati agar pengundi yang dikategorikan mengundi awal, membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

    Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk Azman Nasrudin (PN-Bersatu), Datuk C. Sivaraj  (BN-MIC), Hamzah Abd Rahman (Pejuang-Putra), Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan).

    Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo Warisan masih tersenarai dalam kertas undi, kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.

    DUN Tioman pula melibatkan saingan lima penjuru antara calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas) walaupun calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengumumkan untuk menarik diri kerana logo PH masih tersenarai dalam kertas undi.

    SPR telah menetapkan proses penamaan calon bagi Parlimen dan DUN tersebut berlangsung pada 24 Nov lepas diikuti pengundian awal esok dan 7 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian. – BERNAMA