DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Najib, 69, memfailkan notis usul bagi permohonan itu melalui Tetuan Shafee & Co dan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden. Perkara itu disahkan oleh peguam Rahmat Hazlan.

Ahli Parlimen Pekan itu memohon agar beliau diberi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas yang menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau penjara lima tahun.

Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari sama yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat daripada terus mendengar rayuan itu, diketepikan.

Secara alternatif, Najib memohon agar rayuan itu didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan yang baharu dan terdiri sekurang-kurangnya daripada tujuh hakim.

Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti tambahan dan menggugurkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi serta membatalkan perbicaraan itu atau diisytiharkan batal dan tidak sah, diketepikan.

Najib, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, juga memohon penangguhan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.

Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

“Ini kerana saya telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendengaran rayuan yang adil seperti yang diperuntuk oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here